Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah Bab 3(Bagi Menolak 'Aqidah Mujassimah)

Posted by Tengku Ahmad Saufie - -

Perbandingan hadith Al-Jariyyah Riwayat Imam Muslim dengan Riwayat-riwayat Lain dari Sudut Samada Ungkapan atau Isyarat Tangan

Perbandingan ini merupakan suatu bentuk perbandingan yang menunjukkan betapa kedudukan lafaz "aina Allah" (di mana Allah) dan fis sama' (di langit) adalah tidakqat'ie. Ini kerana wujudnya perbezaan lafaz daripada jalan perawi-perawi yang lain.


Riwayat Kedua tentang Kisah Al-Jariyah:

Imam Al-Hafiz Al-Mizzi meriwayatkan dalam tuhfah Al-Asyraf (8/427):-

Daripada Sa'id bin Zaid yang meriwayatkan

Daripada Tawiyah Al-'Anbari yang meriwayatkan

Daripada 'Atho' bin Yasar yang meriwayatkan

Daripada Shohib Al-Jariyyah (tuan hamba perempuan tersebut) iaitu Saidina Mu'awiyah r.a. bahawasanya dalam kisah al-jariyah tersebut menyebut:

فمد النبي يده إليها مستفهما "من في السماء؟" قالتالله

Maksudnya: "Nabi s.a.w. menghulurkan tangannya seolah-olah memberi faham bahawa siapa di langit? Lalu hamba perempuan tersebut berkata: Allah".

Hadith ini juga paling rendah penilaiannya adalah hasan, tidak bawah daripada darjat hasan. Bahkan, sebahagian ulama' hadith menguatkan hadith ini kerana di sisi mereka, Sa'id bin Zaid adalah thiqqah (terpercaya). Imam Al-Bukhari menjelaskan bahawa Said bin Zaid adalah shoduq (boleh dipercayai).

Perbandingan Antara Hadith Riwayat Muslim dan Riwayat Al-Mizzi (dan Az-Zahabi)

- Dalam riwayat Muslim:

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Di mana Allah?"

Hamba perempuan menjawab: "Di langit".

- Dalam riwayat kedua ini (Al-Mizzi dan Az-Zahabi):

Rasulullah s.a.w. menggunakan isyarat tangan yang mana difahami oleh perawi (Mu'awiyah bin Al-Hakam) bahawa yang dimaksudkan adalah, siapa yang di langit, tanpa sebarang lafaz daripada Rasulullah s.a.w..

Hamba perempuan menjawab: "Allah".

Daripada hasil perbandingan ini, dapatlah difahami bahawasanya, lafaz "di mana Allah" tidak qat'ie daripada Rasulullah s.a.w. kerana beberapa faktor:

Pertama: Jika dibandingkan dengan riwayat Al-Mizzi, jelas menunjukkan Rasulullah s.a.w. sekadar menggunakan isyarat tangan yang mana difahami oleh Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam r.a. bahawa yang dimaksudkan adalah "di mana Allah" (seperti dalam riwayat Muslim). Kedua-dua hadith ini hampir sama darjat kesahihannya sebagaimana yang disebutkan tadi.

Kedua: Jika kita perhatikan dalam riwayat Imam Muslim sendiri jelas di mana "cara" Saidina Mu'awiyah meriwayatkan lafaz hadith ini adalah dengan makna, iaitu ada pengaruhnya dalam membuat lafaz hadith tersebut.

Dua faktor ini telah menyebabkan lafaz "aina Allah" dalam hadith tersebut adalah tidak qat'ie (jelas). Dalam kaedah mengatakan, "jika adanya kemungkinan, maka gugurlah istidlal (pendalilan atau pembuktian terhadap sesuatu). Kaedah ini dalam masalah hukum, maka dalam masalah aqidah adalah lebih utama lagi tidak boleh ada kesamaran dalam sandarannya (berkenaan aqidah).

Riwayat Ketiga:

Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dalam As-Sunan Al-Kubra pada kitab Al-Zhihar dalam bab I'taq Al-Khurasa' Iza Asyarat Bil Iman (dalam riwayat Imam Abu Daud juga sebegini):

Daripada jalan 'Auf bin Abdillah bin 'Utbah:

Daripada Abdullah bin 'Utbah:

Daripada ayahnda beliau 'Utbah:

Daripada Abi Hurairah r.a.:

"Bahwasanya ada seseorang (iaitu Mu'awiyah) datang dengan membawa hamba perempuan yang berkulit gelap. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:

أين الله؟

Maksudnya: "Di mana Allah?"

Lalu hamba perempuan menunjukkan isyarat ke arah langit dengan jarinya.

Dalam hadith ini juga menunjukkan "lafaz yang sama" dengan riwayat Muslim dari sudut sabda Rasulullah s.a.w. namun dari sudut hamba perempuan, ianya menggunakan isyarat pula kerana menurut Imam Al-Baihaqi bahawasanya hamba perempuan ini bisu.

Cuba kita gabungkan ketiga-tiga lafaz daripada ketiga-tiga riwayat.

Riwayat Muslim:

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di mana Allah?"

Hamba perempuan berkata: "Di langit".

Riwayat Al-Mizzi dan Az-Zahabi:

Rasulullah s.a.w. menunjukkan isyarat ke langit yang membuatkan Saidina Mu'awiyah memahami bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. adalah "Siapa di langit?"

Hamba perempuan berkata: "Allah"

Riwayat Imam Al-Baihaqi

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di mana Allah?"

Hamba perempuan menunjukkan isyarat ke langit.

Menurut Imam Al-Baihaqi, hamba perempuan itu bisu. Jadi, riwayat Imam Muslim yang mana hamba perempuan tersebut berkata "di langit" jika dinilai dari sudut komen Imam Al-Baihaqi, maka ianya bukan daripada perkataan hamba perempuan itu sendiri, tetapi daripada Saidina Mu'awiyah yang meriwayatkan hadith ini dengan makna (secara maknawi). Pengaruh perawi dalam lafaz hadith memang telah dijelaskan sebelum ini.

Jika seseorang yang berinteraksi dengan seseorang yang bisu juga terkadang juga menggunakan isyarat. Kemungkinan ini jugalah yang menjawab persoalan mengapa dalam riwayat Al-Mizzi bahawasanya Rasulullah s.a.w. juga menggunakan isyarat tangan juga.

Taufiq (Penggabungan): Kemungkinan daripada gabungan ketiga-tiga riwayat ini adalah, Rasulullah s.a.w. berinteraksi secara isyarat dengan hamba perempuan tersebut (riwayat Al-Mizzi) kerana dia seorang yang bisu dan perempuan itu juga menjawab juga secara isyarat (sebagaimana dalam riwayat Al-Baihaqi). Adapun riwayat Imam Muslim adalah olahan daripada Saidina Mu'awiyah yang memahami peristiwa tersebut sebegitu lalu diolah dengan lafaznya sendiri kerana ingin menjelaskan lagi peristiwa tersebut kepada perawi setelah beliau, sedangkan lafaz tersebut tidaklah daripada Rasulullah s.a.w. dan tidak juga daripada hamba perempuan tersebut.

Imam Al-Kauthari juga menyimpulkan perkara yang hampir sama di mana jika sebenarnya dialog antara Rasulullah s.a.w. berlaku secara isyarat maka gugurlah petunjuk daripada lafaz hadith ini (lafaznya tidak boleh dibauat hujah) kerana lafaz-lafaznya adalah daripada olahan perawi hadith itu sendiri.

Maksudnya:

Riwayat Imam Muslim

- Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di mana Allah?"

- Hamba perempuan berkata: "Di langit".

Riwayat Al-Mizzi dan Az-Zahabi:

- Hamba perempuan berkata: "Allah"

Riwayat Imam Al-Baihaqi

- Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di mana Allah?"

Keempat-empat ungkapan yang dinisbahkan samada kepada Rasulullah s.a.w. dan kepada hamba perempuan tersebut adalah daripada olahan Saidina Mu'awiyah sendiri kerana kedua-duanya (Rasulullah s.a.w. dan hamba perempuan) berinteraksi dengan isyarat kerana hamba perempuan tersebut bisu menurut Imam Al-Baihaqi. Menurut riwayat yang lain, hamba perempuan itu menggunakan isyarat mengangguk. Keadaan Saidina Mu'awiyah yang tidak jelas dengan peristiwa tersebut memang telah dijelaskan sebelum ini dari perkataan beliau yang berkata: "…Atau sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w…" (riwayat Imam Muslim).

Sheikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti menjawab dalam fatwanya ketika ditanya mengenai hadith Al-Jariyyah tersebut:

الجارية التي سألها رسول الله، كانت خرساء، وإنما أشارت بإصبعها إلى السماء، ليتبين لرسول الله أنها مؤمنة وليست بمشركة.

Maksudnya: "Hamba perempuan yang ditanya oleh Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang bisu. Lalu hamba perempuan itu menunjukkan dengan jarinya ke langit…".

Kedudukan Saidina Mu'awiyyah bin Al-Hakam itu sendiri pada ketika itu adalah seorang sahabat yang baru memeluk Islam sehingga dia sendiri tidak tahu bukti hamba perempuannya itu seorang mu'minah, sehingga perlu meminta bantuan Rasulullah s.a.w.. Oleh yang demikian, Imam Al-Kauthari menjelaskan bahawasanya, pertanyaan di mana Allah itu adalah daripada pengaruh perawi iaitu Mu'awiyyah bin Al-Hakam itu sendiri dalam memahami situasi tersebut, bukan daripada lafaz Rasulullah s.a.w. itu sendiri.

Perbandingan Antara Riwayat-riwayat Lain Dari Sudut Mentarjihkan Lafaz

Riwayat Keempat:

Imam Abdul Razak meriwayatkan dalam Al-Mushonnaf melalui jalan 'Atho' juga (tabi'ien yang sama seperti riwayat Imam Muslim dan Al-Mizzi):-

"Daripada Ibn Juraij yang meriwayatkan

"Daripada "Atho' bahawasanya ada seorang lelaki (iaitu Mu'awiyah berdasarkan petunjuk dari riwayat Muslim tadi) memiliki kambing yang sihat. Lalu lelaki tersebut teringin untuk menghadiahkan seekor kambingnya kepada Nabi s.a.w.. Namun, (pagi itu) seekor serigala menggigit kambing tersebut. Lelaki itu (Saidina Mu'awiyah) terus marah lalu menampar hamba perempuannya. Lalu lelaki itu (iaitu Mu'wiyah) menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w. dalam masa yang sama menceritakan juga bahawasnya dia mempunyai tanggungan untuk memerdekakan seseorang hamba yang beriman. Tetapi dia khuatir untuk memerdekakan hamba perempuan yang dipukulnya tersebut.

"Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bawa dia ke mari". Setelah lelaki itu membawa hamba perempuannya berjumpa Rasulullah s.a.w., Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya:

أتشهدين أن لا إله إلا الله

Maksudnya: "Adakah kamu mengakui bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah"?

Hamba perempuan itu menjawab: "Ya".

Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui bahawasanya aku adalah pesuruh Allah (Rasulullah)"

Hamba perempuan itu menjawab: "Ya"…" (sehinggalah akhir hadith).

Ini suatu bentuk lafaz hadith yang lain yang diriwayatkan oleh seorang tabi'ien iaitu 'Atho' bin Yasar yang merupakan perawi daripada Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Al-Mizzi dan Imam Abdul Razzak.

Bahkan, dari satu sudut yang lain, hadith ini juga tidak bertentangan dari sudut kefahamannya dengan riwayat Imam Al-Baihaqi kerana kemungkinan hamba perempuan itu seorang yang bisu masih boleh difahami daripada riwayat Abdul Razzak ini kerana Rasulullah s.a.w. ketika bertanya dengan soalan "adakah", hamba perempuan tersebut hanya perlu menggunakan isyarat (seperti mengangguk) untuk membawa faham bahawasanya dia membenarkan soalan tersebut. Kemudian, perawi hadith mengolahkanisyarat tersebut dalam bentuk perkataan untuk lebih menjelaskan peristiwa tersebut.

Pun begitu, kedudukan hamba perempuan itu seorang yang bisu adalah sebagaimana yang diriwayatkan melalui jalan Imam Al-Baihaqi dan ianya juga kemungkinan berdasarkan kefahaman Imam Al-Baihaqi dan sebahagian ulama' lain semata-mata.

Apa yang paling penting adalah, lafaz pertanyaan Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan (Al-Jariyyah) tersebut pada riwayat Abdul Razzak adalah dengan bertanyakan kalimah syahadah, bukan bertanyakan "di mana Allah". Ini suatu isyarat yang jelas menunjukkan hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan banyak lafaz yang berbeza-beza. Maka, sudah pasti ianya kembali kepada "pengaruh" perawi-perawi hadith tersebut.

Jadi, lafaz aina Allah (di mana Allah) dalam riwayat Imam Muslim itu sendiri tidak qat'ie sehingga sesetengah pihak memaksa semua orang menetapkan lafaz tersebut secara zahir lalu menetapkan tempat bagi Allah s.w.t.. Berbezanya lafaz menunjukkan lafaz hadith tersebut tidak kuat untuk dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. apatah lagi jika lafaz bertanyakan kalimah syahadah yang diriwayatkan oleh Imam Abdul Razzak lebih kuat petunjuknya dalam memberi faham keislaman seseorang berbanding pertanyaan di mana Allah dalam riwayat Imam Muslim dan Imam Al-Baihaqi.

 Oleh yang demikian, lafaz hadith yang diriwayatkan daripada jalan Imam Al-Mizzi dan Imam Abdul Razzak jelas menunjukkan Rasulullah s.a.w. tidak bertanya: "di mana Allah" kepada hamba perempuan tersebut. Sebaliknya, dalam riwayat Abdul Razzak, yang ditanya adalah berkenaan kalimah syahadah yang lebih kuat petunjuknya dalam menentukan keislaman seseorang.

Dari segi sanad hadith riwayat Imam Abdul Razzak pula, ianya merupakan suatu sanad yang 'aliy (tinggi: sedikit perantaraan antara periwayat hadith yang meriwayatkan hadith dalam kitab-kitabnya dengan Rasulullah s.a.w.) iaitu daripada Ibn Juraij yang meriwayatkan daripada 'Atho' bin Yasar daripada Saidina Mu'awiyah r.a..

Imam Az-Zahabi meletakkan riwayat Ibn Juraij daripada 'Atho' bin Yasar sebagai silsilah yang tinggi kesahihannya, iaitu darjat setelah silsilah az-zahab (iaitu Imam Malik meriwayatkan daripada Imam Nafi'e yang meriwayatkan daripada Saidina Ibn Umar r.a.) dan seangkatan dengannya. (Al-Muqizhoh: 25)

Malah, riwayat Imam Abdul Razzak ini turut dikuatkan oleh riwayat Imam Malik dalam Al-Muwatho'.

Riwayat Kelima berkenaan Hadith Al-Jariyyah

Imam Malik r.a. meriwayatkan dalam Al-Muwatho' (rujuk Tanwir Al-Hawalik syarah Muwatho’ Imam Malik m/s 707) dengan sanad yang 'aliy iaitu daripada Ibn Syihab yang meriwayatkan daripada Ubaidillah bin Abdullah bin 'Utbah bahawasanya:

"Ada seorang lelaki daripada kaum Anshor membawa hamba perempuannya yang berkulit gelap kepada Rasulullah s.a.w.. Lalu beliau berkata: "Wahai Rasulullah. Aku mempunyai tanggungan agar memerdekakan seorang hamba perempuan. Kalau hamba perempuanku ini seorang yang beriman, maka aku akan memerdekakannya". Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya: Adakah kamu mengakui tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah"? Hamba perempuan tersebut menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui aku sebagai pesuruh Allah?" Jawabnya: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu meyakini adanya hari kebangkitan setelah kematian?" Jawabnya: "Ya". Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Merdekakanlah dia. Sesemangnya dia seorang yang beriman".

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Malik dengan sanad tinggi ('aliy) melalui jalan seorang tabi'ie yang agung iaitu Imam Ubaidillah bin Abdullah bin 'Utbah yang dikenali sebagai Al-Fuqaha' As-Sab'ah (ulama' fiqh yang tujuh) di Madinah.

Beliau adalah seorang yang terpercaya lagi teliti (rujuk At-Taqrib).

Imam As-Suyuti dalam Tanwir Al-Hawalik menukilkan juga beberapa riwayat yang lain berkenaan dengan hadith yang sama:-

- Imam Al-Husein bin Al-Walid meriwayatkan daripada Imam Malik daripada Ibn Syihab daripada Abaidillah daripada Saidina Abu Hurairah r.a..

- Ma’mar meriwayatkan juga daripada Ibn Syihab bin ‘Ubaidillah daripada seorang lelaki dari kalangan Anshar.

- Al-Mas’udi meriwayatkan daripada ‘Aun daripada Abdullah daripada abangnya ‘Ubaidillah daripada Saidina Abi Hurairah r.a..

Malah, riwayat dengan lafaz ini juga diriwayatkan oleh beberapa ahli hadith yang lain iaitu:-

- Imam Al-Baihaqi sendiri juga meriwayatkan hadith dengan lafaz ini dalam As-Sunan Al-Kubra (10/57).

- Imam Abdul Razzak juga meriwayatkan hadith Al-Jariyyah dengan jalan ini juga melalui sanad: daripada Ma'mar daripada Az-Zuhri daripada Ubaidillah bin Abdullah tersebut. (rujuk Al-Mushonnaf 9/175 begitu juga dalam Tanwir Al-Hawalik m/s 707)

- Imam Ahmad juga meriwayatkan hadith Al-Jariyyah ini dengan jalan yang sama dalam Al-Musnad (3/451-452)

Penilaian Hadith riwayat Kelima ini:-

Adapun Abu Bakr Muhammad bin Muslim (Ibn Syihab)  Az-Zuhri (50-125 H) merupakan antara perawi-perawi yang dinilai sebagai thiqqah dan tersenarai dalam antaratobaqot al-huffaz yang tinggi kedudukannya oleh Imam Az-Zahabi. (Al-Muqizhoh: 69)

Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya memberi komen terhadap hadith Al-Jariyyah melalui jalan ini (Ubaidillah bin Abdullah) dengan berkata:

إسناده صحيح وجهالة الصحابي لا تضره

"Sanadnya sahih sedangkan kejahilan (tidak disebut) sahabat (dalam riwayat Ubaidillah) ini tidak mengurangkan darjat kesahihannya" (Tafsir Ibn Kathir: 1/547)

Imam Ibn Hajar Al-Haithami pula berkata: "ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan perawi-perawinya yang sahih" (Al-Majma' 1/23).

Ini menunjukkan hadith-hadith riwayat "adakah kamu mengakui tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah" ini lebih banyak jalan periwayatannya berbanding lafaz "aina Allah" itu sendiri. Sehinggakan, Imam Al-Baihaqi juga ada meriwayatkan dengan jalan sebagaimana riwayat Imam Malik (no. 1512 dalam Tanwir Al-Hawalik ini. Hal ini sahaja sudah menguatkan lafaz hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik dan Imam Abdul Razzak sendiri, berbanding riwayat Imam Muslim.

Bila berlakunya percanggahan dari sudut lafaz hadith melalui banyak jalan, maka timbullah permasalahan itthirob (اضطراب) dalam matan sesuatu hadith tersebut.

Hadith Al-Jariyyah Sememangnya Diriwayatkan dengan Lafaz-lafaz yang Berbeza-beza

Imam Al-Bazzar ada menyebutkan tentang hadith Al-Jariyyah ini dengan berkata:

وهذا قد روى نحوه بألفاظ مختلفة

Maksudnya: Ia diriwayatkan sebegini dengan lafaz-lafaz yang berbeza-beza. (Kasyf Al-Astar: 1/14)

Amirul Mu'minin fi Al-Hadith Al-Hafiz Imam Ibn Hajar berkata tentang hadith Al-Jariyyah ini:

وفي اللفظ مخالفة كثيرة

Maksudnya: "Dan pada lafaz hadith ini banyak (riwayat) yang saling bercanggah" (At-Takhlish Al-Khabir 3/223)

Imam Al-Baihaqi juga ada menyebutkan dalam membuat komen terhadap hadith ini:

وهذا صحيح قد أخرجه مسلم مقطعا من حديث الأوزاعي وحجاج الصواف عن يحيى بن أبي كثير دون قصة الجارية؛ و أظنه إنما تركها من الحديث لاختلافالرواة في لفظه

Maksudnya: "Hadith ini sahih (sanadnya) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim secara ringkas (dipotong nas keseluruhan hadith) daripada hadith Al-Auza'ie dan Hajjaj As-Showwaf daripada Yahya bin Abi Kathir tanpa kisah Al-Jariyyah, yang mana aku rasa sebab kisah Al-Jariyyah tersebut tidak diriwayatkan (oleh Imam Muslim: demikian menurut Imam Al-Baihaqi) dalam hadith tersebut kerana berlakunya perbezaan dalam kalangan perawi terhadap lafaznya." (Al-Asma' wa As-Sifat m/s 422)

Dua nota utama yang dapat difahami daripada perkataan Imam Al-Baihaqi berkenaan hadith ini:-

Pertama: Menurut Imam Al-Baihaqi, naskhah sahih Muslim yang beliau miliki tidak mengandungi kisah Al-Jariyyah itu sama sekali. Beliau membuat andaian bahawasanya kemungkinan Imam Muslim tidak meriwayatkan kisah tersebut kerana para perawi berselisih mengenai lafaznya.

Kedua: Menurut Imam Al-Baihaqi, hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza-beza.

Dari sudut hadith ini diriwayatkan dengan banyak lafaz yang berbeza-beza pun, sudah menunjukkan lafaz hadith ini tidak boleh dijadikan suatu pegangan yang kuat apatah lagi melibatkan masalah aqidah. Sekurang-kurangnya, ia kembali kepada kaedah:

ما طرقه الاحتمال سقط به الاستدلال

Maksudnya: "Jika jalan-jalan periwayatan hadith itu mengandungi kemungkinan, maka gugurlah "petunjuk" daripada hadith tersebut dengan sebab "kemungkinan" tersebut.

Setelah penjelasan ini juga, fahamlah kita bahawasanya kedudukan hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza-beza yang akhirnya membawa kepada hukum idthirob (kegoncangan atau pertembungan).

Hukum Idthirab dalam Periwayatan Hadith Al-Jariyyah

Imam Ibn Sholah berkata dalam Muqoddimahnya (m/s 45):

 المضطرب من الحديث‏:‏ هو الذي تختلف الرواية فيه، فيرويه بعضهم على وجه، وبعضهم على وجه آخر مخالف له‏.

Mudthorib (kegoncangan) dalam hadith adalah: hadith yang berbeza riwayat mengenainya. Sebahagian mereka (ahli hadith) meriwayatkannya dengan satu wajah (bentuk) sedangkan sebahagian yang lain meriwayatkannya dengan wajah (bentuk atau lafaz) yang berbeza yang bercangggah dengannya (wajah pertama).

Beliau berkata lagi seterusnya:

ثم قد يقع الاضطراب في متن الحديث، وقد يقع في الإسناد...

Maksudnya: Terkadang, berlakunya idthirob dalam matan hadith, terkadang pula dalam sanad hadith. (Muqoddimah Ibn Sholah ibid)

Dalam erti kata yang lain, tidak semestinya suatu hadith itu jika diriwayatkan dengan sanad yang sahih, maka idthirob tidak boleh berlaku dalam matan hadith tersebut. Kadang-kala, hadith yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih juga mengandungi matan yang Mudthorib sebagaimana yang berlaku dalam riwayat Imam Muslim dalam perbahasan hadith Al-Jariyyah ini yang akan diperincikan kemudian.

Imam An-Nawawi juga ada menyebutkan:

المضطرب : هو الذي يرو ى على أوجه مختلفة متقاربة

Maksudnya: Mudthorib adalah hadith yang diriwayatkan melalui banyak bentuk yang berbeza-beza yang hampir dekat (lafaz dan maknanya). (At-Taqrib)

Apabila berlakunya percanggahan antara banyak jalan periwayatan hadith, maka berlakunya idthirob dalam hadith yang diriwayatkan tersebut sekiranya bentuk lain bagi hadith tersebut lebih kuat (ar-rajih).


*Sumber ~Ustazuna Sidi Raja Ahmad Mukhlis

3 Responses so far.

  1. Anonymous says:

    Salam alaikom,

    Indeed your Lord is Allâh, Who created the heavens and the earth in Six Days, and then He rose over (Istawâ) the Throne (really in a manner that suits His Majesty). He brings the night as a cover over the day, seeking it rapidly, and (He created) the sun, the moon, the stars subjected to His Command. Surely, His is the Creation and Commandment. Blessed is Allâh, the Lord of the 'Alamîn (mankind, jinn and all that exists)! (7:54)

  2. waalaikumussalam~

    benar..mmg dalam quran menyentuh berkenaan ini..

    tapi jangan lupa, ALlah memberi peringatan bahawa terdapat ayat muhkamat dan mutasyabihat..dan tidaklah orang pandai2 menafsirkan dan berpegang dengan makna zahir ayat itu melainkan orang2 yang ALlah sesatkan mereka..kerana manusia boleh terhijab dari ALlah dengan ilmu..

    dalam ayat lain, cth dalam surah waqi'ah..Allah mengatakan bahawa, "Sesungguhnya aku lebih dekat dari urat leher"..sudah bercanggah dengan ayat Allah istawa 'ala 'arasy(maaf, ana xnk terjemahkan dengan duduk spt mana orang2 lain ltk makna istawa, kerana kalimah arab maksudnya luas, 1perkataan tidak boleh diterjemah secara literal, tu pun klu ntum blaja balagrhoh n syair2 arab)..lebih2 lg, jelas dan nyata ayat itu mutasyabihat..buat apa nk pgg zahir ayat lg?

    begitu juga byk lg hadith2, cthnya, Baginda mengatakan dalam hadith qudsi, "sekiranya hambaKu datang kepadaKu dengan berjalan, nescaya Aku datang kepadanya dengan berlari......"..apakah Allah berlari?..apakah Allah berjalan?..sungguh! hadith ini mutasyabihah, dan mempunyai maksud tersirat dan maksudnya telah diterangkan oleh para ulama' muktabat..

    klu ntum nk pgg zahir ayat, spt ayat Allah istawa 'ala 'arasy, maka, knp dalam ayat lain ntum xpgg zahir?..knp xmengatakan Allah mmg berlari(tapi berlari dengan keadaan hanya Allah saja yang tahu~mcm tu lah ibn taimiyyah dan pengikut2 mereka katakan..Allah bertangan, tapi tanganNya adalah tidak sama dengan tangan manusia)..alangkah jahilnya, na'uzubillah, dan Allah tidaklah seperti golongan mujassimah dakwakan..

    begitu juga hadith Allah turun 1/3 malam..apakah Allah turun dari langit?..

  3. lebih-lebih lagi para sahabat..mereka dengan tegas, menolak untuk membahaskan ayat-ayat mutasyabihah, seperti diatas, kerana mereka beriman kepada Allah, sebelum al-Quran diturunkan..bahkan Bilal ibn Rabah, bertauhid sebelum al-Quran diturunkan lengkap sepenuhnya, begitu juga sahabat-sahabat kabir yang lain..
    mereka amat mahir bahasa 'arab, lebih2 lagi mereka rapat dengan syair2 jahiliyyah yang lebih sukar..mereka memahami ayat-ayat mutasyabihah, dengan menyerahkan maksud ayat mutasyabihah tersebut, tapi, bukan berpegang dengan zahir ayat itu..tidak pernah keluar dari mulut seorang sahabat, mengatakan "Allah bertangan".."Allah berwajah"..."Allah duduk atas 'arasy"..cuma mereka yang jahil bhasa arab, dan syair2 arab, maka tidak memahami, lalu berpegang dengan zahir2 ayat mutasyabihah..
    lebih2 lg melayu n selain arab..bukak Quran, yad Allah, ditranslate dengan tangan Allah..Allah fauqa 'arasy, ditranslate, Allah diatas 'arasy..ini adalah satu kesalahan terjemahan yang sukar lg dibendung..sedangkan bhasa Quran itu mukjizat, dan mengalahkan syair2 arab..mustahil kalu ayat2 mutasyabihah, boleh diterjemah2 dengan literal sebegitu..

    oleh kerana itu, para ulama' melayu dan selain arab..fokuskan ulama' alam melayu, bila menyentuh tangan Allah, mereka lebih gemar menyebut yad Allah, bukan tangan ALlah..bahkan kalau dikatakan tangan, mereka mentakwilkan agar manusia yang faham bahasa melayu, tidak sesat dengan mentajsimkan Allah..bahkan mereka menyatakan lg, tangan ini bukan tangan seperti yang kita faham..Hanya Allah yang tahu apa yang dimaksudkan dengan tangan dalam ayat mutasyabihah itu..
    hanya Allah yang mengetahu maksud "duduk" diatas 'arasy, dan bukanlah seperti makna duduk yang terlekat diatas fikiran kita..

    mereka mentaslimkan Allah, menjauhkan dari menjisimkan Allah..
    sebaliknya golongan mujassimah, mereka berpegang dengan tegas dan keras pada ayat2 mutasyabihah, bahkan menetapkan makna..

    bertepatan dengan firman Allah dalam menerangkan ayat mutasyabihah:

    "Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran."..
    (surah 'ali imran,7)

    alangkah ruginya golongan mujassimah..mereka sesat dalam keadaan mereka menyangka merekalah golongan benar..akan tetapi golongan mereka 10:1000 jika dinisbahkan dengan golongan yang berpegang dengan golongan selamat yang dipelihara Allah sejak berzaman..
    Allahua'lam~