Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Ziarah Permata Kedah Yang Penuh Barakah - 7~9 Januari 2012

Posted by Unknown - -

Alhamdulillahi wassolatu wassalam 'ala Rasulillah wa 'ala Aali wa man walah~


Amma ba'du..

Segala puji ke hadrat Allah s.w.t. yang telah mengurniakan segala ni'mat kepada hambaNya diatas kemurahan dan kemuliaanNya yang amat luas di dunia dan juga di Akhirat. Selawat dan salam keatas junjungan Baginda s.a.w. yang diutuskanNya sebagai pembawa rahmat, keberkatan serta kebenaran yang haqiqi kepada seluruh umat manusia sehingga hari Qiamat. Seterusnya, keatas para ahli bait Baginda s.a.w. yang menjadi penyeri serta pembimbing ummah, begitu juga keatas para sahabat Baginda s.a.w. yang berjuang di atas kebenaran mencari redha Allah s.w.t. dan kekasih mereka, Nabi Muhammad s.a.w..

Alhamdulillah, pada 7 Januari 2012 yang lepas, al-faqir telah berpeluang bersama-sama sahabat al-faqir, Ustaz sidi Anwar Mohammad, ke Kedah untuk menziarahi beberapa orang 'ulama yang penuh barakah. Bertolak dari Markaz Darul Hasani yang terletak Bangi pada jam 4.00 pagi, dengan rahmat Allah s.w.t., kami sampai di Kedah pada jam 9.00 pagi dan berehat sebentar di rumah keluarga Ustaz sidi Anwar Mohammad.

------------------------------------------
Walaupun keadaan masing-masing masih lagi kepenatan kerana berjalan jauh, kami keluar semula untuk memulakan ziarah kami pada jam 9.30 pagi setelah bersarapan di rumah. Destinasi pertama kami adalah, Pak Su Mid yang tinggal di Bukit Tembaga, seorang yang 'alim dalam ilmu alat(nahwu, sorof, balaghah dan sebagainya), dan juga sentiasa berhujah menggunakan al-Quran secara hikmah.

alfaqir bersama al-'Arif Billah Haji Abdul Hamid(lebih
dikenali dengan nama Pak Su Mid Bukit Tembaga)

Kebiasaannya pada setiap waktu, ramai tetamu yang akan menziarahi beliau. Akan tetapi, dengan rahmat Allah s.w.t., apabila kami sampai di rumah beliau sekitar jam 10.00 pagi, keadaan di rumah beliau lengang tanpa tetamu, dan pintu rumahnya telah pun siap terbuka. Kami amat bergembira di atas kemurahan Allah s.w.t. untuk menziarahi beliau, dan setelah itu kami meluangkan masa sehingga Zohor bersama beliau. Banyak permata yang beliau berikan kepada kami, termasuklah petikan daripada syarah kitab-kitab, makalah nasihat yang beliau tuliskan, dan juga beberapa amalan yang penuh keberkatan termasuklah wazifah zaruqiyyah.

Setelah masuk waktu zohor, kami pun bergerak meninggalkan beliau yang kebetulan pada waktu itu, beberapa orang mulai muncul untuk bertemu dengan Pak Su Mid.

------------------------------------------
Destinasi kedua pula, dari rumah Pak Su Mid, kami bergerak ke Kuala Nerang yang terletak lebih kurang satu jam daripada Bukit Tembaga. Walaupun masih terasa penat, kami tetap memperkuatkan diri kerana mahu memanfaatkan masa yang dikurniakan Allah s.w.t. sepanjang kami berada di negeri yang penuh barakah ini. Lebih kurang jam 2.30 petang, setelah menjamu selera di warung tepi jalan, kami pun sampai di Kuala Nerang dan terus menuju ke rumah Pak Teh Mad.

alfaqir bersama Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Muhammad Nor

Alhamdulillah, ketika itu beliau hanya berehat di rumah dan tiada tetamu yang datang menziarahi beliau, menjadikan kami dapat memanfaatkan masa keemasan kami bersama beliau. Demi tidak mahu memanjangkan masa, kerana tidak mahu mengganggu beliau berehat, kami mengambil peluang untuk berta'arruf serba sedikit. Setelah itu, kami membacakan kitab Soheh Bukhari dan juga Syamail Muhammadiyyah kepada beliau dan beliau memberikan ijazah kepada kami kedua-dua kitan tersebut, dan juga ijazah 'ammah mutlaqan kepada kami. Sebelum kami pulang, beliau mengijazahkan lagi kepada kami ijazah talqin, dan doa memelihara mata. Akhirnya, jam pun telah menunjukkan 3.45 petang. Setelah kami menyusun langkah untuk pulang, barulah pada waktu itu datang beberapa orang tetamu yang menggantikan kami untuk menziarahi Pak Teh Mat.

------------------------------------------
Alhamdulillah, kami masih diberikan tenaga oleh Allah s.w.t. untuk menyempurnakan ziarah kami ini. Kami pun bergerak menuju ke Alor Setar, untuk menyempurnakan ziarah ketiga pada hari tersebut, dengan menziarahi Tuan Guru Haji 'Abdul Hamid bin Haji 'Abdul Rahman al-Jaarumi, seorang bekas imam dan pernah mengaji dengan pelbagai 'ulama di Makkah antaranya Sheikh Hassan Masyat dan pelbagai lagi. Seperti kedua-dua ziarah sebelum itu, kami berpeluang untuk meluangkan masa keemasan bersama Tuan Guru Haji 'Abdul Hamid bin Haji 'Abdul Rahman kerana ketika itu tiada orang yang datang menziarahi beliau dan beliau juga tidak sibuk. 

Kami pun mengambil kesempatan tersebut untuk membacakan kitab Soheh Bukhari dan Syamail Muhammadiyyah di hadapan beliau dan mendapatkan ijazah daripada beliau. Setelah itu, beliau juga mengijazahkan kami ijazah 'ammah mutlaqan kepada kami berdua yang bersambung kepada guru-guru beliau yang penuh barakah. Apabila masuk waktu 'Asar, kami pun beransur dari situ dan menuju ke Gurun pula untuk ziarah yang terakhir, iaitu menziarahi Sheikh Hassan Bangkok.

------------------------------------------
Dari Alor Setar, kami bergerak ke Gurun dan tiba di Gurun sekitar jam 6.00 petang. Kami singgah di Masjid Gurun untuk solat dan berehat sementara di sana sebelum menyusun langkah untuk menyempurnakan ziarah yang terakhir untuk hari tersebut. Setelah berehat, kami pun bergerak menuju ke rumah Sheikh Hassan Bangkok, seorang 'ulama yang berasal dari Siam kemudiannya belajar di sebuah pondok di Kedah selama 20 tahun lebih dan pernah menjadi qadhi di Bangkok. Beliau juga bertariqat Syazuliyyah, yang telah beliau ambil di Bangkok daripada gurunya yang berketurunan 'arab, iaitu Sheikh Khalid al-Baaqi asy-Syazuliy rahimahUllahu ta'ala.

afaqir bersama Sheikh Hassan Bangkok, sudah berumur 138 tahun,
berasal dari Bangkok, dan bertariqat Syazuliyyah.

Alangkah terkejutnya kami apabila beliau memberitahu kami bahawa umur beliau telah mencapai 138 tahun, kerana kami melihat beliau masih lagi segar dan sihat. Tetapi itulah ni'mat yang Allah s.w.t. berikan kepada hambaNya yang terpilih, sebagaimana sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud, "Sebaik-baik manusia ialah berumur panjang dan mempunyai banyak 'amalan". Kami hanya berada di rumah beliau sekejap sahaja memandankan hari sudah suntuk, dan sebelum pulang kami memohon kepada beliau untuk mendoakan kami. Dan tidak lupa juga, kami turut dihidangkan segelas milo panas yang menyegarkan dan juga corn in cup buatan anak beliau untuk santapan ringan kami sebelum pulang.

------------------------------------------
Ziarah kami pada 7hb Januari pun berakhir dengan setiap seorang 'exausted' akibat tidak cukup rehat. Walaupun hanya dapat menziarahi keempat-empat permata umat Islam dengan masa yang suntuk, ianya cukup bermakna dan insyaAllah alfaqir akan kembali untuk meluangkan masa yang bermakna bersama mereka lagi. Kami akhirnya sampai di rumah untuk berehat pada jam 9.00 malam dan perlu menge'charge' kembali tenaga untuk melengkapkan ziarah yang penuh keberkatan ini pada esok hari.

------------------------------------------
Alhamdulillah, pada keesokan harinya iaitu 8hb Januari 2012, kami mempunyai 2 destinasi lagi untuk dituju, iaitu Tuan Guru Haji Salleh Sik, dan juga Tuan Guru Sheikh Toyyib al-Makki.

Perjalanan kami pada keesokan hari bermula jam 8.00 pagi. Kami bercadang untuk menziarahi Tuan Guru Haji Salleh pula yang tinggal di Sik dan mempunyai pondok yang cukup mahsyur di Kedah bahkan di Malaysia. Kami ingin sekali untuk sampai di pondok beliau itu pada awal waktu kerana pada pagi itu merupakan kuliah umum beliau. Akan tetapi, telah ditakdirkan Allah s.w.t., kami mendapat telefon daripada sahabat pondok tersebut yang akan membawa kami bertemu beliau, bahawa kuliah beliau habis awal daripada kebiasaan.

Setelah sampai di Pondok Sik pada sekitar jam 9.30 pagi, kami disambut oleh sahabat tersebut dan terus menuju ke rumah Sheikh Salleh Sik, dengan ketentuan Allah pada masa itu beliau sedang duduk membelek kitab di meja yang terletak di ruang tetamu rumahnya dan tiada tetamu datang menziarahi beliau. Hati alfaqir amat bergembira dapat bertemu dengan 'ulama yang sentiasa disebut-sebut oleh mereka yang mengenalinya. Apatah lagi, Sheikhna Sidi Yusuf al-Bakhour al-Hasani juga telah beberapa kali dijemput untuk menyampaikan tausiyah di pondok beliau pada beberapa tahun lepas. Hal ini menjadikan hati alfaqir bertambah gembira.

Sheikh Salleh Sik, merupakan salah seorang murid kepada
Sheikh Yassin al-Fadani rahimahullah. Seorang yang 'alim dalam perbahasan
ilmu Islam dan disegani oleh pelbagai 'ulama dari dalam serta luar negara.


Kami dihidangkan teh dan kuih muih oleh murid beliau, dan sambil menghirup air teh yang menyenangkan itu, kami mengambil peluang untuk membacakan kitab soheh Bukhari dan kitab Syamail Muhammadiyyah di hadapan beliau dan beliau memberikan ijazah kepada kami berdua. Setelah itu, kami juga diijazahkan dengan ijazah 'ammah mutlaqan yang mana dikatakan oleh sahabat-sahabat kami sebelum ini, beliau seorang yang sulit dan syadid dalam memberikan ijazah 'ammah mutlaqan, ijazah tersebut menjadikan kami cukup bergembira sekali. Alhamdulillah, semuanya atas rahmat Allah s.w.t. yang Maha Lembut keatas hambaNya.

Kami juga meminta nasihat serta doa daripada beliau, dan akhirnya pertemuan kami bersama beliau berakhir apabila terdapat beberapa tetamu yang hadir yang perlu beliau layani.

------------------------------------------
Jam menunjukkan pukul 10.45 pagi. Dari Pondok Sik, bersama dua orang sahabat dari pondok tersebut, kami bergerak pula ke destinasi terakhir, iaitu Baling, yang terletak kira-kira setengah jam daripada pondok, untuk menziarahi Sheikh Toyyib al-Makki yang menetap di Makkah dan sentiasa musafir ke Malaysia setiap tahun.

Sheikh Hassan Toyyib al-Makki, seorang 'ulama yang zuhud lagi  tawadho'.
Beliau berumur 90 tahun dan masih segar serta kuat ingatan.

Sheikh Toyyib al-Makki merupakan antara orang Melayu yang duduk paling lama di Makkah, bahkan beliau juga telah diberikan kerakyatan sebagai penduduk Makkah. Antara guru beliau, termasuk Sheikh Hassan Masyat, Sheikh Yasin al-Fadani, dan ramai lagi masyayikh yang beliau mengambil istifadah bahkan beliau antara pengiring jenazah para masyayikh ketika kebanyakkan penuntut Melayu sudah pulang ke Tanah Melayu.

Apabila kami sampai di rumah beliau yang terletak jauh di dalam kebun getah, kami terpegun melihat beliau sedang membersihkan halaman rumah beliau seorang diri. Apabila beliau melihat kami datang, beliau pun berdiri dengan wajah yang ceria dan menjemput kami masuk ke rumah beliau.

Keadaan di situ amat tenang, kami menjamu beliau dengan roti canai yang dibungkus dari kedai di tepi jalan, kerana beliau hanya memakan makanan yang berunsur gandum, dan tidak makan nasi. Setelah sesi ta'aruf bersama beliau sambil menghirup secawan teh, kami meminta izin daripada beliau untuk diijazahkan Hadith Musalsal Bi Awwaliyyah dan juga membacakan kitab Soheh Bukhari kepadanya untuk mendapatkan ijazah. 

Beliau merupakan orang yang dhobit. Maka setelah kami membacakan hadith musalsal tersebut, beliau menghuraikannya dengan panjang lebar untuk kefahaman kami dari sudut ilmiyyah dan juga zauqiyyah. Setelah itu, kami membacakan pula kitab Soheh Bukhari pada hadith pertama dan kedua, dan beliau mengsyarahkan hadith kedua itu hampir satu jam. Kata beliau, "Kita ambil ijazah, bukan hanya untuk ijazah. Tetapi perlu juga kefahaman yang difahami melalui ijazah yang kita ambil itu. Jangan kita menyandarkan sesuatu kepada sheikh, tetapi kefahaman yang dibawa bersalahan dengan apa yang dibawa oleh sheikh itu".

Nasihat beliau itu amatlah bernas bagi kami semua sebagai panduan. Hal itu juga menunjukkan beliau mengambil berat tentang ilmu dan kefahaman, tidak hanya pada menyampaikan ijazah. Antara nasihat beliau lagi, termasuklah di dalam hal politik yang berlaku di dalam negara kita ini. Beliau berkata kepada kami bahawa pentingnya umat Islam baik dari UMNO ataupun PAS bersatu, dengan wajah yang serius, beliau berkata, "Kalau dua-dua parti ini tidak bersatu, nanti lihatlah kedua-duanya akan binasa. Tapi, semua ini adalah sebab permainan musuh Islam yang nak lihat umat Islam berpecah". Beliau juga menyatakan kekecewaan beliau, "Sepatutnya ijtima' baru-baru ni(Ijtima' 'Ulama Turath), dijadikan tempat untuk menyatukan antara dua parti itu, bukan ijtima' itu hanya untuk PAS". Banyak lagi keluhan dan pendapat yang beliau lontarkan sepanjang perbualan kami.

Setelah kami berbual panjang dengan beliau, dan waktu pun menunjukkan hampir 3.00 petang, kami pun meminta ijazah 'ammah mutalaqan daripada beliau dengan sanad yang bersambung kepada syuyukh beliau yang penuh barakah agar kami juga dapat merasai cebisan barakah yang di salurkan melalui sanad mereka itu.

Kami pun menyusun langkah keluar, dan beliau tetap sahaja menggagahkan diri beliau untuk menemani kami sehingga ke kenderaan kami. Begitulah adab seorang 'ulama yang tawadhu' yang meraikan tetamu walau siapa sahaja tetamu yang datang bertandang.

Akhirnya pada jam 3.15 petang, kami pun bertolak meninggalkan Sheikh Toyyib al-Makki. Pun begitu rasa masa ini sekejap sahaja berjalan kerana seronok dapat bersama dengan Sheikh  Toyyib dan mendengar kisah dan nasihat daripada beliau.

------------------------------------------
Setelah mengantar sahabat kami dari Pondok Sik dan selesai berehat untuk memulihkan tenaga, kami pun bergerak menuju tempat riadhah untuk menghilangkan rasa keletihan dan menyegarkan badan. Selepas itu, kami pun pulang ke rumah untuk berehat, dan kami bertolak pulang ke Markaz Darul Hasani pada jam 7.00 pagi pada keesokan harinya.


Semoga Ziarah kali ini mendatangkan keberkatan kepada alfaqir
dan sahabat alfaqir di dalam mencari keredhaan Allah s.w.t. di dunia
dan di Akhirat. Ameen~


Sekian..
alfaqir ila Rabbihi al-Latif,
Tengku Ahmad Saufie.







10 Responses so far.

  1. azaky says:

    Salam sahabat

    Syukur ke hadrat Allah kerana tuan telah diberi izin olehNya utk melakukan ziarah keatas tok-tok alim di tanah air dan memohon barakath dr mereka.

    Tahniah diatas usaha ini... rasa terharu saya membacanya... diri yg hina lg faqir ini terasa ingin turut serta dlm ziarah spt ini dilain masa... sdg mencari ikhwan dan jamaah yg sudi utk berkongsi pengalaman dlm melakukan ziarah mahabbah ulama spt ini... Tahniah

  2. z aziz says:

    Salam,

    Sangat bagus usaha tuan dalam ziarah dan juga blog ini. Terpandang wajah-wajah mereka, seakan tersambar dengan cahaya diri ini (walaupun dari internet). Harap dapat tuan dapat buat ziarah Ulama di negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Kelantan dan NS. WS

  3. Unknown says:

    Azaky/Z Aziz:
    Terima kasih atas kesudian saudara membaca blog alfaqir yang penuh kekurangan ini.

    InsyaAllah, sekiranya ada kesempatan lain, alfaqir akan memenuhi blog ini dengan jejak-jejak 'ulama tanah melayu dan juga luar untuk tantapan kita bersama.

    semoga pembaca semua sudi mendoakan alfaqir..

  4. Unknown says:

    Assalamualaikum wbt,
    Saudara.
    Boleh berikan saya alamat dan panduan untuk ke rumah Paksu Hamid?
    Teringin juga untuk menziarahi beliau.

  5. Anonymous says:

    assalam alaik.. barakallah akhi, tp ada mcm silap sikit kat nama tok wan saya syekh taib al makki,

    nama penuh dia Taib bin Che Teh, bukan Hassan Tayyib.. ala kullihal allah yubarik fik

  6. Anonymous says:

    assalamualaikum akhi tengku ahmad saufie...salam perkenalan...boleh saya dapatkan contact saudara...saya ingin berziarah mahabbah dengan masyaikh kedah...harap dapat menambah sahabt2 di jalan Allah....email saya: zahini_saidi@yahoo.com

  7. Unknown says:

    @Ajfahurj:

    Waalaikumussalam saudara. Maaf kerana kelewatan membalas pesanan saudara.

    Adapun alamat tepat untuk ke rumah Paksu Hamid(Paksu Mid) tidak ada dalam simpanan alfaqir. Cuma, beliau menetap di Bukit Tembaga, Kedah. Beliau sering diziarahi oleh para ulama' dan mereka yang mencintai beliau.

    sekian, terima kasih.

  8. Unknown says:

    @anony:
    Waalaikumussalam saudara.

    Terima kasih atas teguran saudara.Semoga kesilapan ini tidak mengurangkan adab kami semua terhadap beliau. Insyaallah alfaqir akan membaiki catatan itu dengan segera.

    sekian, Terima kasih.

  9. Assalamualaikum dan alhamdulillah... Seronok rasanya dapat maklumat yg lain dr yg lain. Sy juga bercita-cita ingin bertemu dgn ulama2 yg masih ada ini. Insya Allah. Cumanya sy tertanya2 siapa2 aje boleh jumpa ke dgn ulama2 ni semua . Ye lah saya hanya manusia biasa tak ade nama dan sebagainya. Ke ada syarat2 tertentu nak pergi jumpa ulama ni. Nanti tak pasal2 ke marah. Klu boleh sy mmg nak pergi dgn suami ni. Jika di izin kan Allah satu hari nanti.

  10. Unknown says:

    @Nur Afiqah:
    Waalaikumussalam saudari..alhamdulillah atas nikmat Allah..bertemu dengan mereka dapat membangkitkan hati kita untuk rindu kepada Allah s w t..sesiapa sahaja boleh bertemu mereka, insyaAllah..semoga saudari dan yg lain dpt bertemu serta mengambil manfaat daripada mereka..