Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Kefahaman Tentang Tawassul - Utusan 30/11/2010

Posted by Unknown - -

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 30 November 2010

Di antara isu yang banyak menimbulkan salah faham dan membuka pintu tuduhan sesat sesama Islam ialah isu tawassul. Oleh yang demikian, bermula minggu ini kami akan menjelaskan kefahaman tawassul yang sahih pada penelitian kami. Berikut adalah premis ataupun asas pendirian kami dalam isu ini:

1. Tawassul merupakan salah satu daripada cara berdoa dan pintu untuk bertawajjuh (menghadapkan sesuatu permintaan) kepada Allah SWT kerana tujuan asal tawassul yang sebenar ialah Allah SWT. Manakala orang yang dijadikan sebagai tempat bertawassul hanyalah sebagai wasitoh (perantara) dan wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Justeru, sesiapa yang tidak beri’tiqad sedemikian adalah syirik.

2. Orang yang bertawassul tidak bertawassul dengan wasilah ini melainkan kerana perasaan kasihnya terhadap wasilah tersebut dan kepercayaannya bahawa Allah SWT mengasihi wasilah tersebut. Sekiranya tidak, sudah pasti orang yang bertawassul itu akan menjadi orang yang paling berusaha menjauhi dirinya daripada wasilah tersebut dan paling membencinya.

3. Sekiranya orang yang bertawassul beri’tiqad bahawa orang yang dijadikan perantaraan itu boleh mendatangkan manfaat dan mudharat dengan sendiri, seumpama Allah SWT, maka dia telah mensyirikkan Allah.

4. Amalan bertawassul bukanlah merupakan perkara yang lazim atau wajib. Termakbulnya permintaan seseorang itu tidak terhenti kepada amalan ini, bahkan asalnya ialah dia berdoa kepada Allah secara mutlak, sebagaimana firman Allah SWT: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka), “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka).” (al-Baqarah: 186)

Tawassul Yang Disepakati Ulama’


Tidak seorang pun dari kalangan kaum Muslimin yang berselisih pendapat mengenai pensyariatan tawassul kepada Allah melalui amalan-amalan soleh. Maka orang yang berpuasa, mengerjakan solat, membaca al Quran atau pun bersedekah, mereka bertawassul dengan amalan puasa, solat, bacaan al Quran dan sedekah yang mereka lakukan. Bahkan, ia adalah amalan yang paling diharapkan untuk termaqbulnya suatu hajat dan sebesar-besar amalan untuk tercapainya apa yang dihajati, tanpa diperselisihkan oleh mana-mana pihak.

Dalilnya, ialah hadith mengenai tiga orang pemuda yang terperangkap di dalam gua. Salah seorang daripada mereka bertawassul dengan kebajikan yang dilakukan kepada kedua ibu bapanya. Pemuda yang kedua, bertawassul dengan perbuatannya menjauhi perbuatan yang keji yang mampu dilakukannya pada waktu tersebut. Manakala pemuda yang ketiga, bertawassul dengan sifat amanah dan penjagaannya terhadap harta orang lain serta kejayaannya menunaikan tanggungjawab tersebut dengan sempurna. Maka Allah melepaskan mereka daripada kesusahan yang mereka hadapi.

Jenis tawassul ini telah diperinci dan diterangkan dalil-dalilnya (keharusannya) serta ditahqiq permasalahannya oleh Syeikh Ibnu Taimiyyah di dalam kitab-kitabnya, khususnya di dalam risalahnya yang bertajuk: Qa’idah Jalilah fi al Tawassul wa al Wasilah (Kaedah yang Besar dalam Bertawassul dan Wasilah).

Yang di Perselisihkan


Topik yang menjadi perselisihan dalam permasalahan tawassul ialah bertawassul bukan dengan amalan orang yang bertawassul, seperti bertawassul dengan zat-zat dan orang-orang tertentu. Misalnya, seseorang berkata, “Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawassul kepadaMu dengan NabiMu, Muhammad SAW”, atau “Aku bertawassul kepadaMu dengan Abu Bakar al Siddiq, atau Umar ibn al Khattab, atau Uthman, atau Ali RA.” Tawassul seperti ini ditegah di sisi sebahagian golongan.

Kami melihat, bahawa perselisihan ini berlaku hanya dari sudut zahir tawassul dan bukan dari sudut hakikatnya, kerana bertawassul dengan sesuatu zat, hakikatnya, kembali kepada tawassul seseorang manusia dengan amalannya dan tawassul ini sememangnya telah disepakati keharusannya. Sekiranya orang yang menegahnya, memerhatikan permasalahan ini dengan pandangan basirah, maka akan terbuka baginya (kesamaran) perkara ini dan permasalahan akan selesai serta fitnah yang terjadi akibat menghukum kaum Muslimin dengan kesyirikan dan kekufuran kerana salah faham tentang perkara ini, akan terhapus.

Kami akan menjelaskan, bagaimana orang yang bertawassul dengan yang lain sebenarnya bertawassul dengan amalannya yang merupakan usahanya sendiri.

Ketahuilah! Bahawa orang yang bertawassul dengan sesiapa pun jua, adalah kerana dia mengasihi orang yang dijadikan wasilah tersebut; mempercayai akan kebaikan, kemuliaan, kewalian dan kelebihannya sebagai baik sangkanya terhadap wasilah itu. Atau pun, dia bertawassul dengannya, kerana mempercayai bahawa orang tersebut mengasihi Allah dan berjihad pada jalanNya. Ataupun, kerana mempercayai bahawa orang tersebut dikasihi oleh Allah, sebagaimana firmanNya: “Dia (Allah) mengasihi mereka dan mereka juga mengasihiNya.”(al-Maaidah: 54)

Ataupun, kerana mempercayai bahawa orang yang dijadikan wasilah tersebut mempunyai kesemua ciri-ciri ini.Apabila kamu telah memerhatikan betul-betul perkara-perkara ini, kamu akan mendapati bahawa kasih,kepercayaan dan sangka baik yang menjadi asas tawassul tersebut hakikatnya adalah tetap menjadi sebahagian daripada amalan orang yang bertawassul itu. Ini kerana i’tiqadnya yang dipasakkan di dalam hatinya itu adalah sejenis amal saleh dalam Islam yang dengannya ia dinisbahkan, dipertanggungjawabkan dan diberikan pahala kepadanya.

Maka seolah-olah orang yang bertawassul itu berkata:“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mengasihi si fulan dan aku percaya bahawa dia mengasihiMu. Dia adalah orang yang ikhlas kepadaMu dan berjihad pada jalanMu. Aku juga percaya bahawa Engkau mengasihi dan meredhainya. Maka aku bertawassul kepadaMu dengan kasih dan kepercayaanku terhadapnya agar Engkau melakukan begini, begini.”

Justeru, orang yang berkata, “Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawassul kepadaMu dengan NabiMu”, dan orang yang berkata, “Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawassul kepadaMu dengan kasihku terhadap NabiMu,” adalah sama, kerana orang yang pertama tidak mempersembahkan ucapan tersebut melainkan kerana kasih dan keimanannya terhadap Nabinya. Sekiranya dia tidak mengasihi dan tidak beriman dengannya, maka sudah tentu dia tidak bertawassul dengannya. Begitu jugalah bertawassul dengan hak yang selainnya dari kalangan Awliya’ (wali-wali) umat ini.

Dengan ini jelaslah, bahawa perselisihan ini berlaku hanya pada bentuk zahirnya sahaja. Ia tidaklah sampai terjadinya perpecahan dan mengkufurkan orang-orang yang bertawassul serta mengeluarkan mereka daripada ruang lingkup Islam. “Maha Suci Engkau ya Allah! Ini adalah fitnah yang besar.”(al-Nur: 16). InsyaAllah, kita akan mendalami lagi isu ini di minggu-minggu yang mendatang.