Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Sandaran Tawassul Lepas Wafat Nabi SAW - Utusan 28/12/2010

Posted by Tengku Ahmad Saufie - -

Bertawassul Selepas Kewafatan Nabi SAW
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 28 Disember 2010

Kita menyambung bicara kita tentang tawassul dalam latar kehangatan beberapa isu-isu agama yang timbul dalam masyarakat seperti penangkapan pengikut fahaman Syiah, ancaman faham Pluralisme Agama dan fatwa tentang peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah. Di samping sikap dan pendirian majoriti umat yang tercermin antara lainnya dalam suara majoriti mufti-mufti, kedengaran juga di sana-sana suara-suara sumbang dan syadz. Ada yang mempertikaikan penggunaan undang-undang terhadap aliran menyeleweng malah ada juga ilmuwan yang bukan ulama yang cuba menghujjah bahawa Syiah bukanlah aliran yang bermasalah.

Suka kita mengambil kesempatan di sini untuk berpesan kepada diri dan para pembaca sekalian untuk berwaspada terhadap pandangan-pandangan yang menyalahi majoriti umat ini. Khalayak awam yang punya tumpuan dan kehidupan mereka masing-masing tidaklah dibebankan untuk meneliti setiap hujah dan dalil yang cuba dikemukakan. Nanti terhenti dan terganggu pula kehidupan masyarakat. Inilah rahsianya prinsip-prinsip mengutamakan ijma` ataupun suara majoriti umat (sawad al-a`zam) dalam Islam. Umat Nabi Muhammad SAW tidak akan bersepakat atas suatu yang batil. Bagi orang awam, cukuplah sandarannya untuk menolak pandangan mereka ini dengan bersandar dengan sekian ramai para ulama dan ilmuwan Islam lain yang bersama suara majoriti. Menganggap bahawa semua mereka ini jahil, leka, tersalah ataupun sudah dibeli oleh kepentingan duniawi adalah suatu sikap prasangka yang melampau terhadap Islam dan Umat Islam.

Mungkin dalam isu bertawassul ini juga suara-suara yang sama akan membangkang pandangan majoriti yang sedang kami bentangkan. Semoga kita sentiasa ditawfiqkan untuk memakai pandangan yang terbaik. Bertawassul selepas kewafatan Nabi SAW memang ada sandarannya. Antaranya, telah meriwayatkan Ibnu Abi al Dunya di dalam kitab Mujabi al Du’a’, katanya: “Telah menyampaikan kepada kami Abu Hasyim, aku mendengar Kathir ibn Muhammad ibn Kathir ibn Rifa’ah berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Abdul Malik ibn Sa’id ibn Abjar, lalu dia memerhatikan perutnya dan berkata, “Kamu mengidap satu penyakit kronik yang sukar untuk sembuh.” Katanya, “Penyakit apakah yang aku hidapi?” Jawabnya, al Dubailah; iaitu kanser dan bisul besar yang tumbuh di dalam perut. Biasanya, ia boleh meragut nyawa orang yang mengidapnya.” Beliau berkata, “Maka lelaki itu berpaling dan berdoa:

“Allah, Allah, Allah adalah Tuhanku, aku tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawajjuh kepadaMu dengan NabiMu; Muhammad; Nabi pembawa rahmat SAW, wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu dan Tuhanku agar Dia merahmatiku (dengan menyembuhkan) penyakit yang menimpaku.” Ibnu Rifa’ah berkata, “Abdul Malik ibn Said menyentuh perut lelaki itu, lalu berkata, “Kamu telah pun sembuh dan penyakit itu tidak ada lagi padamu.”

Berkata Ibnu Taimiyyah: Doa ini dan doa lain yang sepertinya, telah diriwayatkan, bahawa ia telah digunakan oleh Salaf. (Ibnu Taimiyyah, Qa’idah Jalilah fi al Tawassul wa al Wasilah H: 91)

Kita sedia maklum, bahawa Ibnu Taimiyyah mengetengahkan hadith ini untuk menjelaskan maksudnya dan memfokuskannya sepertimana yang dikehendakinya. Namun, yang penting bagi kita di sini ialah pengakuannya bahawa Salaf telah menggunakan doa sedemikian dan terhasilnya penyembuhan dengan doa tersebut. Inilah ketetapan dari permasalahan ini yang penting bagi kita. Adapun ta’liq (komen)nya ke atas hadith ini, ia hanya pendapatnya sahaja. Bagi kami, itu tidak penting kecuali adanya penetapan nas untuk dijadikan dalil atas apa yang kami inginkan, dan Syeikh Ibnu Taimiyyah juga berhak menggunakan hadith tersebut sebagai dalil sebagaimana yang diingininya.

Sebahagian daripada mereka berbunyi dan bersuara lantang mengenai hadith Tawassul Nabi Adam AS dan hadith Uthman ibn Hunaif RA dan lain-lainnya. Mereka beriya-iya menolaknya dengan segala kekuatan, berdebat, berdialog, berdiri dan duduk serta melakukan bermacam-macam cara. Semua yang mereka lakukan tidak ada faedahnya kerana walau bagaimana hebat sekali pun usaha mereka untuk menolak hadith-hadith yang berkaitan dengan bab ini, ulama’ besar terlebih dahulu telah pun mengemukakan pendapat mereka. Ternyata ulama’-ulama’ besar tersebut lebih sempurna akalnya, lebih luas ilmunya, lebih jauh pengalamannya, lebih dalam kefahamannya dan lebih banyak cahaya, ketaqwaan dan keikhlasannya daripada mereka. Misalnya, Imam Ahmad ibn Hanbal RH. Beliau berkata mengenai keharusan bertawassul sebagaimana yang dinaqalkan daripadanya oleh Ibnu Taimiyyah dan al ‘Iz Ibnu Abdul Salam. Ibnu Taimiyyah sendiri menyatakan di dalam salah satu pendapatnya tentang keharusan bertawassul secara khusus dengan Nabi SAW. Kemudian diikuti pula, oleh Muhammad ibn Abdul Wahhab yang menafikan tuduhan bahawa dia mengkafirkan orang yang bertawassul. Bahkan, jelas di dalam kitab Fatawanya, beliau menegaskan bahawa tawassul hanyalah menyentuh masalah cabang agama dan bukannya berkaitan tentang masalah usul. Semuanya ini akan diperincikan di dalam kitab Mafahim yang kita bentangkan sedutannya di sini, insya Allah.

Dalam hal ini, Syeikh al Allamah al Muhaddith Abdullah al Ghumari telah menulis sebuah risalah khusus yang membicarakan tentang hadith ini yang diberi tajuk: Misbah al Zujajah fi Fawaid Solat al Hajah. Beliau telah mengupasnya dengan kupasan yang amat baik dan berguna, bahkan telah menghasilkan sesuatu yang mampu menyembuhkan dan mencukupkan pelbagai keperluan. Semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik balasan.
Bertawassul Dengan Nabi Di Hari Mahsyar

Berkenaan bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW di Padang Mahsyar pada hari Kiamat, tidak perlu dipanjangkan lagi kerana hadith-hadith mengenai syafa’at Baginda SAW sampai ke darjat mutawatir. Semuanya terdapat nas-nas yang jelas menerangkan bahawa apabila orang yang berada di Padang Mahsyar merasakan begitu lama penantian dan betapa peritnya penderitaan yang mereka hadapi, mereka meminta pertolongan untuk melepaskan diri daripada bebanan tersebut dengan para Nabi. Maka mereka meminta pertolongan kepada Nabi Adam AS, kemudian Nuh AS, kemudian Ibrahim AS, kemudian Musa AS, dan kemudian Isa AS. Maka Nabi Isa AS mencadangkan supaya mereka beralih pula kepada penghulu segala Rasul, Nabi Muhammad SAW. Apabila mereka meminta pertolongan dengan Baginda SAW, Baginda SAW bersegera menolong mereka dan menunaikan permintaan mereka. Baginda SAW bersabda, “Akulah yang layak memberikan pertolongan. Akulah yang layak memberikan pertolongan.” Kemudian Baginda SAW menyungkur sujud dan berterusan dalam keadaan sedemikian hingga diseru, “Angkatlah kepalamu dan mintalah keizinan untuk memberi syafa’at, engkau akan diizinkan untuk memberi syafa’at.”

Menurut ijma’ daripada para Nabi dan Rasul, sekalian kaum Mukminin dan pengakuan daripada Tuhan sekalian alam, memohon pertolongan ketika terjadi suatu bencana dengan ahli muqarrabin yang besar, merupakan antara kunci kejayaan dan pelepasan yang terbesar dan antara perkara-perkara yang mewajibkan seseorang mendapat keredhaan Tuhan sekalian alam.