Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Bertawassul Dengan Maqam Baginda s.a.w. - Utusan 8/3/2011

Posted by Unknown - -

Pada minggu ini kita melihat pula perbuatan para Sahabat RA yang bertawassul dengan maqam Nabi SAW. Perbuatan mereka ini boleh dijadikan sandaran bahawa ia bukanlah suatu kesalahan dan menjernihkan lagi kefahman kita tentang Tawassul ini.

Berkata al-Imam al-Hafiz al-Darimi di dalam kitabnya al-Sunan, Bab: Kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW selepas kewafatannya: Pada suatu masa, penduduk Madinah ditimpa kemarau yang dahsyat. Maka mereka mengadu kepada Sayyidah Aisyah RA, lalu Sayyidah Aisyah RA berkata, “Perhatikanlah maqam Rasulullah SAW. Maka buatlah sebuah tingkap menghadap ke arah langit hingga tiada satu atap yang menghalang di antara maqamnya dengan langit.”

Aus ibn Abdullah berkata, “Maka mereka pun membuat tingkap tersebut. Lalu selepas itu, kami diturunkan hujan hingga rumput-rumput tumbuh dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk, (seolah-olah) badannya pecah kerana banyaknya lemak. Maka tahun itu dinamakan Tahun al¬-Fatq (binatang gemuk dan berlemak). (Sunan al-Darimi Jld 1, H: 43)

Inilah yang dinamakan bertawassul dengan Maqam Baginda SAW. Bukan kerana ia adalah kubur semata-mata tetapi kerana di dalamnya disemadikan jasad makhluk yang paling mulia dan kekasih Tuhan semesta alam. Maka ia mendapat kemuliaan kerana berhampiran dengan Baginda SAW dan layaklah ia mendapat kedudukan yang mulia.

Jika dikaji sanad hadith ini maka kita dapati ia tidak mengapa.(untuk digunakan). Bahkan di sisi saya, sanadnya adalah amat baik. Ia telah diterima baik oleh ulama’ dan mereka telah menjadikan sanad seperti ini sebagai pendukung kepada hadith yang lain, bahkan dengan sanad yang mempunyai kriteria yang lebih rendah daripada itu.

Sebahagian ulama’ berkata bahawa athar ini mauquf (terhenti atau disandarkan) kepada Aisyah, dan beliau adalah seorang sahabat, sedangkan perbuatan sahabat tidak boleh dijadikan sebagai hujjah.

Jawapannya ialah, sekalipun bertawassul dengan maqam Rasulullah SAW hanyalah lahir dari idea ‘Aisyah, namun beliau adalah seorang yang terkenal dengan keluasan dan kesaratan ilmunya dan beliau melakukan perbuatan tersebut di Madinah; di tengah-tengah ulama’ yang terdiri daripada sahabat yang hebat-hebat.

Kisah ini sudah cukup bagi kami menjadikan dalil bahawa Sayyidah ‘Aisyah, Ummul Mukminin mengetahui bahawa Rasulullah SAW tetap mengasihi dan memberikan pertolongan kepada umatnya selepas kewafatannya. Orang yang menziarahinya dan memohon syafa’at dengannya pasti akan diberikan syafa’at sebagaimana yang dilakukan oleh Ummul Mukminin. Perbuatannya ini tidak termasuk di dalam kategori amalan syirik atau salah satu jalan menuju kesyirikan sebagaimana anggapan salah golongan yang mempermudahkan urusan mengkafirkan dan menyesatkan orang lain. Sesungguhnya ‘Aisyah dan orang yang menyaksikannya bukanlah orang yang buta dan jahil tentang kesyirikan.

Kisah ini membatalkan hujjah mereka yang suka mengkafirkan dan menyesatkan golongan yang mengharuskan bertawassul dengan Nabi SAW selepas kewafatannya. Kisah ini telah menegaskan bahawa Nabi SAW tetap mengambil berat dan prihatin tentang keadaan umatnya di dalam maqamnya sekalipun telah wafat. Telah diriwayatkan bahawa Sayyidah ‘Aisyah RA pernah berkata:

“Pada suatu ketika, aku masuk ke dalam rumahku yang terdapat maqam Rasulullah SAW dan ayahandaku di dalamnya dan aku tidak menutup auratku di situ, dan aku berkata, “Tidak mengapa kerana yang ada hanyalah suami dan ayahandaku.” Setelah Umar ibn al Khattab  dikebumikan di samping maqam Rasulullah SAW dan ayahandaku, maka demi Allah! Aku tidak pernah masuk ke dalamnya melainkan dalam keadaan menutup aurat kerana malu dengan Umar RA.” (riwayat Ahmad, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Haithami mengatakan dalam Majma` al-Zawaid bahawa rijalnya sahih). ‘Aisyah tidak melakukan suatu perkara yang batil. Tetapi dia mengetahui bahawa Nabi SAW dan kedua orang temannya mengetahui siapakah insan yang berada di sisi kubur mereka.

Pada Zaman Pemerintahan Umar RA

Kita juga ada contoh tawassul yang terjadi di maqam Rasulullah SAW di zaman khilafah Saidina Umar RA yang terkenal dengan kefaqihan dan ketegasannya. Beliau tidak pula memarahi atau mempersalahkan perbuatan tersebut. Al-Hafiz Abu Bakar al-Baihaqi meriwayatkan: “Pada zaman pemerintahan Umar ibn al Khattab RA, orang ramai ditimpa kemarau panjang. Maka seorang lelaki pergi ke maqam Rasulullah SAW, lalu berkata, “Wahai Rasulullah! Mintalah Allah menurunkan hujan kepada umatmu kerana mereka semuanya telah menderita.” Maka Rasulullah SAW datang di dalam tidurnya dan bersabda, “Pergilah kamu menemui Umar RA dan sampaikan salamku kepadanya. Khabarkanlah kepadanya, bahawa mereka semua akan diturunkan hujan. Katakanlah kepadanya, “Hendaklah kamu melakukan perkara yang baik dan bersifat bijaksana (dalam urusan umat).”

Maka lelaki itu menemui Sayyiduna Umar RA dan menceritakan kepadanya tentang hal tersebut. Lalu Umar RA berkata, “Wahai Tuhanku! Aku tidak akan melengahkan-lengahkan urusan umat kecuali apa yang tidak terdaya aku lakukannya.” Isnad hadith ini adalah sohih. Ibnu Abi Syaibah juga telah meriwayatkan hadis yang serupa dengan sanad yang sohih. Saif telah meriwayatkan di dalam al-Futuh: Orang yang bermimpi melihat Rasulullah SAW ialah Bilal ibn al Harith al Muzani, seorang sahabat. Ibnu Hajar berkata: Sanad hadith ini adalah sohih. (Fath al-Bari, jld 2, H. 415)

Tidak seorang pun daripada imam-imam yang meriwayatkan hadith ini dan orang-orang selepas mereka yang membaca karangan-karangan mereka di kalangan imam hadith mengatakan, bahawa bertawassul dengan maqam Nabi SAW adalah kufur dan sesat. Bahkan, tidak seorang pun di antara mereka yang melemahkan hadith tersebut. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Hajar al ‘Asqalani dan beliau mensohihkan sanadnya sebagaimana yang telah lepas. Beliau adalah orang yang mempunyai ilmu, kelebihan dan kedudukan di antara ahli hadith yang tidak perlu lagi dijelaskan dan diselidiki.