Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Salah Faham Terhadap Syafa`at - Utusan 12/4/2011

Posted by Unknown - -

Alhamdulillah, sesudah kita menamatkan perbahasan mengenai isu Tawassul, pada minggu ini, dengan memohon tawfiq dan inayah Ilahi, kita akan usaha kita memurnikan salah faham terhadap isu-isu agama dengan beralih kepada isu Syafa`at. Seperti sebelumnya, pendekatan yang kita ambil adalah dengan merujuk kepada huraian pandangan Al-`Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid `Alawi al-Maliki dalam bukunya Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib diPerbetulkan).


Usaha kami ini sangat sederhana dalam menyumbang kepada tugas yang berat dan besar iaitu mempertahankan agar aliran kefahaman agama Islam di negara kita dapat dikekalkan atas fahaman Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Sedangkan pihak-pihak yang mahu menukarkannya kepada aliran-aliran fahaman lain terus berusaha dengan menggunakan pelbagai ruang media arus perdana dan alternatif, menganjurkan seminar kecil dan besar, didokong dengan dana luar dan dalam, demi menghakis keutuhan fahaman Islam di Malaysia yang sangat dicemburui. Kita hanya mampu berdoa bahawa usaha kita yang tidak setanding dengan cabaran yang ada, akan ditampung dan ditimbal dengan rahmat dan inayah Ilahi kepada kita semua. Amin.

Syafa’at bermaksud pertolongan atau bantuan. Dalam konteks perbincangan kita, isu Syafa’at merujuk kepada perbahasan yang timbul berkenaan seseorang yang memohon pertolongan dan bantuan kepada selain daripada Allah SWT khususnya memohon Syafa’at daripada Rasulullah SAW. Sebahagian orang berpendapat bahawa tidak boleh memohon syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW di dunia. Bahkan, menurut sebahagian orang yang gemar menimbulkan kekeliruan, bahawa memohon syafa’at adalah perbuatan syirik dan sesat.


Dalil yang mereka gunakan untuk mempertahankan pendapat mereka yang salah itu ialah firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad) hanya milik Allahlah semua syafa’at.” (al-Zumar: 44). Kita menegaskan bahawa kaedah penggunaan dalil mereka ini adalah batil, dan ternyata menunjukkan kepada kefahaman mereka yang rosak. Kesalahan mereka ini boleh dibuktikan dari dua aspek:

  • Pertama:Hakikatnya, tidak terdapat di sana mana-mana nas; sama ada dari al-Quran, mahupun Sunnah yang melarang memohon syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW di dunia.
  • Kedua: Ayat ini sama sekali tidak menunjukkan kepada larangan memohon Syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW di dunia (dan di akhirat). Sebaliknya, seperti ayat-ayat lain yang seumpamanya, ayat ini diturunkan bagi menjelaskan pengkhususan Allah SWT dengan apa yang dimilikiNya dan tidak dimiliki oleh orang lain (makhluk). Maknanya, Allah adalah Pengurus urusan Syafa’at yang hanya khusus bagiNya. Namun, ini tidak menafikan bahawa Dia juga berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya, apabila Dia menghendakinya. Dia adalah Pemilik kerajaan, yang berhak memberikan kerajaan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan menarik kekuasaan atau kerajaan itu daripada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.

Ayat lain yang seumpama dengan ayat Syafa’at ini ialah firman Allah SWT: “BagiNya segala Kerajaan, dan bagiNya juga segala pujian.”(al-Taghaabun:1) Allah menyifatkan diriNya sebagai Pemilik Kerajaan, tetapi Dia juga dengan tegas menyatakan: “Engkau memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.”(Aali Imran:26)


Sama seperti dalam ayat mengenai Syafa’at di atas, ayat-ayat ini menisbahkan segala kerajaan dan kekuasaan kepada Allah SWT. Dalam ayat lain mengenai pemilik `Izzah atau kemuliaan Allah SWT berfirman: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatNya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya, orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) adalah bagi mereka azab seksa yang berat, dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa.” (al-Faatir:10) Tetapi di tempat lain dalam al-Quran, Allah SWT juga berfirman: “Dan milik Allahlah kemuliaan itu dan bagi rasulNya serta bagi orang-orang yang beriman.”(al-Munafiqun:8)


Begitu jugalah dalam permasalahan syafa’at. Allah SWT berfirman:“Katakanlah (wahai Muhammad) hanya milik Allah (memberi) syafa’at itu semua.”(al-Zumar: 44) Namun, Allah SWT juga berfirman, “Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafa’at, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah Yang Maha Melimpah-ruah rahmatNya.” (Maryam: 87). Dalam satu ayat yang lain Allah SWT berfirman: “Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafa’at pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang sebenar-benarnya, mereka mengetahuinya dengan yakin.” (al-Zukhruf: 86) Maka jelasnya, sebagaimana Allah SWT berhak memberikan apa saja, kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya, bahkan Dia juga memberikan ‘kemuliaan’ yang menjadi milikNya kepada rasulNya, dan kepada orang-orang Mukmin, demikian jugalah dengan Syafa’at. Dialah yang memiliki Syafa’at itu sepenuhnya; tetapi Dia juga telah memberikan (hak memberi) Syafa’at itu kepada para Nabi dan hamba-hambaNya yang soleh. Bahkan, kepada kebanyakan orang Mukmin awam, sebagaimana yang disebut di dalam hadith-hadith sohih yang mutawatir makna.

Lalu, halangan bagaimanakah lagi yang menghalang seseorang manusia memohon kepada Allah Yang Maha Memiliki, sebahagian daripada apa yang dimilikiNya? Lebih-lebih lagi, jika yang dipohon itu adalah kepada Yang Maha Pemurah, sementara yang memohon itu pula dalam keadaan sangat memerlukan kepada apa yang dipohonnya. Bukankah memohon Syafa’at itu merupakan doa, dan doa itu pula suatu perkara yang diizinkan untuk melakukannya, diupayakan ke atasnya, bahkan akan dikabulkan daripada orang-orang yang beriman, lebih-lebih lagi jika yang berdoa itu adalah para nabi dan orang-orang soleh; baik semasa hidup mahupun setelah wafat; baik ketika mereka berada di alam kubur (alam barzakh), mahupun ketika hari Kebangkitan. Justeru, Syafa’at akan diberikan kepada hamba-hamba Allah yang memang telah membuat perjanjian dengan Allah Yang Maha Pemurah (bahawa Tuhan mereka adalah Allah) dan akan diterima di sisi Allah pada setiap insan yang mati dengan membawa tauhid.

Di awal-awal bicara kita ini sudah terbayang bagi kita bahawa adalah terlalu gopoh dan cuai untuk kita menghukum sesat atau syirik sesama Islam hanya kerana memohon Syafa’at kepada Nabi SAW ataupun orang-orang soleh. Semoga kita di beri kekuatan untuk menyempurnakan perbahasan isu ini.