Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Tiada Tasawuf Jika Tiada Syari'at!

Posted by Unknown - -

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Pengamal ajaran sebenar tak akan lakukan perbuatan bercanggah hukum syarak

ISU ajaran sesat bukanlah satu perkara asing dalam kehidupan umat Islam kerana ia datang seiringan dengan kehidupan manusia. Namun, masih ramai di kalangan umat Islam mudah terjebak dengan fenomena ajaran sesat.

Sehingga kini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyenaraikan 125 kumpulan ajaran sesat yang bertapak di negara ini, sebahagian besarnya berselindung di sebalik ajaran tarekat dan tasauf yang terkenal.

Pada hal tasauf menurut perspektif Islam adalah satu kaedah tertentu untuk mendekatkan diri kepada Allah. Al-Sya’rani mendefinisikan tasauf sebagai ilmu yang terhasil di dalam hati wali apabila mereka mempraktikkan al-Quran dan sunnah.

Sebagaimana ilmu yang terhasil daripada ulama fekah, setiap amalan yang dilakukan dengan panduan kedua-duanya akan menghasilkan pelbagai ilmu, adab, rahsia dan hakikat yang tidak dapat diungkapkan secara lisan dengan syarat amalan itu bebas daripada kecacatan dan kehendak hawa nafsu.

Tarekat pula menurut huraian ulama tasauf mempunyai beberapa pengertian iaitu umum, khusus dan lebih khusus. Pengertian yang umum bagi tarekat itu merujuk kepada jalan agama Allah iaitu jalan Islam itu sendiri. Ibn Khaldun menggunakan perkataan tarekat dengan makna ini.

Beliau menjelaskan asal ilmu tasauf itu ialah tarekat kaum sufi di sisi golongan terdahulu daripada umat ini dan pemimpinnya daripada kalangan sahabat, tabi’in dan golongan selepas mereka adalah tarekat kebenaran dan hidayah. Asal tarekat ialah tekun beribadah, menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah, berpaling daripada perhiasan duniawi, bersifat zuhud terhadap apa yang dicari oleh orang ramai yang berupa kelazatan, harta dan pangkat serta menyendiri daripada makhluk dalam bersendirian untuk beribadat.

Pengertian khusus bagi tarekat pula ialah tata cara yang khusus atau himpunan adab dan ajaran yang diamalkan sesuatu kumpulan ahli tasauf. Tarekat dengan pengertian yang lebih khusus pula ialah perjalanan dan peningkatan tahap kejernihan rohani manusia dengan menempuh pelbagai halangan, melalui pelbagai peringkat dan maqam dan merasai pelbagai hal kerohanian.

Kadang-kadang, sesuatu ajaran tarekat dinamakan dengan nama pengasasnya sendiri, kemudian digabungkan dengan nama kumpulan tarekat yang terkenal di kalangan umat Islam sebagai satu pendekatan untuk mengaburi pandangan umat Islam mengenai ajaran dan kumpulan tarekat yang didukung itu, sedangkan pada hakikatnya terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Di antara ciri-ciri kesesatan yang menghiasi ajaran tarekat yang menyeleweng adalah pegangan terhadap istilah tasauf yang secara terang-terangan bercanggah dengan syarak di samping istilah falsafah, kebatinan dan takwil tasauf yang menyimpang jauh daripada kebenaran terhadap persoalan akidah dan ibadah.

Di samping itu, ajaran tarekat itu juga menganjurkan pengikutnya agar meringankan atau tidak melaksanakan amalan ibadat dan kewajipan syarak yang dituntut. Begitu juga pengikut ajaran tarekat yang sesat tidak segan silu melakukan maksiat. Lebih jauh dari itu, ajaran tarekat yang sesat juga membentuk gerakan politik bawah tanah yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan umat Islam.

Abu Yazid al-Bistami, seorang tokoh terkenal dalam bidang tasauf menjelaskan bahawa ada hubungan rapat antara syariat dan tasauf sehingga tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Menurutnya, syariat itu adalah asas utama yang diperlukan dan tidak boleh ditinggalkan dalam perjalanan menuju kepada Allah.

Beliau pernah berkata, jika kamu melihat seorang lelaki yang diberikan kekeramatan sehingga dia terbang di udara, maka janganlah kamu terpedaya dengannya sehinggalah kamu melihat bagaimana keadaannya atau sifatnya di sisi perintah dan larangan Allah, menjaga sempadannya dan menunaikan syariat.

Beliau juga dikatakan pernah mengajak anak muridnya untuk menemui seorang lelaki yang memasyhurkan dirinya dengan kewalian dan kezuhudannya. Apabila orang itu keluar dari rumahnya dan memasuki masjid, lalu dia meludah ke arah kiblat, tiba-tiba Abu Yazid berpaling meninggalkannya dan tidak mengucapkan salam kepadanya seraya berkata, “Bagaimana dia boleh dipercayai terhadap apa yang didakwanya itu”.

Pada umumnya, setiap insan ingin mendekatkan dirinya kepada Tuhannya. Begitu juga, dalam kehidupan dunia, seorang anak akan berasa senang bila berada dekat dengan kedua-dua orang tuanya.

Oleh kerana itulah, pengamal tasauf haruslah orang yang bersih hatinya, suci perbuatan dan tingkah lakunya daripada hal yang subahat apatah lagi perkara haram, serta tidak terpesona dengan segala urusan dunia. Bagi pengamal tasauf, dunia hanyalah jambatan menuju Allah.

Demikian pengertian sebenar tasauf dan tarekat, jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, setiap Muslim wajib berhati-hati dengan ajaran sesat yang bertopengkan tasauf dan tarekat yang semakin bercambah. Marilah sama-sama kita kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah dalam usaha kita menjejaki keredaan Ilahi dunia akhirat.


*sumber ~epondok~