Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Akhlak Membangunkan Ummah

Posted by Unknown - -


Sifat sabar Rasulullah bolehkan syiar agama dapat dinikmati umat Islam seluruh dunia



ASAS yang dilakukan Rasulullah SAW ketika membina masyarakat Islam selepas peristiwa Hijrah ialah dengan membentuk akhlak mulia. Umum tahu bukan mudah menyatupadukan banyak hati, tetapi ia dilakukan Rasulullah dengan baik meskipun ada cabarannya kerana akhlak yang Baginda tonjolkan menjadi pengajaran paling berkesan berbanding keyakinan yang diberikan sahabat di sekelilingnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Sejarah membuktikan bahawa keperibadian yang mulia membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya. Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah dan keperibadiannya adalah dengan menonjolkan akhlak yang mulia sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan di dalam al-Quran. Tanpa apa-apa kepentingan di dunia, Baginda memimpin orang-orang kanannya dengan keluhuran Islam, ada wahyu Baginda sampaikan, ada kebuntuan Baginda sama berbincang.

Laba daripada inilah yang menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti, bukan kepentingan diri.

Baginda tahu bahawa akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya agama dan tamadun, inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW. Di dalam surah Al-Ahzab, Allah SWT berfirman di dalam ayat ke 21: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu. “Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud” “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik”.

Satu cara untuk membentuk akhlak mulia ialah dengan pendidikan ‘contoh teladan’ yang baik. Setiap individu harus memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga, suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai model contoh. Antara aspek terpenting yang harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran dan tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar.

Di antara akhlak mulia Rasulullah kepada sahabatnya ialah bersifat ’siddiq’ atau benar. Sifat ini meliputi semua perbuatan, perkataan dan gerak hati. Tidak ada sekelumit pun dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang lain semata-mata atau melakukan sesuatu perbuatan yang bukan saja mengundang kesusahan dan penderitaan kepada orang lain tetapi juga kemurkaan Allah SWT.

Hari ini, kebanyakan kepincangan dalam urusan pentadbiran, hatta dalam institusi kekeluargaan sekalipun adalah disebabkan oleh sikap ‘tidak benar’ yang menjadi taruhan demi kemenangan di dunia.

Selain itu, sabar dalam semua keadaan adalah perkara yang paling mudah tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk oleh Rasulullah sehingga dikagumi sahabat dan musuh ketika hayatnya, bahkan tidak tergambar oleh kita hari ini kesabaran Rasulullah sebenarnya yang menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda dan akhirnya dapat dinikmati oleh seluruh Muslim pada hari ini.

Menghadapi fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk tentulah sukar ditepis, apatah lagi fitnah terhadap Rasulullah, tetapi, daripada api yang asalnya sukar dihidupkan, fitnah akhirnya menjadi bara yang tidak padam-padam. Sehingga ke hari ini Rasulullah SAW masih menjadi bahan jenaka dan cacian golongan kuffar, tetapi Islam tetap rendang menaungi, kerana sikap sabar yang Baginda tinggalkan menjadi ‘tuan’ kepada khalayak nafsu.

Satu sifat yang mulia yang ditonjolkan oleh Rasulullah juga ialah sifat pemaaf terhadap kesilapan yang dilakukan sahabat dan musuh serta mudah bertolak-ansur dan tidak pernah marah melainkan kesalahan itu dilakukan kepada Allah SWT. Sifat ini tentulah pernah dilakukan oleh semua orang tetapi ada kala ia tidak dapat dilakukan dalam semua atau setiap kesalahan. Tetapi Rasulullah tidak pernah melemahkan diri dengan menghukum orang lain ataupun tenggelam oleh rasa marah yang mengawal akal. Ketenangan Baginda juga menggambarkan peribadi yang baik dan menunjukkan personaliti yang disukai ramai.

Rasulullah mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah dan itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam yang begitu unggul sifatnya, beriman dan bertakwa serta cenderung dan mencintai kebaikan. Kegagalan dalam membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini, seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Rumi ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad baru, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak memandangkan masalah sosial timbul selari dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia. Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredai oleh Allah SWT. Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei: ‘Hanya saja bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap maka lenyap pulalah bangsa itu’.


*sumber ~epondok~

One Response so far.

  1. sakinah_gurlz says:

    Assalamualaikum...

    Akhlak yang mulia mencerminkan keperibadian diri seorang muslim...Rasulullah jg menggunakan method akhlak mulia sebagai cara untuk berdakwah.So, jagalah akhlak,insyaAllah Islam akan dipandang mulia oleh penganut agama lain...wallahua'lam...