Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Salam Pengkhabaran Dariku Untuk Semua~

Posted by Unknown - -

Bismillahi Wassolatu Wassalam 'ala Rasulillah~






Segala puji bagi Allah yang telah mengatur alam ini dengan sebaik-baik aturan. Selawat dan beribu salam diucapkan keatas junjungan mulia yang lahir pada 12 Rabi'ul awwal ini, kekasih yang mengasihi orang yang mengasihinya, dan manusia yang paling agung dan indah, iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Dan kepujian diucapkan keatas keturunan Baginda S.A.W. yang suci, dan juga keatas para Sahabat R.A yang menjadi manusia beruntung kerana dapat bersama Baginda S.A.W.


Assalamualaikum diucapkan kepada para pengunjung yang sudi menziarahi blogku yang serba kekurangan ditambah pula kekerdilan ini..
Setelah sekian lama berjauhan dengan kemudahan teknologi yang menjadi perantara komunikasi terpenting alaf ini, "INTERNET", akhirnya Alhamdulillah dapat juga ku menghilangkan 'ketagihan' dengan melahap semua info-info, berita-berita, khabar-khabar daripada jaringan internet ini. Yang penting, tidak lupa juga, dapatlah aku mengupdatekan blogku yang serba kekurangan ini yang telah hampir 2 bulan tersadai di tepi pantai tak indah ini.

'Ala kulli hal,
walaupun aku tidak sempat mengucapkan "selamat hari lahir" kepada Baginda S.A.W. didalam blogku ketika hampir semua bloggers yang bukan "pembenci Nabi" mengucapkannya, tetapi bukanlah bermakna aku tidak dapat mengucapkannya di blogku sekarang walaupun telah hampir dua minggu masa berlalu, dan penghujung bulan Rabi'ul Awwal.
Ini kerana, kita boleh menyambut kegembiraan dengan munculnya Baginda S.A.W. yang membawa risalah yang mulia pada tiap-tiap masa, bergantung kepada tahap cinta seseorang itu kepada Rasulullah S.A.W.

Kita telah dibiasakan dengan mengkhususkan sambutan maulid Baginda S.A.W. pada setiap 12 Rabi'ul awwal tiap-tiap tahun, dengan pelbagai sambutan termasuklah berarak sambil berselawat. Akan tetapi, disana juga terdapat para Ulama' yang menyambut maulid Baginda S.A.W. sekali setiap bulan sepanjang tahun. Bahkan ada yang menyambut setiap hari Isnin dan Khamis setiap tahun untuk membesarkan Baginda S.A.W.
Baginda sendiri menyambut hari kemaulidan Baginda S.A.W. dengan sentiasa berpuasa setiap hari Isnin. Itulah yang dijawab oleh Baginda S.A.W. ketika ditanyakan sahabat, "Wahai Rasulullah, kenapa kamu sentiasa berpuasa setiap hari Isnin?". Maka jawab Baginda menjawab, "Aku berpuasa kerana hari itu aku dilahirkan". Walaupun cara Baginda S.A.W. menyambutnya dengan berpuasa, tapi ini menunjukkan dalil bahawa menyambut tarikh dan hari kelahiran Baginda S.A.W. adalah tidak salah.
Dalam hati orang yang mengasihi Baginda S.A.W., mereka sentiasa menyambut Baginda S.A.W. setiap hari dan setiap ketika. Mereka sentiasa mengingati Baginda S.A.W. dan sentiasa mengagungkan Baginda S.A.W. dalam tingkah laku serta percakapan mereka. Apabila mereka berkata berkenaan Baginda S.A.W., bagaikan mereka pernah sezaman dengan Baginda S.A.W., bagaikan mereka bersua muka dengannya yang mulia.

Berkata seorang sahabat R.A yang dilantik sebagai penyair Baginda S.A.W., yang mempunyai mimbar sendiri di Masjid Nabawi, khusus untuk menyampaikan syair-syair pujian terhadap Baginda S.A.W., iaitu Sayyidina Hassan ibn Tsabit R.A.:

و أجمل منك لم ترى قط عين

و أكمل منك لم تلد النساء

خلقت مبرأ من كل عيب

كأنك قد خلقت كما تشاء

Maksudnya:

Keindahanmu tidak pernah sama sekali dilihat,
Kesempurnaanmu tidak pernah dilahirkan oleh wanita lain,
Telah dicipta diri kamu bebas dari segala ke'aiban,
Bagaikan kamu dicipta dengan kehendak kamu sendiri.


Begitu indah syair pujian sahabat Rasulullah S.A.W. yang diungkap. Para sahabat memuji Baginda S.A.W. dalam bentuk-bentuk syair kerana syair itu sesuatu yang indah, maka mereka menggunakan syair sebagai cara memuji dan mengagungkan Baginda S.A.W.
Begitu juga dengan para ulama' yang mengikuti jejak kasih yang mereka tinggalkan. Mereka, iaitu para ulama', telah mengambil waris tersebut dan terus dibawa sehingga zaman sekarang. Merekalah pewaris Baginda S.A.W. yang sentiasa didalam hati mereka penuh kecintaan terhadap Baginda S.A.W.
Diantara mereka adalah, Al-Imam As-Sheikh Sidi 'Abdul Ghani Analbusi melalui syair beliau yang berbunyi:

لو أبصر الشيطان طلعة وجهه
في وجه آدم كان أول من سجد

أو لو رأى النمرود نور جماله
عبد الجليل مع الخليل ولا عند

لكن جمال الحق جل فلا يرى
إلا بتخصيص من الله الصمد


Maksudnya:

Sekiranya syaitan melihat munculnya nur(nur Muhammad,
Pada wajah Nabi Adam, nescaya merekalah yang pertama sujud,

Sekiranya melihat raja namrud akan keindahan nur tersebut,
Nescaya dialah akan menjadi Hamba Allah dan tidak mengingkari Al-Khalil(Nabi Ibrahim),

Akan tetapi keindahan tersebut tidak dapat dilihat,
Melainkan kepada mereka yang dikhususkan dan dikehendaki oleh Allah.


Ahh, alangkah tingginya cinta mereka terhadap Baginda S.A.W. Amat beruntunglah mereka yang dipilih untuk mempunyai rasa cinta terhadap KekasihNya, dan cinta tersebut pula terbalas. Siapa yang tidak pernah terlintas untuk mendapat cinta dari Allah dan KekasihNya? Rugilah bagi mereka yang tidak pernah menanam rasa cinta walaupun hanya sebesar satu zarah, dan yang mempertikaikan cinta kepada Baginda S.A.W.

Sesungguhnya Baginda S.A.W. sentiasa menyintai umatnya, sentiasa di bibir Baginda S.A.W. dengan menyebut "ummati, ummati, ummati" yang bermaksud ummatku, ummatku, ummatku. Baginda pernah bersabda, "Akan datang suatu zaman mereka yang menyintaiku". Lalu para sahabat bertanya, "Adakah kami wahai Rasulullah?". Jawab Baginda S.A.W, "Bukan, kamu adalah sahabatku". Sahabat kehairanan, lalu bertanya, "Maka, siapakah mereka Ya Rasulullah?". Baginda lalu memberi gambaran golongan tersebut dengan menjawab, "Mereka adalah orang yang tidak sezaman denganku, tidak pernah melihatku, tetapi mereka menyintaiku".

Alangkah indahnya ungkapan kata-kata dari manusia yang paling mulia disisi Tuhannya. Baginda sentiasa mengingati kita hatta ketika Baginda S.A.W. sedang bertarung dengan sakaratul maut ketika dijemput untuk bertemu dengan Tuhannya yang Maha Agung. Tiada kegembiraan bagi Nabi Muhammad S.A.W. melainkan hanya melihat umatnya gembira. Pernah Baginda S.A.W. ditanya oleh seorang 'arab badwi, "Wahai Rasulullah, bilakah kiamat?". Jawab Rasulullah, "Apakah persediaan kamu untuk itu?". Maka jawab 'arab badwi itu, "Tidaklah aku banyak bersolat dan berpuasa, akan tetapi aku hanya menyintai Allah dan Rasul!". Lalu berkata Rasulullah, "Kamu bersama dengan orang yang kamu cintai". Ketika itu Sayyidina Annas ibn Malik juga berada disitu, lalu bertanya, "Adakah aku juga termasuk wahai Rasulullah?". Jawab Baginda S.A.W., "Ya, kamu juga". Maka berkata Sayyiduna Annas, "Maka aku sangat gembira dengan hal ini".

Begitulah janji Rasulullah terhadap mereka yang menyintainya. Sesiapa yang menyintai akan sesuatu, maka dia akan bersama dengan sesuatu itu. Dan barangsiapa yang menyintai Baginda S.A.W., maka di hari akhirat, dia akan bersama-sama dengan Baginda S.A.W. dan tergolongan didalam golongan yang mendapat syafa'at Baginda S.A.W. dan juga dapat meminum air dari Telaga Khautsar yang dikhususkan Allah untuk kekasihnya, iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Tanamlah cinta sedalam-dalamnya terhadap Rasulullah. Moga-moga kita tergolongan didalam golongan yang dapat bersama dengan Baginda S.A.W. di dalam Syurga yang ni'matnya tiada tandingannya. Akhir kata, diucapkan Selamat Menyambut Maulidur-Rasul S.A.W.

Allahua'lam bis sowab~