Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Puasa, Ilmu dan Hukum-Hakamnya

Posted by Tengku Ahmad Saufie - -

Puasa


Firman Allah s.w.t.:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾
Maksudnya:
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur".
(Surah al-Baqarah: 185)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "الإسلام أن تشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله صلى الله عليه وسلم. وتقيم الصلاة. وتؤتي الزكاة. وتصوم رمضان. وتحج البيت، إن استطعت إليه سبيلا"
Maksudnya:
“Lalu Rasulullah SAW bersabda: “lslam itu bahawa engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya””.
(Riwayat Imam Muslim)

Puasa merupakan ibadat yang tidak memerlukan pergerakan, hanya memerlukan seseorang itu menahan diri daripada lapar dan dahaga pada waktu siang. Ibadat puasa menurut Islam mengandungi banyak kelebihannya antaranya mengajar kita untuk mujahadah, dan juga faedah dari sudut kesihatan. Oleh kerana itu, Rasulullah sentiasa berpuasa pada hari-hari yang tertentu kerana ianya mempunyai banyak manfaat. Umat Islam pula, diwajibkan untuk berpuasa pada setiap bulan Ramadhan yang menjadi sebahagian daripada rukun Islam, dan disunatkan juga pada hari-hari dan keadaan tertentu.


Puasa dari sudut bahasa bermakna, menahan diri. Manakala sudut istilah pula, puasa bermakna menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat-niat yang tertentu.

Perkara yang mewajibkan puasa:
1) Masuknya bulan Ramadhan.
2) Mengqada puasa.
3) Bernazar.

Hari yang diharamkan puasa:
1) Hari tasyrik.
2) Hari syak(ragu-ragu), ketika hampir Ramadhan.
3) 15 hari terakhir Sya’aban bagi sesiapa yang tidak beramal dengan puasa sunat sebelumnya.

Syarat-syarat mengesahkan puasa Ramadhan ada 4, iaitu:
1) Islam.
2) Mumayyiz.
3) Suci daripada hadath besar.
4) Bulan Ramadhan(bagi puasa Ramadhan).

Syarat-syarat wajib puasa Ramadhan ada 5, iaitu:
1) Islam.
2) Mukallaf.
3) Mampu berpuasa.
4) Sihat tubuh badan.
5) Bermastautin atau bermukim.

Wajib berpuasa Ramadhan apabila terdapat salah satu dari 4 sebab, iaitu:
1) Sempurna bulan Sya’aban.
2) Melihat anak bulan Ramadhan.
3) Menerima khabar dari seseorang yang dipercayai dan adil akan masuknya bulan Ramadhan.
4) Yakin masuk Ramadhan dengan ijtihad, dalam keadaan tertentu.

Rukun puasa ada 3, iaitu:
1) Niat sebelum terbit fajar(bagi puasa wajib).
Cara berniat ialah, “Sahaja aku berpuasa fardhu Ramadhan hari ini, kerana Allah Ta’ala” ataupun seerti dengannya.
2) Meninggalkan perkara yang boleh membatalkan puasa dengan sengaja.
3) Orang yang berpuasa.

Hukum-hukum berkenaan berbuka puasa yang wajib:
1) Wajib – bagi wanita yang haid dan nifas.
2) Harus – bagi orang yang sedang musafir, sakit yang memerlukan
untuk berbuka, pekerja buruh yang terpaksa kerja kuat
pada siang hari.
3) Haram – bagi mereka yang mampu berpuasa sehinggalah
masuknya waktu Maghrib.

Perkara-perkara yang membatalkan puasa:
1) Murtad.
2) Haid.
3) Nifas.
4) Wiladah.
5) Gila walaupun sekejap.
6) Pengsan sepanjang hari.
7) Mabuk dengan sengaja walaupun sekejap.
8) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja.
9) Sengaja muntah.
10) Mengeluarkan air mani dengan sengaja.
11) Mati.

Perkara-perkara yang mewajibkan ganti puasa:
1) Berbuka dengan sengaja.
2) Meninggalkan niat dengan sengaja.
3) Orang yang sahur pada sangkaannya belum masuk waktu Subuh.
4) Orang yang berbuka pada sangkaannya sudah masuk waktu Maghrib.
5) Orang yang berkumur-kumur dengan melampau sehingga tertelan air dengan tidak sengaja.
6) Orang yang bersetubuh dengan sengaja.
*Hukum bersetubuh ketika waktu siang Ramadhan adalah haram. Bagi mereka yang melakukan perkara tersebut, maka hukumannya adalah: A) Membebaskan hamba(sekiranya ada).
B) Ataupun berpuasa 2 bulan berturut-turut
tanpa henti(sekiranya mampu).
C) Memberi makan kepada faqir miskin
seramai 60 orang.

Perkara-perkara yang menyunatkan menahan diri daripada berbuka tetapi harus hukumnya sekiranya berbuka:
1) Budak kecil yang belum baligh.
2) Orang yang bermusafir.
3) Muallaf yang baru mengenali agama.
4) Orang yang baru pulih dari penyakit gila.
5) Orang yang sakit yang memudaratkan diri sekiranya meneruskan puasa.

Jenis-jenis hukuman berkenaan berbuka puasa pada siang hari:
1) Menggantikan puasa sahaja – orang yang pengsan sepanjang
hari, berbuka dengan sengaja.
2) Menggantikan puasa dan membayar fidyah – seperti berbuka
kerana bimbangkan
anak di dalam
kandungan.
3) Membayar fidyah sahaja – seperti orang tua yang sudah tidak
mampu berpuasa.
4) Tidak perlu menggantikan puasa mahupun
membayar fidyah – orang gila.

*diambil dari buku karangan al-faqir berjudul Cahaya Petunjuk.

2 Responses so far.

  1. Tambahan=
    *Sekiranya bimbang lupa untuk berniat setiap hari, dibolehkan untuk berniat untuk sepanjang bulan Ramadhan seperti mazhab Imam Malik, dengan cara, "sahaja aku berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan, fardhu keatas aku, kerana Allah Ta'ala".
    Akan tetapi, tetap wajib berniat pada tiap-tiap hari seperti biasa dengan niat yang biasa. Cuma, sekiranya kita berniat sebulan, dan tiba-tiba terlupa untuk berniat pada satu hari dalam Ramadhan, maka puasanya sah juga.

    Allahua'lam~

  2. jazakallau khoir atas perkongsian..