Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Usah Campur Adukkan Ta'zhim, Penyembahan - Utusan 31/8/2010

Posted by Unknown - -





menziarahi makam nabi di Masjid Nabawi adalah antara cara memuliakan baginda SAW. - Gambar hiasan





KITA masih meneruskan kembara ilmu menelusuri dan mengutip mutiara-mutiara hikmah daripada kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) karya agung tokoh besar ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah zaman ini, al-Allamah al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad 'Alawi al-Maliki.


Mereka yang mengetahui kelebihan karya ini sangat menghargainya kerana sumbangannya dalam memperbetul dan mentajdid semula fahaman-fahaman terhadap isu-isu yang boleh menjerumuskan umat dalam kancah persengketaan sesama sendiri.

Menjauhi permusuhan dan perpecahan sesama Islam adalah ibadah dan kewajipan yang utama. Ia harus direbut oleh setiap umat Islam tanpa mengira bulan, zaman atau tempat.

Dalam siri kali ini, sesudah menyentuh beberapa premis asas yang menjadi sebab salah-faham dalam memahami bahasa wahyu, pengarang terjun langsung menangani salah satu isu utama yang boleh menjadi punca pertikaian iaitu beza antara perbuatan ta'zhim (mengagungkan) dan menyembah.

Ramai salah faham tentang hakikat ta'zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah (penyembahan). Mereka dengan jelas telah mencampuradukkan antara kedua-duanya dan menganggap apa jua bentuk ta'zhim adalah suatu penyembahan kepada yang diagungkan.

Justeru, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia, mencium tangan, membesarkan baginda SAW dengan menyematkan gelaran Sayyid dan Mawlana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri semuanya ini dianggap ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga kononnya membawa kepada penyembahan kepada selain Allah SWT.

Hakikatnya, anggapan seperti itu adalah suatu kejahilan dan kesilapan. Bahkan Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat Islam.

Kita sedia maklum, Nabi Adam a.s adalah insan dan hamba Allah yang soleh yang pertama daripada jenis manusia. Allah SWT memerintahkan para malaikat sujud kepadanya sebagai memulia dan membesarkan ilmunya. Ia sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam a.s menjadi nabi daripada sekelian makhluk-Nya.

Firman Allah SWT: Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu semua kepada Adam", maka mereka sujud melainkan iblis. Ia berkata, "Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah yang diadun?" Ia berkata lagi: "Khabarlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan lebih daripadaku?" (al-Israk: 61-62)

Para malaikat patuh sujud mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT, sementara iblis takbur dan enggan sujud kepada makhluk yang diciptakan daripada tanah.

Iblislah makhluk pertama yang mengqiaskan agama dengan pendapatnya, ketika ia berkata: "Aku lebih baik daripadanya".

Alasan iblis, dia diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam dicipta daripada tanah.

Akibatnya, iblis diusir dan dihalau jauh daripada rahmat Allah SWT kerana sikap sombong dan takburnya terhadap hamba yang soleh.

Pada hakikatnya, sikap takbur itu merupakan kesombongan terhadap Allah kerana sujud yang diarahkan itu sebenarnya kepada Allah, sebagai mengikut perintah-Nya.

Contoh lain berkaitan Nabi Yusuf a.s, Allah SWT berfirman: Dan dia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu, mereka (saudara-saudara Yusuf) sekeliannya sujud memberi hormat kepada Yusuf. (Yusuf: 100)

Sujud hormat ini adalah suatu penghormatan, penghargaan, kemuliaan dan ta'zhim terhadap Nabi Yusuf a.s. Kemungkinan ia diharuskan dalam syariat mereka. Atau pun, boleh jadi sujud mereka itu seperti sujud para malaikat kepada Nabi Adam a.s sebagai penghormatan dan pengagungan, serta pelaksanaan terhadap perintah Allah SWT.

Sujud lazimnya dikaitkan dengan penyembahan, tetapi seperti yang kita lihat dalam contoh-contoh ini, al-Quran menegaskan perbuatan sujud sekalipun tidak semestinya bererti menyembah dan sebaliknya boleh berbentuk memuliakan dan mengagungkan.

Mesejnya di sini adalah mengagungkan tidak semestinya menyembah, kalaupun sujud sesama makhluk dilarang dalam syariat Nabi Muhammad SAW.