Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Bagaimana Sahabat r.a. Mengagungkan Baginda s.a.w. - Utusan 7/9/2010

Posted by Tengku Ahmad Saufie - -

DALAM kesempatan yang lalu, kita telah memetik perbahasan tentang ta'zhim (mengagungkan) dalam Islam dan membezakannya dengan perbuatan menyembah.

Maka kita sudah memahami bahawa tidak semua semua perbuatan memuliakan dan mengagungkan seseorang itu seperti dalam bentuk memanggil dengan gelaran saidina atau maulana, mengangkat sembah, mencium tangan dan seumpamanya itu membawa kesyirikan jika niatnya sekadar ta'zhim.


Cuma, sebagai seorang muslim dan mukmin yang tahu nilai hak dan batil, sudah tentu kita tidak bebas memuliakan sesiapa sahaja tanpa asas yang jelas.

Di dalam hadis qudsi, kita diberi amaran bahawa: "sesiapa yang masuk menemui seorang yang kaya lalu merendahkan dirinya di hadapan orang itu (semata-mata) kerana kekayaan hartanya, maka hilangnya satu pertiga daripada agamanya (al-Mawa'idh, Imam al-Ghazali).

Masalahnya, hari ini ada segelintir golongan yang mempertikaikan perbuatan menta'zhim orang yang memang patut dimuliakan termasuklah junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Ada yang menyalahkan perbuatan memakaikan gelaran Saiduna kepada baginda SAW, meremehkan perbuatan memuliakan keturunan baginda SAW mahupun para ulama pewaris hakiki baginda, sambutan maulid dan seumpamanya.

Sedangkan tiada siapa yang mengingkari bahawa jika ada di kalangan makhluk Allah SWT yang paling patut diagungkan dan disanjung maka Nabilah makhluk tersebut.

Maka marilah kita melihat teladan generasi manusia terbaik yang telah mendapat pujian dan pengiktirafan daripada Allah SWT dan rasul-Nya dalam hal menta'zhimkan Nabi SAW.

Sesungguhnya merekalah generasi yang paling faham Islam dan iman serta paling peka dalam persoalan kufur, syirik, bidaah dan khurafat berbanding generasi yang datang kemudian.

Sebagai gambaran awal, mari kita renungkan sikap dalaman seorang sahabat terkenal Amru ibn al 'As r.a dalam hal ini.

Beliau berkata: "Tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Rasulullah SAW. Tidak ada seorang pun yang lebih agung pada pandanganku daripadanya. Aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan sifat-sifatnya, kerana mengagungkannya. Seandainya aku diminta untuk menggambarkan peribadi baginda SAW, pasti aku tidak akan mampu kerana aku tidak dapat memenuhi pandangan mataku dengan kehebatannya. (Riwayat Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Iman)."