Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Internet oh internet~

Posted by Unknown - -

Bismillahi Wassolatu Wassalam 'ala Rasulillahi S.A.W.~



Bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. yang telah mengurniakan ni'mat kehidupan di dalam keimanan dan ketaqwaan kepadaNya, segala puji bagi Allah s.w.t. yang telah menjadikan sekalian alam dengan penuh kehebatan dan hikmah, tiada lagi yang layak memuji diri Mu melainkan hanya diri Mu sahaja. Seterusnya selawat dan salam keatas penghulu segala kerasulan, sebaik-baik makhluk yang diciptakan Allah, semulia-mulia manusia di dunia dan di akhirat, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan cahaya yang terang lagi menerangi alam kegelapan, yang membawa petunjuk dan agama Islam yang indah kepada manusia untuk kebahagiaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Dan juga keatas para ahli keluarga Baginda s.a.w. yang suci lagi disucikan, serta keatas para sahabat Baginda s.a.w. yang banyak jasa mereka memperjuangkan agama Islam yang murni ini.


Hari ini, 20 September 2010. Sudah dua hari al-Faqir menjejakkan kaki di atas bumi para auliya, iaitu Lebanon. Setelah sampai di Rafiq Hariri International Airport, Beirut, al-Faqir dan sahabat, dijemput oleh guru kami iaitu Sheikhuna Sidi Yusuf ibn Muhyildeen Riq al-Bakhor al-Hasani di airport, dan terus membawa kami ke Beqaa, sebuah pekan yang terdiri daripada golongan Sunni teramai di Lebanon, lalu menghantar kami ke tempat tujuan kami iaitu, Jami'atul Azhar al-Beqaa, dibawah kelolaan mufti al-Beqaa, iaitu Sheikh Khalili al-Miss, seorang yang amat 'alim di dalam ilmu fiqh, amat tawadu' dan mudah di dekati oleh sesiapa pun.

Suasana di sana amat tenang, berbanding dengan bandar Beirutnya yang dipenuhi dengan pelbagai ragam manusia, menjadikan al-Beqaa suatu tempat yang amat sesuai untuk penuntut ilmu warisan Baginda s.a.w., seperti mana Ribath Tarim, dan Darul Mustofa, di Hadramaut, Yaman. Dikelilingi oleh gunung-ganang yang mencecah awan, cuaca di sini amatlah baik, dingin, dan tiada kedengaran riuh rendah seperti di tempat lain. Sebelah belakang kawasan Jami'ah, terdapat juga gunung yang memisahkan antara Beqaa dengan Syria, yang mana dari Beqaa hanya mengambil masa 1 jam(lebih kurang) untuk ke Halb.


Setelah perjalanan hampir 2 jam dari Beirut, akhirnya sampai di Jami'atul Azhar al-Beqaa dan kami pun berkemas memasuki kamar sementara, kerana buat masa sekarang masih lagi musim cuti di sini dan kuliah dijangka akan mula dibuka pada 27/9/2010. Ketika sampainya kami di Jami'ah, kami bertemu dengan Sheikh Ibrahim, yang berasal dari Libya, telah lama berkhidmat untuk Jami'ah dan penuntut ilmu di sini. Beliau seorang yang amat mengambil berat akan kebajikan para pelajar disini. Disamping itu juga, kami bertemu beberapa orang pelajar yang menetap di sini, antaranya pelajar dari Ghana, Syria, dan Lebanon sendiri. Mereka amat peramah, dan selalu mengambil berat atas keperluan kami yang masih lagi baru disini, dan juga lebih muda daripada mereka.


Alhamdulillah, kami amat bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. yang telah menyampaikan kami di sini. Walau bagaimanapun, ketiadaan kemudahan internet di Jami'ah, menjadikan kami sedikit kebosanan, memandangkan tiada program buat sementara waktu ini. Dan alhamdulillah, pada hari ini kami dijemput Sheikhna Sidi Yusuf untuk datang ke rumah beliau, kerana terdapatnya majlis ilmu dengan membaca kitab, "Bahjatun Nufus" karangan Ibn Abi Jamrah, seorang Muhaddith terkenal yang juga merupakan seorang ulama' sufi yang tersohor. Kesempatan ini juga kami menggunakan kemudahan yang terdapat di rumah Sheikhna untuk menggunakan internet, dan memberikan kami sedikit kelegaan setelah 2 hari terputus dari dunia luar~ ^_^.

Sekian dahulu pengkhabaran dari Lebanon~ doakan kami sentiasa agar dipermudahkan Allah akan segala urusan, dan sentiasa dalam keadaan selamat dan sejahtera berada di sini..

Allahua'lam bis sowab~
*gambar seterusnya menyusul, bi iznillah~