Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Syarah Khas Habib Umar Sempena Majlis Haul Imam al-Haddad

Posted by Unknown - -

Syarah Khas Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz sempena Majlis Hol Imam al-Haddad

*Catatan bebas di Masjid Shah Alam pada 16 Oktober 2010



Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam yang telah menjadikan hubungan hakikat kita dengan Allah Ta’ala terkait dengan hati kita dan roh kita. Seperti yang dijelaskan baginda saw, “Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak melihat hambanya pada jasadnya tetapi pada hatinya. Salawat dan salam kita hadiahkan kepada seorang yang menjadi pintu mengenalkan kita kepada Allah Ta’ala iaitu Junjungan Besar Rasulullah saw berserta para hali keluarga dan para sahabatnya.

Hadirkanlah hati-hati kalian agar hati kalian dipandang Allah Ta’ala ketika kita sedang mengenang seorang imam yang sangat berjasa dalam usaha membersihkan hati-hati manusia untuk mengenal kepada Allah Ta’ala. Dan renungkanlah, kalau bukan kerana kedudukannya di sisi Allah Ta’ala yang cukup tinggi itu sudah tentu kita tidak berhimpun di sini untuk meraikannya. Kalau bukan kerana keimanan dan kecintaan kepadanya sudah tentu kita tidak duduk membaca ratib dan zikir yang disusun oleh imam yang riwayat hidupnya disebut malam ini.

Ketahuilah bahawa zikir adalah lafaz dari lisan kita. Al-Imam al-Haddad yang riwayat hidupnya disebut malam adalah merupakan hamba Allah yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Begitu juga dengan masjid seperti yang ada pada hari ini adalah merupakan binaan yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ketahuilah bahawa semua makhluk adalah merupakan tempat yang boleh menjadi hubungan yang menyampaikan cinta kita kepada Allah Ta’ala. Nabi saw ada bersabda bahawa Rukun Iman itu ada enam. Empat daripadanya adalah terkait dengan hubungan harta-harta Allah Ta’ala. Iman bermakna kita beriman kepada Allah Ta’ala. Walau bagaimanapun jika dia mengaku beriman kepada Allah tetapi pada masa yang sama dia mendustakan salah satu dari rukun iman yang lain maka jadilah ia orang yang kafir dan kekal di dalam neraka. Seorang Yahudi datang bertemu Rasulullah saw dan bertanya kepada baginda saw, “Siapakah yang telah menyampaikan wahyu kepadamu?” Lalu dijawab Rasulullah saw, “Jibril”. Lalu Yahudi itu berkata, “Dia itu musuh kepada kami”. Maka Allah menurunkan wahyu dengan maksudnya, “Katakanlah wahai Muhammad, barangsiapa yang memusuhi Allah dan malaikat, Rasul-Rasul Allah, Jibril dan Mikail maka mereka adalah musuh-musuh Allah dan golongan kafir”. Permusuhan mereka kepada Jibril bererti mereka juga adalah musuh kepada Allah. Allah tidak akan menerima iman orang-orang yang memusuhi para malaikat dan Rasul-Rasul Allah. Iman mereka langsung tidak membawa manfaat. Dalam satu hadith Qudsi yang diriwayat Imam Bukhari, Allah berfirman bahawa barangsiapa memusuhi wali-wali Aku maka Aku mengisytiharkan peperangan ke atasnya”. Para ulama menyatakan bahawa sesiapa yang terkena musibah kerana memusuhi wali Allah tidak mungkin akan mati dalam keadaan Islam. Mana mungkin ia akan mendapatkan keamanan dalam hidupnya apabila ia diperangi Allah Ta’ala.

Wahai sekalian kaum mukminin yang hadir, sesungguhnya hakikat keimanan kita kepada Allah Ta’ala boleh terjalin melalui hamba-hamba yang dekat dengan Allah Ta’ala. Nabi Yaakub as berkata kepada anak-anaknya ketika baginda as berhadapan dengan sakaratul maut, “Apakah yang akan kamu sembah selepas aku mati?” Kata anak-anaknya, “Kami akan menyembah Tuhan ayah kami, Tuhan Nabi Ishak dan Tuhan Nabi Ismail”. Kenapa anak-anaknya menyebut nama Nabi-Nabi ini padahal kesemua Nabi-Nabi bertuhankan kepada Tuhan yang satu iaitu Allah Ta’ala? Ini adalah kerana nama Nabi-Nabi ini memberi kesan kepada mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Tidak mungkin tauhid kita menjadi sempurna jika kita putuskan hubungan kita dengan para anbiya dan para wali Allah. Seseorang yang tidak belajar dengan betul dan tidak mempunyai sanad mungkin akan terkeliru dan tidak tahu membezakan pengagungan terhadap orang-orang yang di agungkan Allah dengan orang-orang yang diagungkan oleh orang musyrik. Orang-orang musyrik mengambil keberkatan berhala yang disembahnya sedangkan perbuatan ini adalah batil. Sedangkan para sahabat mengambil keberkatan baginda saw menerusi sisa-sisa air wuduk baginda saw sehinggakan ada sahabat mengambil pula sisa air itu dari sahabat yang lain apabila tidak berkesempatan mendapatkannya dari baginda saw. Sepertimana kisah Nabi Yusuf as yang memberikan gamisnya kepada ayahandanya Nabi Yaakub as. Ayahandanya yang buta itu dapat melihat semula sebaik sahaja meletakkan gamis milik Nabi Yusuf itu ke wajahnya. Kaum musyrikin sujud kepada berhala tanda mereka sekutukan makhluk. Sebaliknya para malaikat sujud kepada Nabi Adam manakala Nabi Yaakub as beserta ahli keluarganya sujud kepada Nabi Yusuf bukanlah bermakna tujuan mengagungkan makhluk sebaliknya ia adalah perintah Allah.Iblis tidak sujud kepada Nabi Adam namun ia tidak memberi manfaat kepada Iblis kerana ia melanggar perintah Allah. Dalam Sahih Bukhari ada diceritakan tentang peninggalan jubah milik Rasulullah saw yang disimpan oleh isterinya, Maimunah ra. Kata Maimunah ra, “Saya membersihkannya manakala airnya saya berikan kepada orang-orang sakit untuk menyembuhkannya”. Maka disini hendaklah kita menyedari dan mengetahui akan kedudukan orang-orang yang mempunyai darjat yang tinggi di sisi Allah Ta’ala. Jangan sibukkan diri dengan mengkafirkan orang lain sebaliknya sibukkanlah diri dengan mencari ilmu yang benar. Bersyukur dan pujilah kepada Allah yang telah menyelamatkan kita dari syirik yang besar dan kecil. Ada seorang masuk dalam majlis Rasulullah saw dengan keadaan janggutnya dibasahi air wuduk. Rasulullah saw kemudiannya menegur orang itu dengan bertanya, “Adakah dalam hati kamu terdetik rasa riyak?” “Ya”, kata orang itu. “Sebab itulah aku nampak ada syaitan pada wajah kamu”, kata baginda saw.

Al-Haddad bermaksud tukang besi. Pernah satu hari seorang anak dipertintah oleh ayahnya pergi berjumpa dengan tukang besi untuk menajamkan pisaunya. Si anak yang lurus ini pergi ke rumah Imam al-Haddad dan berkata kepada Imam al-Haddad, “Ayahku memerintahkan daku berjumpa denganmu untuk menajamkan pisau ini”. Imam al-Haddad tersenyum lalu berkata, “Berikan pisau itu kepadaku. Engkau pulanglah dahulu dan ambillah esok”. Keesokannya, si anak itu datang berjumpa Imam al-Haddad dan Imam al-Haddad pun memberikan pisau yang telah ditajamkannya itu kepada si anak tadi. Si anak bertanya, “Berapa harganya tuan?” Kata Imam al-Haddad, “Usahlah kamu bayar dan pulanglah ke rumahmu”. Si anak itu pun pulang dan memberikan pisau itu kepada ayahnya. Si ayah bertanya, “ Berapa harga upah menajamkan pisau ini?” Si anak menjawab, “Tukang besi itu tidak mahu menerima upahku”. Si ayah kehairanan. “Engkau berjumpa dengan tukang besi yang mana? Bukan di pasar?” , tanya si ayah. “Bukan ayah, saya pergi ke rumah tukang besi”, jawab si anak dengan jujur. “Ke rumah tukang besi? Adakah kamu ke rumah Imam al-Haddad?”, tanya si ayah lagi. Si anak mengangguk. Langsung si ayah bergegas menuju ke rumah Imam al-Haddad. Ayahnya berasa sangat malu dengan perbuatan anaknya dan memohon maaf serta ampun dari Imam al-Haddad kerana salah faham yang berlaku. Si anak menyangkakan bahawa Imam al-Haddad adalah tukang besi yang dimaksudkan padahal si ayah menyuruh si anak berjumpa dengan tukang besi di pasar. Kata Imam al-Haddad, “Janganlah engkau memarahi anakmu jika kamu kasih padaku”. Begitulah mulianya peribadi Imam al-Haddad. Kata Imam al-Haddad, “Aku langsung tidak rasa terhina dengan peristiwa ini”. Imam al-Haddad mempunyai hati yang sangat bersih dan sanggup menajamkan pisau yang diberikan oleh si anak walaupun beliau bukanlah tukang besi yang dimaksudkan. Cubalah bayangkan jika kita berada di kedudukan Imam al-Haddad, sudah pasti kita akan marah-marah kerana membuat kerja yang tidak sepatutnya.

Imam al-Haddad sentiasa berkata, “Bila aku menuju ke tempat solat, jangan kamu ganggu perasaan takzim aku kepada Allah Ta’ala”. Diriwayatkan pernah terjadi bila Imam al-Haddad mengangkat takbir maka terbelah mihrab yang berada di hadapannya. Terbelahnya mihrab itu adalah disebabkan pengagungan yang terlalu tinggi Imam al-Haddad terhadap Allah Ta’ala. Kata habib, kesan belahan itu masih boleh dilihat sehinggalah masjid itu dibaikpulih. Ucapan Imam al-Haddad penuh keluhuran. Katanya, “Aku tidak berasa bimbang setelah aku mendengar firman Allah yang menyatakan bahawa tidak akan berlaku apa-apa melainkan rezekinya dijamin Allah Ta’ala”. Imam al-Haddad mentakzimkan sunnah-sunnah Rasulullah saw. Beliau melaksanakan semua sunnah Rasulullah saw. Beliau sering bermimpi bertemu Rasulullah saw bahkan beliau turut bertemu Rasulullah saw dalam keadaan jaga. Ketika musim haji, apabila beliau mengunjungi makam Rasulullah saw dan memberi salam kepadanya, ada ulama yang turut berada disitu mendengar Nabi saw menjawab salam Imam al-Haddad. Rasa perhambaan yang tinggi yang ada pada Imam al-Haddad telah menyebabkan beliau mempunyai kedudukan yang tinggi disisi Allah Ta’ala. Pernah satu ketika keluarga Bafadhal berhajat hendak menziarahi makam Nabi saw. Pada masa itu, Imam al-Haddad telah pun wafat. Namun disebabkan ada masalah tertentu mereka tidak dapat memenuhi hajat itu sehinggalah mereka berasa sedih yang amat sangat. Pada satu malam, mereka bermimpi bertemu Rasulullah saw. Dalam mimpi itu, Rasulullah saw bertanya, “Adakah kamu rasa sedih kerana tidak dapat menziarahi aku? Ketahuilah jika kamu menziarahi cucuku (Imam al-Haddad), Allah akan tunaikan 70 hajat kamu”.

Sebutlah nama Allah dengan hati kita. Hendaklah hati kita dengan penuh keyakinan bahawasanya kita tidak menyebut nama Allah dengan hati kita melainkan Allah swt akan menyebut nama kita. Firman Allah, “Sebutlah nama Aku, Aku akan menyebut nama kamu. Bersyukurlah kepada Aku, Aku berterima kasih kepada kamu”. Baginda saw bersabda (sebagaimana diriwayatkan Imam Bukhari), perumpamaan orang yang menyebut nama Allah adalah seperti orang yang hidup manakala orang yang tidak menyebut nama Allah umpama orang yang mati. Dalam hadith lain (riwayat Imam Muslim), perumpamaan sebuah rumah yang dibaca zikir kepada Allah didalamnya adalah seperti orang yang hidup manakala rumah yang tidak diisi dengan zikir umpama orang yang mati. Rumah-rumah juga mempunyai hati yang bersifat hidup andainya penghuninya sentiasa berzikir kepada Allah. Orang yang berzikir kepada Allah bukan sahaja hatinya hidup tetapi rumahnya juga hidup. Dengan hidupnya hati-hati manusia, Allah swt akan menghidupkan tempat yang mati dan yang dihuni oleh manusia. Dalam sebuah hadith Qudsi Allah Ta’ala berfirman, Aku berkeinginan menurunkan azab ke sesebuah negeri tetapi bila ada negeri itu ada orang memakmurkan rumah-rumah Allah, mengasihi kerana Allah, menyebut nama Allah dan mengabdikan diri kepada Allah dan menghidupkan waktu sahur maka Aku akan balikkan azab yang Aku akan turunkan. Wahai-wahai orang yang beriman, inilah keistimewaan yang membezakan antara orang-orang yang beriman dengan orang tidak beriman iaitu apabila kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan menyebut nama Allah. Ada rumah yang mempunyai pelbagai kemudahan seperti penghawa dingin tetapi hakikatnya rumah-rumah ini tidaklah mempunyai apa-apa keistimewaan jika tidak diisi dengan bacaan zikir dan amalan sunnah. Istimewanya sesebuah rumah itu diukur berdasarkan amalan penghuninya yang menyebut nama Allah dan mengamalkan sunnah baginda saw. Rumah baginda saw adalah sangat sederhana. Bumbungnya boleh disentuh dengan tangan sahaja. Ketika rumah baginda saw hendak dirobohkan untuk tujuan meluaskan masjid Nabawi, seluruh penghuni Madinah mengalirkan air mata. Kata seorang tokoh ulama, aku mengharapkan rumah yang agung itu dikekalkan agar dapat menjadi ingatan dan contoh kepada umatnya tentang kesederhanaan kehidupan Rasulullah saw. Rasulullah saw mengutamakan keperluan orang lain dari dirinya sendiri. Rasulullah saw memberi makan kepada puluhan ribu orang sebaliknya baginda saw memakan tamar yang berada dalam simpanan dirumahnya. Contoh rumah yang diangkat darjatnya di sisi Allah Ta’ala ialah rumah isteri-isteri baginda saw di mana salah satu nama surah di dalam Al-Quran iaitu Surah al-Hujuraat adalah bersempena nama rumah-rumah isteri baginda saw.

Orang yang mengenepikan al-Quran dan Sunnah sehingga tidak menghidupkannya di dalam rumahnya sebaliknya lebih selesa melihat gambar orang yang fasiq dan bercakap dengan orang yang fasiq maka ia telah melakukan satu kesalahan yang besar dan hanya mengundang kehancuran rumah tangga dan membuka ruang kepada musuh-musuh Allah untuk masuk dalam pemikiran mereka. Pernah seorang melalui satu kawasan menuju ke satu tempat mendengar bacaan surah Yaasiin setiap rumah yang dilaluinya. Khabarnya sebanyak 40 buah rumah yang ditempuhinya semuanya sedang membaca al-Quran. Inilah budaya Islam yang benar dimana rumah-rumah hidup dengan bacaan al-Quran. Ada seorang berasa takjub apabila melihat ada seorang kanak-kanak yang kecil telah menghafal surah Yaasiin. Lalu jawab kanak-kanak itu, “Aku mendengar ibuku hari-hari membaca surah Yaasiin. Sejak dari bangun pagi hinggalah ia mengatur kehidupan, mulut ibuku tidak henti-henti membacanya sehingga aku menghafalnya”.

Imam al-Haddad pernah berkata, Surah Yaasiin itu tidak dibaca melainkan mendapat apa yang dihajat dari Allah Ta’ala dan memohon kepada Allah agar dijauhi segala bala. Imam al-Haddad mempunyai rumah yang kecil dan disitulah beliau mengadakan pengajian. Dari rumah itulah lahirnya ilmu-ilmu yang bertebaran di seluruh pelusuk dunia. Rumah yang sangat berjasa itu masih lagi kekal hingga ke hari ini. Rumah itu kini berusia 350 tahun. Ramai anak muridnya yang terkemuka seperti al-Imam Ahmad bin Zein al-Habsyi (wafat ketika sedang menelaah kitab al-Muwatta karya Imam Malik) belajar dengannya di bahagian tangga rumahnya kerana ruang rumahnya yang sempit. Di celah-celah tangga itulah lahirnya ilmu-ilmu yang memancar ke seluruh dunia. Di dalam bilik kecil Imam al-Haddad ianya dipenuhi dengan kitab-kitab manakala setiap pelusuk ruang rumahnya sentiasa sahaja diadakan majlis-majlis ilmu. Inilah contoh rumah yang dipenuhi dengan amal ibadah.

Baginda saw membangunkan isteri-isterinya di waktu malam agar mengisi bahagian malam dengan bermunajat kepada Allah Ta’ala. Selepas Rasulullah saw wafat, baginda saw kemudiannya dimakamkan di rumahnya. Aisyah kemudiannya berpindah ke sebuah bilik kecil di dalam rumah itu. Setelah Abu Bakar ra meninggal dunia dan dimakamkan di sebelah baginda saw, Aisyah kemudiannya mengecilkan ruang biliknya. Apabila Umar wafat dan dimakamkan di dalam rumahnya, Aisyah menutup aurat kerana berasa malu dengan Umar yang bukan muhrimnya. Aisyah juga menutup tirainya bagi menjaga auratnya dan ianya adalah berdasarkan apa yang telah dipelajarinya dari Rasulullah saw. Imam al-Haddad menyatakan bahawa ilmu yang diperolehinya adalah disebabkan hatinya yang bersih dari kecintaan dunia dan sangat menjaga ibadah malamnya. Pernah satu hari Imam Ahmad bin Hanbal dikunjungi seseorang yang ingin menimba ilmu hadith darinya. Orang itu kemudiannya bermalam dirumahnya. Imam Ahmad bin Hanbal menyediakan air di ruang rumahnya. Tujuannya ialah untuk memberi kemudahan kepada orang itu berwuduk untuk beribadah di sebelah malam. Sebaik bangun pagi, Imam Ahmad mendapati bahawa air yang disediakan itu langsung tidak terusik dan beliau kemudiannya menyatakan, “Sesungguhnya kamu tidak layak untuk belajar hadith dariku kerana orang yang hendak belajar hadith mestilah menjaga ibadah malamnya”. Faktor utama Baitul Maqdis terbebas ialah amalan tentera Salahuddin al-Ayubi yang sentiasa mengerjakan amal ibadah dan bermunajat kepada Allah Ta’ala di sebelah malam. Tangan Rasulullah saw yang mulia pernah memerah susu kambing milik kepunyaan seorang wanita dalam perjalanan hijrahnya ke Madinah sehingga kambing itu mengeluarkan susu dengan banyaknya. Padahal kambing itu dalam keadaan tidak terdaya dan tidak upaya mengeluarkan susu. Kambing itu terus mengeluarkan susu hinggalah ia mati di zaman Umar al-Khattab. Kalaulah tangan baginda saw yang mulia itu memberi keberkatan kepada haiwan, sudah tentu hubungan baginda saw dengan umatnya lebih-lebih lagi. Pernah ada seorang yang bernama Fudhalah berhajat hendak membunuh Nabi saw ketika baginda saw sedang mengerjakan tawaf pada hari pembukaan Makkah. Hajatnya itu dapat dibaca oleh Nabi saw lalu baginda saw bertanya, “Apakah yang bermain di hati kamu?” Fudhalah berkata, “Tidak ada apa-apa aku hanya berzikir kepada Allah. Nabi saw kemudiannya meletakkan tangannya di atas Fudhalah sehinggalah Fudhalah jatuh kasih kepada Rasulullah saw dengan tidak berbelah bahagi lagi. Beliau kemudiannya berubah menjadi seorang yang beriman dan cintakan kepada Allah dan Rasul-Nya.