Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Dalil-Dalil Tentang Bertawassul - Utusan 7/12/2010

Posted by Tengku Ahmad Saufie - -

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 7 Disember 2010

Setelah melihat asas-asas kefahaman tentang tawassul atau mengambil wasilah di minggu lepas, kita menyambung pula dengan meninjau dalil-dalil yang membolehkan tawassul. Di antara dalil utama adalah firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah yang boleh menyampaikan kepadaNya.” (Al-Maaidah: 35)

Wasilah dalam ayat ini ialah semua yang dijadikan oleh Allah sebagai sebab untuk mendekatkan diri di sisiNya dan penghubung atau penyampai kepada terlaksananya segala hajat daripadaNya. Paksi dalam perkara ini, hendaklah orang yang diwasilahkan itu mempunyai kedudukan dan kemuliaan di sisi Allah.

Lafaz wasilah dalam ayat ini berbentuk umum. Sebagaimana yang dapat dilihat, ia meliputi bertawassul dengan zat-zat yang mulia dari kalangan para nabi dan orang-orang soleh; sama ada ketika mereka hidup atau pun setelah mati, dan juga dengan mengamalkan amalan-amalan soleh mengikut sebagaimana suruhanNya, dan bertawassul dengannya setelah melakukannya.

Seterusnya, kita akan meninjau hadith-hadith dan athar-athar yang akan membuka kepada kita maksud ayat yang umum ini dengan jelas. Maka dengarilah dan kita akan menjadi saksi terhadap kebenarannya. Kita akan lihat, bahawa telah thabit hukum bertawassul dengan Baginda SAW; sebelum dan selepas kewujudannya di dunia, selepas kewafatannya di alam barzakh, dan selepas kebangkitannya di Padang Mahsyar pada hari Kiamat.

Tawassul Dengan Nabi Muhammad SAW Sebelum Kewujudannya
Tawassul Nabi Adam  Dengan Nabi Muhammad SAW

Telah diriwayatkan dalam hadith, bahawa Nabi Adam AS pernah bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW. Berkata al-Hakim di dalam al-Mustadrak: daripada Umar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Setelah Nabi Adam AS melakukan kesalahan, dia berkata, “Wahai Tuhanku! (Tidaklah) aku memohon kepadaMu demi hak Nabi Muhammad SAW, melainkan agar Engkau mengampunkan daku.” Maka Allah berfirman, “Wahai Adam! Bagaimanakah engkau mengenali Muhammad, sedangkan Aku belum menciptakannya lagi?” Adam AS bersabda, “Wahai Tuhan! Setelah Engkau menciptakanku dengan kekuasaanMu dan setelah Engkau meniup padaku daripada ruh (ciptaan)Mu, maka aku mengangkat kepalaku. Lalu aku melihat di tiang-tiang Arasy, tertulis kalimah: “ Laa ilaaha illaLlah Muhammad RasuluLlah” Maka dengan itu, aku mengerti bahawa Engkau tidak akan meletakkan di sisi namaMu kecuali (nama) makhluk yang paling Engkau kasihi.” Allah berfirman kepadanya, “Benarlah engkau wahai Adam! Sesungguhnya dia adalah makhluk yang paling Aku kasihi. Serulah Aku dengan haknya, maka Aku ampunkan bagi kamu. Jika tidak kerana Muhammad, Aku tidak akan menciptakanmu.” ( Al-Mustadrak (Kitab Tarikh) Jld 2, H: 615)

Hadith ini diriwayatkan oleh al Hakim di dalam al-Mustadrak dan beliau mensohihkannya. Ia diriwayatkan juga oleh al Hafiz al Suyuti dalam al-Khasois al-Nabawiyyah dan beliau juga telah mensohihkannya. Al Baihaqi juga telah meriwayatkannya dalam Dalail al Nubuwwah (jilid 5, H: 489), beliau tidak meriwayatkan hadith-hadith yang maudhu’, sebagaimana yang dijelaskannya di dalam muqaddimah kitabnya. Telah mensohihkannya juga al Qustallani dan al Zurqani dalam Syarah al Mawahib al Ladunniyyah, al Subki dalam Syifa’ al Saqqam. Telah berkata al Hafiz al Haithami: Al Tabrani telah meriwayatkannya dalam al Ausot dan al Soghir, beliau berkata: Dan di dalam perawinya terdapat orang yang tidak saya kenali. (Majma’ al Zawaid Jld 8, H: 253.)

Hadith ini juga telah diriwayatkan dengan jalan yang lain, iaitu daripada Ibnu ‘Abbas  dengan lafaz: “Jika tidak kerana Muhammad, Aku tidak mencipta Adam, dan jika tidak kerana Muhammad, tidak Aku jadikan syurga dan neraka.” (Hadith ini telah diriwayatkan oleh al Hakim di dalam al-Mustadrak (2/615) dan beliau berkata: Sanadnya adalah sohih, telah disohihkannya juga oleh Syeikh al Islam al Balqini di dalam Fatawanya, diriwayatkannya juga oleh Syeikh Ibnu al Jauzi di dalam al Wafa pada awal kitabnya dan telah dinaqalkannya oleh Ibnu Kathir di dalam al Bidayah (1/81).

Hadith ini adalah di antara hadith yang dibincangkan oleh sebahagian ulama’ tentang darjat dan kedudukannya. Sebahagian ulama’ menolaknya dan mengklasifikasikan hadith ini dalam kategori hadith maudhu’(palsu atau rekaan), seperti al-Zahabi dan lain-lainnya. Sebahagiannya pula menilai kedudukan hadith ini sebagai hadith dha’if, dan sebahagian yang lain pula menilainya sebagai hadith munkar.

Dari pendapat di atas, jelaslah bahawa mereka tidak sependapat meletakkan satu hukum mengenai kedudukan hadith ini. Permasalahan yang timbul ialah di sekitar perbahasan sama ada ternafi atau thabitnya hadith ini, atau ia ditolak atau pun diterima. Kesemuanya bergantung kepada perselisihan mereka dalam meletakkan darjat hadith tersebut. Kesimpulannya, permasalahan ini menyentuh tentang aspek sanad dan penetapan hadith tersebut.

Adapun dari aspek makna, kita serahkan kepada Ibnu Taimiyyah untuk membicarakannya kepada kita. Ibnu Taimiyyah telah meriwayatkan dua hadith dalam tajuk ini dan beliau mengetengahkan kedua-dua hadith tersebut sebagai mendukung hadith tawassul Nabi Adam AS. Hadith ini menguatkan hadith sebelumnya dan kedua-dua hadith ini seperti pentafsir bagi hadith-hadith yang sohih. (Kerana kesuntukan ruang kita tidak menukilkan hadith-hadith tersebut di sini. Sila rujuk sumbernya di Fatawa Ibnu Taimiyyah Jld 2 H: 150)

Saya (Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al Maliki RH) berkata: “Ini menunjukkan bahawa, di sisi Ibnu Taimiyyah hadith tawassul Nabi Adam AS boleh didokong. Ini menandakan bahawa ia bukanlah hadith maudhu’, kerana di sisi ahli hadith, hadith maudhu’ atau batil tidak boleh didokong dengan hadith-hadith yang lain. Kita sendiri telah lihat bahawa Syeikh Ibnu Taimiyyah telah mendatangkan hadith-hadith yang mendokong hadith di atas sebagai pentafsiran (terhadap hadith tawassul Nabi Adam AS).”

Maka dapat disimpulkan di sini bahawa terdapat sandaran yang kuat bagi menyokong thabitnya bertawassul dengan Nabi SAW sebelum kelahiran Baginda SAW sendiri dari perbuatan yang diriwiyatkan daripada Saidina Adam AS. Antara ulama yang mendokong pandangan ini ialah Ibnu Taimiyah sendiri yang merupakan antara rujukan utama kelompok yang memandang serong terhadap tawassul. Insya Allah di minggu yang mendatang kita akan menyambung lagi sudut bahasan ini.