Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Tawassul, ziarah dan kisah al-'Utbi - Utusan 29/3/2011

Posted by Unknown - -

Jika di minggu yang lepas kita telah merenung peristiwa sejarah Saidina Umar dan umat Islam dizamannya bertawassul dengan al-`Abbas RA, pada kali ini mari kita melihat pula satu lagi peristiwa sejarah yang lebih masyhur sebagai kisah `Utbi. Berkata al-Imam al-Hafiz Syeikh ‘Imaduddin Ibnu Kathir: Telah menyebut suatu jema’ah; di antara mereka ialah Syeikh Abu Mansur al-Sobbagh di dalam kitabnya al-Syamil tentang hikayat yang masyhur mengenai ‘Utbi, yang menceritakan:

Ketika aku sedang duduk di sisi maqam Nabi SAW, datang seorang Arab Dusun lalu mengucapkan: “Salam sejahtera ke atasmu, wahai Rasulullah SAW! Aku telah mendengar Allah SWT berfirman: “Seandainya mereka telah menganiaya diri mereka (membuat dosa), lalu mereka datang kepadamu (Nabi Muhammad SAW) dan memohon keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan bagi mereka, nescaya mereka akan mendapati Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (al-Nisa`: 64) Sesungguhnya aku datang kepadamu kerana memohon keampunan dari segala dosaku, dan mengharapkan syafa’atmu kepada Tuhanku.”

Setelah itu, Arab Dusun tersebut mendendangkan beberapa bait syair: “Wahai penghuni kuburan yang tulang-belulangnya di tanah yang suci ini, kerana kandungannya yang baik, tanah dan bukitnya juga dipuji.”“Jiwaku sedia berkorban terhadap orang yang mendiami kuburan ini, yang bersifat bersih diri, murah hati lagi dihormati.” Kemudian orang Arab Dusun itu beredar dari situ. Peristiwa tersebut terbawa-bawa dalam tidurku. Lalu aku bermimpi melihat Nabi SAW bersabda kepadaku, “Wahai ‘Utbi! Pergi dapatkan lelaki itu dan sampaikan berita gembira kepadanya, bahawa Allah telah mengampunkan dosanya.”

Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya yang dikenali dengan al-Idhah (ms. 498). Ia juga diriwayatkan oleh al Hafiz ‘Imaduddin Ibnu Kathir di dalam Tafsirnya yang begitu masyhur ketika mentafsirkan ayat di atas. Kisah ini turut diriwayatkan oleh Syeikh Abu Muhammad Ibnu Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni (jilid 3, ms.556). Ia juga dinaqalkan oleh Syeikh Abu al Farj Ibnu Qudamah di dalam kitabnya al-Syarh al-Kabir (Jilid 3, ms.495). Selain itu, ia juga dinaqalkan oleh Syeikh Mansur ibn Yunus al-Buhuti di dalam kitabnya yang dikenali dengan Kasyshaf al-Qina’; salah sebuah kitab termasyur dalam mazhab Hanbali (Jilid 5, ms.30).

Imam al Qurtubi, seorang ulama’ besar yang menjadi sandaran ahli Tafsir, menyebut kisah yang hampir sama di dalam tafsirnya yang terkenal, al-Jami’ li Ahkam al-Quran.

Beliau berkata: Telah meriwayatkan Abu Sodiq daripada Ali berkata:
“Telah datang kepada kami seorang Arab Dusun selepas tiga hari kami mengkebumikan jenazah Rasulullah J. Dia melemparkan dirinya di sisi maqam Rasulullah S dan melumurkan debu-debunya di atas kepalanya. Lalu dia berkata, “Engkau telah bersabda, wahai Rasulullah! Dan Aku telah mendengar sabdamu itu. Aku telah mengingatinya daripada Allah dan daripadamu (ayat tersebut). Antara yang diturunkan oleh Allah kepadamu: “Seandainya mereka telah menganiaya diri mereka (membuat dosa), lalu mereka datang kepadamu (Nabi Muhammad SAW) dan memohon keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan bagi mereka, nescaya mereka akan mendapati Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

“Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dan aku datang kepadamu untuk meminta agar engkau memohon keampunan untukku.” Lalu berseru suatu suara dari Maqam, “Sesungguhnya kamu telah diampunkan.” (Al-Jami` li al-Ahkam al-Quran, Jilid 5, ms. 265)

Inilah kisah al ‘Utbi, dan mereka yang telah disebutkan di atas adalah ulama’ yang telah menaqalkan kisah ini; sama ada dengan sanad yang sohih atau pun dha’if; yang boleh menjadi sandaran para ahli hadith di dalam menentukan suatu khabar. Maka kita ingin bertanya, adakah para tokoh ulama ini menaqalkan sesuatu yang menimbulkan kekufuran dan kesyirikan? Atau, apakah mereka menaqalkan sesuatu yang membawa kepada penyembahan berhala dan peribadatan kepada kubur? Jika perkara tersebut sedemikian, maka apakah wajar diletakkan kepercayaan kepada mereka atau kepada kitab-kitab mereka? Sedangkan kita semua maklum kedudukan mereka dan kitab-kitab mereka ini di sisi umat Islam. “Maha Suci Engkau, ya Allah! Ini adalah satu pembohongan yang besar.”

Sebagaimana yang lepas, disebutkan dua bait syair yang didendangkan oleh orang Arab Dusun tersebut ketika menziarahi Nabi SAW. Ia diriwayatkan oleh al ‘Utbi, seperti berikut: “Wahai penghuni kuburan yang tulang-belulangnya di tanah yang suci ini, kerana kandungannya yang baik, tanah dan bukitnya juga dipuji.”“Jiwaku sedia berkorban terhadap orang yang mendiami kuburan ini, yang bersifat bersih diri, murah hati lagi dihormati.”

Bait syair ini, dengan kurniaan Allah tertulis di bahagian hadapan maqam Nabi SAW yang mulia; di tiang yang terdapat di antara tingkap bilik maqam Rasulullah SAW. Tulisan itu boleh dilihat oleh semua, yang mulia mahupun hina sejak beratus-ratus tahun hingga zaman kita ini. Ia mengingatkan sekalian yang hadir tentang betapa mulianya maqam yang sedang diziarahi oleh mereka yang menziarahinya. Secara tidak langsung ia juga mengingatkan kita tentang sikap dan budaya para Salaf dalam menziarahi dan bermuamalah dengan Rasulullah SAW sesudah kewafatan Baginda SAW.

Mereka tidak merasa canggung untuk memuliakan maqam Rasulullah SAW. Tidak kekok untuk berbahasa dengan Baginda SAW dengan nama panggilan pertama, sama seperti bicara mereka dengan Baginda ketika hayat Baginda SAW. Tidak melepaskan peluang ziarah yang mulia itu untuk mengadu dan memohon bantuan dan syafa`at Baginda SAW sebagai wasilah mereka yang paling ampuh kepada Allah SWT. Pendek kata, mereka tidaklah cenderung untuk mengaitkan ziarah maqam yang paling mulia itu dengan gejala kesyirikan, bid`ah mahupun kesesatan.

Maka di musim umat Islam berziarah ke Tanah Suci ini, marilah kita memperbetulkan kefahaman kita tentang empunya maqam yang kita ziarahi di kota Madinah yang bercahaya itu. Janganlah dalam kita membawa jasad kita menghampiri Nabi SAW, hati kita dipenuhi dengan pra-sangka dan salah-sangka yang pada hakikatnya lebih menjauhkan diri kita daripada hadrat Nabi SAW lantas menjauhkan pula kita dengan Allah SWT. Bersiaplah dan berziarahlah sebagaimana tuan-tuan menziarahi Nabi SAW yang hidup dan bersemayam atas takhta kenabian Baginda SAW. Kerana itulah hakikatnya dan Baginda SAW amat sedar dan tahu tentang setiap yang menziarahinya, mengucap selawat dan salam ke atasnya dan merindui Baginda SAW.