Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Tawassul Sayyidina Umar dengan Sayyidina Al-Abbas radhiyallahu 'anhuma-Utusan 21/3/2011

Posted by Tengku Ahmad Saufie - -

Kisah masyhur ini penting untuk kita renungi secara khusus kerana ada di sana mereka yang mendakwa bahawa ia hanya dalil membolehkan tawassul dengan seorang yang masih hidup. Manakala bertawassul dengan seorang yang telah mati dikatakan salah dan membawa kepada syirik.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sohihnya, daripada Anas RA berkata: “Bahawa Umar ibn al Khattab RA apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas ibn Abdul Muttalib RA, dengan doanya: “Ya Allah! Sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan NabiMu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Sekarang, kami bertawassul pula dengan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.”

Al-Zubair ibn Bikar telah meriwayatkan kisah ini di dalam al-Ansab dari beberapa jalan dan jalan perawi yang lain; yang meriwayatkan kisah ini dengan lebih ringkas. Daripada Abdullah ibn Umar RA berkata:Umar ibn al Khattab  telah meminta diturunkan hujan pada tahun al-Ramadah dengan kemuliaan ‘Abbas ibn Abdul Muttalib RA. Dinamakan Ramadah kerana banyaknya debu-debu yang beterbangan akibat terlalu lama tidak turun hujan. Lalu Umar RA berucap kepada orang ramai:

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Rasulullah SAW memandang (menghormati) Abbas RA sebagaimana seorang anak memandang (menghormati) bapanya. Maka ikutlah wahai sekalian manusia cara Rasulullah S menghormati bapa saudaranya, ‘Abbas  dan jadikanlah dia sebagai wasilah kepada Allah. Berdoalah, wahai ‘Abbas!”

Di antara doa ‘Abbas RA ialah: “Ya Allah! Sesungguhnya bala tidak akan turun melainkan kerana dosa dan ia tidak akan lenyap melainkan dengan taubat. Sesungguhnya umat ini telah bertawajjuh denganku kepadaMu kerana kedudukanku di sisi NabiMu SAW, dan ini adalah tangan-tangan kami yang melakukan dosa-dosa meminta kepadamu, sedang ubun-ubun kami tunduk kepadaMu dengan taubat. Maka siramilah kami dengan hujan dan peliharalah, ya Allah! Nabi kami SAW pada bapa saudaranya.”

Maka langit menjadi mendung seperti bukit dan menurunkan hujan hingga tanah menjadi subur dan manusia dapat meneruskan kehidupan mereka. Maka ramailah orang menemui ‘Abbas RA menyapu jasadnya yang mulia (sebagai tanda terima kasih). Mereka berkata kepadanya, “Berbahagialah kamu, wahai penyiram al Haramain.” Umar RA berkata berikutan hal tersebut, “Demi Allah! Dia (‘Abbas RA) adalah wasilah kami kepada Allah dan orang yang mempunyai kedudukan di sisi Nabi SAW.

Sebenarnya, Umar RA berhak mengimamkan orang ramai untuk memohon diturunkan hujan kepada mereka. Namun, Umar RA mendahulukan ‘Abbas RA untuk meminta hujan kerana membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dan memuliakan keluarganya. Beliau mendahulukan bapa saudara Nabi SAW daripada dirinya sendiri untuk mencapai sebaik-baik tawassul dengan Rasulullah SAW mengikut apa yang termampu. Beliau juga menggalakkan orang ramai menjadikan ‘Abbas RA sebagai wasilah mereka kepada Allah. Maka beliau meminta diturunkan hujan bagi mereka di tempat solat Nabi SAW untuk mencapai cara yang terbaik dalam mengagungkan Rasulullah SAW dan menguatkan kelebihan ahli baitnya.

Sikap Umar RA ini jelas dalam doanya yang bermaksud, dahulu kami bertawassul kepadaMu dengan cara Rasulullah SAW keluar bersama orang ramai ke tempat solat, doa Baginda SAW untuk mereka dan solat yang Baginda SAW lakukan bersama mereka. Tetapi sekarang, oleh kerana cara itu tidak dapat dilakukan lagi disebabkan Baginda SAW telah wafat, maka saya mendahulukan insan yang terdiri dari kalangan ahli baitnya (mengimamkan solat kami) agar doa kami lebih diharapkan mendapat penerimaan dan mustajab daripada Allah.

‘Abbas RA juga ketika berdoa, dia bertawassul dengan Rasulullah SAW sebagaimana doanya: “Umat ini telah mendekatiMu dengan bertawassul denganku kerana kedudukanku di sisi NabiMu SAW (sebagai bapa saudaranya). Maka peliharalah, ya Allah! NabiMu pada bapa saudaranya.” Maksudnya, terimalah doaku kerana NabiMu SAW.


align="justify">Persoalan ini termasuk dalam permasalahan istisqa’ (memohon diturunkan hujan). Ia tiada kaitan dengan tawassul yang baru sahaja kita bicarakan sebentar tadi dan diperselisihkan. Ini adalah perkara yang diketahui oleh mereka yang mempunyai dua mata, kerana kisah ini menunjukkan dengan jelas bahawa mereka telah ditimpa kemarau dan berhajat untuk meminta pertolongan dengan melakukan solat istisqa’ (minta hujan). Untuk mendirikannya, sudah tentu memerlukan kepada seorang imam yang akan solat dengan mereka, berdoa untuk mereka dan mendirikan syiar Islam ini yang pernah ditegakkan oleh Nabi SAW ketika berada di alam pentaklifan (dunia) seperti syiar-syiar agama yang lain; menjadi imam, solat Jumaat dan berkhutbah. Kesemuanya ini adalah tugasan dalam pentaklifan yang tentu sahaja tidak boleh didirikan oleh penghuni alam barzakh kerana telah terputusnya pentaklifan daripada mereka dan kesibukan mereka dengan sesuatu yang lebih besar daripada itu.

Orang yang memahami bahawa Umar RA hanya bertawassul dengan ‘Abbas RA dan tidak bertawassul dengan Rasulullah SAW kerana ‘Abbas RA masih hidup dan Nabi SAW telah wafat, adalah orang yang telah mati kefahamannya, dikuasai oleh keraguannya dan hanya mengajak dirinya menilai dengan kejahilannya yang nyata. Atau pun, dia telah dikuasai oleh sifat ekstrim dengan pendapat sendiri yang ada dalam dirinya. Sesungguhnya Umar RA bertawassul dengan ‘Abbas RA hanya kerana hubungan kerabat yang dimiliki oleh ‘Abbas RA dengan Rasulullah SAW, sebagaimana yang ditunjuki di dalam doanya, “Sesungguhnya kami bertawassul kepadaMu dengan kemuliaan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.” Dengan doanya itu, dia telah bertawassul dengan Rasulullah SAW melalui cara yang paling baik.

Sesungguhnya telah melencong terlalu jauh, orang yang melemparkan tuduhan syirik ke atas orang-orang Islam disebabkan perbuatan tersebut, sedangkan dia mengharuskan tawassul dengan orang hidup. Sekiranya bertawassul itu adalah syirik, sudah tentu ia tidak harus; tidak kira dengan kemuliaan orang yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia. Bukankah adanya kepercayaan sifat rububiyyah (ketuhanan) dan melayakkan peribadatan kepada selain Allah; sama ada kepada nabi, malaikat atau wali adalah perbuatan syirik dan kufur; tidak boleh dilakukan tanpa mengira sama ada ketika hidupnya di dunia atau di akhirat? Adakah kita pernah mendengar seseorang berkata: Sesungguhnya mengi’tiqadkan sifat rububiyyah kepada selain Allah, adalah harus jika ia masih hidup, tetapi syirik jika ia telah mati?!

Maka ketahuilah bahawa menjadikan insan yang dimuliakan sebagai wasilah kepada Allah bukan bermakna menyembah wasilah tersebut kecuali apabila dia mengi’tiqadkan bahawa wasilah itu adalah Tuhan sebagaimana keyakinan penyembah-penyembah berhala terhadap berhala-berhala sembahan mereka. Apabila orang yang bertawassul tidak ada keyakinan sedemikian, maka dia melakukannya kerana diperintahkan oleh Allah supaya mengambil wasilah. Dari yang demikian, maka mengambil wasilah adalah suatu bentuk ibadah kepada Yang Memerintahkan perkara tersebut, iaitu Allah SWT.