Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Tawassul Dalam Bentuk Seruan-Utusan 15/3/2011

Posted by Unknown - -

Ke arah kesimpulan bicara kita ke arah memurnikan kefahaman tentang Tawassul, kita akan meninjau pula beberapa catatan sejarah bertawassul secara menyeru Nabi SAW atau orang-orang yang mulia di sisi Allah SWT. Sebahagiannya merupakan perbuatan para Sahabat RA. Sebagai anak buah didikan Rasulullah SAW, sudah tentu mereka ini boleh dijadikan ikutan kita dalam memahami persoalan agama seumpama ini.
Semboyan Perang “Wahai Muhammad!

Suatu contoh yang menarik ialah Tawassulnya tentera Muslimin dengan menyeru nama Nabi SAW dalam peperangan Yamamah, iaitu peperangan dengan tentera Nabi palsu, Musailamah al-Kazzab. Ibnu Kathir menyebut bahawa syiar atau slogan orang-orang Islam dalam peperangan Yamamah ialah: “Ya Muhammadaah!” (Wahai Nabi Muhammad! Tolonglah!).

Beliau berkata sebagaimana nasnya: Khalid ibn al-Walid RA membawa bendera hingga berjaya melintasi kawasan musuh. Setelah itu, beliau melalui bukit, dan memerhatikan bagaimana caranya beliau dapat sampai dekat dengan Musailamah al-Kazzab dan membunuhnya. Kemudian beliau kembali semula kepada barisan tentera. Lalu beliau berhenti di antara dua saf tentera dan berseru untuk berlawan seorang dengan seorang dari kalangan tentera musuh, “Aku adalah putera al Walid yang datang semula, aku adalah putera ‘Aamir dan Zaid.” Kemudian dia melaungkan syiar kaum Muslimin iaitu, “Ya Muhammadaah!” (Al-Bidayah wa al-Nihayah: 6/324). Jelas dari peristiwa ini bahawa para Sahabat tidak merasa kekok untuk menggunakan seruan ini walaupun ia seolah-olah merupakan suatu permohonan langsung kepada Nabi SAW untuk membantu mereka dalam peperangan tersebut. Pada hakikatnya mereka tidaklah mengharap selain bantuan Allah SWT dengan keberkatan atau perantaraan Rasulullah SAW. Seruan itu juga sebagai himbauan inspirasi dan semangat jihad yang pernah mereka lalui bersama Rasulullah SAW.

Menyeru Nama Nabi SAW Untuk Berubat


Daripada al-Haitham ibn al-Khannas berkata: Pada suatu hari, ketika kami bersama Abdullah ibn Umar RA, kakinya terasa kejang. Lalu seorang lelaki berkata kepadanya, “Sebutlah nama manusia yang paling kamu kasihi.” Maka dia menyebut, “Wahai Muhammad!” Maka kekejangan kakinya pun sembuh.
Dalam satu riwayat daripada Mujahid: Pada suatu hari kaki seorang lelaki menjadi kebas ketika sedang bersama Ibnu Abbas RA. Maka Ibnu Abbas RA berkata kepadanya, “Sebutlah nama orang yang paling kamu kasihi.” Maka dia berkata, “Muhammad.” Rasa kebas kakinya tiba-tiba hilang. (Kisah ini ada di sebut oleh Ibnu Taymiyyah dalam al-Kalim al-Toyyib, bahagian 47, H: 165) Maka ini juga adalah tawassul dalam bentuk seruan.

Seruan Kepada Selain Nabi SAW


Daripada Utbah ibn Ghazwan daripada Nabi Allah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu kehilangan sesuatu, atau inginkan pertolongan, sedangkan ketika itu dia berada di tanah (kawasan) yang tiada berpenghuni, maka hendaklah dia mengucapkan, “Wahai hamba Allah! Bantulah aku.” Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang tidak dapat kita lihat.” Amalan tawassul ini didapati mujarab.(Riwayat al-Tabrani, sebahagian rijalnya dhaif).

Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai beberapa malaikat di bumi selain malaikat Hafazah yang ditugaskan mencatat daun pokok yang gugur. Maka apabila seseorang kamu berdepan dengan kesulitan di kawasan bukit tinggi di padang sahara, hendaklah berseru, “Wahai hamba-hamba Allah! Bantulah aku” (Riwayat al-Tabrani, rijalnya thiqah).

Daripada Abdullah ibn Mas’ud RA berkata: Sabda Rasulullah SAW : ِ"Apabila binatang peliharaan kamu terlepas di tanah lapang, maka hendaklah kamu berseru, “Wahai hamba-hamba Allah! Tahanlah ia. Wahai hamba-hamba Allah! Tahanlah ia”, kerana Allah mempunyai makhluk yang hadir di muka bumi yang akan menahannya.”(Abu Ya`la dan al-Tabrani) Walaupun ada kelemahan dalam sanad sebahagian hadis-hadis ini, tetapi ia saling sokong menyokong.

Nabi SAW Berdoa dengan Seruan

Nabi SAW juga pernah bertawassul dalam bentuk seruan. Dinyatakan di dalam hadith, bahawa Rasulullah SAW berdoa selepas solat Fajar dua raka’at: “Ya Allah! Wahai Tuhan Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad! Aku berlindung denganMu daripada api neraka.”

Al-Nawawi berkata di dalam al-Azkar: Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibnu al Sunni, telah berkata al Hafiz setelah mentakhrijnya: Ia adalah hadith hasan. (Ibnu Allan, Syarah al-Azkar, Jilid 2 H: 139)

Pengkhususan sebutan mereka dalam erti kata bertawassul dengan mereka, seolah-olah Baginda SAW bersabda, “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan bertawassul kepadaMu dengan kemuliaan Jibril, Israfil….hingga akhirnya.
Ibnu ‘Allan telah mengisyaratkan kepada makna ini di dalam syarahnya, dengan katanya: Bertawassul kepada Allah dengan kemuliaan qudrat ruh-ruh yang hebat ini; yang dikaitkan dengan kehidupan; mempunyai kesan yang besar kepada terhasilnya hajat-hajat dan tercapainya keinginan-keinginan yang penting. Begitu juga penjelasan Ibnu ‘Allan di dalam Syarh al Azkar, tentang pensyariatan tawassul, beliau berkata sebagai memberikan komentar terhadap hadith,

“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan kemuliaan orang-orang yang memohon.”

Di dalam hadith ini terdapat keharusan bertawassul dengan kemuliaan orang-orang yang mulia secara umum dari kalangan orang-orang yang meminta (kepada Allah), dan juga orang-orang yang seperti mereka, lebih-lebih lagi lah para Nabi dan juga Rasul. Maka bolehlah disimpulkan bahawa bertawassul dalam bentuk menyeru nama Nabi SAW atau orang-orang yang disepakati kemuliaan mereka disisi Allah SWT adalah dibolehkan dalam Islam. Tinggal lagi perbuatan ini haruslah disertai dengan keyakinan yang murni bahawa pada tahap yang sebenar, kuasa membantu dan menolong seseorang hanyalah milik Allah SWT.