Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Dosa, Ibarat Anai-Anai

Posted by Unknown - -



BismiLlahi Wassolatu Wassalam 'ala RasulIllah wa 'ala Aalihi wa Man Waalah..


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dengan pujian yang layak bagiNya, Yang Maha Suci dari segala kekurangan, yang telah menciptakan pahala dan dosa sebagai kemurahan dan ke'adilanNya. Selawat dan Salam keatas junjungan besar Baginda s.a.w., yang diutuskan untuk memimpin manusia dengan jalan kasih sayang, yang telah diutuskan Allah sebagai rahmat kepada sekalian alam, memimpin manusia ke jalan yang lurus dan menjauhkan manusia dari jalan yang dimurkaiNya.

Apabila kita menyentuh tentang anai-anai, pasti kita akan terbayang tentang serangga yang biasanya mendiami dalam kayu atau tanah. Anai-anai menurut kamus dewan merujuk kepada “Serangga seperti semut, putih warna­nya, membuat sarang dalam tanah atau kayu (makanan utamanya kayu), dan tergolong dalam order Isoptera”[1].

Ia tergolong dalam golongan serangga perosak, yang mana kebiasaannya akan mendatangkan kerosakan pada kediaman, dokumen, dan apa sahaja yang boleh dirosakkannya. Apabila ia melakukan kerosakan, tidaklah kita mengetahuinya melainkan setelah kerosakan itu telah parah. Walaupun begitu, di habitat semula jadi serangga ini, ia memainkan peranan penting sebagai pengurai kepada kayu-kayu dan daun-daun di dalam hutan.

Begitulah keindahan ciptaan Allah s.w.t., yang mana menciptakan segala sesuatu tanpa sia-sia. Firman Allah s.w.t.;
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”.[2]

Dosa

Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa, melainkan para anbiya yang dipelihara(ma’sum) Allah s.w.t. sejak kecil. Itulah yang menjadi pegangan kita sebagai golongan Ahlu Sunnah wal-Jama’ah di dalam ‘aqidah. Seseorang yang menjaga dirinya daripada melakukan dosa besar, terkadang tidak terlepas dari melakukan dosa kecil. Apatah lagi, dosa kecil itu boleh menimpa kita secara sedar atau tidak sedar, sengaja ataupun tidak sengaja. Melainkan orang yang dijaga(mahfuz) oleh Allah s.w.t. seperti golongan kekasihNya yang terdiri dari auliyaNya.

Dosa itu bukanlah tanda ketidak-sempurnaan seseorang disisi Allah. Boleh jadi, dengan sebab dosa yang ditimpakan keatas seseorang hamba, semakin mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t.. Dan boleh jadi orang yang sentiasa melakukan keta’atan, akan tetapi dia merasakan dirinya mulia dan sombong kepada hamba Allah yang lain, maka menjadi asbab kepada mendapat kemurkaan Allah, dan jauh dari rahmatNya.

Tidakkah kita membaca kisah-kisah orang soleh terdahulu? Betapa ramai dari mereka yang merupakan golongan yang sentiasa melakukan dosa, akan tetapi dibuka pintu oleh Allah s.w.t., lalu bertaubat dari kelakuan mereka sebelum itu dan menjadi golongan yang dimuliakan Allah.

Bahkan Baginda s.a.w. sendiri, yang terpelihara daripada dosa sentiasa beristirgfar kepada Allah s.w.t. setiap pagi dan petang. Maka, apakah yang menghalang kita daripada beristirgfar kepadaNya, sedangkan pintu keampunanNya sentiasa terbuka untuk kita.

Maka, janganlah dibiarkan sekecil dosa yang disedari mahupun tidak disedari menyelubungi kita, kalau tidak, suatu masa nanti ia akan membinasakan diri kita.

Anai-Anai Dan Dosa

Pasti kita mengetahui, anai-anai apabila menyerang suatu tempat, contohnya rumah, kebiasaannya pemilik rumah tersebut tidak menyedari kehadiran serangga perosak tersebut melainkan kerosakan yang disebabkan oleh serangga itu sudah ditahap yang teruk. Anai-anai yang memang suka memakan kayu, akan merosakkan kayu tersebut dari dalam secara senyap dan hanya disedari kerosakannya setelah ianya rapuh. Apabila kita sedari akan hal ini, maka kita sudah tidak dapat menyelamatkan barang yang telah dirosakkan oleh anai-anai itu.

Bayangkan para pembaca yang budiman sekalian, walaupun saiz anai-anai itu kecil, akan tetapi kesan kemusnahan yang dilakukan amatlah dasyat sehingga dapat merobohkan rumah yang besar, dan pokok kayu yang berdiri teguh.

Begitulah perumpaan terhadap dosa walaupun sekecil dosa yang menimpa kita secara sedar ataupun tidak. Kita tidak terpelihara daripada melakukan dosa besar, apatah lagi dosa kecil. Apabila hati kita tidak memerhatikan ketidak-sempurnaan diri, maka kita tidak akan dapat melihat ke’aiban serta kelemahan diri kita.

Anai-anai yang kecil boleh merobohkan rumah, begitulah dosa-dosa yang kecil juga boleh membinasakan diri seseorang mukmin. Apatah lagi apabila kita hanya memandang dosa kecil itu kecil, seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan terhadap diri kita. Sedangkan dosa yang kecil, apabila dibiarkan, maka ia boleh menggelapkan hati. Hati yang gelap tidak akan membawa kepada keta’atan, sebaliknya menyenderungkan hati kita untuk menyukai perkara yang dibenci oleh Allah s.w.t.. Setelah itu, kita semakin cenderung melakukan perkara yang lebih teruk dan sukar untuk meninggalkan dosa-dosa besar, melainkan dengan rahmat Allah s.w.t..

Lazimilah Istirgfar

Lihatlah kehidupan kita, sudah banyak mana dosa yang kita lakukan secara sedar ataupun tidak. Sedangkan kalau bukan kerana rahmat Allah s.w.t., nescaya dengan segala dosa itu, kita akan hidup dalam keadaan yang amat menyeksakan. Lihatlah sebagaimana yang diperkatakan seorang penyair yang terkenal, merupakan ulama’ yang hampir dengan Allah s.w.t., memperihalkan dalam munajatnya berkenaan dengan bala dan segala kesusahan yang menimpa berpunca dari dosa yang telah dilakukan kita iaitu al-Imam al-‘Arif Billah Sidi ‘Umar Ibn Muhammad al-Bakri al-Yaafi qaddasAllahu sirrahu;


جَهْدُ البَلَا حَلَّ بِنَا****ضَاقَ الفَلَا مِنْ كَرْبِنَا
وَكُلُّ ذَا مِن ذَنْبِنَا****فَهُوَ الَّذِي طَمَسَ الفُؤَاد
Maksudnya:
Bala yang berat layak bagi kami,
Telah sempit segala tempat kerana penderitaan kami,
Dan semua ini adalah dari dosa-dosa kami,
Yang ia membutakan hati kami.[3]

Oleh kerana bahayanya dosa yang kecil, terlebih lagi dosa tersebut boleh menimpa tanpa kita sedari, para kekasih Allah amat risau akan perihal diri mereka di sisi Allah s.w.t.. Hati mereka begitu sentitif, dan takut apakah ketentuan Allah s.w.t. terhadap diri mereka, maka mereka sentiasa melazimkan lidah mereka untuk sentiasa beristirgfar pada setiap waktu sebagai tanda mengharap rahmat Allah s.w.t..

Begitulah contoh yang ditunjukkan oleh seorang auliya Allah yang masyhur, iaitu al-Imam al-Qutb fi zamanihi, as-Sayyid Ahmad Ibn Idris qaddasAllahu sirrahu, yang meluahkan satu munajat yang amat indah maknanya, menzahirkan kehambaan diri dan mendekatkan ubudiyyah kepada Allah. munajat tersebut dikenali sebagai “al-Istirgfar al-Kabir” yang sentiasa diamalkan oleh para kekasih Allah yang sentiasa dekat denganNya;
أستغفر الله العظيم, الذي لا إله إلا هو الحي القيوم, غفار الذنوب ذا الجلال و الإكرام , و أتوب إليه من جميع المعاصي كلها و الذنوب و الآثام, و من كل ذنب أذنبته عمداً و خطأ, ظاهراً و باطناً , قولاً و فعلاً , في جميع حركاتي و سكناتي و خطراتي و أنفاسي كلها, دائماً أبداً سرمداً , من الذنب الذي أعلم ومن الذنب الذي لا أعلم , عدد ما أحاط به العلم و أحصاه الكتاب, و خطه القلم , وعدد ما أوجدته القدرة و خصصته الإرادة , و مداد كلمات الله, و كما ينبغي لجلال وجه ربنا و جماله و كماله, و كما يحب ربنا و يرضى
Maksudnya: “Aku memohon keampunan kepada Allah Yang Maha Agung; Yang tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri dengan sendirinya; Maha Pengampun segala dosa; Yang Memiliki keagungan dan kemulian. Aku bertaubat kepadaNya dari segala perbuatan maksiat, dosa dan kesalahan, dari segala dosa yang telah aku lakukan sama ada dengan sengaja atau pun tidak, yang zahir mahupun yang batin, pada perkataan mahupun perbuatan, dalam setiap pergerakan dan diamku, yang terlintas di benak hatiku ataupun yang wujud di dalam hembusan nafasku; semuanya untuk selama-lamanya. Tidak kira sama ada dosa-dosa yang aku ketahui atau tidak aku ketahui, sebanyak mana yang dicakupi (diketahui) oleh Ilmu Allah; yang dihitung oleh buku amalan dan yang dicatat oleh pena. Sebanyak mana yang diwujudkan oleh Kekuasaan Allah, yang dituntut oleh kehendakNya dan sebanyak tinta kalimah-kalimah Allah sepertimana yang selayaknya bagi kebesaran Zat Tuhan kami, keelokanNya, kesempurnaanNya dan seperti mana yang dikasihi oleh Tuhan kami dan yang diredhai-Nya”.

Wahai pembaca budiman, sesungguhnya dosa itu penghalang untuk merasai kemanisan dekat dengan Allah, akan tetapi istirgfar itu adalah pembuka pintu kemanisan. Lazimilah istirgfar, kerana ia menjernihkan hati, lalu membuahkan akhlaq mahmudah(yang terpuji) sebagaimana akhlaq Baginda s.a.w.. Bahkan dengan istirgfar, akan terbuka pintu keredhaan Allah, kesenangan dan segala kebaikan dunia dan akhirat, sebagaimana firman Allah s.w.t.;
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا. يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا. وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا.
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)”.[4]

Baginda s.a.w. dididik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi hambaNya yang tawadhu’, yang sentiasa memandang kepada rahmat Tuhannya, walaupun 1001 keistimewaan yang diberikan Allah s.w.t. kepada Baginda s.a.w.. Oleh demikian itu, Allah s.w.t. memerintahkan Baginda s.a.w. untuk bertasbih dan beristirgfar kepadaNya sebagaimana firman Allah s.w.t.;
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ. وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا. فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا.
Maksudnya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat”.[5]

Sebaik-baik manusia yang menjadi hamba Allah s.w.t. ialah mereka yang mana senantiasa mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t. dengan memperbanyakkan istirgfar dan taubat, kerana mengetahui kelemahan diri sebagai manusia yang sering melakukan dosa dan kesilapan. Sebagaimana yang disabdakan Baginda s.a.w.;
التَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ
Maksudnya: “Orang yang bertaubat daripada dosa, bagaikan orang yang tiada dosa(terhapus dosanya)”.[6]

Bahkan di dalam satu hadith, Baginda s.a.w. pernah bersabda dalam hadith;
لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ أَحَدِكُمْ مِنْ أَحَدِكُمْ بِضَالَّتِهِ إِذَا وَجَدَهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah amat bergembira dengan taubat salah seorang daripada kalian, lebih daripada kalian apabila terjumpa harta yang hilang”.[7]

Pandanglah kepada rahmat Allah s.w.t., kerana Allah tidak pernah sesekali meninggalkan serta membiarkan kita. Ketahuilah bahawa walaupun sebesar mana dosa yang pernah kita lakukan, keampunan Allah itu tidak bersyarat. Sekiranya dosa kita sebesar gunung, nescaya keampunan Allah itu seluas langit. Allah s.w.t. berfirman;
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚإِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai kekasihKu): "Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.[8] 

Beristirgfarlah sebanyak-banyaknya tanpa mengenal siapa diri kita di sisiNya. Sebaik manapun kita, tidak menyebabkan diri kita terhalang dari melakukan dosa walaupun sekecil-kecil dosa. Moga-moga dengan istirgfar itu akan menyebabkan kita mendapat redha Allah s.w.t. yang tidak ternilai harganya, melebihi nilai dunia yang tidak sesekali kekal buat selamanya.

 Allahua'lam bis-Sowab~

Rabu, 4 Desember 2013,
2 Safar 1435 Hijriyyah,
11.50PM



[1] Kamus Dewan Edisi Keempat.
[2] Surah Aali Imran, ayat ke-191.
[3] Do’a Wa Istighatsah Linuzuli al-Ghaits,
[4] Surah Nuh, ayat 10-12.
[5] Surah an-Nasr, ayat 1-3.
[6] Hadith diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Maajah di dalam kitab beliau, Sunan Ibn Maajah, no. 4248 dari Sayidina ‘Abdullah ibn Mas’ud radhiyAllahu ‘anhu.
[7] Hadith diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam Sohehnya, no. 4934 dari Sayidina Abi Hurairah radhiyAllahu ‘anhu.
[8] Surah az-Zumar, ayat ke-53.