Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Adakah aku si "TOLIBUL ILMI"?

Posted by Unknown - -

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد الله رب العالمين, وصلاة واسلام على سيد المرسلين, سيدنا وحبيبنا محمد خاتم النبين, وعلى آله وصحبه وسلم. ولاحول ولاقوة الا بالله العلي العالم العظيم.


Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Berkuasa yang menguasai sekelian alam,dunia dan akhirat. Selawat dan salam keatas junjungan besar kekasih dan penghulu kita, iaitu Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang menjadi harapan dan contoh kepada kita dalam kehidupan seharian, yang mengajarkan kita segala ilmu yang berkaitan dengan akhirat, yang mana dengan ilmu tersebut, kta dapat mengenali Allah dan Islam. Bagindalah sebaik-baik guru yang mendidik dan yang mentarbiah di atas muka bumi ini, baik ketika hidup Baginda sallallahu alaihi wasallam mahupun selepas kewafatannya. Inilah kehebatan Rasulullah yang menandingi segala makhluk yang lain di atas muka bumi ini. Walaupun jasad Baginda sallallahu alaihi wasallam berada di Kota Madinah, tidak lagi berjalan-jalan menyebarkan ilmu seperti zaman kehidupan Baginda 1400 tahun Hijrah dahulu, akan tetapi ilmu yang Baginda tinggalkan tetap berjalan-jalan, disambung-sambung dan diikuti oleh segenap manusia yang menyedari akan tingginya nilai ilmu yang telah diwariskan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.



Saudaraku, sesungguhnya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam diberi ilmu seluas lautan membiru, baik secara langsung dari Allah ataupun melalui perantaraan Jibril a.s. ketinggian ilmu yang ada didalam dada Baginda sallallahu alaihi wasallam amatlah mendalam sehinggakan tidak tercapai oleh akal para sahabat ridwanullahi 'ajma'in mahupun akal kita yang sudah berada di alam yang penuh pengkajian ini, dalam beberapa perkara seperti mengenai masa depan, alam akhirat, dan pelbagai perkara ghaib yang lain. Sesungguhnya ketinggian ilmu mu adalah mukjizat bagi mu, melebihi dari segala Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu. Dan dengan ilmu yang disebarkan olehmu, menjadi rahmat kepada sekalian manusia kerana ilmu adalah pembawa kebaikan.
Sabda Rasulullah:
من يرد الله به خيرا يفقه في الدين
"Barangsiapa yang dikehendaki Allah akan kebaikan, maka akan difahamkannya pada Agama".

Allah berfirman:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
"Tidak Aku utuskan mu (wahai Muhammad) melainkan membawa rahmat kepada sekalian alam"

Dan sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:
عن أبى هريرة رضي الله عنه, عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: انما بعثت رحمة
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:"Sesungguhnya aku diutuskan sebagai rahmat".

Selapas sahaja kewafatan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam segala ilmu yang telah diajari Baginda, terus-menerus disebarkan oleh para sahabat dan begitulah seterusnya sehingga zaman kita ini oleh para ulama'-ulama'. Mereka menyebarkan ayat-ayat Allah dan segala hadith peninggalan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, menerusi segenap zaman dan tempat. Ini adalah kerana mereka menyedari akan kewajipan dan ganjaran menyampaikan ilmu sepertimana sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam:

بلغوا عني ولو آية
"Sampaikan dariku walaupun hanya satu ayat".
نضر الله امرا سمع منا حديثا فحفظه حتي يبلغه غيره, فرب حامل فقه الى من هو أفقه منه

"Allah menyerikan orang yang mendengar suatu hadith daripada kami lalu ia menghafalnya sehingga dia menyampaikan kepada orang lain. Kemungkinan seseorang itu membawa suatu kefahaman kepada orang yang lebih memahami".

ان الله وملآءكته واهل السموات والأرض حتي النملة في جحرها, وحتى الحوت ليصون على معلم الناس الخير
"Sesungguhnya Allah, para malaikat dan ahli langit dan bumi, sehinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara baik kepada manusia".



Ketahuilah ya saudaraku, ilmu Agama adalah satu-satunya warisan yang ditinggalkan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Sesungguhnya Baginda tidak meninggalkan kita akan harta ataupun sesuatu yang lain melainkan hanya mewariskan kepada umatnya ilmu Agama. Sesungguhnya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:
عن أبى الدرداء رضي الله عنه, عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: العلماء ورثة الأنبيا ْ, وان الأنبيا ْ لم يورثوا دينارا و لادرهما, وانما ورثوا العم فمن أخذه أخذ بحظ وافر.
Dari Abu Darda' r.a., Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:"Sesungguhnya para ulama' itu adalah pewaris para Nabi. Nabi-Nabi pula tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya, ia telah mendapat bahagian yang banyak dan sempurna".


Menuntut ilmu agama juga adalah perkara yang amat ditekankan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam keatas setiap Muslimin dan Muslimat yang sempurna aqal mereka berdasarkan hadith Nabi sallallahu alaihi wasallam:-
طلب العلم فريضة على كل مسلم
"Menuntut ilmu itu wajib keatas sekalian Muslim".

Ini adalah kerana dengan ilmu, manusia dapat membezakan perkara yang haq dengan perkara yang batil. Dengan ilmu juga kita dapat memahami tuntutan Agama berdasarkan syariat dan dapat mengelakkan diri kita terjerumus ke dalam lembah kecelakaan. Ilmu yang wajib dipelajari itu pula terbahagi kepada tiga bahagian iaitu; Islam(fiqh), Iman(tauhid), dan Ihsan(tasawwuf). Dengan ilmu juga, Allah mengangkat darjat seseorang itu berdasarkan firmanNya didalam surah al-Mujadalah ayat 11:
وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
"Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat".

Ilmu juga merupakan panduan hidup ataupun nasihat kepada mereka yang mengambil pengiktibaran sepertimana sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:-
عن أبى رقية تميم بن أوس الدري رضي الله عنه: أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: الدين النصيحة, قلنا:لما؟ قال: لله, ولكتابه, ولرسوله, ولأءمة المسلمين, وعامتهم.
Dari Abu Ruqyah Tamim ibn Aus al-Dariyyi r.a.:Sesungguhnya Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:"Agama itu adalah nasihat, kami bertanya: Kepada siapa?. Jawab Baginda: terhadap Allah, dan kitabNya, dan RasulNya, dan pemimpin-pemimpin orang Muslim, dan orang kebanyakkannya".

Maksud nasihat terhadap Allah, kitabNya, RasulNya, ialah kita mengambil pengiktibaran dan pengajaran dari apa yang disampaikan oleh Allah menerusi kitabNya dan pesuruhNya.


Dengan ilmu juga, bukan sahaja bermanfaat di dunia bahkan setelah kita meninggal dunia. Apabila di dunia ini kita mempelajari dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari, nescaya dengan ilmu itu dapat menyelamatkan diri kita ketika berada di alam kubur ketika disoal siasat oleh Malaikat Mungkar dan Nakir yang amat tegas sekali. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:-
اذا مات ابن آدم انقطع عمله الا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينفع به أو ولد صالح يدعوله
"Apabila mati sahaja anak Adam, terputus segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariahnya ataupun ilmu yang bermanfaat(yang diajarkan kepada orang lain ketika hidupnya) atau anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya".


Sesungguhnya tugas dalam menuntut dan menjaga ilmu ini adalah amat berat sekali. Seseorang yang mempelajari ilmu perlu kepada kekuatan dalam bermujahadah, kecerdikan, kekuatan daya ingatan, dan kefahaman yang betul didalam Agama. Mereka yang mempelajari ilmu Agama adalah berbeza darjatnya dengan mereka yang mempelajari ilmu dunia, kerana ilmu yang memimpin kita di hari akhirat nanti adalah ilmu Agama. Akan tetapi, mereka yang telah mempunyai ilmu Agama, kemudiannya mempelajari pula ilmu dunia dan memanfaatkan ilmu itu untuk kepentingan Agama, maka mereka ini lebih mulia disisi Agama kita, sepertimana para ulama'-ulama' terdahulu, seperti al-khawarizmi dan sebagainya. Diibaratkan seperti sebuah kereta, bahagian yang amat penting adalah seperti enjin,tayar,stering,badan kereta, dan sebagainya. Jikalau tiada semua bahagian penting ini, bagaimana pula kereta itu ingin bergerak? Inilah diibaratkan dengan ilmu Agama. Eksesori kereta pula diibaratkan seperti ilmu dunia. Sesebuah kereta tanpa eksesori juga dapat bergerak bebas.



Ketahuilah saudaraku sekalian, mereka yang mempelajari ilmu Agama tidak semestinya mereka itu layak dipanggil "tolibul 'ilmi". Kita lihat pada zaman dahulu, seseorang yang inginkan ilmu agama terpaksa merantau jauh,bermujahadah tinggi, hingga ada yang nyawanya tergadai ketika ingin menuntut ilmu. Begitu tinggi daya usaha mereka dalam ingin mendapatkan ilmu Agama. Pada zaman kita yang penuh canggih ini pula, tolibul 'ilmi begitu mudah mendapatkan ilmu Agama kerana semuanya telah terbentang luas di hadapan mata, lalu mereka tidak perlu khuatir dan hanya perlu dating,duduk dan belajar sahaja tanpa perlu bersusah payah tercari-cari dan mengejar ilmu, sebagaimana para ulama'-ulama' terdahulu. Oleh kerana itulah, kebanyakkan kita yang mempelajari ilmu, tidak pula mengamalkannya, kerana bagi mereka walaupun tidak menyedari, ilmu Agama yang senang didapati, tidak dihargai dan bernilai dengan nilaian yang sepatutnya.

Oleh kerana yang demikian, tidak mustahillah sekiranya ada kalam-kalam dari para ulama' yang mengatakan,"tolibul 'ilmi di zaman sekarang bukanlah tolibul 'ilmi yang dikehendaki(menepati kriteria)". Sehinggakan ada diantara ulama' yang mengatakan bahawa "tidak digelar mereka itu tolibul 'ilmi sehinggakan mereka sentiasa berDhuha, bertahajjud, dan bermimpi berjumpa Rasulullah". Tolibul 'ilmi juga sepatutnya mempunyai akhlak yang bertaraf bintang, kerana kata ulama', "ilmu itu terletak pada adab, barangsiapa yang beradab, maka dibukakan pintu ilmu kepadanya walaupun dia itu penuntut yang lembap". Akan tetapi, kita lihat di zaman sekarang ini, makin ramai tolibul 'ilmi yang berakhlak bukan dengan akhlak Baginda sallallahu alaihi wasallam. Bahkan mereka berakhlak pula dengan akhlak-akhlak seperti mereka yang tidak mengetahui apakah sebenarnya Agama.

Wahai rakan seperjuanganku, kita sendiri menyedari hakikat sebenar akan kebenaran kata-kata ulama' ini. Para ulama' sebelum kita amat kuat berusaha mempelajari ilmu dan amat menghargai ilmu lebih dari segala-galanya kerana mereka mengetahui betapa tingginya nilai sesuatu ilmu yang ada.

Maka aku terfikir sejenak, menghitung diriku yang duduk dilandasan menuntut ilmu. Yang mana aku telah meninggalkan "dunia" dengan berhenti menuntut di sebuah universiti di Malaysia demi mengejar ilmu warisan Baginda sallallahu alaihi wasallam. Akan tetapi, bila aku mendengar kisah-kisah para ulama' dalam mempelajari ilmu Agama, jauh aku tidak layak untuk duduk di landasan ini. Adakah aku boleh menjadi seperti mereka, yang mana hidup mereka menjadi khadam kepada ilmu Agama? Hatiku sentiasa resah, memikirkan dimanakah mujahadah diriku, dan ke"tamak"an diriku dalam mencari ilmu Agama seperti tamaknya qarun alaihi laknatullah pada harta.



Di saat isi dunia timbul membuak-buak di akhir zaman ini, aku juga tenggelam bersamanya. Sesungguhnya amat kuat dugaan para penuntut ilmu warisan sallallahu alaihi wasallam, menunjukkan bahawa ilmu ini adalah bintang yang paling cantik, yang perlu ku dan sahabat-sahabat sekalian usaha mencapainya. Untuk mendapatkan "futuha ilmu" sahaja perlukan daya usaha yang tinggi, mujahadah yang tidak putus-putus, inikan lagi untuk menyelami lautan ilmu yang amat dalam tiada kesudahan.

"Sesungguhnya ilmu ini adalah haq milikMu ya Allah. Tiada kau tunjuki jalan melainkan kepada mereka yang Engkau kehendaki. Maka Kau tunjukkanlah jalan mencapai futuha ilmu(pembukaan ilmu) Mu ya Rahmanu ya Alim kepada ku dan sekalian penuntut ilmuMu, agar kami dapat mewarisi warisan peninggilan kekasihMu iaitu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Sesungguhnya aku ini amat lemah dalam melawan hawa nafsuku yang inginkan dunia, dan lemahnya imanku sebagaimana iman manusia akhir zaman, hanya padamu aku memohon pertolongan wahai Tuhan yang sebaik-baik memberi pertolongan. Maka Engkau bantulah diriku dan sahabat-sabahatku yang mencari-cari ilmu AgamaMu ya Allah. Sesungguhnya dengan ilmu yang Engkau tunjuki dapat aku mengenaliMu dengan lebih dekat lagi, kerana Engkau sememangnya lebih rapat kepada hambaMu lebih dari rapatnya hambaMu dengan urat leher mereka sendiri. Maka ingin ku sedari hakikat ini wahai Tuhanku, sesungguhnya tiada yang lebih hebat dan besar kekuasaannya, melainkan hanya Mu ya Allah, Tuhan sekalian Alam."

وصلى الله على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم, واخر دعونا عن الحمدلله رب العالمين

بلغ عن ولو آية
"Sampaikan dariku walau satu ayat".

Hanyalah nasihat buat diriku yang dhaif, sesungguhnya bermain-main di benak hatiku "Adakah aku si Tolibul 'Ilmi?"
Sedarlah wahai hati, bahawa dirimu bukan lagi!!

Ketika dingin subuh menghilang,
8.50pagi(mesir)
22/5/2009 Jumaat