Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Fikirkanlah Wahai Diri

Posted by Tengku Ahmad Saufie - -

Fikirkanlah wahai diri,
Jika engkau menjadi hamba kepada kemalasan,
Lihatlah kepada mereka yang telah rugi hidup mereka itu,
Mendapat kesudahan yang tiada kebahagiaan.

Fikirkanlah wahai diri,
Kerana hidup ini rumusnya adalah senang sekali,
Sekiranya kau bersusah-susah di awalnya, maka kau akan bersenang pada hujungnya,
Sekiranya kau cuma bersenang-senang, maka engkau pula akan binasa,
Tapi beruntunglah mereka yang bersenang-senang, dan mendapat penghujung yang senang.

Fikirkanlah wahai diri,
Kau disini adalah kerana ilmu,
Merantau jauh dari negeri asalmu,
Jikalau kau mensia-siakan dirimu,
Fikirkanlah mereka yang berharap kepadamu,
Ibu bapa, keluarga, dan masyarakat di sekelilingmu.

Fikirkanlah wahai diri,
Jikalau kau mensia-siakan masamu,
Ingatlah firman Allah,"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian".
Sesungguhnya masa itu amat tajam,
Akan memotong kita tanpa kita sedari.



Fikirkanlah wahai diri,
Betapa ramai ulama' yang mengatakan,
"Alangkah ruginya masaku hanya kerana makan, tetapi ianya satu keperluan".

Fikirkanlah wahai diri,
Jikalau kau cepat berputus asa dijalanmu ini,
Ingatlah kisah Nabi Nuh yang berputus asa pada dakwah Baginda,
Lalu diuji Allah agar menguatkan diri dan makin tabah.

Fikirkanlah wahai diri,
Jikalau engkau banyak bersenang-lenang didalam hidupmu,
Ingatlah mereka yang telah bersusah-payah untuk menyenangkan hidupmu,
Ada yang menitiskan hingga titisan darah terakhir,
Lalu dengan jasa mereka dirimu dapat mengenali Islam.

Fikirkanlah wahai diri,
Jikalau hidupmu tidak dihiasi dengan akhlak,
Sesungguhnya kamulah orang yang lemah imannya,
Kerna sabda Baginda,"Orang mu'min yang paling baik imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya".

Fikirkanlah wahai diri,
Bahawa kau mengetahui firmanNya,"Diciptakan indah kepada manusia akan perkara yang disukai oleh hawa nafsu, (iaitu) akan wanita, anak-pinak,harta benda yang bertimbun dari emas dan perak, kuda pemeliharaan yang bertanda lagi terlatih, binatang-binatang ternakan, dan kebun-kebun tanaman".
Akan tetapi kenapa kamu tidak mengambil iktibar darinya?



Fikirkanlah wahai diri,
Bahawa perempuan ini adalah dugaan bagi lelaki,
Kerana perempuan ini bengkok dari awal penciptaannya,
Tidak boleh diluruskan mahupun dibengkokkan lagi,
Oleh kerana itulah dirimu harus berwaspada,
Agar tidak rebah menghadapi fitnah yang dahsyat ini.

Fikirkanlah wahai diri,
Sesunguhnya wanita ini ibarat manisan,
Jika dirimu terlalu kerap merasainya,
Maka kelak dirimu akan binasa,
Lalu tenggelam dalam niqmat dunia yang sementara.

Fikirkanlah wahai diri,
Diciptakan nafsu itu penuh dugaan,
Agar kau sentiasa berwaspada dalam kehidupan,
Akan tetapi kenapa dirimu selalu terlemas,
Dalam perangkap nafsumu dan syaitan yang ganas?

Fikirkanlah wahai diri,
Diciptakan lelaki itu 1 nafsu dan 9 akal,
Maka sekiranya kau tidak meletakkan nafsu itu pada tempatnya,
Maka dirimu akan terperangkap jua akhirnya.



Fikirkanlah wahai diri,
Sesungguhnya Allah berfirman,"Apakah kamu lihat (akibat) mereka yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya?",
Sungguh ramai anak Adam yang kecundang kerana hawa nafsu.
Adakah kau juga ingin turut serta kecundang bersama mereka?!

Fikirkanlah wahai diri,
Ingatlah firmanNya lagi,"….semuanya itu adalah kesenangan di dunia, dan (ingatlah) bahawa disisi Allah ada tempat kembali yang paling baik (Syurga)".
Maka yang mana satu tempat idamanmu,
Dunia ataupun Syurga yang abadi?



Fikirkanlah wahai diri,
Sesungguhnya menuntut ilmu ini penuh dugaan,
Kerana ilmu itu mahal harganya,
Tiada didapati oleh mereka yang tiada bermujahadah,
Tiada didapati oleh mereka yang bermudah.

Fikirkanlah wahai diri,
Nabimu sering menangis melihat umatnya di Gua Hira',
Akan tetapi, kenapakah air mata mu keras untuk dititiskan kepada Nabimu,
Jangan sampai Nabimu menangis keranamu,
Biarlah dirimu yang menangis mengenangkan jasa Baginda padamu.

Fikirkanlah wahai diri,
Nabimu berdakwah siang dan malam untuk menyebarkan risalah,
Hingga bercucuran darah sang mulia di tanah Thaif,
Tetapi,
Kenapa sedikitpun kau tidak hargai?

Fikirkanlah wahai diri,
Nabimu bersiang dan bermalam menyampaikan ilmu,
Agar umatnya menjadi umat yang berilmu,
Supaya hidup jauh dari kemurkaan,
Tanda kasih dan bimbang Baginda akan umatnya.



Fikirkanlah wahai diri,
Ilmu itu adalah warisan Baginda,
Kerana dengan ilmu dapat kau menjaga diri,
Akan tetapi kenapa selalu dirimu berpaling darinya?

Fikirkanlah wahai diri,
Jikalau kau terasa susah memahami ilmu yang kau pelajari,
Ingatlah pada Ibn Hajar yang bertahun-tahun memahami hanya 1 ilmu,
Sesungguhnya ilmu ini ibarat air,
Setiap titisannya dapat membelah sebiji batu yang keras sekali.

Fikirkanlah wahai diri,
Sekiranya engkau merasakan ilmu sudah penuh didada,
Ingatlah pada Nabi Musa mengakui bahawa ilmu penuh didalam dadanya,
Lalu diutuskan Khairdir kepadanya,
Maka belajarlah baginda tanda penyesalan akhirnya.

Fikirkanlah wahai diri,
Nabimu sentiasa bersusah-payah dan berlapar,
Hingga tidur hanya di lantai dan tiga ikatan tali diperut Baginda,
Tetapi kenapa pula dirimu yang ingin berlebih-lebih senang dari Baginda,
Yang telah banyak mengorbankan jasa?

Fikirkanlah wahai diri,
Sesungguhnya Nabimu amat kasih pada umatnya,
Sentiasa terucap dibibir Baginda akan umatnya,
Tetapi kenapa pula dirimu tidak kasih padanya?



Fikirkanlah wahai diri,
Nabimu amat menyintai umatnya,
Hinggakan ketika sakaratul maut Baginda yang penuh seksa,
Ummati, Ummati, Ummati…
Yang keluar di bibir Baginda,
Akan tetapi kenapa dirimu tidak mengerti?!

Fikirkanlah wahai diri,
Sesungguhnya dirimu sentiasa diuji dengan penyakit,
Hingga aku sendiri tertanya-tanya penyebabnya akan kekerapan penyakitku,
Ingatlah Nabi Ayub yang diuji dengan penyakit yang amat berat sekali,
Tapi yang keluar di bibir baginda hanyalah,"Cukuplah hanya Allah bagiku",
Indahnya kalam ini bagi siapa yang mengerti.

Fikirkanlah wahai diri,
Kau hanya diciptakan daripada tanah dan air yang hina,
Kenapa pula kau sentiasa bersikap riak dan takabbur dalam hidupmu,
Sedangkan semuanya hanyalah pinjaman sementara dari pemilik yang Haqiqi.



Fikirkanlah wahai diri,
Jikalau dirimu terasa bahagia dan selamat,
Ingatlah bahawa hatimu ini bagaikan diantara dua jari,
Boleh diperbolak-balikkan dalam sekelip mata,
Tanpa kau dapat menyedarinya.

Fikirkanlah wahai diri,
Sekiranya engkau merasa puas dalam melakukan ketaatan,
Maka ingatlah bengkak pada kedua kaki Baginda kerana kuatnya ibadat,
Hanyalah jawab Baginda,"Apakah salah aku menjadi hambaNya yang bersyukur?".

Fikirkanlah wahai diri,
Bahawa firmanNya,"Setiap yang bernyawa itu pasti akan menemui ajal".
Hatta sehebat fir'aun yang dikenali ramai,
Juga gugur mati di tengah lautan terbelah.

Fikirkanlah wahai diri,
Boleh jadi mereka yang beramal dengan amalan syurga, mati dalam amalan neraka,
Boleh jadi pula yang beramal dengan amalan neraka itu mati dalam amalan syurga,
Sesungguhnya dirimu tidak mengetahui akan nasib kesudahan dirimu,
Maka berserahlah dirimu kepadaNya,
Dengan sentiasa berbuat taat dan kebaikan,
Agar dirimu menjadi orang yang beruntung akhirnya,
Moga-moga jauh dari sentuhan api neraka.



Fikirkanlah wahai diri,
Bahawa Nabimu itu penuh syafaat,
Yang bisa menyelamatkan dirimu di akhirat kelak,
Maka tanamlah dalam hatimu cinta yang tersemat erat,
Agar nanti kau juga akan terselamat.

Fikirkanlah wahai diri,
Tiada ketenangan bila berada di Padang Mahsyar,
Semuanya bimbang akan nasib yang menimpa diri,
Hanyalah yang tenang dan menenangkan itu adalah Nabimu,
Wahai pemilik telaga Khautsar yang menjadi penenang hati.

Fikirkanlah wahai diri,
Sesungguhnya segala yang ada padamu ini adalah milikNya,
Boleh ditarik pada bila-bila masa sahaja,
Maka sepatutnya kau gunakan pada yang kena pada tempatnya,
Dan bukannya menjadi semakin jauh daripadaNya.



Fikirkanlah wahai diri,
Bukanlah ini kalam untukmu bersenang hati,
Tapi inilah kalamku yang aku benci,
Moga-moga aku tidak terleka lagi,
Dalam menghadapi hidup yang penuh dugaan ini.


Mus'ab ibn Umayr,
3.16 a.m(mesir)/Ahad
24/5/2009
Ketika waktu pagi yang mendinginkan diri,
Didalam kamar yang penuh sunyi~