Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Bisikan Sirr (Sajak 2)

Posted by Unknown - -




Tiada lagi air mata,
Tiada lagi kedukaan pada Zulaikha,
Ia telah memalingkan wajahnya dari Yusuf,
Membersihkan diri dan pakaiannya,
Untuk mengadap kepada Pencipta Yusuf,
Keindahan Yusuf adalah bayanganNya,
Percikan sedikit dari keindahanNya,
keindahanNya tiada bahasa,
hanya terpaku kelu di hadapanNya.

Lihatlah jarimu sudah terpotong wahai wanita Mesir,
Kesedaranmu telah hilang melihat keindahan Yusuf,
Sedangkan para 'arifbillah itu sentiasa melihatnya,
Sudah hancur terluka diri mereka,
Dengan cahayaNya.

Zulaikha menjadi miskin,
Menjadi tua dan hudoh,
Cintanya telah membinasakan,
Cintanya pada Yusuf adalah kesengsaraan.

Zulaikha kembali kepada cinta yang hakiki,
Tiada mahu lagi memuja baying-bayang,
Tetapi kepada empunya baying-bayang,
Cintanya itu membawa kebahagiaan,
Cintanya itu membawa keasyikan dan keindahan,
Dirinya kembali menjadi indah, cantik, dan muda,
Dan Yusuf jatuh dalam dakapannya.

Dunia adalah baying,
Sesiapa yang mengejarnya akan kepenatan,
Siapa yang berpaling darinyam
Ia akan mendatangi,
Bila Zulaikha memuja Yusuf,
Yusuf lari daripadanya,
Sehingga terkoyak bajunya,
Tetapi apabila Zulaikha berpaling darinya,
Yusuf mengejar sehingga terkoyak pula bajunya.

Fahamilah wahai pemburu kehidupan,
Jangan disiakan waktu dengan memuja bayang,
Cintailah empunya bayang,
Dialah cahaya keindahan di sebalik keindahan,
Para kekasihNya, sentiasa memandangNya,
Hancur lukalah jiwa dan akal mereka,
Dengan pisau cahaya keindahanNya.