Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Kecintaan Terhadap Nabi dan Ahlul Bait Baginda

Posted by Unknown - -


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد الله الب العالمين, وصلى الله على سيدنا و حبيبنا وشفيعنا محمد ابن عبد الله رحمتا فى العمين ختم النبين واله وصحبه اجمعين


Segala puji bagi Allah yang telah menurukan al-Kitab yakni al-Kitab yakni al-Quran yang penuh dengan pedoman dan hikmah, dan yang telah membangkitkan seorang manusia agung yang membawa petunjuk sepanjang zaman, yang membawa sinar keTauhidan dan akhlaq yang agung, penutup segala keNabian dan keRasulan, yakni Nabi Muhammad S.A.W. ibn 'Abdullah ibn 'Abdul Mutallib ibn Hisyam ibn 'Abdul Manaf ibn Kilab, yang menjadi contoh ikutan para ahli Mahabbah dan ahli Taqarrub, seperti para sahabat ridwanullahi 'ajma'in, para tabi'en, tabi' tabi'en, para ahlillah dan semua yang mengikut dan berpegang dengan mereka hingga hari Qiamat.

Para saudaraku sekalian yang dirahmati Allah, Allah berfirman:-
هو الذى بعث الأمين رسول منهم يتلوا عليهم ءايته, ويذكيهم ويعلمهم الكتب والحكمة.
"Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka dan megajarkan mereka kitab(al-Quran) dan hikmah(as-Sunnah)".

Allah juga telah berfirman didalam surah Muhammad ayat 33:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!"

Ini adalah firman Allah S.W.T. dalam Quran yang mewajibkan kita mengikuti segala suruhan Allah dan KekasihNya yakni Nabi Muhammad S.A.W. Allah menegaskan di dalam firmanNya diatas supaya kita mematuhi Allah dan PesuruhNya yakni Nabi Muhammad, kerana Baginda memiliki satu contoh ikutan yang paling baik oleh manusia sepanjang zaman.

Sesungguhnya Nabi Muhammad telah banyak mengorbankan masa dan tegana untuk mendidik masyarakat yang jahil, yang jauh daripada Allah. Walau seteruk mana tentangan dan cacian yang diberikan kepada Rasulullah oleh pihak musyirikin kerana mengajarkan Islam kepada mereka, tetapi Rasulullah tetap istiqamah dan tetap mendidik jiwa-jiwa kotor mereka lalu mereka menjadi sebaik-baik golongan manusia yang dibangkitkan di atas muka bumi. Ketahuilah! Bahawa inilah contoh ikutan mitsali, contoh yang patut menjadi pujaan sekalian remaja dan manusia. Sesungguhnya pada dirimu terdapat akhlaq yang agung, yang begitu indah lebih indah dari keindahan dunia, yang melembutkan hati orang yang berdekatan denganmu, Allah berfirman:-
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ اللهِ أُسَوةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللهَ وَاليَوْمِ الأَخِرِ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
"Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu suatu contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari akhirat serta mengingati Allah sebanyak-banyaknya".


Inilah Rasulullah, dari jasa Bagindalah kita hidup didalam Islam, dilahirkan sebagai Muslim, mengenali ayat-ayat Allah, dan akhlak yang terpuji. Firman Allah S.W.T. lagi didalam surah al-Fath ayat 28:
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا

"(Allah yang menyatakan itu) Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayat petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh RasulNya itu)."

Wahai kaum Muslimin yang dicintai, ketika zaman Rasulullah, Baginda diangkat menjadi seorang yang begitu dihormati, dipanggil "al-Amin" atas kejujuran Baginda. Bahkan segala percakapan Rasulullah dipercayai oleh sekalian penduduk Makkah. Mereka yang kafir lebih rela harta mereka dijaga oleh Rasulullah dari dijaga oleh kaum kerabat mereka sendiri. Di dalam satu peristiwa, sesungguhnya telah terbukti hikmah dan kebijaksanaan Baginda apabila berkalu peristiwa banjir di kota Makkah, lalu kedidikan Hajar Aswad beralih dari tempat asalnya. Ketika ini, para pemimpin Quraisy dari kabilah yang berbeza berebut untuk meletakkan batu ii di tempatnya semula. Dengan ketetapan Allah, mereka bersepakat untuk memilih hakim yang akan menentukan sesiapa yang pertama yang memasuki Masjidil Haram di hari esok akan diangkat menjadi hakim. Bagi mereka, sesiapa yang berjaya meletakkan Hajar Aswad ini ditempatnya semula, merekalah kabilah yang paling mulia di Kota Makkah. Maka dengan keagungan Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam di tangan Allah, maka Bagindalah yuang pertama memasuki ke Masjidil Haram pada hari yang menjadi penentuan itu. Dengan kebijaksanaan Baginda, yang dapat memupukkan perasaan cinta di kalangan penduduk Makkah, Baginda mencadangkan agar Hajar Aswad itu diletakkan di atas sehelai kain, lalu setiap pemimpin kabilah di Makkah bersama-sama memegang hujung kain itu, dan bersama-sama mengangkat dan meletakkan batu Aswad di tempatnya semula. Lalu Makkah menjadi aman, tidak berlaku sebarang percakaran antara kabilah di Kota Makkah, hasil dari kebijaksanaan Baginda. Siapa yang mentarbiahmu wahai Makhluk terpuji? Siapa yang mendidik dan menjagamu wahai semulia-mulia makhluk? Alangkah indahnya bagi sesiapa yang mengerti. Sejak peristiwa ini, nama Rasulullah dijulang-julang di bibir penduduk Makkah yang musyrikin. Benarlah firman Allah yang bermaksud,"Tidak Aku utuskan kamu(Wahai Muhammad) melainkan membawa rahmat untuk sekalian alam". Baginda terus dicintai mereka. Bila sampai seruan Islam kepada mereka, para penduduk musyrikin yang sudah ada rasa cinta dan percaya kepada Baginda, tidak teragak-agak memeluk Islam. Akan tetapi ada juga yang menentang perjuangan Baginda kerana dalam hati mereka terdapat kepentingan dunia yang membutakan mereka, mengetahui kebenaran, tetapi takut kehilangan harta,pangkat,dan kemewahan sekiranya mengikuti seruan Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam. Inilah dugaan didalam dakwah yang dihadapi oleh para pesuruh Allah.


Wahai muslimin yang hidup dibawah naungan sifat ar-Rahman Allah, sepanjang hidup Baginda hanya tertumpu kepada umat Baginda sahaja. Ini adalah kerana perasaan cinta dan belas kasihan yang Allah tanamkan didalam hati Baginda kepada umatnya. Bayangkanlah sekiranya Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam tidak istiqamah dan cepat berputus asa? Bayangkanlah sekiranya Baginda tidak bersifat dengan sifat tabligh(menyampaikan), apakah nasib kita? Apakah yang dapat kita lakukan setelah diri kita kembali menjadi tanah, ketika disoal oleh Mungkar dan Nakir yang penuh ketegasan? Apakah yang dapat kita lakukan bila menempuh hari yang penuh huru-hara di padang Mahsyar di hadapan Allah?

Maka, adakah patut memungkiri Baginda lagi? Adakah patut kita menyalahi petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah? Adakah patut kita meninggalkan segala sunnah yang diwariskan kepada kita setelah mendapat niqmat Islam ini? Amat rugilah mereka yang menjauhi Baginda dan para ahlul Baitnya.

Ya Rasulullah, engkau sebaik-baik pencinta. Cintamu kepada kami tidak dapat kami balas. Kami cuma mampu menyintaimu sekadar upaya kami. Sesungguhnya kamu pernah berpesan:
لايؤمن أحدكم حتى اكون أحب اليه من أهله وماله والناس اجمعين
"Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga aku lebih dikasihinya berbanding keluarganya, hartanya, dan manusia seluruhnya".

Dan:
احبوا الله لما يعذكم من نعمه و احبونى يحب الله

"Cintailah Allah kerana Dia mengurniakan kamu dari niqmatNya dan cintailah aku seperti cintamu terhadap Allah"

Jadilah manusia yang beruntung dengan sentiasa mengikuti jejak Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Rasulullah sentiasa mendidik para sahabat dengan kasih saying dan menyeru para sahabat untuk berkasih sayang sesama mereka. Kerana sabda Rasulullah:
لايؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
"Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti dia menyintai dirinya sendiri".

Kerana mahabbah diantara mereka, Allah memuji mereka dengan firman Allah yang bermaksud,"Sesungguhnya mereka berkeras terhadap orang kafir dan berlembut sesama mereka".Allah juga banyak berfirman didalam al-Quran yang menunjukkan kecintaan Allah kepada Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam dengan merahmati Baginda. Allah berfirman di dalam surah al-Ahzab ayat 56:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ
"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".


Pernah satu ketika Rasulullah bersama para sahabat:
روى النس رضي الله عنه: ان رجلا سأل النبي صلى الله عليه وسلم متى الساعة يا رسول الله؟ قال: ما اعددت لها؟ قال: ما اعددت لها من كثير صلاة ولاصوم ولاصدقة ولكني احب الله ورسوله. قال: انت مع من احببت. قال انس : فقنا ونحن كذلك؟ قال: نعم. ففرها فرحا شديدا.
"Anas R.A. meriwayatkan bahawa: Seorang lelaki bertanya Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam, bilakah datangnya Qiamat wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Apakah amalan ayng engkau sediakan untuk menghadapi dari Qiamat itu? Jawab lelaki tadi: Aku tidak bersedia menghadapi hari Qiamat itu dengan banyak bersolat, banyak berpuasa, dan tidak pula banyak bersedekah. Akan tetapi aku amat menyintai Allah dan RasulNya. Sabda Baginda: Engkau bersama dengan orang yang engkau cintai. Anas berkata: kami bertanya: Adakah kami juga sedemikian? Jawab Nabi: Ya benar. Maka kami pun terlalu gembira dengan jawapan tersebut".

Dan pernah dalam satu ketika Rasulullah bersama keluarga tercinta, dari Anas, Nabi bersabda: "Wahai Anas! Aku, dan dia(ditunjukkan kepada Fatimah). Dan dua orang ini(Hassan dan Hussein) dan orang yang berbaring ini('Ali) akan bersamaku didalam satu tempat di Syurga". Dalam beberapa riwayat yang lain, "Apabila Sayidina 'Ali mendengar sabda Baginda ini, 'Ali yang sedang berselimut seluruh tubuh bangkit dari pembaringannya lalu berkata, "Sesungguhnya mereka yang menyintai kita bersama kita". Lalu sabda Rasulullah, "Mereka yang menyintai, akan berada di belakang kamu semua".

Ahh…begitu indah ucapanmu wahai sebaik-baik makhluk yang menjadi kekasih Allah. Sesungguhnya setiap ucapanmu itu adalah janjimu terhadap umatmu yang menyintaimu. Begitu tinggi cinta mu terhadap umatmu. Jadikanlah kami golongan yang dapat membalas dan menghargai cintamu.

Sesungguhnya semenjak terpancar fajar Islam, ia telah diuji dengan pelbagai masalah dan permusuhan yang sememangnya tidak menginginkan kebenaran. Mereka cuba mereanapkan perasaan mahabbah yang mulia ini dari hati para pencinta Rasulullah dan zuriat Baginda dengan pelbagai bentuk dan cara. Di zaman Rasulullah, mereka yang berpenyakit dalam hatinya dentiasa mencuba mencari kelemahan Rasulullah, tetapi Allah-lah yang memelihara dan mentarbiah Baginda. Mereka tidak berjaya, lalu di zaman Khulafa ar-Rasyidin, perlahan-lahan mereka berjaya menanggalkan kecintaan para pencinta terhadap Rasulullah dan ahlul Baitnya. Sesungguhnya didalam darah para ahlul Bait mengalirnya darah Rasulullah, darah kekasih Allah, darah yang memancarkan sinar Islam. Terbukti hilangnya cinta terhadap Allah dan Rasulullah, dan kepada pewaris Baginda yang mulia ini didalam perang Karbala. Didalam perang yang kejam itu, gugurnya cucu kesayangan Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam yang ketika kecilnya sentiasa dimanjakan oleh Rasulullah, dibelai dan dididik dengan penuh kasih sayang oleh Sayidina 'Ali. Beliaulah Sayidina Abu 'Abdillah Hussein ibn Abi Talib, anak kepada Sayidatina Fatimah binti Rasulullah. Sebelum peperangan, Sayidini Hussein duduk termenung seketika lalu ditegur oleh Sayidatina Zainab, "Wahai Hussein, kenapakah wajah kamu seperti itu?" jawab baginda, "Sesungguhnya Rasulullah telah menjemputku untuk berbuka dengan Baginda pada petang ini". Kerana Sayidina Hussein berpuasa sempena hari Asy-Syura ketika itu. Tidaklah gugur syahidnya dan pengorbanan beliau ini merugikan, akan tetapi ini adalah demi menegakkan haq ahlul Bait yang dipinggirkan, menunjukkan bahawa hinanya dunia ini dan kekalnya keindahan akhirat. Baginda syahid di medan itu, kepala dan badan baginda dipisahkan. Begitu juga para ahlul Bait yang lain, seperti anak kepada Sayidatina Zainab, anak kepada Sayidina Hassan, dan juga para pendokong ahlul Bait yang berpegang teguh kepada tali Allah dan RasulNya. Mereka inilah yang sentiasa mengingati firman Allah, "Katakan bahawa Aku tidak meminta dari kalian ganjaran di sebaliknya melainkan kecintaan terhadap kaum kerabat(Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam).
Mereka inilah yang juga mengingati sabda Rasulullah di dalam khutbah Baginda pada Hujjatul Wada' yang bermaksud: "Wahai umat manusia, aku hanyalah seorang manusia. Utusan Allah hampir datang memanggilku dan aku menerimanya. Kepada kamu sekalian, aku tinggalkan akan dua wasiat. Yang pertama ialah, Kitab Allah yakni al-Quran sebagai petunjuk dan cahaya yang menyinari kalian. Hendaklah kalian berpegang teguh dengan Kitab Allah itu. Kedua, aku tinggalkan kamu akan ahlul Baitku, keluargaku. Aku ingatkan kalian kepada Allah mengenai keluargaku…Aku mengingatkan kalian kepada Allah mengenai keluargaku…Aku mengingatkan kalian kepada Allah mengenai keluargaku". (Riwayat Muslim)

Ketahuilah, ada dari kelangan mereka yang jahil mendakwa bahawa ahlul Bait Rasulullah telahpun pupus di muka bumi Allah ini. Alangkah jahilnya ucapan mereka ini. Tidakkah mereka lupa akan keturunan Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam dari Sayidina 'Ali Zainal Abidin, putera kepada Pemuda Syahid Sayidina Hussein? Didalam peperangan yang menzalimi keturunan Rasulullah di Karbala itu, 'Ali Zainal Abidin tidak dapat menyertai peperangan akibat sakit dan direhatkan didalam khemah Sayidatina Zainab. Sesungguhnya Sayidatina Hussein berpesan kepada Sayidatina Zainab, "Wahai Zainab, jagalah, jagalah 'Ali, supaya keturunan kita tidak terputus nanti". Beliaulah satu-satunya lelaki keturunan Sayidina Hussein yang berdarah Rasulullah dari kedua-dua belah ibu bapanya. Dan sesungguhnya dari beliaulah keluarnya ramai keturunan Rasulullah, pewaris risalah Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam yang menyambung da'wah menegakkan Islam. Dan sesungguhnya insan yang bernama al-'Idris keturunan dari Sayidina 'Ali Zainal Abidin inilah yang telah mengislamkan kaum tentera Barbar yang begitu dikenali sejarah akan kekejaman mereka. Beliau juga syahid dibunuh oleh pihak yang amat busuk hati mereka dan tiada rasa cinta terhadap ahlul Bait Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi, Allah tetap memelihara keturunan Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam dengan lahirnya zuriat hasil perkahwinan al-'Idris dengan seorang wanita dari golongan Barbar itu. Dari sinilah berkembangnya salasilah keturunan Rasulullah seluas timur dan barat, dan di Tanah Melayu juga tidak terlepas dari memerima kemulian ini.

Ketahuilah wahai saudaraku, mereka yang menafikan haq ahlul Bait, dan kebenaran ilmu yang telah diwariskan dari datuk mereka yakni Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam , mereka inilah jauh dari agama. Mereka inilah manusia yang tiada perasaan cinta terhadap Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam, mereka bertopengkan dan menggelarkan diri mereka pengikut, penggerak dan penegak al-Quran dan as-Sunnah, kadang-kadang mereka menggelarkan diri mereka golongan yang mentajdidkan agama, padalah merekalah golongan yang tidak memahami al-Quran dan as-Sunnah, dan merekahlah yang mengeksploitasi pula akan al-Quran dan as-Sunnah. Merekalah golongan yang menjauhkan manusia dari kecintaan kepada Rasulullah dan ahlul Bait.

Ketahuilah wahai saudaraku, bahawasanya Islam inilah agama datuk mereka(ahlul Bait), al-Quran diturunkan dirumah mereka, kefahaman mereka diwarisi oleh mereka. Dan sesungguhnya Allah memelihara mereka yang Haq dan menutup ruang kegelapan. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 34:
وَاذْكُرْنَ مَا يُتْلَىٰ فِي بُيُوتِكُنَّ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَالْحِكْمَةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ لَطِيفًا خَبِيرًا
"Dan ingatlah ayat-ayat Allah dan hikmah(as-Sunnah) yang dibacakan di rumah kamu. Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya lagi Maha Mengetahui".

Wahai saudaraku, sesunggujnya golongan ahlul Bait yang bertaqwa adalah golongan yang termulia. Cinta Rasulullah terhadap umatnya diwarisi oleh para Ulama' dari kalangan ahlul Bait. Walaupun dahulu para ahlul Bait telah banyak berkorban syahid demi menegakkan keadilan, tetapi inilah hasilnya. Dari keteguhan ahlul Bait terdahulu, kita yang jauh dari zaman Rasulullah, jauh dari Tanah Arab, dapat merasai Islam di Tanah Melayu, hasil da'wah yang dijalankan oleh para ahlul Bait dari Hadramaut suatu ketika dahulu.
Sesungguhnya Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 33:
إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
" Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)."

Para Sahabat ridwanullahi 'ajma'in amat mencintai para pewaris Rasulullah. Walaupun kita telah jauh dari sinar petunjuk Nabi Muhammad yang telah meninggalkan kita lebih 1400 tahun, ayuhlah kita kembali berpegang dengan para ahli Mahabbah dan ahli Taqarrub yang terdiri dari kalangan ahlul Bait dan para Ulama' yang sentiasa mendidik hati mereka agar sentiasa menyintai Rasulullah kerana Allah semata-mata. Allah berfirman didalam surah al-Ahzab ayat 41 dan 42:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

"Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya".
وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
"Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang ".

Dan Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Barangsiapa yang berselawat keatasku dengan satu selawat, maka Allah akan berselawat keatasnya dengan sepuluh selawat".

Sesungguhnya tidak akan berselawat seseorang itu melainkan mereka yang sentiasa mengingati Baginda didalam hati, dan dibasahi lidah mereka dengan zikir dan selawat.


Perhatikan Syair karangan ahli Mahabbah, seperti Sayidul Mubbah iaitu Imam al-Bushiri dalam Qasidah Burdah karangan beliau pada baitnya yang ke 34 hingga 42:

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam itu adalah penghulu dua 'alam(dunia dan akhirat). Penghulu jin dan manusia dan pemimpin bangsa 'Arab dan 'ajam.

Nabi kami menyuruh dengan kebaikan dan melarang dari kemungkaran. Maka tiada seorang juapun yang lebih baik perkataannya lebih dari Baginda, sama ada mengatakan "ya" atau "tidak".

Baginda adalah kekasih tercinta yang sangan diharapkan syafaatNya. Untuk menyelamatkan kita dari segala rasa kebimbangan yang menyelubungi hati.

Baginda mengajak umat kejalan Allah. Maka sesiapa yang berpegang teguh dengan ajaranya, bererti ia telah berpegang teguh dengan tali yang kuat yang tidak akan putus.

Baginda melebihi segala Nabi, baik pada penciptaan badannya mahupun budi pekertinya, dan mereka tidak dapat mendekatinya, baik pada ilmunya mahupun pada kemurahannya.

Para Anbiya semuanya mengambil ilmu dari Baginda, sama ada satu cebuk dari lautan ilmunya atau satu teguk dari ilmu yang melinpah-limpah seakan-akan hujan lebat.

Mereka semua berada di batas-batas yang ditentukan, sama ada pada "titik" suatu ilmu ataupun hanya pada "baris" sesuatu hikmah.

Bagindalah Nabi yang sempurna jiwa dan raganya kemudian dipilih oleh Allah, Tuhan Pencipta makhluk sebagai kekasihNya.

Segala keindahannya tiada tercabar, maka keindahan permata yang ada padanya tak pernah dibahagikan kepada orang lain.


Wahai sekalian mu'min, hanyalah diri yang faqir lagi jahil ini berkalam untuk saling memperingati antara kita akan kebesaran dan keagungan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan ahlul Baitnya dalam memperjuangkan dan menegakkan Islam. Kerana Rasulullah bersabda:
المؤمن مرآة تامؤمن
"Orang mu'min itu adalah cermin kepada mu'min yang lain"


Marilah kita sama-sama mengembalikan kecintaan kita terhadap Baginda dan ahlul Bait yang mulia seperti di zaman sahabat ridwanullahi 'ajma'in dan mengikuti segala suruhan Baginda dan meninggalkan larangannya. Dan marilah kita bersama-sama berdiri di belakang pewaris Rasulullah yakni para ahlul Bait, menjauhi segala kebatilan atau kefahaman yang merendahkan martabat Baginda dan ahlul Baitnya. Kita juga bertanggungjawab untuk memelihara aqidah kita yang benar dari sebarang anasir-anasir yang menyesatkan, berpeganglah dengan Aqidah Ahlul Sunnah wal Jamaah(Asya'ari), nescaya didalamnya terdapat kebenaran dan inilah pegangan para ahlul Bait hingga kini. Pesan Imam 'Abdullah al-Haddad didalam syairnya, seorang Ulama' yang buta tetapi dikurniakan kecerahan di hati, beliaulah juga ahlul Bait Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:
"Jadilah kamu golongan Ahli Sunnah wal Jamaah(Asya'ariyah) dalam urusan aqidah kerana ia murni dan bersir dari kesesatan dan kekufuran".
"Ya Allah pemilik cinta sejati, sesungguhnya kami telah menyaksikan kebesaran dan keagunganMu ya Allah, dan keindahan akhlaq kekasihMu iaitu Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Tanamlah dalam hati kami dan hati sekalian saudara kami kepada Baginda dan para ahlul Baitnya melebihi cinta kami kepada diri kami sendiri. Sesungguhnya di hati yang tiada manfaat segala-galanya melainkan hati yang sejahtera, yakni hati yang mempunyai mahabbah kepada Allah, dan RasulNya, hanya dengan belas kasihanMu dan syafaat yang Engkau berikan izin kepada Baginda yang dapat menyelamatkan kami. Ya Allah, Tuhan yang Maha Mulia dan memiliki kemuliaan sejati, yang menguasai alam ghaib dan alam nyata, tambahkanlah rasa cinta yang indah ini terhadap Baginda. Sesungguhnya kami sememangnya banyak melakukan maksiat kepadaMu, dan tidak ada upaya kami menjauhinya melainkan dengan bantuan dariMu Ya Rahim. Di hari kami menghadapMu untuk menyaksikan segala amalan-amalan kami di muka bumi, tanpa ada sebarang halangan yang dapat menghalangMu, Kau kiralah cinta kami terhadap kekasihMu yang agung itu. Segala puji bagiMu Allah, selawat dan salam kami buat junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam, pembawa rahmat, petunjuk yang benar, menjadi contoh dan ikutan kepada para ahli Taqarrub dan Mahabbah".

وصلى الله على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم, واخر دعوهم عن الحمدلله اللرب العالمين

~Mus'ab ibn Umayr~
4petang.
7 Mac 2009/10 Rabi'ul awwal 1430
Madrasah al-Hidayah