Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Mentajdidkan Atau Meruntuhkan(membinasakan) Umat?

Posted by Unknown - -

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Tajdid dalam bidang sains dan teknologi diperlukan bagi memastikan negara dan umat Islam tidak ketinggalan dalam kemajuan teknologi.




MINGGU lepas, kita telah cuba memurnikan kefahaman tentang tajdid atau pembaharuan dalam Islam. Ia supaya kita tidak tersilap dalam memahami dan menghayatinya. Tersilap memahami tajdid dalam Islam bukannya perkara kecil kerana ia boleh membawa akibat yang besar.


Ia boleh menyebabkan seseorang itu menolak kesepakatan dan pandangan yang kuat dalam cabang-cabang utama agama akidah-syariah-akhlak.

Salah faham terhadap tajdid juga boleh mendorong seseorang itu memandang rendah, memperlekeh bahkan menghina tokoh-tokoh ulama pewaris Nabi SAW.

Di peringkat masyarakat dan umat pula, faham tajdid yang salah boleh menimbulkan perpecahan lantas melemahkan kekuatan dalaman dan jati diri umat. Suatu keadaan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang iri hati dengan Islam.

Asas kerangka faham tajdid

Tajdid dalam Islam fokusnya adalah orang Islam, masyarakatnya dan negaranya serta bukannya fahaman dan ajaran Islam yang dijamin terpelihara sepanjang zaman.

Islam sebagai modul kehidupan bermula cemerlang dan kemudiannya berpindah dari generasi ke generasi di bawah perhatian dan pemeliharaan Rabbul Jalil sebagaimana yang selayaknya bagi risalah terakhir bagi manusia seluruhnya.

Mungkin ada yang mencebek dan menuduh naif terhadap pernyataan ini sedangkan ia sebenarnya suatu sikap sangka baik atau husnu dzan yang sangat kena pada tempatnya.

Ia adalah sikap yang berasaskan pelbagai nas-nas wahyu termasuklah ayat-ayat al-Quran yang memuji generasi para sahabat dan memperakui umat ini sebagai khaira ummah – umat terunggul.

Allah SWT sendiri juga telah mengisytiharkan kesempurnaan dan keunggulan modul ini dengan firman-Nya: Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan Aku sempurnakan ke atas kamu nikmat-kurniaan Ku, dan Aku reda Islam itu menjadi agama kamu. (al-Maaidah: 3)

Rasullullah SAW pula mengiktiraf keunggulan generasi umat Islam dalam kurun-kurun terawal dalam memikul dan menghayati risalah ini. Keunggulan dan kehebatan generasi awal Islam sebagai juara-juara kemanusiaan dan ketamadunan juga merupakan suatu fakta sejarah yang diakui kawan dan lawan.

Bagi umat Islam beriman dan baik fitrahnya pula, ia turut menjadi suatu hakikat yang dapat dirasai di benak hati dan bukan sekadar hujah aqali.

Tajdid sekularis dan tajdid Modenis

Mengakui tentang permulaan Islam yang bercahaya sebegini akan mengenepikan hujah para ‘mujaddid sekularis dan liberalis’ yang sering bercakap seolah-olah ajaran Islam turut perlu melalui suatu proses pendewasaan bertahap-tahap atau evolusi sebelum ia menjadi sempurna.

Kelompok ‘mujaddid sekularis dan liberalis’ ini biasanya muncul dari luar. Luar dalam erti kata suara pengkaji dan pemerhati bukan Islam atau para orientalis yang menggunakan kerangka faham mereka yang asing daripada kerangka Islam. Luar juga boleh diertikan sebagai suara dari kalangan orang Islam sendiri tetapi daripada kalangan mereka yang bukan daripada latar belakang pendidikan agama.

Mereka ini juga sering mendatangi Islam dengan kerangka minda yang asing lantas gagal menilai Islam dengan neraca yang saksama. Mungkin sahaja apa yang sebenarnya sisi kekuatan pada Islam akan dilihat sebagai kelemahan dan cuba dirombak dan dihilangkan.

Contohnya, luas dan terperincinya hukum-hakam syarak mereka lihat sebagai mengongkong dan melemaskan sedangkan ia menjadi antara faktor penjamin jati diri dalaman umat.

Di sudut gelanggang yang lain, terdapat pula kelompok ‘mujaddid modenis Islamis’ yang muncul dalam kalangan umat Islam sendiri.

Kecenderungan ini ada juga muncul dari kalangan yang berpendidikan agama tetapi telah terhimbau dengan aliran-aliran dan tokoh-tokoh tertentu yang tidaklah mewakili arus perdana dan majoriti umat.

Berbeza dengan kelompok ‘mujaddid sekularis liberalis’, kelompok ini tidaklah meragui kesempurnaan Islam di kurun-kurun awalnya. Mereka masih bertolak daripada asas keimanan tetapi dengan kerangka ‘tajdid‘ agama yang berasaskan prasangka bahawa generasi ulama selepas itu telah gagal memahami Islam dan menyampaikannya secara murni kepada generasi seterusnya.

Hanya sesudah banyak ratus tahun kemudiannya barulah muncul beberapa tokoh ulama dan pemikir Islam dalam pelbagai bidang yang membawa pendekatan memahami Islam yang mereka anggap lebih tepat dengan generasi awal atau para salafus soleh.

Inilah sebabnya mereka yang cenderung kepada aliran ini suka menggelarkan diri mereka sebagai beraliran salaf atau salafiy. Mereka juga melaungkan semboyan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan nota kakinya: tanpa perlu perantaraan tafsiran dan huraian ulama silam.

Di antara tokoh-tokoh ulama dan pemikir yang menjadi rujukan aliran ini ialah Ibnu Taimiyyah, muridnya Ibnul Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab, Muhammad Abduh, Rashid Ridha dan Nasiruddin al-Bani.

Pemikiran tokoh-tokoh mempengaruhi pengikut aliran ini ke tahap dan dengan cara yang berbeza hingga aliran ini bukanlah aliran yang tunggal dan homogenous sifatnya. Sesama pecahan aliran ini pun ada banyak percanggahan pandangan.

Adalah sukar untuk memetakan aliran yang rencam ini jika berbanding kesepaduan aliran arus perdana Islam. Walau bagaimanapun, aliran ‘mujaddid modenis Islamis’ ini tetap bersatu dalam keengganan mereka menerima-pakai acuan akidah-syariah-akhlak yang sudah baku hasil saringan generasi ulama silam.

Jika diteliti baik dari sudut nas wahyu mahupun fitrah yang sejahtera, kedua-dua aliran ‘tajdid‘ yang kita sebutkan di atas adalah tidak secocok dengan Islam.

Tajdid‘ sekularis jelas tidak berpijak di atas asas keimanan malah bertitik-tolak daripada kecurigaan. Sesetengahnya sampai ke tahap kebencian terhadap Islam itu sendiri. Sebagai suatu gagasan luar ia juga bercakap dengan bahasa dan istilah yang asing lantas lebih mudah dirasai kejanggalannya.

Maka rata-ratanya aliran ‘tajdid‘ ini kurang mendapat tempat di kalangan umat yang solat dan berzakat. Khalayak awam pun cenderung menolak tanpa perlu diyakinkan dengan hujah yang panjang lebar.

Lain halnya dengan ‘tajdid modenis Islamis’ yang datangnya dari dalam tubuh masyarakat Islam itu sendiri. Ia berbicara dan memakai pakaian Islam. Khalayak awam mungkin sukar untuk menghuraikan di mana silap dan bezanya aliran ini dengan aliran arus perdana.

Malah sekali dengar, hujah disokong nas yang dibawa untuk mendokong ‘pembaharuan’ yang dibawa kedengaran berasas dan ada logiknya. Pendek kata para ustaz pun jika tidak menelaah rujukan dan perbahasan khusus tentang aliran tidak akan benar-benar jelas tentang selok-belok perbahasannya.

Ada persamaannya di sini dengan perbahasan antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam Islam. Mereka yang tidak merujuk bahan-bahan khusus mengenainya tidak mudah untuk menanganinya.

Mereka yang meneliti tentang hakikat ‘tajdid‘ dalaman ini akan menemukan bahawa aliran ini mempunyai datang dengan pakej yang tersendiri. Walaupun ia mungkin kelihatan berani, progresif dan dinamik dalam mengulas sesetengah persoalan semasa pada asasnya aliran ini tetap membawa bersamanya beberapa fahaman-fahaman yang bercanggah dengan kesepakatan umat dalam akidah, syariah dan akhlaknya.

Isu-isu yang diperjuangkan dan hendak ditajdidkan pula sering berada dalam ruang khilafiah yang sepatutnya tidak boleh menjadi punca pertelingkahan.

Oleh kerana isu-isu yang ditimbulkan oleh aliran ‘tajdid‘ dalaman ini mudah menimbulkan kekeliruan dan kesamaran, polemik, perbahasan dan perdebatan terbuka bukanlah cara yang paling berkesan menanganinya.

Jika dibiarkan juga pandangan-pandangan ini disebarkan di tengah-tengah masyarakat, dalam sekian ramai yang mendengar tetap akan ada yang terpengaruh.

Ajaran yang jelas-jelas sesat seperti Ayah Pin dan ‘Rasul’ Kahar pun ada pengikutnya yang masih setia.

Pepatah Arab mengatakan Likulli Saaqitin Laqiit, “tiap yang gugur itu ada yang mengutipnya”. Menyedari hal itu, pihak berkuasa yang sedar dan bertanggungjawab perlu bertegas mengawal fahaman-fahaman yang menyeleweng.

Ancaman terhadap pegangan agama adalah lebih berbahaya berbanding persoalan-persoalan lain.

Sebab itulah Imam Ibnu Hajar al-Haithami apabila ditanya tentang hukumnya seseorang menimbulkan keraguan terhadap imam-imam Ahli Sunnah turut memetik tindakan tegas yang diambil oleh Saidina Umar al-Khattab terhadap seorang lelaki bernama Dubay yang membahaskan ayat dan hadis mutasyabihat secara terbuka di tengah masyarakat.

Dubay ditangkap dan dihukum sebat sehinggalah dia bertaubat. Memang kelihatan keras dan tegas tetapi sesuailah dengan besarnya maslahah yang hendak dipelihara. (al-Fatawa al-hadithiyyah)