Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Perlunya Bersyukur KepadaNya, dan Bersyukur Atas Perasaan Syukur

Posted by Unknown - -

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد الله رب العالمين, والصلاة والسلام على سيد البشار, و خاتمالنبيين, حبيبنا وشفيعنا محمد ابن عبد الله, مبعوث رحمتا للعمين, و على اله وصحبه اجمعين

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian ‘alam, dan selawat dan salam ke atas junjungan penghulu segala manusia, dan penutup segala kenabian, kekasih kami, pengsyafaat kami Muhammad s.a.w. ibn ‘Abdullah, pembawa rahmat kepada seluruh ‘alam, dan ke atas keluarga Baginda s.a.w., dan sekalian Sahabat Baginda s.a.w.

Firman Allah s.w.t.:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ ﴿١٧٢﴾
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya”.
(Surah al-Baqarah, 172)


Definisi syukur.















Syukur dari sudut bahasa ‘arab bermakna terima kasih.
Syukur dari sudut istilah syara’ pula, bermakna seseorang hamba itu berterima kasih dan kepujian kepada Allah s.w.t.

Puji pula terbahagi kepada empat bahagian:
1)     1)      Pujian Allah terhadap diriNya.
2)     2)      Pujian Allah terhadap makhluk.
3)      3)     Pujian makhluk terhadap Allah.
4)      4)     Pujian makhluk terhadap makhluk.

Bersyukur pula terbahagi kepada 2:
1)      1)     Bersyukur atas ni’mat seperti makan, minum, hidup, dan sebagainya yang dikategorikan sebagai rezeki.
2)     2)     Bersyukur atas ni’mat merasai kemanisan iman, islam, mengenal Allah, dan sebagainya. Inilah ni’mat yang   paling besar, yang hanya diberikan kepada hambaNya yang terpilih.




Kenapa perlu bersyukur?

                Wahai saudaraku, syukur merupakan satu tanggungjawab seseorang hamba itu kepada Tuhannya, atas segala pemberian yang telah diberikan Allah terhadapnya. Perkataan syukur begitu banyak sekali dinyatakan Allah di dalam al-Quran, kerana menunjukkan suatu perintah Allah s.w.t. ke atas hamba-hambaNya. Sepertimana firman Allah s.w.t. di atas, Allah memerintahkan manusia agar bersyukur kepadaNya kerana Allah memberikan segala rezeki kepada seluruh hambaNya. Bersesuaian dengan nama Allah antaranya, ‘ar-Rahman’ yang bererti Yang Maha Pemurah, ‘ar-Razzaq’ yang bererti Yang Maha Pemberi Rezeki, dan sifat Allah yang Maha Penyayang terhadap para makhlukNya, Allah memberikan rezekiNya kepada semua makhluk yang diciptakanNya, termasuk juga kepada manusia, Muslim mahupun kafir.

                Segala perbuatan kita, berharap, berdo’a, dan berkeinginan terhadap sesuatu didengari oleh Allah s.w.t. bahkan hanya Dia-lah yang mengurniakan segala permintaan kita, samada bersesuaian dengan kehendak kita, ataupun tidak, kerana Allah lebih mengetahui hikmah sesuatu perkara yang dijadikanNya. Bahkan Allah juga yang menjaminkan rezeki seseorang hambaNya, berdasarkan hadith Baginda s.a.w., iaitu:
عَنْ أَبي عَبْدِ الرحمنِ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضى الله عنه قَالَ: حَدَّثَنَا رَسُولُ الله صلَّى الله عليهِ وسَلَّمَ وهو الصَّادِقُ الْمَصْدُوْقُ:  إِنَّ أَحَدَآُمْ یُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْه الرُّوْحَ وَ يُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ؛ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَاللهِ الَّذِي لا إله غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَآُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْه الْكتِاَبُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا. وَإِنَّ أَحَدَآُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُوْنَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا.
 رواه البخاري ومسلم

Maksudnya:
“Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya : “ Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat perkara : rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripada-Nya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya ( suratan takdir ) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu”.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Jadi, kenapa kita sentiasa melupakan diri kita untuk bersyukur kepadaNya? Bukankah Dia yang sentiasa menjaga kita daripada sebarang kemudharatan? Bukankah Dia yang menciptakan kita, dan memilih kita untuk hidup di atas muka bumi ini? Bukankah Dia yang telah menjaga rezeki kita? Jawapannya, hal ini kerana kita lupa bahawa tanggungjawab kita adalah hanya sebagai hambaNya di atas muka bumi ini. Sepertimana firman Allah s.w.t.:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ﴿٥٦﴾
Maksudnya:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.
(Surah az-Dzariyat, 56)


Kenapa  manusia lupa untuk bersyukur?

                Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu mengembalikan persoalan ini kepada iman di dalam hati kita. Hal ini kerana iman yang lemah, dan tidak mengadaptasikan Allah dalam kehidupan seharian akan menjadikan seseorang hamba itu lupa untuk bersyukur, bahkan tidak merasakan bahawa setiap pemberian yang didapatinya adalah daripada Allah s.w.t. yang Maha Pemurah. Kebanyakkan mereka merasakan bahawa apa yang didapati mereka adalah hasil titik peluh mereka, tidak kira dari segi wang ringgit, dan pelbagai lagi, na’uzubillahu min zalik(kami memohon kepada Allah daripada perkara yang seperti itu). Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa ni’mat yang diberikan Allah terhadap hambaNya boleh terbahagi kepada dua, iaitu ni’mat yang dikurniakan lalu dapat mendekatkan diri seseorang hamba itu dengan Allah, dan juga ni’mat yang dikurniakan Allah bertujuan untuk menjauhkan seseorang hamba itu daripada Allah. Hal ini berlaku, berdasarkan keadaan seseorang hamba itu menerima rezeki Allah. Sekiranya seseorang hamba itu menerima rezeki, dan kemudiannya memandang rezeki itu datangnya hasil daripada kurniaan Allah, bahkan tidak merasakan sedikitpun rezeki itu hasil titik peluhnya, maka dia akan semakin bertambah hubungannya dengan Allah dan dia akan berhati-hati dalam menggunakan ni’mat tersebut. Sekiranya seseorang hamba itu menerima suatu pemberian daripada Allah, akan tetapi, lupa bahawa pemberian yang didapati itu bukan hasil titik peluhnya, maka dia akan lupa untuk bersyukur, bahkan menggunakan ni’mat yang didapatinya dengan pelbagai cara yang salah bahkan melanggari syari’at.

Bersesuaian dengan firman Allah s.w.t.:
وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ ﴿٢٤٣﴾
Maksudnya:
“…Akan tetapi, kebanyakan manusia lupa untuk bersyukur”
(Surah al-Baqarah, 243)



Bagaimana ingin menjadi hamba bersyukur?

                Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa syukur itu haqiqatnya pada Allah s.w.t. Hal ini kerana, salah satu nama Allah s.w.t. dari 99 nama yang agung, iaitu, ‘Asy-Syakur’ yang bermaksud Yang Maha Bersyukur. Secara haqiqatnya, kita adalah hamba yang tidak mampu memberikan kesyukuran dalam erti kata sebenar kerana perasaan syukur pun sebenarnya hasil pemberian Allah s.w.t. Hanya, Allah s.w.t. yang menegaskan supaya hambaNya perlu bersyukur kepadaNya atas segala pemberianNya yang tidak terhingga. Allah juga telah memperingatkan bagaimana keadaan kebanyakan manusia sebenarnya lupa untuk bersyukur atas segala pemberianNya, firman Allah s.w.t.:
وَلَقَدْ مَكَّنَّاكُمْ فِي الْأَرْضِ وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ ۗ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ ﴿١٠﴾
Maksudnya:
“Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.
(Surah al-A’raf, 10)

                Untuk mendidik jiwa kita supaya sentiasa bersyukur kepadaNya, perlulah kita sedar bahawa setiap daripada apa yang kita dapati dalam kehidupan kita, tidak kira ilmu, makan dan minum, dan sebagainya, datangnya dari Allah s.w.t. yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Di samping itu, perlulah dibuangkan perasaan ‘keakuan’, supaya kita tidak melihat bahawa apa yang kita dapati itu adalah daripada hasil usaha kita sendiri.

                Dalam mendidik hambaNya untuk bersyukur ke atas segala pemberianNya, Allah s.w.t. telah berfirman di dalam al-Quran:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ ﴿٧﴾
Maksudnya:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
(Surah Ibrahim, 7)

Firman Allah s.w.t.:
وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٨﴾
Maksudnya:
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
(Surah al-Nahl, 18)

                Allah s.w.t. menyertakan amaran seksaan azab yang pedih kepada hambaNya yang “tidak sedar diri”, yang melupakan bahawa segala ni’mat datangnya daripada Allah s.w.t., dan bukanlah daripada hasil usaha dan titik peluh seseorang itu.

Firman Allah s.w.t.:
مَّا يَفْعَلُ اللَّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَآمَنتُمْ ۚ وَكَانَ اللَّهُ شَاكِرًا عَلِيمًا ﴿١٤٧﴾
Maksudnya:
“Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka)”.
(Surah an-Nisa’, 147)

                Rasulullah s.a.w. adalah model yang terbaik bagi seluruh manusia, dalam mengadaptasikan kesyukuran Baginda s.a.w. terhadap Allah s.w.t. atas segala ni’mat yang dikurniakan Allah kepada Baginda. Ketika ‘A’isyah bertanya kepada Baginda s.a.w., “Kenapa dikau banyak beribadat sehingga bengkak kakimu wahai Rasulullah? Bukankah Allah telah menjanjikan syurga kepadamu?” Baginda menjawab, “Apakah salah aku menjadi hamba yang bersyukur?”. Begitulah sikap Rasulullah s.a.w. terhadap Allah yang telah menjanjikan bermacam-macam ni’mat kepada Baginda s.a.w. Hal ini kerana Baginda s.a.w. sedar bahawa Baginda s.a.w. adalah hamba di sisi Tuhannya Yang Maha Agung, maka, setinggi mana pun maqam Baginda s.a.w. di sisiNya, tetap Baginda s.a.w. adalah sebagai hambaNya.

                Begitu juga sikap para wali Allah yang terpuji, walaupun menyedari tinggi maqam mereka disisi Allah s.w.t., akan tetapi, mereka tetap menganggap diri mereka sebagai hamba yang hina di sisi Allah s.w.t., bahkan merasakan diri mereka tidak layak untuk mendapatkan hal yang seperti itu. Mereka sentiasa bersyukur atas segala pemberianNya, bahkan, mereka akhirnya rebah di sisi TuhanNya dengan mengatakan, “Wahai Tuhanku, ampunkanlah aku kerana tidak dapat bersyukur sepertimana yang disepatutnya aku bersyukur kepadaMu, kerana perasaan syukur ini juga adalah pemberianMu, maka bagaimana aku dapat bersyukur dengan pemberian syukurMu itu? Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun”.

                Bagaimana pula dengan diri kita? Bagaimana pula kita mengadaptasikan sifat syukur dalam kehidupan seharian kita? Sedangkan ni’mat Allah sentiasa turun kepada kita. Kita mampu bernafas dengan pemberian dariNya, kita mampu melihat hasil pemberianNya dan sebagainya. Adakah kita menyedari bahawa kita adalah hamba yang begitu dha’if di hadapanNya? Maka, para ulama’ dan mursyid murobbi telah menyediakan rumus-rumus yang penting dalam membawa jiwa manusia ke arah menjadi insan yang sentiasa bersyukur kepadaNya.  Antara cara yang mudah untuk kita mendapatkan jiwa yang penuh rasa syukur di hadapan Allah yang Maha Agung adalah dengan bersuhbah(bersahabat) dengan mereka yang telahpun mengadaptasikan rasa syukur dalam kehidupan seharian mereka. Mereka inilah yang dapat memberi qudwah hasanah, yang mana mereka telah warisi daripada para mursyid yang terdahulu, sehinggalah daripada para sahabat, dan daripada Rasulullah s.a.w. Para sahabat r.a. dapat mengadaptasikan sifat syukur dengan mudah, walaupun ketika itu belum ada al-Quran yang lengkap, dan susunan-susunan kitab hadith yang hebat-hebat seperti Soheh Bukhari dan sebagainya, tapi merekalah yang menjadi golongan manusia yang terhebat yang pernah wujud di atas muka bumi ini. Sepertimana firman Allah:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ...
Maksudnya:
Kamu semua adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia…”.
(Surah ‘ali-‘Imran, 110)

                Maka, carilah guru-guru mursyid murobbi, kerana pada merekalah terdapat qudwah hasanah, yang telah mereka warisi dari Rasulullah s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w.:
يا إبن عمر, دينك دينك إنما هو لحمك و دمك, فانظر عمن تأخذ, خذ الدين عن الذين استقاموا ولا تأخذ عن الدين ماله
Maksudnya:
“Wahai ibn Umar, Agama itu adalah Agamamu, dan ia adalah darah daging kamu, lihatlah daripada siapa kamu ambilnya, ambillah agama dari mereka yang istiqamah, dan janganlah kamu mengambilnya dari orang yang condong (ke arah kebatilan)”.

                Amat beruntunglah bagi sesiapa yang dapat berjalan dengan bimbingan para mursyid murobbi, dan dia jujur dalam bersuhbah dengan mursyidnya tersebut. Sesungguhnya jalan ini adalah jalan para sahabat r.a., dan juga jalan para wali Allah. Marilah wahai saudaraku, kita mencari para guru yang dapat membimbing dan memberi kita tunjuk ajar yang benar, yang memiliki rantaian yang sampai kepada Baginda s.a.w., semoga dengan bersuhbah dengan mereka, dapat mempermudahkan kita mencapai matlamat kita, iaitu Allah s.w.t.

Allahua’lam bis sowab~