Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Contengan Dan Leteran Dariku Pembuka Kata 2011~

Posted by Unknown - -


Bismillahi Wassolatu Wassalam 'ala Rasulillahi sallallahu 'alaihi wassalam wa 'ala aali wa man waalah~

Dengan segala Puji dan Pujaan kepada Tuhan semesta alam, yang menghidup serta mematikan, yang melakukan apa yang diinginiNya tanpa berhajat kepada bantuan serta petunjuk, yang telah menciptakan alam ini kerana cintaNya kepada kekasihnya yang mulia, Selawat dan Salam ke atas junjungan agung Sayidina Muhammad s.a.w. yang membawa rahmat ke seluruh alam, yang seluruh jiwa dan raganya hanya atas dasar cintanya kepada umatnya, yang diberikan Allah apa sahaja yang diingininya sehingga baginda s.a.w. redha, dan kepujian juga ke atas keluarga baginda s.a.w. yang suci lagi disucikan, yang banyak berkorban dalam menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk alam dengan dakwah kesufian yang penuh berhikmah, juga kepada para sahabat baginda s.a.w. yang terpuji lagi dipuji baginda s.a.w..


Sepuluh jari dihulurkan dengan penuh kemaafan dari al-faqir setelah lama mendiamkan diri hinggakan sengsawan memenuhi blog ini dan hanya mengopi pastekan artikel-artikel yang penuh manfaat dari beberapa website untuk dikongsi bersama kerana al-faqir sedikit sibuk dengan beberapa perkara serta tugasan penting dan juga kerana al-faqir juga berada di Putrajaya untuk bersama dengan guruku dan qudwahku ustazuna sidi Mukhlis, dengan izin Allah hari ini al-faqir berpeluang untuk berkongsi memetik keyboard dengan luahan serta contengan untuk sama-sama kita berkongsi pendapat dan luahan..

Walaupun kelihatan di blog ini seperti sentiasa diupdate, akan tetapi itu hanyalah posting dari hikmah-hikmah serta soalan-soalan yang al-faqir sempat menjawabnya dari web formspring al-faqir yang tak seberapa itu. Setelah 3bulan al-faqir terbang pulang ke tanah air dari Lebanon, atas urusan visa yang tidak dapat disempurnakan di sana, sambil memikirkan kuliah yang terpaksa ditinggalkan serta menyerahkan urusan ini hanya kepada Allah kerana di sisiNya semuanya adalah kebaikan. Sebelum fatrah imtihan datang menjelma pada sekitar akhir bulan 7 hingga bulan 8, al-faqir hanya mampu mengulang kaji dengan bantuan beberapa ustazuna agar dapat menyiapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat berdasarkan kitab-kitab yang digunakan di Jami'ah Azhar al-Beqaa, sambil menceduk ilmu dari pengajian yang lain juga. 

Cadangnya, al-faqir, ustazuna sidi Mukhlis serta ahbab Darul Hasani bermusafir pada 1/2/2011 lalu untuk menghadiri Ma'rad(pesta kitab) yang berlangsung sekitar minggu itu untuk memborong kitab-kitab untuk dibawa pulang ke Malaysia, sambil menziarahi Sheikhuna Sifi Rahimuddin an-Nawawi al-Azmatkhan, serta para Ahbab Darul Hasani Mesir untuk melepaskan kerinduan yang telah lama tersimpan dalam hati. Juga untuk al-faqir mengambil kutub milik al-faqir yang ditinggalkan sejak 2 tahun lepas dan membawa pulang ke tanah air. Akan tetapi situasi di sana(dan para pembaca sekalian pun mengetahui) bahawa demonstrasi yang dilakukan oleh rakyat Mesir untuk menggulingkan presiden Husni Mubarak semakin bertambah teruk. Ditambahkan pula dengan terlepasnya banduan-banduan dari penjara kerana tiada pengawalan, dan perusuh juga bertindak membakar bangunan-bangunan serta ada yang terlibat dalam kegiatan yang tidak sepatutnya seperti mencuri dan merompak. Kami juga mendapat tahu bahawa Ma'rad yang dijalankan sekitar Qaherah dibatalkan kerana rusuhan yang berlaku, lalu kami mengambil keputusan untuk membatalkan penerbangan pada hari sepatutnya kami terbang ke sana. Alhamdulillah, pihak EgyptAir mengerti akan situasi kami serta di Mesir dan memulangkan wang kami tanpa urusan yang rumit.

Menyentuh tentang apa yang berlaku di Mesir, rakyat Mesir mendapat inspirasi daripada kejayaan rakyat Tunisia yang berjaya menumbangkan pemerintah mereka untuk turut sama menjatuhkan pemerintahan Husni Mubarak yang telah memerintah Mesir selama 30 tahun, dengan pemerintahan kuku besi serta mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Kebangkitan rakyat yang seolah-olah mempunyai rantai yang membelungi tanah arab ini mempunyai positif dan negatifnya. 


Akan tetapi, al-faqir amat bersetuju dengan pandangan Mufti Mesir, Sheikh 'Ali Juma'ah yang mengutuk demonstrasi yang dilakukan oleh pihak yang terbabit. Pandangan Sheikh 'Ali Juma'ah itu bukanlah kerana beliau cuba membela presiden Husni Mubarak yang amat terkenal dengan kezalimannya seperti yang didakwa oleh DrMaza, akan tetapi pandangan beliau itu adalah kerana atas kemaslahatan umat, bukanlah beliau ingin membela kezaliman yang dilakukan oleh presiden Husni Mubarak itu. 





Rusuhan dan Demonstrasi tidak pernah menyelesaikan masalah. Lihatlah apa yang telah berlaku di Tunisia yang menjadi pencetus kepada rantai rusuhan di hampir seluruh tanah arab, sehingga sekarang masih berlaku kekecohan kerana kerajaan sementara yang memerintah Tunisia juga tidak mendapat perkenan majoriti rakyat yang merusuh. Perhatikan juga masalah di Mesir, mereka ingin menjatuhkan pemerintahan pro Amerika, akan tetapi yang menjadi penggerak rusuhan adalah dari golongan pro demokrasi yang juga terdiri daripada sosialis, dan suara yang mendapat paling banyak sokongan dan perhatian adalah suara dari pemenang anugerah nobel iaitu Muhammad al-Baradei yang cukup dikenali sebagai pro barat juga. 


Bagi yang dapat menghidu rusuhan yang berlaku ini, kita dapat membaca bahawa rusuhan ini berlaku untuk melenyapkan sokongan terhadap Ulama' Mesir yang banyak dipatuhi rakyat Mesir dan juga parti Islam iaitu Ikhwanul Muslimin dengan cara menjatuhkan pemerintah pro barat yang zalim, dan mengangkat pemerintah yang mengambil berat hal rakyat Mesir serta memenuhi kehendak rakyat, akan tetapi tetap membawa imej pro barat secara terang-terangan mahupun sembunyi. Maka apabila rakyat semakin menyukai pemerintah sementara yang memenuhi setiap kehendak serta menkayakan rakyat walaupun masih pro barat, maka rakyat akan berpaling dari parti Islam dengan berpaling dengan pemerintah yang seperti ini. Sedikit demi sedikit IM akan hilang sokongan dan parti Islam tidak akan dapat mengambil tampuk pemerintahan. Akan tetapi, mujurlah pihak IM tidak mengambil bahagian dalam rusuhan ini(mungkin mengambil bahagian secara senyap sahaja) kerana berkemungkinan mereka juga sedar akan hal ini. Inilah pergerakan yang dapat dibaca oleh Sheikh 'Ali Juma'ah dan ramai lagi masyayikh, serta mereka yang suci hati mereka dari sebarang kekotoran dunia. Selain itu, kita dapat melihat rusuhan yang berlaku di Mesir ini membawa satu situasi yang buruk, seperti kecurian barangan, rompakan, pembunuhan, serta dilaporkan juga terdapatnya kes rogol yang berleluasa. Kita dapat melihat bahawa di Tahrir dan sekitar Qaherah, banyak bangunan rosak dan dibakar. Apakah ini cara rusuhan yang menggunakan Islam sebagai imej mereka?. Sedangkan rusuhan juga bukanlah berasal daripada pemikiran Islam. Sejarah Islam juga menceritakan betapa ramai daripada khalifah Islam yang memimpin khilafah tetapi memerintah dengan zalim hatta membunuh ramai ulama' dan penentangnya. Akan tetapi, tiada pun dalam sejarah murni kita menceritakan bahawa wujudnya rusuhan dari kalangan rakyat zaman khilafah islamiyah sambil dipimpin oleh ulama', bahkan mereka bersabar menghadapi pemerintahan seperti itu. Akan tetapi masyarakat Islam kebanyakkan sudah tidak mengenal erti kesabaran dan kepatuhan terhadap pemerintah walaupun pemerintah itu memerintah dengan zalim dan tidak mengikut undang-undang Islam. Lalu tanpa disedari, corak pemikiran murni umat Islam telah dicemari dengan budaya rusuhan, menentang pemerintah yang tidak disukai mereka, dan budaya ini berasal daripada barat yang dibawa oleh Syed Qutub ke dalam masyarakat arab dengan menggunakan imej IM.


Golongan sufi tidak pernah menyokong pergerakan rusuhan dan sebarang tindakan yang tidak berhikmah, kerana mereka berdakwah dengan cara berhikmah dan dakwah mereka paling berkesan dalam setiap perkara. Mereka tetap bergerak dalam manhaj dakwah nabawiyyah yang tidak mengenal erti rusuhan, bermusuhan serta bertindak ganas dan mereka adalah golongan yang banyak mencontohi dakwah baginda s.a.w. Dengan segala rusuhan yang berlaku dan merebak ke seluruh tanah arab, membuatkan al-faqir berfikir bahawa ada benarnya bahawa ini adalah sebahagian tanda akhir zaman dan betapa dalamnya pemikiran orang kafir memasuki pemikiran masyarakat Islam, mereka sanggup menjatuhkan saudara mereka walaupun di belakang golongan kafir mentertawakan mereka kerana termasuk dalam perangkap mereka.



Beralih topik pula, Insyaallah, sekiranya keadaan di Lebanon aman walaupun sekarang keadaan di negara itu sedikit kucar kacir kerana Hizbu-asysyaitan syi'ah(Hizbullah) memisahkan diri mereka dari kerajaan yang dipimpin oleh Said Hariri yang menjadikan Said Hariri hilang kuasa pemerintahan, atas dasar kerana mereka memboikot keputusan kerajaan untuk menjalankan siasatan ke atas mereka berhubung kes pembunuhan kejam keatas Allahyarham asy-Syahid Rafiq Hariri yang meninggal dunia kerana dibom beberapa tahun lalu, al-faqir mungkin akan ke sana bersama-sama Ustazuna sidi Mukhlis serta Ahbab Darul Hasani untuk menziarahi Sheikhuna Sidi Yusuf ibn Muhyideen al-Bakhour al-Hasani yang berada di Beirut sambil membeli kutub yang banyak terdapat di sana sambil berehlah menjelajahi dunia Lebanon yang sentiasa diuji Allah itu.

Selain itu, pada akhir bulan Februari ini, Insyaallah Sheikhuna Sidi Rahimuddin akan turun ke Malaysia dalam jelajah dakwah beliau dan bertemu para ahbab Darul Hasani di Malaysia. Jadual perjalanan beliau insyaallah al-faqir akan postkan pada posting yang akan datang..

Sekadar itu perkongsian dan coretan dari al-faqir, sekiranya terdapat pandangan dan kata-kata yang tidak sesuai dengan pemikiran para pembaca yang dirahmati Allah, seribu kemaafan dipohon dari kalian..Semoga Allah s.w.t. merahmati dan memberi petunjuk kepada sekalian umat Islam yang sedang berada dalam dilema tipuan musuh Islam serta godaan dunia, moga mereka bertemu dengan pembimbing yang membimbing mereka ke jalan yang penuh hikmah dan yang mempunyai hati yang bersih dari kekotoran dunia. Ameen~..

*P/S=12 Rabi'ul Awwal semakin menghampiri dengan berbaki 8 hari lagi, insyaallah pada posting akan datang al-faqir akan menyentuh topik berkenaan kemuliaan Baginda s.a.w. sempena menyambut kemuliaan Baginda s.a.w. yang agung lagi bersifat ar-Rahim.
Allahua'lam bis sowab~~