Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Cinta Bukan Sekadar Dakwaan - Cinta Serta Bahagiannya

Posted by Unknown - -




Apakah yang dimaksudkan dengan CINTA? Semua orang berkata tentang cinta, baik kanak-kanak, orang dewasa, orang Islam, mahupun orang bukan Islam. Pelbagai ta’rifan dan anggapan yang dilakukan oleh manusia apabila menyentuh tentang kalimah CINTA, tidak lain hanyalah kerana ingin menterjemahkan perasaan cinta yang ada dalam diri masing-masing. Di dalam kamus dewan , cinta bermaksud satu perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada sesuatu. Ia adalah satu perasaan yang telah wujud secara semulajadi yang telah Allah  letakkan dalam diri manusia. Daripada perasaan cinta, maka lahirlah kasih sayang , rasa bertanggungjawab dan sebagainya. Ada yang mengatakan bahawa cinta itu ialah pengorbanan. Ada juga yang mengatakan cinta itu ialah seseorang mengikuti orang yang dicintainya walaupun akan menghadapi kesusahan. Maka ada juga yang mengatakan, cinta ialah penyeksaan. Kesemuanya cuba berfalsafah ketika mengolahkan satu perasaan yang unik serta agung ini. Adapun sebenarnya, cinta adalah suatu perasaan yang lembut dan lazat, yang muncul dalam hati seseorang insan terhadap sesuatu ataupun seseorang. Cinta terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
1) Cinta maslahat.
2) Cinta fitrah.
3) Cinta kehambaan.


A- Cinta Maslahat.

Cinta Maslahat bermaksud, perasaan cinta yang lahir kerana maslahat. Cinta seperti ini muncul dari hati seseorang kerana maslahat. Sheikhuna Sidi Rahimuddin al-Nawawi al-Bentani sentiasa menyebut, “Cinta maslahat ialah cinta seseorang kepada sesuatu kerana sesuatu itu dapat mendatangkan kesenangan kepada dirinya”. Cinta seperti ini tidak lain daripada kita mempergunakan sesuatu itu melalui cinta, untuk mendapatkan sesuatu ataupun mencapai tujuan kita.

Contohnya adalah seperti cinta dalam kalangan remaja kita sekarang, cinta mereka ialah cinta maslahah,apatah lagi mereka mencintai seseorang hanya kerana hawa nafsu mereka. Seseorang lelaki, akan berkata cinta, dan bermesra dengan kekasihnya, tetapi dalam masa yang sama, lelaki tersebut menikmati sentuhan haram kekasihnya itu, bahkan memuaskan keinginan hawa nafsunya itu kepada perempuan yang dicintainya itu. Perkara ini berlaku, walaupun kemungkinan lelaki tersebut tidak meninggalkan kekasihnya itu, atau hubungan itu diteruskan dengan pernikahan, tetapi cintanya kepada perempuan itu yang berlandaskan hawa nafsu itulah yang dikenali sebagai cinta maslahat.

Contoh yang lain adalah, seperti cinta seseorang kepada suatu perkerjaan. Seseorang yang berkerja di satu pejabat, dan sememangnya mencintai pekerjaannya itu. Maka, dengan cintanya itu, dia menjadi rajin, amanah serta berdedikasi, bahkan sentiasa bekerja lebih masa dalam kerjayanya itu. Tetapi, tidaklah dia berharap melalui cintanya terhadap pekerjaan itu, melainkan hanya untuk mendapatkan kenaikan gaji serta pangkat. Maka ini juga tergolong kepada cinta maslahat.

Seperti juga dalam bab seseorang hamba dengan Tuhannya. Berlakunya cinta maslahat, apabila seseorang hamba itu mencintai Tuhannya, sedangkan dalam hatinya mengharapkan balasan daripada Allah . Dia mencintai Allah  agar Allah  menerima amalannya, memasukkannya ke dalam SyurgaNya yang penuh ni’mat, serta supaya dijauhkan daripada azab api neraka. Begitu jugalah dalam bab mencintai Baginda  kerana mahu mendapat syafa’at Baginda , kerana dia tahu akan keadaan huru-hara dan penuh azab di Padang Mahsyar nanti melalui pembacaannya. Maka dia pun mencintai Baginda  hanya kerana ingin dirinya diselamatkan serta mendapat kesenangan di Akhirat kelak, dan bukanlah mencintai Baginda  kerana diri Baginda  atau bertujuan melaksanakan perintah Allah .

Walau bagaimanapun, cinta maslahat tetap dikira baik, daripada tiada langsung perasaan cinta kepada seseorang ataupun sesuatu, walaupun sebenarnya cinta tersebut hakikatnya hina serta rendah. Kebanyakkan manusia tidak sedar bahawa cinta mereka tergolong dalam cinta ini.


B- Cinta Fitrah.

Cinta Fitrah bermaksud cinta yang muncul secara semula jadi. Cinta ini muncul kerana pertalian darah antara satu sama lain. Dengan cinta ini, mereka saling mengambil berat dan menjaga satu sama lain, serta merasakan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga mereka itu. Seperti, cinta seorang ayah kepada anak, cinta seorang cucu kepada nenek.

Cinta seperti ini lebih banyak terzahir daripada ibu kepada anaknya. Walaupun seseorang ibu itu mengalami kesusahan ketika mengandung, menderita dan bertarung nyawa ketika melahirkan anaknya, bersusah payah menjaga makan minum serta pakaian anaknya itu, tetap sahaja seseorang ibu itu akan menjaga anaknya itu seperti “menatang minyak yang penuh” bahkan tidak berasa letih. Oleh itu terdapat pepatah melayu yang mengatakan, “kasih ibu sepanjang jalan, kasih anak sepanjang penggalan” yang membawa maksud, kasih anak kepada ibu tidak sempurna dan seimbang berbanding cinta seseorang ibu kepada anaknya.

Contoh paling sempurna dalam cinta fitrah ini boleh kita dapati daripada binatang, antara ibu dengan anaknya. Kita lihat sahaja bagaimana seekor ibu kucing, sanggup bersusah payah ke hulu dan ke hilir membawa kandungan, kemudian menyusukan anak-anaknya. Tetapi tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anaknya setelah ia susah payah menjaganya, bertarung nyawa menjaga anaknya daripada sebarang ancaman. Bahkan setelah anaknya matang, ia merelakan anaknya pergi dan masing-masing menjalankan kehidupan sendiri.

Namun, cinta fitrah ini juga boleh bertukar menjadi cinta maslahat sekiranya cinta fitrah ini tidak dihiasi dengan kehambaan kepada Allah . Sepertimana cinta sesetengah anak kepada kedua-dua orang ibu bapanya. Seseorang anak sememangnya akan menyayangi kedua ibu bapanya, tetapi apabila dia mencintai ibu bapanya, berbuat baik dengan mereka, menggembirakan mereka, kerana untuk memudahkan dirinya untuk mendapat wang, ataupun perhatian yang lebih, ataupun supaya dirinya mendapat apa yang dihajatinya, maka inilah yang dinamakan cinta fitrah yang telah dinodai dengan maslahat.

Cinta fitrah juga kadang-kadang muncul pada pertama kali seseorang jatuh hati kepada seseorang yang berlawanan jantina yang disukainya, kerana fitrah manusia akan jatuh hati serta menyayangi seseorang yang berlainan jantina dengannya. Perasaan ini ialah suatu yang fitrah, tetapi amat mudah bertukar menjadi cinta maslahat apabila cinta itu kerana ingin ber‘couple’, ingin mempunyai teman, berkahwin dan sebagainya, yang bukan bertujuan untuk ibadat.

Maka, cinta fitrah walaupun satu perasaan yang suci yang muncul dari hati seseorang atas dasar kekeluargaan, ataupun kerana fitrah manusia akan saling mencintai kepada berlainan jantina, masih lagi bukan dikira sebagai cinta yang sebenar-benarnya kerana cinta tersebut terhenti kepada antara manusia. Sedangkan cinta yang sebenarnya adalah cinta yang diselaputi dengan cinta hakiki, iaitu mencintai seseorang kerana seseorang itu kerana perhambaan kepada Allah .


C- Cinta Kehambaan.

Cinta kehambaan bermaksud cinta seseorang hamba kepada Tuhannya dengan penuh ketulusan. Cinta seperti ini ialah cinta yang dibawa serta ditunjukkan oleh Baginda  dalam mencintai Allah . Ia adalah satu cinta yang muncul melalui kejernihan hati daripada sebarang cinta maslahat serta keuntungan diri, sebaliknya dia hanya mencintai Allah  kerana menyedari bahawa dia adalah hamba yang patut menyerahkan dirinya hanya kepada Allah . Dalam hatinya, tidak terfikir akan balasan daripada cintanya itu, tetapi cintanya itu hanyalah kerana tanggungjawabnya sebagai seorang hamba. Maka, dia hanya menfokuskan cintanya kepada Allah  yang menjadi pemiliknya, dan tidak menagih perhatian serta cinta daripada selainNya. Oleh yang demikian, berkata orang yang ‘arif apabila mentakrifkan kalimah cinta ini dengan sya’irnya;



الحب في صدق النية
خير الصفات المرضية
“Cinta adalah kejujuran hati,
Sebaik-baik sifat yang terpuji”


Oleh kerana kejujuran hatinya terhadap cinta kepadaNya, maka dia akan melakukan sesuatu perkara, hanya kerana Allah . Dia akan menunaikan solat, kerana itu adalah perintah daripada kekasihnya iaitu Allah , tidak mengharapkan pahala serta kurniaan daripada kekasihnya. Seseorang itu juga akan mencintai seseorang yang lain, tidak lain hanyalah kerana Allah , kerana tahu setiap makhluk adalah sebahagian daripada ciptaan Allah . Bahkan dia akan sanggup untuk bersusah payah, bahkan mengorbankan segalanya hatta jiwanya, dek kerana cintanya yang tulus itu. Sebagaimana Baginda  yang telah kita ketahui, sanggup bersusah payah dalam dakwah Baginda  kepada umatnya, bahkan kehilangan kesenangan hidup serta dipinggirkan keluarga tersayang, bukan kerana Baginda  menagih simpati atau balasan daripada Allah  dan umatnya, tetapi hanya kerana cinta Baginda  kepada Allah  semata-mata.

Dengan segala pengorbanan dan usaha Baginda , mereka yang sezaman dengan Baginda  melihat Baginda  melakukan sesuatu perkara seolah-olah orang gila, bahkan lebih daripada itu kerana melakukan sesuatu tanpa mengenal kesusahan serta kepayahan, kerana Baginda  melakukan sesuatu adalah hasil daripada keyakinan dan cintanya terhadap Allah . Dengan itu, berdondong masyarakat musyrikin yang melihat dakwah Baginda , terpegun dan yakin kepada ajaran yang disampaikan oleh Baginda  lalu memeluk Islam kerana yakin dengan keyakinan Baginda .

Kita tidak akan dapat merasai cinta kehambaan dengan sebenar-benarnya, kerana kita tidak mengetahui bagaimana keadaan hati yang dikatakan cinta kehambaan itu. Sesungguhnya cinta ini bukanlah daripada khayalan hati, ataupun dibuat-buat, maka betapa ramai yang kecundang dalam mencari cinta yang hakiki ini. Bahkan betapa ramai orang tertipu dengan perasaannya, dengan merasakan bahawa dia mencintai Tuhannya, sedangkan cintanya itu hanyalah bertepuk sebelah tangan sahaja.

Allah  telah mengajarkan kepada kita melalui firmanNya yang agung di dalam al-Quran, bagaimana cara untuk mendapatkan cinta kehambaan yang diterima oleh Allah ;

Bermaksud: “Katakanlah (wahai kekasih Allah): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” .

Maka, para sahabat berlumba-lumba mencintai serta mematuhi Baginda  kerana perintah daripada Allah . Akhirnya, mereka dapat mencintai Allah  dengan cinta kehambaan, bukannya cinta atas dasar maslahat, melalui pintu hati Baginda . Allah  menzahirkan kepentingan taat serta balasannya dalam firmanNya;

Maksudnya: “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan bersama-sama dengan golongan yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi dan orang-orang jujur dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman (kepada orang-orang yang taat)” .


Allahua'lam..