Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Mengenali Permata Tariqah Syaziliyyah - Sidi Abu al-'Abbas al-Mursiy Qaddasallahu Sirrahu

Posted by Unknown - -

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين وأفضل الصلاة وأتم التسليم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

سيدي أبي العباس المرسي رضي الله عنه

Maqam Sidi Abu al-'Abbas al-Mursiy(Murid kepada Sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy) dan juga anak beliau

Sejarah beliau:

Beliau adalah Sidi Ahmad ibn ‘Umar al-Ansori al-Mursiy asy-Syaziliy al-Maalikiy al-Mursyid al-Murobbi al-‘Arif bIllah, Qutub pada zamannya, pewaris rohani Sidi Abi al-Hasan asy-Syazliliy dan merupakan khalifahnya(semoga Allah meredhai mereka berdua, ameen).
Beliau terkenal dengan gelaran Abu al-‘Abbas al-Mursiy, yang disandarkan kepada tempat lahirnya di Mursiyyah pada tahun 616 Hijrah.


Perjalanan beliau:

Sidi Abu al-‘Abbas al-Mursiy(semoga Allah meredhainya) telah mengambil tarbiah tasawwuf dari tangan gurunya yang terkenal sebagai ahli Sufi, yang terkenal dengan gelaran Sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy(semoga Allah meredhainya). Beliau telah berjumpa dengan guru rohaninya itu di Tunisia pada tahun 640 Hijrah setelah menguasai dengan mendalam terhadap ilmu-ilmu seperti Fiqh, Tafsir, Hadith, Mantiq, Falsafah dan sebagainya. Setelah itu, beliau bertemu dan masuk ke dalam Tariqah Sufiyyah dan mengambil permata Tasawwuf daripada pewarisnya. Pengsuhbatan Sidi Abi al-‘Abbas(semoga Allah meredhainya) dengan gurunya Sidi Abi Hasan asy-Syaziliy telah menjadikannya pemimpin serta permata Tariqah asy-Syaziliyyah. Dan adalah beliau juga telah berkahwin dengan anak gurunya itu.
Antara pujian yang terkenal dari gurunya Sidi Abi Hasan asy-Syaziliy(semoga Allah meredhainya), satu perbualan yang menunjukkan ketinggian rohani muridnya itu dengan berkata;

يا أَبَا العبَاَّسِ ؛ واللهِ ما صَحَبْتُكَ إِلاَّ لِتَكُـــونَ أَنْتَ أَنَـــا ، وأَنـَـا أَنْتَ .. يا أَبـَــا العَبَّـــاسِ؛ فِيكَ مَا فِى الأَوْلِيَاءِ، وَليْسَ فِى الأَوْليَاءِ مَا فِيكَ

“Wahai Aba al-‘Abbas, Demi Allah tidaklah aku telah bersahabat denganmu melainkan untuk menjadikan engkau itu aku, dan aku adalah engkau. Wahai Aba al-‘Abbas, pada dirimu itu apa yang ada pada diri para auliya, dan tidaklah pada para auliya’ itu ada seperti apa yang ada pada kamu”.

Dan antara pujian Sidi Abi al-Hasan asy-Syaziliy yang terkenal diantara golongan Sufiyyah, iaitu;

أبُو العبَّاسِ مُنْذُ نَفــَــذَ إِلى اللهِ لَمْ يُحْجَبْ، وَلَوْ طَلَبَ الحِجَابَ لَمْ يجـِــدْهُ.. وأَبُو العبَّاسِ بِطُرُقِ السَّمَاءِ، أَعْلَمُ مِنـْـهُ بِطُرُقِ الأَرْضِ!

“Abu al-‘Abbas sejak sampai kepada Allah tidak pernah dihijab, sekiranya beliau meminta hijab tidak akan mendapatinya. Dan Abu al-‘Abbas tentang apa yang ada di langit, lebih beliau ketahui berbanding apa yang ada di bumi”.

Sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy(semoga Allah meredhainya) berkata dengan penuh berbangga terhadap Sidi Abu al-‘Abbas kerana beliau telah keluar dari didikannya sebagai seorang ‘Arif bIllah. Dan Sidi Abu al-‘Abbas pernah bercerita kerana menyebut ni’mat Allah keatasnya;

 والله لو حجبت عينا رسول الله صلى الله عليه وسلم عن عيناي طرفة عين ما عددت نفسي من المسلمين

“Demi Allah, sekiranya aku terhijab daripada memandang Rasulullah s.a.w. walaupun sekedip pandangan, tidak aku merasakan diriku ini sebahagian daripada Muslimin”.

Beliau(semoga Allah meredhainya) berkata;

ما سار الأولياء من قاف إلى قاف حتى يلقوا واحداً مثلنا فإذا رأوه كان يغنيهم

“Tidak berjalan para auliya’ daripada qaf kepada qaf[1] sehingga mereka bertemu dengan seseorang seperti kami, sekiranya mereka melihatnya nescaya mengkayakannya”.


Beliau(semoga Allah meredhainya) mengajar dalam semua disiplin ilmu, dan boleh berbicara dalam pelbagai bahasa, dan adalah beliau tidak berbicara melainkan berkenaan Allah s.w.t., sifat-sifat dan nama-namaNya yang Agung, serta menyentuh tentang simbol-simbol huruf hijaiyyah, berbicara dalam lingkungan para auliya serta maqam, dan juga rahsia-rahsia keTuhanan.

Beliau juga pernah berkata ketika memegang janggutnya;

لو علم علماء العراق والشام ما تحت هذه الشعرات لأتوها ولو على وجوههم

“Sekiranya ulama’ Iraq serta Syam mengatahui apa yang berada di bawah bulu ini, nescaya mereka akan datang walau terpaksa berjalan menggunakan wajah mereka”.


Menetap di Iskandariyah:

Pada tahun 642 Hijrah, Sidi Abu al-‘Abbas(semoga Allah meredhainya) bersama gurunya Sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy(semoga Allah menyucikan rohnya) telah sampai di Iskandariyah. Setelah kewafatan gurunya pada tahun 656 Hijrah, beliau diwariskan untuk meneruskan tariqah asy-Syaziliyyah al-Mubarakah pada umur sekitar 40 tahun. Beliau membawa dan menyebarkan sinar ilmu serta tasawwuf sehingga datang seruan Tuhannya pada tahun 686 Hijrah setelah menetap selama 44 tahun di Iskandariyah. Di atas perjuangan beliau, bersinarlah tariqah asy-Syaziliyyah menyinari alam ini.


Kewafatan beliau:

Sidi Abu al-‘Abbas(semoga Allah meredhainya) wafat pada tahun 686 Hijrah serta dimaqamkan di kawasan dimana terdirinya masjid yang besar di Iskandariyah yang mana sebelum ini kawasan itu maqam para auliya. Pada tahun 706 Hijrah, berdirinya bangunan atas maqamnya, untuk membezakan maqamnya dengan maqam sekitarnya, maka jadilah bangunan itu membesar dan akhirnya dijadikan masjid oleh Zainuddin al-Qotto dan dijadikan waqaf. Pada tahun 1189 Hijrah, dibesarkan lagi masjid itu sebagaimana keadaannya sekarang.

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan manfaat dengan keberkatan Sidi Abu al-‘Abbas al-Mursiy di atas ilmunya, Ameen~

Allahua’lam

Diterjemahkan oleh al-Faqir ilAllahi al-Latif,
Tengku Ahmad Saufie.

Rujukan: Asy-Syaziliyyah al-Hadiithah wa Imaamuha Abu al-Hasan asy-Syaziliy(Darul al-Kutub al-Hadiithah)



[1] Qaf disini adalah suatu rumus para sufi yang bermaksud, dari suatu tempat kepada suatu tempat lain yang tiada batasan ataupun dari satu gunung kepada satu gunung yang meliputi alam ini.