Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Cinta Bukan Sekadar Dakwaan - Kenapa Cinta Kepada Nabi s.a.w. (sambungan)

Posted by Unknown - -


Cinta Baginda S Terhadap Umatnya




Ketahuilah! Rasulullah S amat mengambil berat akan keberadaan umatnya, walaupun kepada kita yang tidak pernah bertemu dengannya S. Inilah yang menunjukkan bahawa Rasulullah S amat perihatin dan mencintai umatnya S dan tidak terhad kepada para sahabatnya S. Baginda S sentiasa menyebutkan perkataan, “Akan datang suatu zaman dari umatku…” yang merujuk kepada umatnya yang muncul setelah kewafatan Baginda S. Begitu juga dengan kalimat yang cukup terkenal, “Umatku..Umatku..Umatku”, yang mana Baginda S menyebutkan kalimah ini ketika sedang menghadapi kesakitan sakaratul maut, bahkan kalimah ini juga keluar dari bibir Baginda S ketika di padang Mahsyar ketika manusia tidak mampu berjalan dengan kaki-kaki mereka kerana ketakutan yang amat sangat.


Apakah kita mempunyai sebarang jasa kepada Baginda S sehingga Baginda S amat mengambil berat kepada kita? Apakah kita mempunyai pertalian darah dengan Baginda S sehingga Baginda S amat menyayangi kita hingga hari kiamat kelak? Bahkan tidak! Jauh sekali Baginda S melakukan ini kerana pertalian darah, apatah lagi untuk membalas jasa kita sedangkan kita belum lagi lahir di atas muka bumi ini. Jadi, apakah yang membuatkan Baginda S amat menyayangi kita? Tidakkah kita berasa hairan apabila ada seseorang manusia mencintai serta mengambil berat seseorang yang lain tanpa sebab yang mendorong ke arah timbulnya perasaan mulia itu? Akan tetapi itulah Baginda yang bernama Sayyidina Muhammad S. Tiada sebab yang Rasulullah S letak kepada dirinya untuk mencintai umatnya, bahkan itulah sifatnya S yang terpuji yang telah Allah tanamkan ke dalam hati Rasulullah S Terdapat satu hadith yang menggambarkan betapa perihatinya Baginda S iaitu;

لما تلا قول الله عز وجل في إبراهيم))  رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي  ((وقول عيسى عليه السلام)) إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ ((فرفع يديه وقال : اللهم أمتي أمتي وبكى ، فقال الله عز وجل : يا جبريل اذهب إلى محمد - وربك أعلم - فسله ما يبكيك ، فأتاه جبريل صلى الله عليه وسلم ، فسأله ، فأخبره رسول الله صلى الله عليه وسلم بما قال وهو أعلم ، فقال الله : يا جبريل اذهب إلى محمد فقل : إنا سنرضيك في أمتك ولا نسوءك

Maksudnya: “Pada suatu ketika, Rasulullah S membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim ‘alaihi as-salam; “Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat)”.[1]

Kemudian Baginda S membaca pula perkataan Nabi Isa ‘alaihi as-salam; Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”[2].
Setelah itu, Nabi S mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis:

“Ya Allah! Umatku! Umatku!”

Lalu Allah Y berfirman kepada Jibril a:  “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad S -sememangnya Allah lebih Mengetahui- tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.
Maka Jibril as menemui Nabi S, lalu bertanya kepada Baginda S dan Baginda S mengkhabarkan kepada Jibril a sebab tangisannya.

Maka Allah berfirman kepada Jibril a: “Pergilah kamu menemui Muhammad S dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau S dalam urusan umat engkau S[3].


Tidakkah tinda-tanduk Rasulullah S seperti ini membuatkan kita duduk terfikir sejenak, betapa tingginya kasih sayang Rasulullah S terhadap umatnya S sehinggakan hati Rasulullah S penuh dengan kerisauan terhadap umatnya S. Sesungguhnya Rasulullah mencintai kita tanpa 1 sebab, akan tetapi kita mempunyai 1001 sebab untuk mencintai Baginda S bahkan wajib ke atas kita mencintai Baginda S. Amat ruginya seseorang itu terhijab dalam merasai tingginya cinta Baginda S terhadap kita.


Selain itu, Baginda S juga bersabda seperti yang diriwayatkan Abu Hurairah;

أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أتى المقبرة فقال‏ ‏السلام عليكم دار قوم مؤمنين وإنا إن شاء الله بكم لاحقون وددت أنا قد رأينا إخواننا قالوا أولسنا إخوانك يا رسول الله قال أنتم أصحابي وإخواننا الذين لم يأتوا بعد

Bermaksud: “Bahawa Rasulullah S telah pergi ke kawasan perkuburan dan bersabda: “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”.

Sahabat bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?

Baginda S menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah S)[4].




[1] Surah Ibrahim, 36.
[2] surah al-Maidah, 118
[3] Hadith diriwayatkan Sayyidina ‘Abdullah ibn ‘Amru al-‘As radhiyallahu ‘anhu, sebagaimana tercatat di dalam kitab Soheh Muslim, 306.
[4] Hadith diriwayatkan Sayyidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, sebagaimana tercatat di dalam kitab Soheh Muslim, 372.