Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Islam, Remaja dan Teknologi (2)

Posted by Unknown - -


Firman Allah s.w.t.:

وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ الْإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ
Maksudnya: Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmatTuhannya. Surah Ibrahim, 34.

            Alhamdulillah, pada edisi sebelumnya kita telah menerangkan serba sedikit akan kelebihan teknologi yang telah mendapat tempat di hati manusia, lebih-lebih lagi kepada para remaja yang menjadi tulang belakang sesebuah negara. Sekarang kita akan menyentuh tentang keburukan teknologi, apabila manusia mulai tidak bersyukur dengan ni’mat Allah,  yang membawa kepada kemurkaan Allah serta timbulnya penyakit penyalah gunaan teknologi.



            Para remaja adalah golongan yang paling banyak mendapat manfaat dengan terhasilnya barangan berteknologi, akan tetapi mereka juga boleh terdedah kepada perkara yang sia-sia serta ditegah oleh Allah s.w.t. Dengan adanya teknologi, mereka mula bersikap membazir untuk mendapatkan suatu peralatan yang canggih mengikut perkembangan semasa. Mereka tidak lagi memikirkan kerugian apabila berlumba-lumba untuk memiliki suatu yang lebih canggih hanya sekadar untuk bermegah-megah di hadapan sahabat mereka, sedangkan mereka hanya merugikan diri mereka sendiri.

Bayangkan sekiranya wang yang dibelanjakan setiap kali untuk memiliki gadjet yang baru, digunakan untuk pengajian dan membeli sesuatu yang lebih bermanfaat seperti buku pelajaran. Dengan wang itu juga, dia boleh mendidik dirinya supaya bersifat murah hati dengan membantu saudaranya yang kesusahan.

Dengan penggunaan teknologi juga, para remaja terdedah kepada masalah sosial yang besar. Mereka bebas mengenali antara satu sama lain yang berlainan jantina, walaupun tidak perlu untuk bersua muka. Dengan kecanggihan teknologi, mereka boleh berinteraksi dengan kenalan mereka dengan menggunakan “webcam” dan boleh melihat kenalannya seperti melihat di hadapan. Mereka juga boleh menghabiskan berjam-jam di hadapan komputer dan telefon mudah alih untuk berchatting dan bermesej dengan sepuas-puasnya. Dengan menyalah gunakan kelebihan teknologi, mereka akan batas-batas pergaulan lebih-lebih lagi terhadap berlawanan jantina. Dengan berchatting, masa mereka terbuang begitu sahaja, sedangkan pepatah arab sentiasa menyebut, الوقت كالسيف اذا لم تقطعه قطعك, bermaksud, “Waktu itu seperti pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, ia akan memotongmu”.

Berchatting dan bermesej, selain dari pembaziran waktu, akan membawa kepada percakapan yang sia-sia, bahkan boleh melanggari batas syara’. Seseorang akan berchatting dengan temannya, samada lelaki atau perempuan, dengan percakapan yang tidak bermanfaat untuk diri mereka, yang lebih dikenali sebagai “sembang-sembang”. Banyak bersembang merupakan salah satu penyakit yang wujud dalam hati yang berasal daripada nafsu, sedangkan nafsu amat menyukai seseorang itu melakukan perkara yang sia-sia dan dilarang kerana firman Allah,

Firman Allah:

 إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ 
Maksudnya: “…sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan…” Surah Yusuf, 53.

Baginda s.a.w. juga telah berpesan bahawa amat penting menjaga diri daripada banyak bercakap, sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Hurairah r.a:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر ، فليقل خيرا أو ليصمت ، ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر ، فليكرم جاره ، ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر ، فليكرم ضيفه
Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah bercakap yang baik-baik ataupun diam. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah memuliakan jirannya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah memuliakan tetamunya”. Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Selain dari masalah-masalah di atas, para remaja yang menggilai teknologi ini akan terdedah kepada maklumat dan jaringan sosial tanpa had dan kawalan. Mereka mula mengenali serta terdedah dengan perkara yang berkaitan dengan syahwat, dengan membuka pelbagai website yang meracuni pemikiran remaja Islam. Akhirnya fikiran remaja tersebut menjadi lemah dengan kuatnya syahwat serta nafsu, yang membawa kepada keruntuhan akhlak dan moral di antara remaja lelaki dan perempuan seperti yang telah berlaku sekarang. Sedangkan ketika proses remajalah perlu dikawal tindak-tanduk serta pergaulan mereka. Ketika ini mereka mula ditumbuhi syahwat dan tertarik dengan jantina yang berlawanan dengannya. Sekiranya mereka tidak dipimpin dengan kekuatan Agama, maka iman mereka akan rapuh dan mudah tergelincir ke kancah maksiat yang dimurkai Allah. Firman Allah s.w.t.:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya, Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Surah al-Isra, 32.

Baginda s.a.w. juga telah memberikan satu petua yang amat mujarrab dalam menangani masalah pergaulan di antara lelaki dan perempuan, dengan sabdanya s.a.w.:

 إِذَا لَمْ تَسْتَحِيْ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Maksudnya, “Sekiranya kamu tiada(rasa) malu, maka lakukanlah apa yang kamu ingini”. Riwayat Imam Tirmidzi.

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh kumpulan Kaizer Impreza terhadap remaja di UKM, mereka mendapat maklum balas bahawa hampir kesemua penuntut di UKM yang menjalani kajian ini sangat bersetuju bahawa penggunaan internet membawa kepada keruntuhan akhlak dan sahsiah diri remaja. Walaupun wujudnya satu kesedaran yang baik ini, akan tetapi golongan remaja inilah yang turut terbabit dalam masalah ini.

Untuk mengatasi masalah yang meracuni umat Islam ini, lebih-lebih lagi terhadap remaja yang menjadi tonggak kemajuan ummah, perlulah masing-masing memainkan peranan yang penting dalam mengubah setiap kemungkaran yang berlaku. Rasulullah s.a.w. bersabda;

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان
Maksudnya, “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan(kekuasaan)mu. Sekiranya tidak mampu, maka ubahlah dengan lisan(teguran dan nasihat)mu. Sekiranya tidak mampu, maka ubahlah dengan hati(mendoakan sambil dalam hati tidak menyukai perkara maksiat itu)mu. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman”. Riwayat Imam Muslim.

Begitulah cara Baginda s.a.w. yang menggalakkan semua pihak, baik dari yang mempunyai kuasa, ataupun yang tidak mampu berbuat apa-apa melainkan pengubahan dengan hati, untuk bersama-sama membantu dalam mengajak manusia meninggalkan keburukan dan memperelokkan diri masing-masing. Sikap inilah yang menggambarkan persaudaraan dalam Islam, di mana Baginda s.a.w. menggambarkan persaudaraan dengan bersabda, “Orang Muslim itu bersaudara kepada Muslim yang lain”.

Mereka yang mempunyai kekuasaan dalam melaksana hukum, perlulah mengawal kemasukan bahan maklumat yang merbahaya dengan menyekat website-website yang boleh merosakkan jiwa raga serta jati diri umat Islam. Selain itu, ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam menanam wajah keIslaman dalam jiwa anak-anak mereka. Rasulullah s.a.w. turut bersabda;

كل مولود يولد على الفطرة فأ بواه يهودانه أو ينصرانه أويمجسانه
Maksudnya: “Setiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci), maka kedua orang tuanyalah yang membuatkannya Nasrani, Yahudi atau Majusi”. Riwayat Imam al-Bukhari

Ibu bapa juga boleh memantau anak-anak mereka dalam penggunaan internet agar tidak leka dan terperangkap di dalam jerangkap sosial dalam internet. Dengan penanaman imej Islam dalam jiwa anak-anak mereka sejak kecil, maka akan timbul satu benteng keimanan yang teguh agar para remaja dapat menolak budaya yang merosakkan imej Islam sebagai Agamanya.

Maka, sekiranya didikan agama kembali ditekankan kepada para remaja, nescaya masalah penyalah-gunaan teknologi dapat dikekang kerana setiap remaja yang telah ditanam keIslaman yang sempurna, serta akhlaq yang mahmudah, akan menjadikan para remaja malu kepada Allah pada setiap masa dan hilangnya perasaan berani melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Mereka sentiasa menghargai ni’mat pemberian Allah dan inilah remaja yang dipuji Allah dan Baginda s.a.w., yang akan membangunkan struktur masyarakat yang benar-benar beriman kepada Allah, sepertimana yang telah kita dapati dalam sejarah ketamadunan Islam.

Firman Allah s.w.t.:

فَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Maksudnya: Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.” Surah an-Nahl, 114.

            Sesungguhnya Islam tidak pernah menentang arus perkembangan teknologi. Akan tetapi, perlulah kita menyedari dari manakah datangnya segala perkembangan kalau tidak dengan keinginan Allah, dan Allah hanya menuntut kita menggunakan segala ni’mat yang dikurniakan sebagai platform untuk menunaikan ibadat kepadaNya. Maka, marilah sama-sama kita menyedari hakikat ini.

Allahua’lam bis sowab~


al-Faqir ilAllahi al-Latif,
Tengku Ahmad Saufie

*Artikel ini disiarkan di www.VIC.my