Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Mengenali Permata Tariqah asy-Syaziliyyah - Sultan al-Auliya al-Qutub Imam Sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy Qaddasallahu Sirrahu

Posted by Unknown - -

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين وأفضل الصلاة وأتم التسليم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

سيدي أبي الحسن الشاذلي رضي الله عنه



Sejarah beliau:

Beliau adalah wali Qutub yang agung, serta al-Ghaus yang mahsyur, al-Murobbi, al-Mursyid yang sempurna, Sheikh dan Imam kepada Tariqah asy-Syazliliyyah, Sidi Abu al-Hasan ‘Ali ibn ‘Abdillah ibn ‘Abd al-Jabbar ibn Tamim ibn Hurmaz ibn Haatim ibn Qasiy, serta bersambung nasabnya kepada Sayyidina ‘Abdullah ibn al-Hasan yang dikenali sebagai ibn Sayidina al-Hasan(semoga Allah meredhainya), dan Sayidina al-Hasan adalah cucu kepada Baginda s.a.w. serta anak kepada Sayidina ‘Ali serta Sayidatina Faatimah al-Batul(semoga Allah meredhai mereka berdua) anak kepada Rasulullah s.a.w..
Telah berkata al-Imam al-Busiriy(semoga Allah meredhainya), pengarang Qasidah al-Burdah, dalam pujian beliau kepada gurunya Sidi Abi al-Hasan(semoga Allah meredhainya);

أما   الإمام    الشاذلي    طريقة         في الفضل واضحة لعين المهتدي
قطب  الزمان  وغوثه    وإمامه         عين الوجود لسان سرّ الموجدي
ساد الرجال فقصّرت عن شأوه         همم  المآرب   للعلى   والسؤدد
فتلقّ   ما يلقي   أليك    فنطقه          نطق بروح القــــــــدس أي مؤيد

Adapun Tariqah al-Imam asy-Syaziliy,
Pada kemuliaan serta jelas pada memberi petunjuk.
Qutub pada zamannya serta penolong serta imamnya,
`ainul wujud, lidah rahsia kehidupan.
Dialah ketua segala wali, sedangkan yang lain gagal berkeinginan untuk menjadi yang tertinggi dan terhormat
Maka dengarlah apa disampaikannya kepadamu, kerana setiap perkataannya itu bersama dengan Roh al-Quds iaitu Yang Berkuasa.



Kelahirannya, tempat tinggalnya, serta kecintaannya terhadap ilmu:

Beliau(semoga Allah meredhainya) lahir pada tahun 571 Hijrah, dalam kabilah al-Khammas al-Ghamariyyah. Beliau membesar di kampungnya serta di situ beliau menghafaz al-Quran serta menuntut ilmu. Setelah itu, beliau berpindah ke Faas, dan menuntut ilmu daripada para ulama’ yang hebat pada zamannya sehingga beliau menjadi salah seorang daripada ulama’ yang hebat dan bijak dalam memperbahaskan ilmu zahir. Kemudian, beliau gemar untuk menyindiri demi beribadat kepada Allah Azza wa Jalla, serta mendidik diri dengan sifat-sifat yang mulia seperti zuhud, serta bermujahadah, dan memenuhkan sehariannya dengan berpuasa, bersolat, membaca al-Quran serta berzikir, dan beliau sentiasa berkhalwah dan menjauhkan diri daripada manusia. Beliau telah mengambil Tariqah pertamanya sebagai tabarruk di Faas dari Sheikh Waliyullah Sidi Muhammad ibn Haraazim ibn Sidi ‘Ali ibn Haraazim.



 Pencariannya terhadap Mursyid yang Kamil:

Kemudian beliau mencari seorang Qutub, dengan mengembara ke ‘Iraq, dan bertemu dengan al-‘Arif bIllah Abi al-Fath al-Waasithi(semoga Allah meredhainya), maka beliau berkata, “Engkau mencari Qutub di ‘Iraq, sedangkan beliau berada di tanah airmu sendiri”. Maka, beliau pun kembali ke Maghribi serta mencari wali Qutub itu di sana. Akhirnya pencarian beliau berhasil apabila bertemu di puncak gunung pada waktu malam, setelah sekian waktu mendakinya. Dan adalah wali Qutub itu adalah asy-Sheikh Sidi ‘Abdu as-Salam ibn Masyisy(semoga Allah menyucikan rohnya), dan Sidi Abi al-Hasan asy-Syaziliy mengambil istifadah daripada beliau akan ilmu-ilmu yang mana sukar didapati oleh manusia lainnya. Setelah diberi izin oleh gurunya itu untuk meneruskan perjalanannya, beliau ke arah Tunisia, dan menetap di sana dalam tempoh yang lama di tempat bernama Syazilah yang menjadi penisbahan kepadanya.



 Penderitaan serta fitnah yang dihadapi beliau:

Setelah tersebarnya dakwah beliau dan terkenal di Maghribi, dan juga dikenali sebagai seorang yang ‘arif bIllah serta pembimbing rohani, pelbagai tuduhan serta fitnah dilontarkan daripada sekalian penjuru, bahkan dilakukan dengan penuh licik sehinggakan berjaya mempengaruhi manusia untuk menjauhi majlisnya. Antara lontaran yang mereka lontarkan ialah mengatakan beliau sebagai zindiq. Setelah itu, beliau ingin bermusafir ke Mesir, tetapi para pendengkinya menulis surat kepada sultan Mesir ketika itu dengan mengatakan, “Sesungguhnya akan datang ke negeri Mesir daripada Maghribi seseorang yang mempunyai sifat zindiq yang mana kami telah mengusirnya dari negeri kami kerana merosakkan pegangan ‘aqidah kaum Muslimin. Maka hendaklah baginda berhati-hati dengan dia kerana dia terkenal sebagai orang yang tidak mempercayai Tuhan serta pandai menggunakan jin”.
Setelah beliau sampai di bandar Iskandariyah(Alexander), Mesir, beliau mendapati rakyat Iskandariyah telah menunggu kedatangannya(melalui surat yang disampaikan musuhnya dari Maghribi), lalu beliau hanya dapat mengucapkan;

حسبنا الله ونعم الوكيل

Maksudnya: “Cukuplah Allah bagi kami sebagai sebaik-baik penolong”.

Beliau kemudiannya disakiti oleh penduduk disitu, dan mereka membawa beliau mengadap sultan Mesir. Kemudian pihak daripada sultan Mesir menghantar utusan kepada sultan Maghrib berkenaan beliau, tetapi pihak sultan Maghrib menafikan segala tomahan yang dihadapi oleh Sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy(semoga Allah meredhainya) sebaliknya memuji serta mengagungkan beliau. Setelah itu, beliau dipulangkan ke Iskandariyah dan dimuliakan baik dari pihak sultan, mahupun rakyat Iskandariyah. Di sana, beliau juga mempunyai perniagaan yang amat maju.



Kehidupan dan Anak muridnya:

Sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy mempunyai sebilangan murid yang terdiri daripada ulama’ serta fuqaha, yang mana mereka sentiasa menghadiri pengajian beliau. Antaranya adalah:
1)      ‘Uthman ibn Umar, dikenali sebagai Ibn al-Haajib, ulama’ mazhab al-Maaliki. Beliau dilahirkan di Damsyiq, dibesarkan di Qaherah dan wafat di Iskandariyah pada tahun 646 Hijrah.
2)      Al-‘Izz ibn ‘Abdu as-Salam, atau dikenali sebagai Sheikh al-Islam Izzuddin ibn ‘Abdu as-Salam. Seorang ulama’ bermazhab asy-Syafi’e yang mana sebelum itu terkenal sebagai ahli dalam ijtihad. Beliau dibesarkan di Damsyiq, kemudian kerana mempunyai salah faham dengan pemerintah, beliau keluar daripada negerinya kemudian bermusafir ke Mesir. Setelah menetap di Mesir, beliau menghadiri majlis sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy(semoga Allah menyucikan rohnya), yang telah menjadi Qutub pada zaman itu, beliau terkejut serta tertarik dengan kalam sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy yang ganjil tetapi merasakan begitu dekat dengan Allah, walaupun hanya mengadiri majlisnya sekejap sahaja. Beliau(semoga Allah meredhainya) wafat di Qaherah.
3)      Ibn Daqiiq al-‘Aid, yang terkenal sebagai ketua fatwa dalam mazhab asy-Syafi’e. Beliau wafat di Qaherah serta dimaqamkan disana.
4)      ‘Abd al-‘Azhim al-Manziri, seorang Haafiz yang terkenal dan memikul tugas sebagai guru di Dar al-Hadith di Qaherah. Beliau merupakan pengarang kitab at-Targhib wa at-Tarhib, dan wafat pada tahun 659 di Qaherah.
5)      ‘Uthman ibn ‘Abd ar-Rahman, yang dikenali sebagai Ibn Solah, salah seorang yang terkenal sebagai orang yang terhadapan dalam bidang Tafsir, Hadith, dan Fiqh. Beliau terkenal juga sebagai pengarang sebuah kitab tentang bahagian ilmu Hadith yang dikenali sebagai Muqaddimah Ibn Solah.

Adapun pelajar-pelajar beliau yang melalui tarbiah beliau ramai. Ramai daripada penduduk Mesir telah mengambil mengambil tarbiah dari beliau, adapun yang membawa dakwah kepada Agama antaranya ialah;
Sidi Abu al-‘Abbas al-Mursiy, pewaris utama rohani beliau(semoga Allah menyucikan roh mereka berdua). Dimaqamkan di Iskandariyah, serta mempunyai kerohanian yang mengagumkan, serta wajahnya yang bersinar. Beliau dibanggakan oleh gurunya sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy sehingga gurunya berkata, “Hendaklah kalian mengikuti Abu al-‘Abbas”. Pada suatu hari, datang seorang lelaki ‘Arab penagih arak, tetapi keluar dari tarbiah beliau sebagai seorang ‘arif bIllah. Beliau wafat pada tahun 686 Hijrah.



Perkataan beliau:

-          Hendaklah kamu beristirgfar walaupun kamu tidak mempunyai dosa, kerana Baginda s.a.w. tetap beristirgfar walaupun Baginda s.a.w. itu terpelihara daripada dosa. Apakah kita merasakan bebas daripada ‘aib dan dosa?
-          Sekiranya bertentangan suatu kasyaf dengan al-Quran dan as-Sunnah, maka berpeganglah dengan al-Quran dan as-Sunnah serta tinggalkanlah kasyaf. Kerana Allah s.w.t. menjamin keselamatan pada al-Quran dan as-Sunnah, dan tidak menjamin suatu keselamatan pada kasyaf. Sesungguhnya suatu perkara itu tidak berpandukan kasyaf melainkan tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah.
-          Sekiranya datang satu anugerah tetapi menjauhkan diri kamu daripada Allah, maka berhati-hatilah.
-          Sekiranya kamu mempunyai was-was yang banyak, maka katakanlah;
سبحان الملك الخلاق, ﯩ  ﯪ  ﯫ  ﯬ  ﯭ  ﯮ  ﯯ  ﯱ   ﯲ  ﯳ  ﯴ  ﯵ  ﯶ 

Maksudnya: "Maha suci Allah, Raja yang Maha Pencipta. { Jika Allah menghendaki, nescaya Dia musnahkan kamu wahai umat manusia dan Ia datangkan gantinya dengan umat-umat yang lain dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang demikian itu[1]}".
-          Kamu tidak akan mendapati Roh serta pertolongan, dan kamu tidak akan mendapatkan maqam kewaliyah sehingga terhapus dari hati kamu pergantungan kepada ilmumu, hartamu, usahamu. Maka, berputus asalah daripada setiap sesuatu selain Allah ‘Azza wa Jalla.
-          Kamu tidak akan dapat menghidu kewangian wali, dalam keadaan kamu tidak zuhud kepada dunia serta isinya.
-          Sebab kamu terikat itu ada tiga;
1)      Dosa yang kamu cari.
2)      Dunia yang meninggalkan kamu.
3)      Seseorang yang menyakiti dirimu ataupun menyindirmu.
-          Kamu akan mendapat kerehatan sekiranya bergantung kepada Yang Disembah, dan kamu akan mendapatkan kepenatan sekiranya bergantung kepada ibadah. Adalah para wali itu berada dalam kerehatan, bukan dalam kepenatan.
-          Barangsiapa yang menginginkan kejayaan di dunia dan akhirat, hendaklah mereka masuk ke dalam mazhab kami, maka baru dia menjadi golongan beriman. Maka seseorang bertanya kepada beliau, “bagaimana untukku menjadi demikian?”. Jawab beliau, buangkan berhala dalam hatimu, serta rehatkanlah ia dari dunia.
-          Barangsiapa yang dengan ilmu serta pengetahuannya tidak menambahkannya menjadi faqir disisi Allah serta tawadhu’ kepada makhluqNya, maka dia adalah celaka.
-          Sekiranya kamu menjadi seorang yang beriman dengan sebenar-benarnya, kamu akan dapati kesemua selain kamu adalah musuhmu sepertimana sabda sayidina Ibrahim ‘alaihi as-Salam;
ﯟ  ﯠ  ﯡ  ﯢ       ﯣ  ﯤ      ﯥ 

Maksudnya: “Mereka adalah musuh kepadaku, melainkan Tuhan sekalian ‘alam[2].
-          Ilmu-ilmu di dalam hati seperti emas serta dinar yang berada dalam genggaman. Dengan kehendak Allah Ta’ala, memanfaatkan dirimu, dan sekiranya dikehendakiNya boleh memudaratkan dirimu.
-          Seorang murid yang dapat mengambil rahsia-rahsia kerohanian dirimu lebih baik daripada 1000 murid tetapi tidak dapat mengambil manfaat darimu.
-          Tasawwuf ialah mendidik diri kepada ‘ubudiyyah, dan mengembalikannya kepada hukum-hakam Rububiyyah.
-          Tidak akan sampai seseorang hamba kepada Allah sekiranya masih tersisa walau sedikit syahwat daripada syahwat-syahwatnya.
-          Sekiranya kamu ingin mempunyai hubungan yang kuat dengan al-Haq(Allah), bebaskan diri kamu daripada nafsumu, dan keluar dari(bergantung) kepada persekitaran dan kekuatanmu.
-          Aku telah memohon kepada Allah agar menjadikan wali Qutub itu daripada ahli tariqatku. Maka Allah s.w.t. menjawab permohonanku, “Wahai Ali(sidi Abu al-Hasan), sesungguhnya Kami mengabulkan permintaanmu”.
-          Tidak sempurna ilmu seseorang yang ‘alim sehingga memutuskan empat perkara;
a)      Bergembira dengan kesakitan musuh.
b)      Mencela sahabat.
c)       Menghina orang jahil.
d)      Dengki kepada ulama’.
Sekiranya dia bersabar(tidak melakukan perkara diatas), nescaya Allah menjadikannya imam yang dimuliakan.

Kalam beliau(semoga Allah meredhainya) amat banyak serta bernilai. Kami hanya dapat menyenaraikan sekadar ini sahaja dalam risalah ringkas ini.



Hasil karya beliau:

Sidi Abi al-Hasan asy-Syaziliy tidak mempunyai sebarang karya. Akan tetapi pernah terjadi suatu dialog yang terkenal, ketika seseorang bertanya kepada beliau, “Adakah kamu mempunyai hasil penulisan(kitab)?”. Maka jawab beliau, “Kitab-kitabku adalah murid-muridku”.



Pujian para Ulama’ terhadap beliau:

1)      Asy-Sheikh al-‘Arif bIllah sidi Makkin ad-Din al-asmar menceritakan, bahawa beliau pernah pergi ke Mansuroh dan masuk ke dalam satu khemah yang mana terdapatnya asy-Sheikh al-Imam mufti kepada seluruh umat Islam ‘Izzuddin ibn ‘Abd as-Salam, asy-Sheikh Majduddin ‘Ali ibn Wahhab al-Qusyairiy al-Madrisi, asy-Sheikh Muhyiddin ibn Saraaqah, asy-Sheikh Majduddin al-Akhimiy, dan juga asy-Sheikh Abi al-Hasan asy-Syaziliy. Dibacakan dalam pertemuan itu “Risalah al-Qusairiy”. Setelah itu, mereka berbicara tetapi asy-Syaikh Abu al-Hasan hanya mendiamkan diri sehingga mereka berhenti daripada berbicara. Maka mereka berkata, “Wahai tuan kami, kami ingin mendengar sepatah dua daripada kamu”. Maka beliau berkata, “Kalian semua adalah orang yang mulia serta terhormat dan kalian pun telah berbicara”. Mereka berkata lagi, “Kami tetap juga ingin mendengar tausiah daripada kamu”. Maka, beliau hanya berdiam diri selama satu jam, kemudian mula berbicara dengan mengungkap pelbagai rahsia-rahsia yang mengagumkan serta ilmu-ilmu yang amat tinggi. Setelah itu, berdiri asy-Sheikh ‘Izzuddin dan keluar daripada khemah itu dan bersendirian(kerana wajad). Setelah itu beliau berkata, “Dengarkanlah kamu semua akan kalam ini yang amat ganjil, tetapi amat dekat dengan Allah”.
2)       Beliau memuji lagi tentangnya, “Barangsiapa yang inginkan dikabulkan hajatnya, hendaklah datang berjumpa dengan asy-Sheikh asy-Syaziliy(semoga Allah menyucikan rohnya)”.
3)      Asy-Sheikh Makiin ad-Din al-Asmar berkata lagi, “Manusia selalu berdoa untuk sampai kepada pintu Allah ‘Azza wa Jalla, tetapi sidi Abu al-‘Abbas(semoga Allah meredhainya) memasukkan mereka kedalamnya”.
4)      Pewaris kerohanian beliau, sidi Abu al-‘Abbas al-Mursiy(semoga Allah meredhainya) berkata, “Sesungguhnya aku telah bersuhbah dengan ketua kepada ketua-ketua orang yang jujur, dan aku telah mengambil darinya rahsia yang tidak akan didapati melainkan dari seorang ini, kepadanya aku bergantung, serta dengannya aku bermegah. Beliau itu adalah sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy semoga Allah meredhainya”.
5)      Taqiyuddin ibn Daqiiq al-‘Aid berkata, “Aku tidak pernah melihat orang yang begitu ‘arif tentang Allah selain daripada asy-Sheikh Abi al-Hasan asy-Syaziliy(semoga Allah meredhainya)”.
6)      Asy-Sheikh Abu ‘Abdillah asy-Syatibiy, “Sesungguhnya aku hati lebih cenderung kepada asy-Sheikh pada setiap malam tertentu. Pada suatu hari, aku memohon kepada Allah dengannya berkenaan kesemua hajatku. Maka, aku telah mendapati permintaanku dimakbulkan, dan aku telah melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidurku. Aku berkata kepada Baginda s.a.w., “Wahai Rasulullah s.a.w., sesungguhnya aku cenderung untuk bertemu dengan asy-Sheikh Abi al-Hasan pada setiap malam dan memohon kepada Allah melaluinya pada setiap hajatku. Apakah yang demikian itu salah?”. Maka Baginda s.a.w. berkata kepadaku, “Abu al-Hasan adalah anakku pada jasad dan rohaninya. Serta sebahagian daripada anak-anakku. Maka barangsiapa yang berpegang dengan satu bahagian, maka dia sebenarnya berpegang dengan kesemuanya. Maka, barangsiapa kamu berdoa kepada Allah dengan Abi al-Hasan, maka sebenarnya kamu berdoa kepadaNya denganku”.

Daripada sirrnya yang menakjubkan, dan halnya yang mulia, majlisnya sentiasa dihadiri oleh ulama’-ulama’ yang hebat-hebat pada zamannya. Seperti, al-Haajib al-Maalikiy, ‘Izuddin ibn ‘Abd as-Salam yang dikenali sebagai Sultan kepada para ulama’, Ibn Daqiiq al-‘Aid seorang yang amat faqih dalam mazhab Syafi’e, ‘Abd al-‘Azhim al-Manziri yang terkenal dengan kitabnya at-Taghrib wa at-Tarhiib, Ibn al-Solaah seorang yang amat terkenal sebagai Muhaddith, dan Ibn ‘Ashfuur seorang pembawa permata ‘Arab di al-Andalus. Kesemua mereka ini menghadiri pengajian beliau di Madrasah al-Kaamiliyyah yang terletak di Qaherah, dan melalui jalan tarbiah beliau.



Haji serta kewafatan beliau:

Sidi Yaaqut al-‘Arasy(semoga Allah meredhainya) menceritakan, bahawa asy-Sheikh sidi Abu al-‘Abbas al-Mursiy(semoga Allah meredhainya) memberitahu, sesungguhnya asy-Sheikh sidi Aba al-Hasan asy-Syaziliy mengerjakan haji pada setiap tahun. Ketika tahun kewafatan beliau, beliau keluar untuk mengerjakan haji seperti tahun-tahun sebelumnya. Beliau berkata kepada pembantunya, “Bawalah kapak serta perlengkapan untuk mengkafani mayyit”. Maka pembantu beliau pun bertanya kehairanan, “Kenapakah wahai tuanku?”. Jawab beliau, “Kamu akan lihat nanti di Humaithara”. Humaithara adalah satu kawasan padang pasir di Mesir yang berdekatan dengan Aswan(di utara Mesir). Setelah sampai di sana, asy-Sheikh sidi Abu al-Hasan asy-Syaziliy(semoga Allah meredhainya) pun mandi, dan terus menunaikan solat dua rakaat. Pada sujud yang terakhir, beliau pun dijemput oleh Allah s.w.t. menjadi tetamuNya yang mulia. Setelah itu, beliau dimaqamkan di sana.

Terdapat satu kisah yang masyhur bahawa, ketika beliau dimaqamkan di Humaithara, beliau pun mandi menggunakan air di sana, sedangkan sebelum itu air disana merupakan air yang amat masin serta sedikit kerana keadaan sekitarnya. Tetapi, beliau dapat mandi menggunakan air itu dalam keadaan air itu menjadi elok bahkan bertambah air itu sehinggakan seseorang itu dapat berendam di dalamnya. Sedangkan perkara sedemikian tidak pernah berlaku di Humaithara sebelum itu.


Allahua’lam bis sowab~


[1] Surah an-Nisa: 133.
[2] Surah asy-Syu’ara: 77.