Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Islam, Remaja dan Teknologi (1)

Posted by Unknown - -



Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi sentiasa Mengasihi para hambaNya dengan menurunkan segala macam ni’mat kepada seluruh makhlukNya. Selawat dan salam kepada junjungan besar pembawa rahmat kepada seluruh alam, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. yang amat mengasihani umatnya sehingga hari Akhirat, dan juga kepada para ahlul bait Baginda s.a.w. yang mulia, serta para sahabat Baginda s.a.w. yang kebanyakkan mereka terdiri daripada golongan remaja yang menyerahkan jiwa dan raga mereka untuk berbakti kepada Agama Allah.

            Era globalisasi sekarang amat memerlukan kepada teknologi, dan merupakan satu gelombang budaya terkini yang dihidapi oleh majoriti manusia dalam setiap negara. Segala pergerakan, pekerjaan, hatta dalam pengajian, hampir semuanya telah menggunakan teknologi untuk memudahkan suatu urusan mereka. Inilah gelombang terbaru yang di alami oleh manusia abad ini, selepas gelombang pertama dan kedua iaitu pertanian dan perindustrian seperti yang telah dialami dunia beberapa abad yang lalu.

            Terdapat banyak cabang dalam bidang teknologi yang semakin berkembang tanpa sekatan, tetapi teknologi maklumat adalah teknologi yang paling mendapat sambutan dari setiap lapisan masyarakat seluruh dunia. Dengan berkembangnya teknologi maklumat, manusia semakin mudah untuk berhubung walaupun berjauhan. Mereka juga mudah mengembangkan perniagaan mereka ke serata pelusuk dunia, dan juga dapat mengenali pelbagai kenalan baru hanya dengan duduk menghadap suatu alat yang terhasil daripada sains dan teknologi iaitu, komputer dan internet.

            Islam, sebagai sebuah Agama yang amat sesuai dengan sepanjang zaman juga memberikan perhatian kepada gelombang teknologi yang berkembang dengan pesat ini. Agama kita tidak menghalang sebarang kemajuan, bahkan menggalakkan kemajuan yang sedia ada ini dimajukan lagi dengan syarat tidak melanggari segala batas yang telah ditetapkan syara’. Bagi Agama yang syumul ini, teknologi juga adalah sebahagian dari ni’mat yang Allah s.w.t. telah kurniakan kepada umat manusia dengan memberi ilham kepada akal. Sesungguhnya ni’mat Allah itu amatlah luas, yang mana dengan ni’mat kurniaan Allah inilah yang memudahkan urusan kehidupan seharian manusia.

Firman Allah  s.w.t.:

وَمَا بِكُم مِّن نِّعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ 
Maksudnya: “Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah..”
Surah an-Nahl, 53.

وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah an-Nahl, 18.

            Golongan remaja, adalah golongan yang paling banyak memanfaatkan teknologi, khususnya dalam penggunaan komputer, telefon mudah alih, internet, dan sebagainya. Dengan kemunculan teknologi sedemikian ini yang diibaratkan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, bilangan remaja yang menggunakan teknologi ini semakin bertambah dari semasa ke semasa. Bagi remaja, teknologi seperti ini telah menjadi satu keperluan bagi mereka, kerana mempermudahkan untuk berhubung, memudahkan pembelajaran mereka, serta meluaskan pemikiran mereka dengan terdedah kepada pelbagai maklumat dan info yang terdapat di luar dari tempat mereka.
             
            Mereka tidak lagi perlu untuk membawa buku-buku yang berat setiap kali ke sekolah atau tempat pengajian, bahkan dengan hanya hujung jari, segala ilmu mereka boleh dapati dengan adanya internet. Bahkan dengan kemudahan teknologi, mereka boleh berkenalan dengan teman-teman baru di internet dengan melayari pelbagai kemudahan sosial seperti Facebook, Yahoo Messenger, Myspace, Twitter, dan sebagainya tanpa sebarang penghalang.

            Begitu juga dalam bidang lain, teknologi banyak mempermudahkan bidang lain seperti bidang perubatan. Perubatan zaman moden telah jauh berubah, tidak seperti dahulu. Para doktor tidak lagi perlu risau untuk melakukan pembedahan yang berisiko, disamping dapat meminimumkan luka yang di alami pesakit. Dalam bidang automotif, dan yang berupa pengilangan, dengan adanya teknologi menjadikan hasil produk lebih efisien. Tenaga kerja manusia juga boleh dijimatkan, dan digantikan dengan mesin yang menghasilkan produk dengan cara cepat serta efektif.

            Akan tetapi, apabila manusia telah lupa bahawa setiap ni’mat itu datangnya dari Allah, maka manusia mula menyalah-gunakan setiap ni’mat yang dikurniakan kerana tidak bersyukur.

Firman Allah s.w.t.:

وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ الْإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ
Maksudnya: Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmatTuhannya. Surah Ibrahim, 34.

            Insyaallah, pada edisi yang akan datang, kita akan menyentuh kesan akibat manusia mulai melupakan perasaan bersyukur kepada Allah, yang membawa kepada kekufuran ni’mat dan timbulnya penyalah gunaan teknologi.

Allahua’lam bis sowab~

al-Faqir ilAllah al-Latif,
-Tengku Ahmad Saufie

*Artikel ini disiarkan di www.VIC.my