Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Kisah Imam Hatim al-'Ashom(qaddasAllahu sirrahu) dan Keluarganya - Bahagian 1

Posted by Unknown - -

Pada Mukhayyam kali ini, Sheikhna Sidi Yusuf al-Hasani telah meriwayatkan kami satu kisah berkenaan sebuah keluarga yang mempunyai hubungan yang amat mendalam dengan Allah s.w.t.. Kisah ini amat dikenali dalam kalangan golongan sufi, kerana mempunyai makna yang amat indah dalam hubungan seseorang bersama Allah s.w.t.. Keluarga yang dimaksudkan tersebut adalah, keluarga Imam al-‘arif billah Hatim al-'Ashom qaddasaLlahu sirrahu.



Adapun Imam Hatim al-'Ashom merupakan seorang ulama’ ‘arif bIllah yang terkenal akan tetapi mempunyai kehidupan yang penuh kefakiran dan kesusahan, bersama-sama dengan isteri dan anaknya menempuh kehidupan seperti golongan berkeluarga  yang lain.

Pada suatu hari, Imam Hatim al-'Ashom melihat di kampungnya tersebut terdapatnya beberapa orang yang sedang bersiap untuk berangkat untuk menunaikan haji di Makkah. Melihat kepada suasana tersebut, hati beliau menjadi rindu untuk turut pergi untuk menziarahi Makkah, akan tetapi kemiskinan yang dialami beliau menjadikan kerinduan beliau hanya terpendam di dalam hati, tidak dapat ditunaikan. Akan tetapi, akhirnya kerinduan di hati beliau untuk beribadat di masjid yang paling afdhal di atas muka bumi ini, BaitUllah al-Haram, tidak dapat ditahan lagi, lalu beliau pun menyatakan hasrat beliau kepada isteri dan anaknya untuk menunaikan haji juga.

Mendengar sahaja luahan suaminya tersebut, isteri kepada Imam Hatim al-'Ashom pun berkata, “Bagaimana kamu ingin tunaikan haji, sedangkan makan minum kami pun kamu susah untuk sediakan lagi”. Imam Hatim al-'Ashom tersentak mendengar ucapan isterinya tersebut, dan hanya diam kerana beliau tahu itu sememangnya tanggungjawab beliau. Akan tetapi, anak beliau yang kecil itu lantas membalas ucapan ibunya tersebut, “Wahai ibu, apakah selama ini ayah yang memberikan dan menjamin kita rezeki? Sedangkan rezeki itu ditentukan oleh Allah s.w.t.! Biarkan ayah pergi menunaikan keinginannya, sedangkan kita mempunyai Allah untuk menjaga kita berdua.”

Si ibu pun terkejut mendengar kalam anaknya yang kecil itu akan haqiqat ketauhidan yang seolah-olah dia tidak tahu. Maka, isteri kepada Imam Hatim al-'Ashom tersebut pun membenarkan suaminya pergi meninggalkan mereka untuk menunaikan haji.

Imam Hatim al-'Ashom telah pun meninggalkan keluarganya dalam keadaan tidak berharta, bahkan beliau sendiri tidak mempunyai sebarang harta, makanan serta kenderaan untuk menjadi bekalan untuk bermusafir. Akhirnya beliau pun sambil berjalan menunju ke Makkah, tercari-cari kabilah-kabilah yang turut melalui di jalan yang dilaluinya itu untuk mendapatkan pekerjaan sambil bermusafir. Ketika menempuh perjalanan, akhirnya beliau pun bertemu dengan satu kabilah yang kaya-raya, yang turut dalam perjalanan menuju ke Makkah, dan memohon agar dikurniakan pekerjaan kepadanya. Permohonan beliau diterima oleh kabilah tersebut, dan beliau ditugaskan untuk memberikan makanan kepada kuda-kuda yang dibawa oleh kabilah tersebut, dan upahnya, beliau diberi makan serta boleh turut serta kabilah dalam perjalanan ke Makkah.


Rutin beliau sebagai pemberi makan kuda-kuda kabilah itu berjalan hari demi hari. Pada suatu hari, pemimpin kabilah tersebut jatuh sakit dan kabilah tersebut tidak dapat mencari seseorang yang boleh merawat ketua itu kerana penyakit yang amat parah. Akhirnya, mereka mencadangkan Imam Hatim al-'Ashom agar cuba merawat ketua mereka itu kerana mereka telah melihat beliau merupakan seorang yang soleh lagi jujur.

Maka, Imam Hatim al-'Ashom pun cuba merawat ketua mereka itu dengan membaca beberapa potong ayat al-Quran serta zikir-zikir dan doa-doa, agar Allah s.w.t. memberikan kesembuhan kepada ketua mereka tersebut. Akhirnya, dengan rahmat Allah s.w.t., ketua kabilah tersebut sembuh dari sakitnya itu melalui Imam Hatim al-'Ashom. Bertitik daripada peristiwa ini, kehidupan Imam Hatim al-'Ashom pun berubah 180 darjah. Ketua kabilah tersebut yang amat berhutang budi dengan Imam Hatim al-'Ashom, telah mengurniakan pelbagai keistimewaan walaupun beliau merupakan orang luar di dalam kabilah itu. Akan tetapi beliau berkata, “Wahai tuan, aku ini hanyalah menumpang kepada kalian, dan tugasku hanyalah sebagai pemberi makanan kuda tuan”. Ketua kabilah tersebut menjawab, “Tidak mengapa, aku ingin membalas budi kamu yang telah merawatku”. Beliau diberi pakaian yang mahal, makanan yang enak, tempat tinggal yang setaraf dengan ketua kabilah itu, seolah-olah beliau merupakan sebahagian dan ketua bagi kabilah itu.



Begitulah kisah seorang wali Allah yang ma’ruf dan dikenali sebagai Imam Hatim al-'Ashom. Bagi seseorang wali Allah, apabila datang sahaja lambaian seruan Allah s.w.t. di dalam hati mereka yang suci untuk lakukan suatu ibadat, tetap mereka akan tunaikan walau akan menghadapi 1001 kesusahan kerana bagi mereka, diri mereka itu adalah hamba yang hina dan hanya mentaati seruan pemilik diri mereka iaitu Allah s.w.t.. Ketahuilah, di setiap kesusahan itu mempunyai kesenangan. Dan jiwa mereka tidak pernah merasa letih apabila menghadapi kesusahan kerana mereka telah pun menyerahkan jiwa dan diri mereka kepada Allah s.w.t., maka, akhirnya mereka juga yang diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. melalui keikhlasan sifat ubudiyyah mereka itu sebagaimana firman Allah s.w.t.;

ﮚ  ﮛ    ﮜ  ﮝ  ﮞ    ﮟ  ﮠ  ﮡ   ﮢ   ﮣ  ﮤ   ﮥ  ﮧ  ﮨ  ﮩ  ﮪ  ﮫ  ﮬ  ﮮ    ﮯ   ﮰ  ﮱ  ﯔ  ﯕ  ﯖ  ﯗ  ﯘ  ﯙ  ﯚ 

Maksudnya: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.[1]



Insyaallah, kisah isteri dan anak Imam Hatim al-'Ashom akan bersambung akan datang.





[1] Surah at-Thollaq, 2-3.