Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Kisah Imam Hatim al-'Ashom(qaddasAllahu sirrahu) dan Keluarganya - Bahagian 2

Posted by Unknown - -

Alhamdulillah, setelah kita semua membaca kisah tentang Imam Hatim al-'Ashom qaddasAllahu sirrahu yang amat menakjubkan dan penuh keindahan, walaupun pada asalnya beliau dan keluarganya merupakan dari golongan fakir miskin. Tetapi, apakah nasib keluarga Imam Hatim al-'Ashom yang ditinggalkannya kerana rindu untuk menziarahi Baitullah al-Haram sedangkan keluarganya tidak mempunyai sebarang harta untuk menyara diri mereka ketika ketiadaan Imam Hatim al-'Ashom. Tetapi, itulah sifat keluarga yang memahami jiwa seorang sufi yang amat halus, yang mana apabila datang seruan Ilahi, mereka terus menyahutnya tanpa menghiraukan kesusahan yang akan ditanggung. Mengetahui kerinduan Imam Hatim al-'Ashom terhadap Makkah dan Madinah, walaupun kehidupan mereka penuh kesempitan, mereka tetap teguh dalam percaya kepada ketentuan Allah s.w.t..

Apabila Imam Hatim al-'Ashom meninggalkan mereka, terpaksalah isteri beliau menjadi penjaga rumah, pencari nafkah, dan mendidik anaknya yang kecil itu. Kesusahan yang dialami oleh keluarga Imam Hatim al-'Ashom semakin berganda kerana selama ini mereka bergantung kepada beliau yang bertanggungjawab mencari nafkah. Tetapi, isteri beliau tetap pasrah dan menerima ketentuan Allah s.w.t., dan bersabar dalam ujian yang telah Allah s.w.t. tetapkan untuk menguji keimanan mereka.

Sehari demi sehari, kehidupan mereka yang kesunyian di dalam rumah yang usang itu serta jauh daripada orang ramai menjadikan mereka semakin biasa dan tenang. Sebagaimana nasib Imam Hatim al-'Ashom yang berubah 180 darjah, keluarganya juga bakal mengalami nasib yang sama kerana rahmat Allah s.w.t. yang telah Allah s.w.t. kurniakan kepada mereka.

Pada suatu hari, seorang pembesar bersama pengikutnya telah berburu di sekitar kawasan yang berdekatan dengan rumah keluarga Imam Hatim al-'Ashom. Akan tetapi, setelah lama berburu, dan berjaya mendapatkan hasil yang lumayan, akhirnya pembesar tersebut terasa sangat haus sehingga memaksa para pengikutnya mencari punca air di merata-rata tempat tetapi tidak juga didapati.

Setelah pembesar tadi berjalan dalam keadaan yang amat dahaga, akhirnya mereka terlihat sebuah rumah usang di tengah panas terik, dan terlihat kelibat seorang wanita bersama anak perempuannya yang kecil. Pembesar tadi pun bertanya kepada pengikutnya, “Adakah kalian tahu rumah itu milik siapa?”. Para pengikutnya menjawab, “Ya, itu adalah rumah seorang lelaki yang soleh yang dikenali dengan Hatim al-'Ashom”. Maka, pembesar tadi bersama para pengikutnya datang ke rumah itu dan memberikan salam, “Assalamu’alaikum, aku ada pembesar di negeri ini. Izinkan aku masuk?”. Maka, isteri Imam Hatim al-'Ashom yang sedang menguruskan anaknya itu pun menjawab, “Wa’alaikumussalam, apakah tujuan tuan hamba datang ke rumah hamba?”. Pembesar tadi pn menjawab, “Aku amat kehausan setelah berburu, bolehkan engkau memberikan kepadaku sedikit air untuk menghilangkan kehausanku ini?”.

Setelah itu, isteri Imam Hatim al-'Ashom menjemput pembesar bersama-sama pengikutnya itu untuk masuk ke rumahnya yang usang dan menghidangkan segelas air kepada pembesar tersebut sambil berkata, “Maafkan kami wahai tuan hamba, ini sahaja yang dapat kami hidangkan untuk tuan hamba. Bahkan air ini juga sebenarnya telah terbiar 15 hari”. Dek kerana kehausan yang tersangat, pembesar tadi terpaksa juga meminum air yang dihidangkan oleh isteri Imam Hatim al-'Ashom itu.

Setelah pembesar tersebut selesai minum, dan kehausannya telah hilang, beliau pun berkata, “Demi Allah! Tidak pernah aku minum air yang selazat ini sepanjang hidupku”. Beliau berkata dengan nada yang kuat dan gembira, lalu kerana kegembiraannya itu, beliau membuka tali pinggangnya yang berisi beberapa kantung emas yang banyak dan memberikan kepada isteri Imam Hatim al-'Ashom sambil disaksikan oleh anak perempuannya itu. Kemudian, pembesar tersebut pun berkata kepada para pengikutnya, “Wahai pengikutku, sekiranya kalian mencintaiku, maka buatlah seperti yang aku perbuatkan”. Maka, kesemua pengikutnya tersebut terus memperlakukan sebagaimana yang dilakukan oleh ketua mereka itu, dengan mencabut tali pinggang mereka yang tergantung beberapa kantung emas, bahkan turut memberi hasil pemburuan mereka kepada penghuni rumah yang barakah tersebut.

Setelah pembesar dan pengikutnya itu meninggalkan rumah itu, isteri Imam Hatim al-'Ashom tersenyum lebar dan bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memberikan kepadanya rezeki yang tidak disangka-sangkakan. Tetapi, apabila dia ingin berkongsi kegembiraannya dengan anak perempuannya itu, dia terkejut apabila anak perempuannya itu sedang menangis. Dengan penuh kehairanan dan terkejut, dia terus bertanya kepada anak perempuannya itu, “Wahai anakku, kenapakah engkau menagis disaat kita diberikan rezeki ini? Aku hairan dengan kamu, apabila kehidupan kita susah kamu bergembira, sekarang apabila diberi ni’mat, kamu menangis. Kenapa wahai anakku, engkau ini amat menghairankanku”.


Mendengar keluhan ibunya tersebut, walaupun berusia hanya sembilan tahun, beliau menjawab dengan satu jawapan yang mengandungi ketauhidan yang amat mendalam lagi halus, bahkan jawapan ini hampir membuatkan ibunya itu hilang akal kerana tidak pernah telintas di fikiran ibunya yang jauh lebih tua dan ‘makan garam’, “Wahai ibu, cuba bayangkan dengan sekali pandangan daripada manusia, kehidupan kita bertukar daripada miskin kepada mewah. Cuba ibu bayangkan, bagaimanakah pula dengan pandangan Allah s.w.t. terhadap hambaNya?”.

Begitulah kisah sekeluarga yang tenggelam dalam ma’rifat Allah s.w.t.. Hati mereka begitu lembut, dan amat sentitif dalam kehidupan mereka yang sentiasa bermusyahadahkan Allah s.w.t.. Sememangnya, jiwa seorang sufi yang tenggelam di dalam cinta bersama Allah s.w.t. akan dapat memahami maksud sebenar disebalik setiap kejadian yang berlaku, dan itulah CINTA. Semoga Allah s.w.t. menggolongkan kita semua dalam golongan yang mendapat pandangan rahmat dan redha daripadaNya, dan supaya kita bersama-sama dengan para kekasih yang berantai sehingga kepada Baginda s.a.w. di dunia dan di Akhirat kelak. Ameen~


Allahua’lam bisSowab~