Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Keluarga Yang Berjiwa Tauhid

Posted by Unknown - -

BismiLlahi Wassolatu Wassalam 'ala Rasulillah Wa 'ala Aalihi Wa Man Waalah~




Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan lelaki dan wanita, serta menjadikan mereka berpasangan. Selawat dan Salam keatas junjungan mulia Baginda s.a.w. yang menjadi sandaran cinta dan kemuliaan, juga keatas ahli keluarga Baginda s.a.w. yang mewarisi keindahannya, dan para sahabat Baginda s.a.w. yang mengorbankan jiwa mereka demi kecintaan mereka.

Sesungguhnya diantara kemuliaan golongan lelaki yang diangkat oleh Allah s.w.t. menjadi kekasihNya yang terdiri dari para auliyaNya, AnbiyaNya dan juga RasulNya, terdapat juga keistimewaan yang Allah s.w.t. zahirkan dari kalangan wanita.

Sejarah tidak pernah sunyi dari memperkatakan kisah para Isteri Baginda s.a.w., sayidatina Asiah isteri kepada Fir'aun, sayidatina Rabi'atul 'Adawiyyah, dan ramai lagi. Bahkan diantara kisah mereka itu lebih menggambarkan pengorbanan jiwa dan raga mereka yang lebih mendalam terhadap Tuhan mereka, yang menggetarkan hati golongan lelaki yang cemburu akan cinta yang mereka tunjukkan kepada Allah s.w.t.

Diantara wanita pilihan Allah s.w.t. yang telah membuktikan cinta mereka kepada Allah s.w.t., ialah isteri-isteri kepada sayidina Ibrahim KhalilUllah 'alaihissolatu wassalam. Sesungguhnya tidaklah baginda dikurniakan isteri-isteri yang tenggelam di dalam ketauhidan mereka, melainkan baginda sendiri telah tenggelam di dalam ketauhidan baginda 'alaihi as-salam.

Kisah mereka sekeluarga sentiasa diulang-ulang oleh Sheikhna wa Waliduna asy-Sheikh Yusuf ibn Muhyiddeen al-Bakhour al-Hasani hafizahUllah ta'ala agar murid beliau sentiasa mempertajamkan kecintaan dan ketauhidan mereka kepada Allah s.w.t., dan al-faqir menukilkan kisah ini secara ringkas untuk manfaat para pembaca semua.

Nabi Ibrahim telah pun diuji ketauhidan serta cintanya oleh Allah s.w.t. dengan perjalanan hidup yang penuh berliku ketika menyampaikan dakwah mengajak umat baginda untuk menyembah Allah, dan sesungguhnya Allah s.w.t. berfirman;

إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ

Maksudnya: "(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!".

Maka jawab baginda 'alaihi as-salam dengan penuh penyerahan diri kepada Tuhannya;

قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: "Nabi Ibrahim menjawab: Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".

Sesungguhnya kata-kata sahaja tidak menggambarkan kondisi jiwa seseorang, maka Allah s.w.t. telah menguji baginda dengan ujian yang amat hebat untuk baginda membuktikan cinta baginda kepada Allah.

Diantara ujian tersebut ialah ujian dimana baginda dengan sayidatina Sarah yang telah berkahwin selama berpuluh tahun akan tetapi masih tidak dikurniakan zuriat hasil daripada perkahwinan itu. Sedangkan sayidina Ibrahim sememangnya ingin mendapatkan zuriat, akan tetapi baginda tetap sahaja bersabar dengan ujian yang Allah berikan. Baginda sedikit pun tidak mengeluh atas ketentuan Allah s.w.t. yang telah ditentukan kepadanya. Walaupun usia baginda telah mencecah lebih 100 tahun, dan sayidatina Sarah pada waktu itu telah pun berusia lebih 70 tahun

Akan tetapi, isteri mana yang tidak memahami suaminya? Sedangkan beliau merupakan isteri kepada kekasih Allah yang dicintaiNya. Maka, sayidatina Sarah mencadangkan kepada Nabi Ibrahim untuk berkahwin kali kedua sebagai ikhtiar untuk Nabi Ibrahim mendapatkan zuriatnya. Walaupun pada awalnya baginda menolak untuk memadukan isteri yang amat beliau cintai, akan tetapi setelah beberapa kali dipujuk oleh sayidatina Sarah, maka baginda pun bersetuju.

Lihatlah, bagaimana pengorbanan seorang isteri yang mencintai suaminya bukan untuk kepentingan dirinya. Walaupun ketika itu sudah lanjut usianya, dan usia suami tercinta beliau pun melebihi 100 tahun, beliau tetap sahaja berusaha dan ikhtiar agar suaminya mendapatkan zuriat. Bukan setakat itu sahaja, bahkan beliau sendiri yang mencari bakal isteri untuk suaminya itu, iaitu sayidatina Hajar yang merupakan pembantu yang solehah kepada keluarga mereka.

Usia sayidatina Hajar masih lagi dalam lingkungan remaja ketika dipinang oleh sayidatina Sarah yang lebih jauh berumur dengan beliau. Akan tetapi, apabila sayidatina Sarah mendatanginya untuk melamar beliau, sedangkan beliau tahu Nabi Ibrahim itu jauh lebih berusia darinya, beliau hanya berserah takdirnya kepada Allah. Beliau tidak memikirkan jarak usia diantara mereka, bahkan hanya mengharapkan redha Tuhannya keatas ketentuan yang berlaku.

Akhirnya Nabi Ibrahim dan sayidatina Hajar pun berkahwin. Tidak lama setelah perkahwinan yang penuh berkat itu, sayidatina Hajar pun mengandungkan anak Nabi Ibrahim, sedangkan sayidatina Sarah masih lagi tidak dikurniakan zuriat. Setelah sekian waktu kehidupan mereka bertiga dalam kegembiraan, Nabi Ibrahim pun dikurniakan seorang anak melalui isteri keduanya dan menamai anaknya dengan nama Isma'il 'alaihi as-salam.

Melihat Nabi Ibrahim telah memiliki zuriat daripada madunya, sayidatina Sarah pun merasa sedikit cemburu dan sedih kerana beliau tidak dapat menggembirakan Nabi Ibrahim. Baginda amat mengerti perasaan isterinya yang disayanginya itu, dan baginda tidak mahu melukakan hati sayidatina Sarah walaupun pada awalnya perkahwinan ini diatas restu beliau. Allah s.w.t. pun memerintahkan Nabi Ibrahim bersama sayidatina Hajar dan Nabi Isma'il anaknya, untuk berhijrah dari Palestin menuju satu kawasan lembah yang mana terletak di padang pasir serta tidak berpenghuni.

Walaupun keadaan sayidatina Hajar yang masih muda, serta memiliki seorang anak yang masih lagi kecil, beliau tidak pernah merungut keatas apa sahaja perintah daripada suaminya itu. Perjalanan yang memakan masa yang panjang, panas terik yang membakar, anak yang dahaga, tetap diharungi oleh beliau dengan penyerahan jiwa yang penuh kepada Allah s.w.t.. Beliau tahu, bahawa suaminya seorang Nabi dan Pesuruh Allah, yang mana tidak akan melakukan perkara yang sia-sia melainkan ianya perintah dari Tuhan Yang Maha Esa.



Akhirnya sampailah mereka di lembah yang diperintahkan Allah, yang dikelilingi bukit yang berbatu, padang pasir yang seluas mata memandang, tanpa penghuni, tanpa pokok untuk berteduh. Disitulah tempat yang beliau tahu akan menetap bersama anaknya yang masih lagi bayi, sebagaimana yang telah diperintahkan Allah s.w.t. kepada suaminya.

Dengan berbekalkan sedikit bekalan makanan dan air, Nabi Ibrahim pun memberitahu kepada beliau bahawa beliau akan pulang ke Palestin untuk bersama dengan sayidatina Sarah. Dalam keadaan beliau yang berusia masih remaja tahu bahawa suaminya akan pulang ke pangkuan madunya, apakah sayidatina Hajar cemburu? Dan memarahi dan memohon belas kasihan daripada Nabi Ibrahim agar jangan pulang? Menangis meronta dan keluh kesah atas perbuatan suaminya itu? Ataupun mengatakan bahawa suaminya seorang yang kejam dan tidak memahami beliau kerana meninggalkan beliau dan anak yang kecil di tempat yang tiada seorang pun tinggal disitu?

Semua persoalan itu tidak langsung di sentuh atau diucapkan oleh beliau. Bahkan dengan pasrah, bertanya kepada baginda, "Apakah aku dan anak yang kecil ini akan ditinggalkan di sini?". Baginda mengatakan "Ya", dan tidak mampu berkata banyak kerana faham akan perasaan seorang isteri yang akan ditinggalkan suaminya.

Setelah itu, dengan jiwa yang penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah, beliau pun bertanya lagi kepada baginda, "Wahai suamiku, apakah Allah yang memerintahkan kamu dengan perkara ini?". Baginda pun menjawab dengan jiwa yang menyerah diri kepada Allah, "Ya, sesungguhnya ini adalah perintah Allah".

Mendengar jawapan dari mulut baginda, suaminya yang amat disayangi, beliau pun berkata dengan jiwa yang penuh ketauhidan, "Pergilah! Sesungguhnya Allah tidak akan pernah mensia-siakan hambaNya". Lalu, baginda pun berdoa kepada Allah s.w.t. sebagaimana yang telah dirakam di dalam al-Quran, Surah Ibrahim ayat ke-37;

Maksudnya"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur".

Maka, baginda pun meninggalkan isteri dan anak pertama kesayangannya di tempat yang jauh daripada orang dan kembali ke Palestin untuk bersama sayidatina Sarah. Hati mereka tidaklah berserah melainkan kepada Allah, tawakkal mereka tidaklah hanya kepada Allah s.w.t. yang telah menentukan segalanya untuk mereka. Mereka redha dalam menjalani takdir mereka, dan dengan keredhaan hati baginda terhadap ketentuanNya, akhirnya Allah s.w.t. menganugerahkan baginda satu nikmat yang mana tidak terfikir oleh beliau, iaitu isterinya pertama sayidatina Sarah mengandung.

Inilah kekuasaan Allah s.w.t. yang menganugerahkan kelebihan kepada orang yang benar-benar bertaqwa. Walaupun sayidatina Sarah telahpun berusia lanjut yang tidak memungkinkan beliau untuk mengandung, akan tetapi ketentuan Allah mengatasi segala kemungkinan. Allah s.w.t. mengutuskan malaikat mendatangi Nabi Ibrahim dalam rupa yang amat indah, lalu memberitahu khabar gembira kepada baginda dan sayidatina Sarah bahawa beliau mengandungkan anak baginda yang bakal menjadi anak yang soleh.

Mendengar sahaja pengkhabaran yang tidak dapat difikirkan kerana beliau telah lanjut usia, beliau pun berkata sebagaimana yang telah dirakam di dalam al-Quran, Surah Hud ayat ke 72-73;

MaksudnyaIsterinya berkata: "Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan".

Maka jawab malaikat untuk menenangkan hati beliau;

MaksudnyaMalaikat-malaikat itu berkata: "Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha Terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya".

Lihatlah bagaimana ketentuan Allah yang dikurniakan kepada hambaNya yang bertaqwa. Dengan penyerahan jiwa secara mutlak kepada Allah, maka Allah s.w.t. pun mengurniakan sesuatu yang dianggap mustahil pada sudut akal manusia.

Allah s.w.t. tidak meminta kita lebih daripada kemampuan jasad kita, akan tetapi Allah s.w.t. hanya meminta penyerahan sepenuh hati hanya untukNya. Itulah yang telah dilakukan sayidina Ibrahim 'alaihi as-salam yang pada ketika menyampaikan risalah, pasrah kepada Tuhanya, dan setelah itu dikurniakan dua orang isteri yang juga pasrah kepada Tuhannya. Bukan hanya setakat itu, Allah s.w.t. memuliakan lagi keluarga mereka dengan mengurniakan dua orang zuriat iaitu Nabi Isma'il dan juga Nabi Ishak 'alaihima as-salam, yang mana dari kedua-duanya lahirlah zuriat kenabian dan dari zuriat Nabi Isma'il, lahirlah Sayidina wa Maulana Muhammad s.a.w. yang menjadi penghulu alam.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Maka, berdasarkan kisah ketaqwaan keluarga yang amat mulia ini, asy-Sheikh Yusuf al-Hasani hafizahUllah ta'ala pun berkata, "Oleh kerana hal ini, kita diperintahkan oleh Baginda s.a.w. untuk sentiasa mengamalkan Selawat Ibrahimiyyah, terutamanya ketika di dalam tahiyyat solat yang lafaznya menyentuh perihal Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim, sebagaimana lafaz;



Intaha~