Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Bernilaikah pujian dan penghinaan?

Posted by Unknown - -


BismiLlahi Wassolatu Wassalam 'Ala RasulIllah Wa 'Ala Aalihi Wa Man Waalah~

Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan, dan meniupkan roh yang suci ke dalam jasad tanah serta mengutuskan manusia untuk menjadi khalifahNya di atas muka bumi ini, agar mereka menjadi golongan yang bertaqwa.




Selawat dan salam keatas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi contoh tauladan mulia kepada seluruh manusia, sehinggakan akhlaq terpuji Baginda s.a.w. memberi kesan ke dalam hati manusia yang belum lagi beriman kepada risalahnya. Sesungguhnya Baginda s.a.w.-lah sebaik-baik manusia yang mempunyai setinggi-tinggi akhlaq mulia yang sepatutnya menjadi contoh dan ikutan kepada mereka yang mencintainya. Dan seterusnya selawat serta salam keatas para ahli keluarga Baginda s.a.w. yang mana meneruskan dakwah murni dengan mewarisi akhlaq suci Baginda s.a.w., begitu juga keatas para sahabat Baginda s.a.w. yang tenggelam dalam meminum cawan cinta dari Baginda s.a.w..

Amma Ba'du~


Para pembaca yang murni(semoga Allah melimpahkan rahmat keatas kalian semua), pernahkan  kita secara tiba-tiba mendapat pujian dan nama kita diangkat tinggi? Semestinya kita akan merasa bangga dan gembira dengan perkara tersebut.

Akan tetapi, bagaimana pula sekiranya kita mendapat perkara yang sebaliknya? Secara tiba-tiba kita mendapat penghinaan dan cacian, bahkan nama kita diburuk-burukkan, walaupun perkara tersebut bukanlah benar sepertimana yang diperkatakan orang. Nescaya kita akan merasa amat kecil hati, sedih, putus asa dan sebagainya terhadap orang yang tiba-tiba menghina dan mencaci kita.

Sesungguhnya terdapat banyak persoalan untuk kita persoalkan kepada hati kita, kenapakah disebalik pujian daripada orang yang kita kenali atau tidak, kita merasa gembira dan bangga. Akan tetapi apabila mendapat penghinaan dan cacian, kita merasa perkara yang sebaliknya, bahkan mungkin kita juga akan turut membalas penghinaan dan cacian kepada orang tersebut sebagaimana perbuatannya.

Sebenarnya apa yang kita rasa daripada kedua-dua keadaan diatas itu merupakan tahap ukur akan kesucian hati serta tahap keimanan kita. Pada saat keadaan tersebut berlaku kepada kita, waktu itulah akan terzahir apa yang terkandung di dalam hati kita akan hakikat sebenarnya. Inilah diantara cara Allah s.w.t. untuk menyedarkan kita agar kita sentiasa membaiki dan memperelokkan hati kita yang menjadi tempat pandangan Allah.

HIDUP MELALUI UJIAN

Ketahuilah bahawa saudaraku yang dikasihi, bahawa sebenarnya hidup kita ini sentiasa berhubungan dengan Allah. Bahkan sesekali Allah s.w.t. tidak pernah lalai terhadap kita baik apa yang anggota tubuh kita lakukan mahupun apa yang terkandung dalam hati kita. Akan tetapi, sebagaimana yang kita ketahui, bahawa dunia ini adalah 'Dar al-Imtihan' iaitu tempat ujian yang mana tidak ada seorang pun sepatutnya merasa tenang dengan kehidupan yang sedang dilaluinya sekarang.

Sebagaimana orang yang cerdik yang ingin mendapatkan keputusan peperiksaan yang baik, dia pasti akan bersedia dengan sebaik yang mungkin untuk menempuh peperiksaan yang akan dialaminya. Tetapi, orang yang tidak merasakan bahawa keputusan peperiksaan itu penting baginya, walaupun mulutnya dan angan-angannya inginkan sedemikian, maka dia akan mensia-siakan waktu yang sepatutnya digunakan untuk belajar dan mengulang kaji, dengan sibuk bermain, dan membuang waktu dengan perkara yang tidak berfaedah.

Maka, orang yang mempunyai iman serta akal yang sihat, akan sentiasa bersedia untuk menghadapi ujian daripada Allah, sebagai pembuktian akan kejujurannya yang ingin mendapatkan redha dan cintaNya. Inilah antara ciri seorang hamba Allah yang sentiasa ingin berdampingan denganNya.

UJIAN DAN HAMBA

Orang yang sedar bahawa dia merupakan hamba Allah yang mutlak, apakah dia akan lalai dari tanggungjawabnya sebagai hamba? Apakah dia masih merasakan dirinya memiliki sesuatu kedudukan dan keistimewaan untuk dipertahankan sedangkan dia merupakan seorang hamba? Tidaklah bagi seorang hamba itu memiliki sesuatu melainkan kesemua itu adalah milik tuannya. Oleh yang demikian, menjadi hak bagi tuannya untuk menguji hamba yang dimilikinya, apakah benar hambanya tersebut benar-benar jujur dalam berkhidmat kepadanya melalui 1001 kesusahan.

Hamba yang benar-benar tahu akan tujuan kehambaannya pasti tidak akan lari dari tujuannya, iaitu berkhidmat kepada tuannya walau apa keadaan sekalipun dan patuh kepada arahannya walau pelbagai kesulitan yang akan dialami. Itulah hamba yang jujur, yang mana nescaya akan mendapat kasih sayang dan pembelaan dari tuannya.

Akan tetapi, apabila hamba tersebut tidak mengetahui tujuan kehambaannya dengan jelas, maka apabila tuannya mengujinya, nescaya dia akan mengeluh dan tidak dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dengan sempurna. Bahkan merasa perit serta payah untuk melakukan arahan dari tuannya kerana dia tidak meletakkan dirinya sebagai hamba yang sebenar-benarnya, akan tetapi sebagai seorang manusia sepertimana tuannya juga. Akhirnya, dia akan dihina dan dipinggirkan tuannya bahkan mungkin sahaja dilelong kembali dengan harga yang murah diatas sikapnya tersebut. Itulah hamba yang malang, yang mana tidaklah dia mendapatkan apa-apa dari penat lelahnya melainkan kerugian.

Begitulah sebaliknya antara seorang hamba dan Allah s.w.t.. Seorang hamba yang sebenar-benarnya nescaya akan mengetahui, akan tiba satu saat Allah s.w.t. akan menguji kehambaan dirinya. Bahkan dirinya sentiasa bersedia, dan memohon pertolongan Allah agar mempersiapkan dirinya untuk menghadapi sebarang ujian sepanjang kehidupannya agar dapat dia membuktikan penyerahan dirinya kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar penyerahan. Allah s.w.t. juga telah berfirman:

 . أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ ﴿٣﴾

Maksudnya: "Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan sahaja (mengaku dan) berkata ; bahawa kami beriman, pada hal mereka belum diuji. Sesungguhnya orang-orang sebelum mereka telahpun diuji oleh Allah. (Memang)Allah pasti mahu mengenalpasti siapakah gerangan yang (benar-benar) jujur dan siapa pula yang berdusta".   Surah al-'Ankabut, 2-3.

PUJIAN DAN PENGHINAAN

Sebagaimana segala yang berlaku itu ketentuan Allah, sebenarnya pujian dan penghinaan juga sebenarnya datang dariNya untuk menguji hati kita. Ketika ujian itu ditimpakan keatas kita, barulah terzahir apa yang terkandung di dalam hati kita yang mana telah terbuku di dalamnya, samada benar kita sentiasa mengingatiNya, bersyukur kepadaNya ataupun sebaliknya.

Maka, orang yang sedar bahawa pujian itu sebenarnya ujian dariNya, adakah patut dia bergembira dengan pujian itu? Dan orang yang sedar bahawa kehinaan itu juga sebahagian ujianNya, adakah patut dia terasa kecil hati atau sedih diatas cacian yang diterimanya?

MENEMPUHI PUJIAN

Ketahuilah, bahawa segala perasaan yang timbul kerana pujian mahupun cacian tersebut adalah kerana kita masih merasakan diri kita mempunyai sesuatu selain dari Allah. Oleh kerana itu, apabila diri kita dipuji, kita bergembira seolah-olah kita layak dipuji dengan pujian tersebut. Paling tidak, walaupun kita tahu kita tidaklah sebagaimana yang dipuji, tetapi kita tetap terkesan dan bergembira dengan pujian orang terhadap diri kita. Inilah petanda bahawa kita merasakan bahawa diri kita mempunyai sesuatu sehingga kita gembira dipuji orang.

Sedangkan, mereka yang tenggelam dalam kehambaan kepada Allah, pasti pujian orang terhadapnya sedikitpun tidak memberi kesan keatas perasaannya. Bahkan merasakan malu diatas pujian orang tersebut, kerana tahu bahawa apa yang dipuji itu adalah bukan miliknya.

Sepertimana seorang yang diberi tugas untuk menyampaikan derma. Apakah patut baginya untuk merasa bangga seolah-olah dia yang membahagi-bahagikan derma tersebut dari miliknya? Mungkin ada penerima yang tidak mengetahui siapakah penderma sebenarnya, lalu berterima kasih kepada kita yang sedang menyempurnakan tugasan sebagai penyampai derma, apakah kita tidak merasa malu sedangkan penderma sebenar sedang memerhatikan kita, berdiri di sebalik kita? Bahkan derma yang kita sampaikan itu bukanlah dari harta milik kita, tidakkah kita merasa malu?

Bagaimanakah seorang hamba yang tahu apa yang ada padanya itu sebenarnya pinjaman serta kurniaan dari Allah s.w.t. semata-mata, boleh merasakan bangga dihadapan Pemilik sebenar apa yang dimilikinya itu? Nescaya hamba yang memahami hakikat dirinya yang fakir, tidak mempunyai apa-apa serta berhajat kepada rahmat Tuhannya, pasti bertambah malu apabila dipuji oleh orang lain berkenaan apa yang ada padanya, lalu segera tunduk memperbanyakkan ‘ibadah di hadapan Tuhannya serta mengembalikan pujian tersebut kepada Pemilik asal dirinya iaitu Allah s.w.t..

Lihatlah bagaimana kekasih Allah s.w.t. yang agung, Baginda Nabi Muhammad s.a.w. yang dipuji Allah s.w.t. dengan akhlaq yang agung, semakin bertambah tunduk kehambaan serta bertambah ‘ubudiyyah Baginda s.a.w. kepada Allah s.w.t. sebagai tanda syukur kepadaNya diatas segala apa yang dikurniakan Allah kepadanya.

Sesungguhnya tidak ada seorang hamba yang dikurniakan sebesar-besar nikmat melebihi Baginda s.a.w., akan tetapi tidak ada seorang hamba dari Sayidina Adam ‘alahi as-salam hingga hari Kiamat yang dapat menyaingi ibadat Baginda s.a.w..

Maka, tempuhilah pujian manusia dengan mengembalikan pujian tersebut kepada Pemilik diri kita iaitu Allah s.w.t. kerana pujian mereka itu telahpun ditetapkan Allah s.w.t. sebagaimana dalam ilmuNya, seolah-olah Allah s.w.t. sedang memuji diriNya sendiri melalui diri kita.

MENEMPUHI CACIAN

Setiap insan yang mempunyai akal fikiran yang cergas pasti tidak mahu untuk mencaci serta menghina orang lain. Akan tetapi sebaliknya yang kita dapati dalam kehidupan seharian, terdapat pelbagai ragam manusia yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. yang pada hakikat sebagai ujian terhadap kita, termasukkan insan yang tidak dapat mengawal dirinya dari menghina dan mencaci.

Sedih, kecewa, putus asa, rendah diri, itulah antara perasaan yang akan timbul dalam hati kita apabila menerima cacian seseorang samada bersebab, terlebih lagi apabila tidak mempunyai sebarang sebab. Segala perasaan yang muncul setelah kita dihina dan dicaci itu, seolah-olah merendahkan nilai diri dan maruah kita.

Wahai saudaraku, kenapa hati kita cenderung untuk terkesan dengan perkataan orang lain? Sedangkan 1001 penghinaan dan cacian orang lain terhadap diri kita sedikit pun tidak menentukan kesudahan hidup kita. Bahkan bagi golongan yang sentiasa mengamalkan pemikiran positif, mereka memandang cacian seseorang itu sebagai pembangkit semangat untuk menjadi lebih baik dari diri mereka sekarang.

Akan tetapi, berfikiran positif sahaja tidak mencukupi untuk mematangkan iman kita kepada Allah s.w.t.. Ia masih tidak dapat menghubungkan hati kita dengan Allah s.w.t., kerana kita masih tidak memandang bahawa Allah s.w.t. sedang berinteraksi dengan diri kita melalui cacian yang kita terima tersebut.

Ketahuilah, perasaan sedih dan kecil hati yang lahir apabila kita dihina itu adalah kerana di dalam hati kita masih mempunyai perasaan bahawa diri kita mempunyai kemuliaan yang tersendiri, tidak berkaitan dengan Allah s.w.t.. Maka, apabila kita dihina, kita merasakan seolah-olah kemuliaan kita itu direndah-rendahkan bahkan kita sedih kerana kita sendiri tidak dapat mempertahankan kemuliaan yang kita rasakan itu.

Sampai setakat manakah kita mahu mempertahankan rasa mulia diri kita, sedangkan diri kita amatlah bergantung kepada Allah s.w.t.. Apakah yang ada pada diri kita yang kita bangga-banggakan sehingga kita tidak layak untuk menerima cacian seseorang? Apakah rasa mulia kita itu lebih bernilai daripada kemuliaan yang ada di sisi Allah s.w.t.?

Sesungguhnya seseorang yang sedar bahawa dirinya tidak mempunyai apa-apa disisi Allah, pasti tidak akan terkesan dengan cacian orang. Bahkan, mungkin sahaja orang tersebut mengatakan bahawa perkataan orang yang mencaci itu boleh jadi ada kebenarannya kerana kita tidak dapat melihat keaiban diri kita secara sempurna sebagaimana yang dilihat oleh orang yang memusuhi dan membenci kita.

Seseorang hamba Allah yang hakiki nescaya tidak akan pernah merasakan kesempurnaan dirinya. Kerana merasa diri sempurna itu adalah sebahagian dari penyakit hati yang amat halus. Maka, dengan cacian yang diterimanya itulah, dia akan sentiasa menyedari bahawa hakikat dirinya yang sememangnya tidak sempurna kerana hanya Allah s.w.t.-lah yang Maha Sempurna.

Orang yang menyedari bahawa cacian dan penghinaan itu sebenarnya ditentukan oleh Allah keatas dirinya pasti tidak akan sedih dan kecewa dengan cacian tersebut bahkan menjadi asbab untuk dia sentiasa memperbaiki dirinya dan mendekatkan dirinya dengan Allah s.w.t..

Terdapat satu kisah akan seorang hamba Allah yang mana amat dimuliakan masyarakat sekelilingnya bahkan dikenali sebagai wali Allah yang mana mustajab doanya. Masyarakat tersebut apabila mempunyai sebarang masalah, pasti akan merujuk kepada hamba Allah tersebut samada sakit, dalam kesusahan dan sebagainya. Akan tetapi, masyarakat itu mulai terpesong dengan mula menganggap hamba Allah tersebut sebagai tuhan dengan memuja-muja beliau. Pada asalnya beliau tidak perasan akan perubahan masyarakatnya, akan tetapi setelah sekian waktu, beliau mendapati masyarakatnya telahpun parah sehinggakan beliau merasa bersalah kerana tidak dapat membimbing masyarakatnya untuk mengenali Allah s.w.t.. Setelah itu, beliau pun bertaubat diatas rasa bersalah beliau dan ingin menghilangkan pengagungan masyarakat tersebut terhadap beliau agar beliau tidak lagi menjadi sebab atas kesesatan masyarakatnya.

Maka, pada suatu malam, beliau pun keluar rumah dalam keadaan masyarakat tersebut telahpun tidur dan beliau pun bertindak mencuri beberapa pakaian wanita dan beliau mengulanginya selama beberapa malam. Sehingga pada suatu hari, masyarakat tersebut kecoh dengan kisah pencuri pakaian wanita dalam kampung mereka dan mereka tidak dapat mengenal pasti siapakah pelakunya. Setelah itu, hamba Allah tersebut pun keluar rumah pada waktu siangnya, lalu mencuri pakaian wanita sebagaimana yang dilakukan pada waktu malam, agar perbuatannya itu diketahui oleh masyarakat. Ketika beliau melakukan perkara tersebut, terdapat beberapa orang melihat perbuatannya itu lalu memberitahu seluruh masyarakatnya akan perbuatan keji orang yang dipuja-puja masyarakat tersebut lalu mereka beramai-ramai menuju ke rumah beliau untuk menghukum perbuatannya tersebut. Setelah mereka sampai di hadapan rumahnya, mereka berteriak memanggil beliau dengan panggilan yang hina bahkan bertindak memecah masuk rumah beliau dan menarik beliau keluar dari rumah. Bukan hanya sekadar itu, beliau juga dipukul dengan begitu teruk, rumahnya pula dibakar termasuklah segala harta benda yang dimilikinya, dan setelah itu mereka pun bersurai. Setelah masyarakat tersebut meninggalkan beliau dalam keadaan yang teruk, beliau pun terus mengangkat tangan bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana telah menghilangkan kemulian yang telah dia dapati yang menjadi asbab kepada kesesatan masyarakatnya.

Lihatlah bagaimana jujurnya hamba Allah tersebut, dengan segala kemuliaan yang didapatinya, beliau lebih rela memilih agar dihina dan dicaci masyarakatnya sendiri yang selama ini memuliakan beliau kerana beliau mengetahui bahawa redha Allah s.w.t. lebih bernilai dari segalanya. Seseorang yang telah mengecapi kemanisan iman, pasti sedikitpun tidak terkesan dengan cacian yang akan diterimanya kerana mengetahui terdapat perkara yang lebih besar yang sepatutnya menjadi tujuannya, iaitu redha Allah s.w.t..

Begitu juga dengan Qudwah Hasanah umat Islam, pensyafaat kita semua di Akhirat kelak, Baginda s.a.w., yang mana mempunyai contoh yang terbaik dalam menempuhi cacian yang diterima dari masyarakat jahiliyyah yang tidak menyukai akan dakwah Baginda s.a.w.. Sedangkan Baginda s.a.w. tidaklah mengajak mereka melainkan kepada Allah s.w.t. melalui dakwah yang penuh berhikmah dan kasih sayang. Disebalik itu, mereka membalas dakwah Baginda s.a.w. dengan cacian, penghinaan, memanggil Baginda s.a.w. sebagai ‘orang gila’, membawa ajaran sesat, melontar najis, bahkan sehingga mencederakan Baginda s.a.w. dengan tangan mereka dek kerana terlalu membenci Baginda s.a.w..

Akan tetapi, walau apa keadaan yang diterima Baginda s.a.w. kerana menyampaikan dakwah yang murni, Baginda s.a.w. tidak sesekali putus asa dan sedih kerana Baginda s.a.w. tahu semua itu adalah aturan Allah s.w.t. yang mempunyai hikmah yang cukup besar sehinggalah Baginda s.a.w. dipuji oleh Allah s.w.t. dengan pujian akhlaq yang agung.

Baginda s.a.w. lebih teruk dihina berbanding kita semua, akan tetapi hanya kondisi jiwa yang hampir dengan Allah s.w.t.-lah yang dapat menenangkan hati seseorang itu kerana tahu bahawa cacian itu sebenarnya adalah ujian dari Allah untuk kita terus merasakan diri kita tidak sempurna disisi Allah s.w.t..

KEMBALI KEPADA-NYA

Saudaraku sekalian, manusia yang gembira apabila dipuji seseorang, sebenarnya dia sedang tertipu dengan pujian orang kepadanya. Sedangkan manusia yang kecewa apabila dihina orang, sebenarnya dia sedang memperbodohkan dirinya. Pujian dan cacian manusia itu adalah bersifat sementara, sedangkan kehidupan sebenar kita adalah di alam sana yang mana kita akan menghadapinya setelah memasuki alam Barzakh.

Maka, kembalilah kepada Allah s.w.t. dengan membuang sifat rasa diri sempurna dan mulia. Kembalilah kepada Allah dengan membuang sifat keegoan kerana sifat itulah yang melahirkan pelbagai sifat buruk yang lain. Betapa ruginya orang yang tahu bahawa dunia ini sementara, tetapi tetap sahaja berkejaran dengannya sedangkan Allah s.w.t. sentiasa membuka pintu untuk kita mendekatiNya. Betapa ruginya orang yang tahu bahawa dirinya adalah milik Tuhannya, tetapi tetap sahaja mengaku dirinya mempunyai sesuatu disisi Tuhannya.

Carilah pujian dari Allah kerana Allah s.w.t. sebaik-baik Yang Memuji hambaNya. Dia-lah yang memuliakan hambaNya dan Dia-lah yang menentukan hambaNya ke dalam lembah kehinaan. DisisiNya sahajalah yang Haq, setiap sesuatu yang selainNya adalah batil. Sesungguhnya kehidupan kita ini bukan untuk melayani orang lain, akan tetapi hidup kita ini adalah untuk menjadi hamba Allah. Maka, tidak ada gunanya kita memakan pujian dan menelan kepahitan cacian orang lain, sedangkan kita semua akan dinilai sehalus-halusnya oleh Allah s.w.t. yang Maha Adil, yang akan menilai diri kita dengan sebaik-baik penilaian.

Ingatlah, bahawa kita tidak sesekali akan mendapat ketenangan dunia dengan pujian manusia. Bahkan kita juga tidak akan sesekali mendapat kecelakaan dengan cacian manusia. Bersihkanlah hati kita dari kotoran makhluk, kerana hatilah tempat pandangan Allah s.w.t.. Orang yang bahagia sebenar-benarnya adalah orang yang suci hatinya, bahkan sentiasa menjaga hatinya untuk bersama Allah walaupun jasadnya bergaul dengan jutaan manusia. Allah s.w.t. berfirman;

يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ ﴿٨٨﴾ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ ﴿٨٩﴾
Maksudnya: "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera”. Surah asy-Syu’ara, 88-89


Allahua’lam bisSowab~


Tengku Ahmad Saufie
25 Oktober 2013
3.10 Pagi.