Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Bisikan Sirr (Sajak 5)

Posted by Tengku Ahmad Saufie - -


Wahai Tuhanku,
Aku cuba mencintaiMu,
Tapi tak terasa juga,
Aku cuba berkali-kali pun tidak terasa apa,
Aku fikir-fikir segala nikmatMu,
Aku kenang-kenang rahmatMu,
Aku Nampak kemurahanMu,
Atas nama Tuhan aku akur…

Namun aku belum jatuh hati juga padaMu,
Aku susah hati, aku selalu sedih,
Mengapa terjadi begitu,
Mengapa cintaku padaMu belum berbunga lagi,
Sedang aku tahu, aku akui nikmatMu terlalu banyak padaku,
Jika hendak dihitung, tak mungkin terhitung.

Aku iri hati selalu,
Cerita dan berita orang soleh zaman dahulu,
Hebatnya cinta mereka kepadaMu,
Hilang selera makan keranaMu,
Asyik memuja dan memujiMu,
Mensuci dan membesarkanMu,
Terutama di waktu malam yang sepi,
Di waktu orang mimpi,
Mereka merintih kepadaMu.

Mengharap kasih sayangMu,
Air mara mereka membasahi pipi,
Merasa Engkau adalah segalanya.

Engkau adalah jantung hati mereka,
Tapi aku tidak begitu,
Aduh! Kerasnya hatiku,
Hingga kini aku belum boleh mencintai kekasih agungku,
Baru aku sedar taufik, hidayah, dan inayahMu.

Bahagia dan bertuahlah mereka yang dikurniakan kecintaan kepadaMu,
Aku bila lagikah Tuhan?
Dapat sedikit pun jadilah.

Namun…
Aku tidak akan putus asa,
Akan ku cuba lagi selagi ada nyawa walau di hujung nafas yang bakal tiba…