Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Jujurlah Kepada Diri Sendiri, Maka Akan Jujur Kepada Allah~

Posted by Unknown - -

Bismillah~

Alhamdulillahi wassolatu wassalam 'ala Rasulillah...

Segala puji kehadrat Allah yang bersifat dengan kesempurnaan dari Jalal dan JamalNya, yang memiliki hati-hati setiap makhlukNya, dan yang mampu membolak balikkan hati sesiapa sahaja, yang dikehendakiNya, dan juga Dia-lah Yang Memiliki Kejujuran, dan memberi sifat kejujuran kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Selawat dan Salam keatas setinggi-tinggi makhluk yang termulia, kekasih kita, pensyafaat kita di hari Akhirat yang mana Allah telah memberikan Baginda kelebihan untuk memberi bantuan kepada para pencintanya, iaitu Nabi Muhammad ibn Abdullah, seorang hamba Allah yang dipuji di langit dan di bumi, sejak penciptaan Nabi Adam, hinggalah tibanya hari yang menakutkan(hari Qiamat). Dan juga selawat dan kepujian kepada para ahlul bait Baginda yang suci lagi disucikan yang menjadi pedoman dan warisan Baginda s.a.w., dan juga kepada para Sahabat Baginda s.a.w. yang dipuji sebagai sebaik-baik golongan manusia yang dimunculkan Allah di atas muka bumi ini.



Alhamdulillah, segala puji dan puja juga diucapkan keatasMu wahai Tuhan yang memiliki kepujian, kerana telah menyampaikan hajat-hajat orang yang berhajat dengan menghantar guru kami, iaitu Sheikhuna Sidi Yusuf al-Hasani, ke bumi malaysia kami buat kali pertama buat tahun ini pada 29 April 2010 lalu.

Amatlah kami bergembira dengan pemberianMu ini Ya Allah, kerana memberi kami peluang untuk sedar dari "tidur" yang berpanjangan dan memberi kami peluang untuk bersuhbah dengan beliau, yang menjadi guru rohani kami yang telah membimbing kami untuk sampai kepadaMu.

Pada kesempatan kehidupan yang Allah bagi pada hari ini, maka, inginku menyampaikan satu kisah yang telah diceritakan sendiri oleh guru kami, Sheikhuna Sidi Yusuf al-hasani ketika kami sempat bersama beliau di markaz tariqat kami di Markaz Tariqat Syazuliyyah wa Darqawiyyah yang terletak di Nilai setelah beliau sampai ke KLIA dari Lubnan yang penerbangannya memakan masa sebanyak 10 jam. Kisah ini berlaku ketika beliau masih lagi berada di Lubnan setelah musafir beliau di Malaysia pada akhir tahun lepas. Beliau telah menceritakan suatu kisah benar yang berlaku kepadanya pada beberapa bulan yang lepas, supaya sama-sama kami para ahbab mengambil iktibar.

Ketahuilah, bahawa kehidupan kita ini penuh dengan keduniaan, hatta ditempatku, Lebanon, yang mana semuanya mengejar keduniaan. Mereka berkhidmat dalam seharian hari mereka, hanya untuk mendapatkan wang untuk mereka hidup. Bahkan ada yang mengorbankan hidup mereka hanya untuk mendapatkan sedikit nilai wang, kerana mereka kabur dengan "kehebatan" wang sehingga sanggup berkhidmat kepada sesuatu yang kita panggil sebagai "duit@wang".

Pada suatu hari, ketika sheikhuna masih berada disana(Lebanon), seorang gadis yang berumur lingkungan 20-an, menelefon sheikhuna dan memberitahu bahawa dia terjumpa dengan suatu bungkusan yang berisi duit yang bernilai 3000 U.S Dolar. Di Lebanon kebanyakkan mereka berurusan dengan memakai wang U.S Dolar berbanding Lebanon Pound. Dan adalah sheikhuna juga merupakan ahli didalam majlis fatwa Lebanon dan merupakan sahabat baik kepada mufti sunni Lebanon, mahupun mufti syi'ah Lebanon.

Jumlah yang cukup banyak itu, menjadikan gadis itu terpinga-pinga. Kemudian dia menanyakan kepada sheikhna bolehkah dia mengambil wang itu sedikit, untuk dibelanjakan bagi meringankan beban seharian dia bekerja. Gadis itu bertanya kepada sheikhna, "bolehku mengambil duit itu sebagai upah memulangkan duit itu kepada tuannya?". Maka jawab Sheikhuna dengan penuh hikmah, "Sesungguhnya dalam diri kamu itu ada kejujuran, walaupun seharian hidupmu itu mengejar isi keduniaan. Dengan kejujuran kamu, kamu menelefon aku dan bertanyakan hal ini. Dalam hati kamu itu terdetik bahawa kamu takut mengambil harta yang haram, dan kamu takutkan seksaan Allah dan hisapanNya di Akhirat kelak. Dan kamu menelefon aku, dan bertanyakan hal ini, menunjukkan hati kamu jujur kepadaNya, akan tetapi hawa nafsu dan dunia ini boleh memerangkap sesiapa sahaja dengan kehendak Allah. Maka, engkau pulangkanlah semua duit itu kepada tuannya, tanpa meletakkan sebarang syarat kepada pemilik bungkusan itu. Mungkin dengan duit itu, pemiliknya dapat membiayai segala hutangnya, mungkin dengan duit itu, pemiliknya dapat memberi keluarganya makan, mungkin dengan duit itu, pemiliknya dapat memiliki rumah untuk dia dan keluarganya berteduh. Pulangkanlah tanpa mengharapkan balasan, melainkan pemiliknya itu yang memberi hadiah atas kejujuran kamu itu, dan sesungguhnya Allah-lah yang Maha Membalas kejujuran hambaNya."

Maka, selang sehari selepas dari peristiwa itu, gadis itu menelefon kembali sheikhuna dan mengatakan, "ya sheikh, saya telah memulangkan duit itu kepada tuannya". Sheikhuna berkata, "Alhamdulillah". Gadis itu berkata lagi, "saya telah memulangkan segala hak milik pemilik itu tanpa sebarang syarat, dan semua berjumlah 3000 U.S Dolar, tapi alangkah terkejutnya saya, bila pemiliknya itu memberi saya hadiah yang lebih lagi dari jumlah wang yang saya pulangkan itu yang berjumlah 5000 U.S."

Sheikhuna terkejut dengan peristiwa itu, dan sheikhna berkata, "Aku mengambil iktibar dari peristiwa itu, dan aku menceritakan hal ini supaya sama-sama kita mengambil iktibar. Bahawa bila seseorang itu jujur kepada dirinya sendiri, maka dia akan jujur kepada Allah". "Betapa ramai orang mendakwa itu dan ini, mengangkat kelebihan dirinya, akan tetapi dalam hatinya dia tahu dia tidak jujur kepada dirinya". "sekiranya tidak mampu jujur kepada diri sendiri, dan sememangnya seseorang penipu itu mengetahui bahawa dia tidak dapat menipu dirinya sendiri, bagaimana dia mahu jujur kepada Allah? Adakah Allah tidak mengetahui bagaimana keadaan hati kita?"

Untuk mendapatkan kejujuran dalam diri sendiri, amatlah sukar melainkan apabila diri kita sendiri dipimpin oleh mereka yang telah mendapatkan kejujuran dalam hati mereka. Ramai orang, termasuk ustaz dan ulama', boleh berkata-kata, akan tetapi, mereka tahu apa dibenak hati mereka. Mereka dapat berpura-pura dihadapan manusia lain, tapi mereka sedar mereka tidak dapat berpura-pura dengan diri sendiri, apatah lagi dihadapan Allah Azza Wajalla~Ayuhlah, sama-sama kita mengambil iktibar dan mendapatkan kejujuran diri kita agar menjadi hamba Allah yang diredhaiNya~

Allahua'lam~