Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook

Kisah Imam 'Abdullah ibn Mubarak dengan seorang hamba yang tenggelam didalam cinta

Posted by Unknown - -

Sheikhna Sidi Yusuf al-Hasani pernah meriwayatkan satu kisah yang mengisahkan satu hubungan cinta yang amat mendalam seorang hamba terhadap Tuhannya, iaitu seorang hamba yang amat memahami keadaannya dihadapan Tuhannya. Namanya tidak dikenali, dan beliau juga merupakan seorang hamba yang telah dibeli oleh tuannya di suatu negeri.

Seperti kebiasaan, negeri tersebut akan mengalami musim kemarau pada tiap-tiap tahun. Akan tetapi, pada tahun itu, musim kemarau yang berlaku amatlah teruk sehinggakan penduduk di negeri itu melakukan solat Istisqaq(meminta hujan) hampir setiap hari. 

Melihat tiada perubahan, dan penduduk negeri semakin menjalani kehidupan mereka dalam kesukaran, mereka akhirnya menjemput Imam al-Haramain, iaitu Imam 'Abdullah ibn Mubarak, seorang 'ulama yang cukup terkenal dalam bidang hadith serta fiqh, yang juga merupakan guru kepada Imam al-Ghazali, pengarang kitab Ihya 'Ulumuddin yang terkenal.

Kebiasaannya, apabila Imam 'Abdullah ibn Mubarak melakukan solat Istisqaq di tempat-tempat lain, dengan rahmat Allah, Allah akan menurunkan hujan pada tempat yang ditunaikan solat tersebut. Akan tetapi, apabila beliau dan jemaahnya selesai melakukan solat Istisqaq di negeri tersebut, kelihatan bahawa tiada tanda-tanda hujan akan turun sebaliknya kemarau tetap sahaja membakar kulit-kulit mereka.

Kehairanan dengan kejadian sebegitu, Imam 'Abdullah ibn Mubarak tidak dapat melelapkan matanya sebaliknya mengambil keputusan untuk melihat keadaan penduduk negeri tersebut pada waktu malam. Setelah beliau berjalan-jalan di sekitar kawasan itu, beliau terdengar suara seorang lelaki sedang bermunajat kepada Allah s.w.t. di tengah-tengah padang. Melihat keadaan itu, beliau cuba mendekati lelaki tersebut, dan beliau mendengar doa lelaki tersebut yang berkata, "Wahai Tuhanku, dengan cintaMu yang mendalam terhadap diriku, aku meminta agar Engkau merunkan hujan kepada negeri ini".

Setelah sahaja lelaki tersebut selesai berdoa dan beredar dari padang itu, dengan rahmat Allah, hujan terus turun selebat-lebatnya dan perkara ini menjadikan Imam 'Abdullah ibn Mubarak ingin mengenali lelaki tersebut. Pada keesokan hari, Imam 'Abdullah ibn Mubarak mencari siapakah gerangan lelaki tersebut, dan bertanya kepada setiap rumah di negeri tersebut. Akhirnya, beliau berjaya mendapat tahu bahawa lelaki tersebut merupakan seorang hamba kepada fulan yang amat kaya raya di negeri tersebut.

Beliau dengan penuh semangat, pergi ke rumah si fulan yang amat kaya lalu bertanya, "Wahai tuan, bolehkah aku bertemu dengan hamba milikmu yang keadaannya sekian dan sekian?". Si Fulan tersebut menjawab, "Lelaki pemalas itu? Aku tidak pernah bertemu dengan hamba yang amat pemalas sepertinya. Aku telah menghantarnya ke pasar untuk dijual".Mendengar penjelasan fulan tersebut, beliau bergegas ke pasar untuk mencari dimanakah tempat hamba tersebut dijual. Setelah sekian lama mencari dimanakah hamba tersebut dijual, akhirnya selang beberapa hari beliau berjaya mendapat hamba tersebut yang sedang sedang dilelong. Lalu, beliau pun bertanya kepada si pelelong hamba, "Aku ingin membeli hamba tersebut, berapakah harganya?". Mendengar pertanyaan Imam 'Abdullah ibn Mubarak, pelelong hamba tersebut ketawa lalu berkata, "Engkau mahu membeli hamba ini yang amat terkenal dengan sifat malas? Aku telah menjualnya untuk sekian waktu yang lama, sampai sekarang tiada orang yang ingin membelinya. Aku rela untuk berikan kepada kamu percuma sahaja, menyimpannya bagiku hanya menjadi beban sahaja". Akan tetapi, Imam 'Abdullah ibn Mubarak serius ingin membeli hamba tersebut, lalu bertanya, "Bagitahu kepadaku, berapa yang engkau mahu jual hamba tersebut? Aku mempunyai wang untuk membayar hamba itu". Melihat keseriusan beliau, lalu pelelong hamba tersebut menjualnya sebanyak 20 dinar sahaja, akan tetapi, Imam 'Abdullah ibn Mubarak membayar sebanyak dua kali ganda harganya iaitu dengan 40 dinar, dan membawa pulang hamba tersebut ke rumahnya.

Setelah sampai di rumah Imam 'Abdullah ibn Mubarak, hamba yang baru dibelinya tadi terus disuruh membersihkan diri dan diberi pakaian yang baru untuknya. Selain itu, beliau juga melayan hamba tersebut sebagai tetamunya dengan penuh istimewa, sedangkan dia hanya seorang hamba.

Akhirnya, 1001 satu persoalan bermain di fikiran hamba itu, setelah 3 hari dilayan sebagai seorang tetamu kerana kehadiran dia di rumah Imam 'Abdullah ibn Mubarak adalah sebagai seorang hamba. Lalu dia pun bertanya kepada tuan barunya itu, "Wahai tuan, aku dibeli olehmu untuk berkhidmat kepada tuan. Tetapi, kenapa setelah tiga hari aku berada disini, engkau tidak mengarahkan aku satu suruhan pun sebagai seorang tuan, sebaliknya menyediakan aku keselesaan sedangkan aku hamba".



Mendengar pertanyaan hamba itu, Imam 'Abdullah ibn Mubarak pun menjelaskan, "Aku sebenarnya tidak ingin menjadikanmu hamba. Sebaliknya aku hanya ingin bertanya kepadamu satu soalan. Sesungguhnya aku berada di padang ketika engkau berdoa kepada Allah, "Wahai Tuhanku, dengan cintaMu yang mendalam terhadap diriku, aku meminta agar Engkau merunkan hujan kepada negeri ini". Dan aku hairan, bagaimana engkau boleh berdoa sedemikian sedangkan engkau tidak mengetahui bagaimana cinta Allah kepadamu".

Hamba tersebut pun berkata, "Wahai tuan, engkau adalah Imam 'Abdullah ibn Mubarak yang terkenal seluruh Haramain dan sekitarnya. Bagaimana aku ingin menjelaskan kepadamu sedangkan engkau imam kami, mustahil engkau tidak mengerti hal ini". Beliau pun tetap menyuruh hambanya itu menjawab persoalannya, lalu hamba tersebut menjelaskan, "Wahai tuan, kita ini adalah haadith(yang baharu) dan juga makhluqnya. Bagaimana kita boleh mengatakan cinta kita kepadaNya, sedangkan cinta kita itu adalah sebahagian daripada yang baharu, sedangkan cintaNya pula adalah qaadim(yang kekal sedia ada). Adalah tidak beradab apabila kita mendahulukan cinta kita kepadaNya, sedangkan cintaNya terhadap kita adalah terlebih awal sebelum kita diciptakan".

Mendengar penjelasan hambanya tersebut sambil menitiskan air mata, beliau berkata, "Wahai hambaku, sekarang aku bebaskan kamu daripada menjadi hamba". Lalu, hamba tersebut meminta izin daripada Imam 'Abdullah ibn Mubarak untuk solat dua rakaat di dalam biliknya. Imam 'Abdullah ibn Mubarak pula tidak berganjak dari tempatnya, dan terdengar suara hambanya tadi berdua dalam sujud yang kedua, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah membukakan rahsia antaraMu dan aku terhadap tuanku ini. Maka, aku memohon kepadaMu wahai Tuhanku, Engkau cabutkanlah nyawaku dan agar rahsiaku tetap tersimpan denganMu". Apabila Imam 'Abdullah ibn Mubarak masuk ke dalam bilik hamba tersebut, beliau mendapati bahawa lelaki tersebut telahpun wafat dalam keadaan sujudnya tadi dan beliau memaqamkan lelaki tersebut sebagai seorang yang amat mulia.

Allahua'lam bis sowab~

One Response so far.

  1. Nurulain says:

    subhanallah..t.kasih atas prkongsian yg hebat ini.. :0