BismiLlahi Wassolatu Wassalam 'Ala
RasulIllah Wa 'Ala Aalihi Wa Man Waalah~
Segala puji bagi Allah yang telah
menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan, dan meniupkan roh yang suci ke
dalam jasad tanah serta mengutuskan manusia untuk menjadi khalifahNya di atas
muka bumi ini, agar mereka menjadi golongan yang bertaqwa.
Selawat dan salam keatas junjungan
mulia Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi contoh tauladan mulia kepada seluruh
manusia, sehinggakan akhlaq terpuji Baginda s.a.w. memberi kesan ke dalam hati
manusia yang belum lagi beriman kepada risalahnya. Sesungguhnya Baginda
s.a.w.-lah sebaik-baik manusia yang mempunyai setinggi-tinggi akhlaq mulia yang
sepatutnya menjadi contoh dan ikutan kepada mereka yang mencintainya. Dan
seterusnya selawat serta salam keatas para ahli keluarga Baginda s.a.w. yang
mana meneruskan dakwah murni dengan mewarisi akhlaq suci Baginda s.a.w., begitu
juga keatas para sahabat Baginda s.a.w. yang tenggelam dalam meminum cawan
cinta dari Baginda s.a.w..
Amma Ba'du~
Para pembaca yang murni(semoga
Allah melimpahkan rahmat keatas kalian semua), pernahkan kita secara
tiba-tiba mendapat pujian dan nama kita diangkat tinggi? Semestinya kita akan
merasa bangga dan gembira dengan perkara tersebut.
Akan tetapi, bagaimana pula
sekiranya kita mendapat perkara yang sebaliknya? Secara tiba-tiba kita mendapat
penghinaan dan cacian, bahkan nama kita diburuk-burukkan, walaupun perkara
tersebut bukanlah benar sepertimana yang diperkatakan orang. Nescaya kita akan
merasa amat kecil hati, sedih, putus asa dan sebagainya terhadap orang yang
tiba-tiba menghina dan mencaci kita.
Sesungguhnya terdapat banyak
persoalan untuk kita persoalkan kepada hati kita, kenapakah disebalik pujian
daripada orang yang kita kenali atau tidak, kita merasa gembira dan bangga.
Akan tetapi apabila mendapat penghinaan dan cacian, kita merasa perkara yang
sebaliknya, bahkan mungkin kita juga akan turut membalas penghinaan dan cacian
kepada orang tersebut sebagaimana perbuatannya.
Sebenarnya apa yang kita rasa
daripada kedua-dua keadaan diatas itu merupakan tahap ukur akan kesucian hati
serta tahap keimanan kita. Pada saat keadaan tersebut berlaku kepada kita,
waktu itulah akan terzahir apa yang terkandung di dalam hati kita akan hakikat
sebenarnya. Inilah diantara cara Allah s.w.t. untuk menyedarkan kita agar kita
sentiasa membaiki dan memperelokkan hati kita yang menjadi tempat pandangan
Allah.
HIDUP MELALUI UJIAN
Ketahuilah bahawa saudaraku yang
dikasihi, bahawa sebenarnya hidup kita ini sentiasa berhubungan dengan Allah.
Bahkan sesekali Allah s.w.t. tidak pernah lalai terhadap kita baik apa yang
anggota tubuh kita lakukan mahupun apa yang terkandung dalam hati kita. Akan
tetapi, sebagaimana yang kita ketahui, bahawa dunia ini adalah 'Dar al-Imtihan'
iaitu tempat ujian yang mana tidak ada seorang pun sepatutnya merasa tenang
dengan kehidupan yang sedang dilaluinya sekarang.
Sebagaimana orang yang cerdik yang
ingin mendapatkan keputusan peperiksaan yang baik, dia pasti akan bersedia
dengan sebaik yang mungkin untuk menempuh peperiksaan yang akan dialaminya.
Tetapi, orang yang tidak merasakan bahawa keputusan peperiksaan itu penting
baginya, walaupun mulutnya dan angan-angannya inginkan sedemikian, maka dia
akan mensia-siakan waktu yang sepatutnya digunakan untuk belajar dan mengulang
kaji, dengan sibuk bermain, dan membuang waktu dengan perkara yang tidak
berfaedah.
Maka, orang yang mempunyai iman
serta akal yang sihat, akan sentiasa bersedia untuk menghadapi ujian daripada
Allah, sebagai pembuktian akan kejujurannya yang ingin mendapatkan redha dan
cintaNya. Inilah antara ciri seorang hamba Allah yang sentiasa ingin
berdampingan denganNya.
UJIAN DAN HAMBA
Orang yang sedar bahawa dia
merupakan hamba Allah yang mutlak, apakah dia akan lalai dari tanggungjawabnya
sebagai hamba? Apakah dia masih merasakan dirinya memiliki sesuatu kedudukan
dan keistimewaan untuk dipertahankan sedangkan dia merupakan seorang hamba? Tidaklah
bagi seorang hamba itu memiliki sesuatu melainkan kesemua itu adalah milik
tuannya. Oleh yang demikian, menjadi hak bagi tuannya untuk menguji hamba yang
dimilikinya, apakah benar hambanya tersebut benar-benar jujur dalam berkhidmat
kepadanya melalui 1001 kesusahan.
Hamba yang benar-benar tahu akan
tujuan kehambaannya pasti tidak akan lari dari tujuannya, iaitu berkhidmat
kepada tuannya walau apa keadaan sekalipun dan patuh kepada arahannya walau
pelbagai kesulitan yang akan dialami. Itulah hamba yang jujur, yang mana nescaya
akan mendapat kasih sayang dan pembelaan dari tuannya.
Akan tetapi, apabila hamba tersebut
tidak mengetahui tujuan kehambaannya dengan jelas, maka apabila tuannya
mengujinya, nescaya dia akan mengeluh dan tidak dapat melaksanakan tugasan yang
diberikan dengan sempurna. Bahkan merasa perit serta payah untuk melakukan
arahan dari tuannya kerana dia tidak meletakkan dirinya sebagai hamba yang
sebenar-benarnya, akan tetapi sebagai seorang manusia sepertimana tuannya juga.
Akhirnya, dia akan dihina dan dipinggirkan tuannya bahkan mungkin sahaja
dilelong kembali dengan harga yang murah diatas sikapnya tersebut. Itulah hamba
yang malang, yang mana tidaklah dia mendapatkan apa-apa dari penat lelahnya
melainkan kerugian.
Begitulah sebaliknya antara seorang
hamba dan Allah s.w.t.. Seorang hamba yang sebenar-benarnya nescaya akan
mengetahui, akan tiba satu saat Allah s.w.t. akan menguji kehambaan dirinya. Bahkan
dirinya sentiasa bersedia, dan memohon pertolongan Allah agar mempersiapkan
dirinya untuk menghadapi sebarang ujian sepanjang kehidupannya agar dapat dia
membuktikan penyerahan dirinya kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar
penyerahan. Allah s.w.t. juga telah berfirman:
. أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا
آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ
الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ ﴿٣﴾
Maksudnya: "Apakah
manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan sahaja (mengaku dan)
berkata ; bahawa kami beriman, pada hal mereka belum diuji. Sesungguhnya
orang-orang sebelum mereka telahpun diuji oleh Allah. (Memang)Allah pasti mahu
mengenalpasti siapakah gerangan yang (benar-benar) jujur dan siapa pula
yang berdusta". Surah
al-'Ankabut, 2-3.
PUJIAN DAN PENGHINAAN
Sebagaimana segala yang berlaku itu
ketentuan Allah, sebenarnya pujian dan penghinaan juga sebenarnya datang dariNya
untuk menguji hati kita. Ketika ujian itu ditimpakan keatas kita, barulah terzahir
apa yang terkandung di dalam hati kita yang mana telah terbuku di dalamnya,
samada benar kita sentiasa mengingatiNya, bersyukur kepadaNya ataupun
sebaliknya.
Maka, orang yang sedar bahawa
pujian itu sebenarnya ujian dariNya, adakah patut dia bergembira dengan pujian
itu? Dan orang yang sedar bahawa kehinaan itu juga sebahagian ujianNya, adakah
patut dia terasa kecil hati atau sedih diatas cacian yang diterimanya?
MENEMPUHI PUJIAN
Ketahuilah, bahawa segala perasaan
yang timbul kerana pujian mahupun cacian tersebut adalah kerana kita masih
merasakan diri kita mempunyai sesuatu selain dari Allah. Oleh kerana itu,
apabila diri kita dipuji, kita bergembira seolah-olah kita layak dipuji dengan
pujian tersebut. Paling tidak, walaupun kita tahu kita tidaklah sebagaimana
yang dipuji, tetapi kita tetap terkesan dan bergembira dengan pujian orang
terhadap diri kita. Inilah petanda bahawa kita merasakan bahawa diri kita
mempunyai sesuatu sehingga kita gembira dipuji orang.
Sedangkan, mereka yang tenggelam
dalam kehambaan kepada Allah, pasti pujian orang terhadapnya sedikitpun tidak
memberi kesan keatas perasaannya. Bahkan merasakan malu diatas pujian orang
tersebut, kerana tahu bahawa apa yang dipuji itu adalah bukan miliknya.
Sepertimana seorang yang diberi
tugas untuk menyampaikan derma. Apakah patut baginya untuk merasa bangga
seolah-olah dia yang membahagi-bahagikan derma tersebut dari miliknya? Mungkin
ada penerima yang tidak mengetahui siapakah penderma sebenarnya, lalu berterima
kasih kepada kita yang sedang menyempurnakan tugasan sebagai penyampai derma,
apakah kita tidak merasa malu sedangkan penderma sebenar sedang memerhatikan
kita, berdiri di sebalik kita? Bahkan derma yang kita sampaikan itu bukanlah dari harta milik kita, tidakkah kita merasa malu?
Bagaimanakah seorang hamba yang
tahu apa yang ada padanya itu sebenarnya pinjaman serta kurniaan dari Allah
s.w.t. semata-mata, boleh merasakan bangga dihadapan Pemilik sebenar apa yang
dimilikinya itu? Nescaya hamba yang memahami hakikat dirinya yang fakir, tidak
mempunyai apa-apa serta berhajat kepada rahmat Tuhannya, pasti bertambah malu
apabila dipuji oleh orang lain berkenaan apa yang ada padanya, lalu segera
tunduk memperbanyakkan ‘ibadah di hadapan Tuhannya serta mengembalikan pujian
tersebut kepada Pemilik asal dirinya iaitu Allah s.w.t..
Lihatlah bagaimana kekasih Allah
s.w.t. yang agung, Baginda Nabi Muhammad s.a.w. yang dipuji Allah s.w.t. dengan
akhlaq yang agung, semakin bertambah tunduk kehambaan serta bertambah ‘ubudiyyah
Baginda s.a.w. kepada Allah s.w.t. sebagai tanda syukur kepadaNya diatas segala
apa yang dikurniakan Allah kepadanya.
Sesungguhnya tidak ada seorang
hamba yang dikurniakan sebesar-besar nikmat melebihi Baginda s.a.w., akan
tetapi tidak ada seorang hamba dari Sayidina Adam ‘alahi as-salam hingga
hari Kiamat yang dapat menyaingi ibadat Baginda s.a.w..
Maka, tempuhilah pujian manusia
dengan mengembalikan pujian tersebut kepada Pemilik diri kita iaitu Allah
s.w.t. kerana pujian mereka itu telahpun ditetapkan Allah s.w.t. sebagaimana
dalam ilmuNya, seolah-olah Allah s.w.t. sedang memuji diriNya sendiri melalui diri
kita.
MENEMPUHI CACIAN
Setiap insan
yang mempunyai akal fikiran yang cergas pasti tidak mahu untuk mencaci serta
menghina orang lain. Akan tetapi sebaliknya yang kita dapati dalam kehidupan
seharian, terdapat pelbagai ragam manusia yang telah ditentukan oleh Allah
s.w.t. yang pada hakikat sebagai ujian terhadap kita, termasukkan insan yang
tidak dapat mengawal dirinya dari menghina dan mencaci.
Sedih,
kecewa, putus asa, rendah diri, itulah antara perasaan yang akan timbul dalam
hati kita apabila menerima cacian seseorang samada bersebab, terlebih lagi
apabila tidak mempunyai sebarang sebab. Segala perasaan yang muncul setelah
kita dihina dan dicaci itu, seolah-olah merendahkan nilai diri dan maruah kita.
Wahai
saudaraku, kenapa hati kita cenderung untuk terkesan dengan perkataan orang
lain? Sedangkan 1001 penghinaan dan cacian orang lain terhadap diri kita
sedikit pun tidak menentukan kesudahan hidup kita. Bahkan bagi golongan yang
sentiasa mengamalkan pemikiran positif, mereka memandang cacian seseorang itu
sebagai pembangkit semangat untuk menjadi lebih baik dari diri mereka sekarang.
Akan tetapi,
berfikiran positif sahaja tidak mencukupi untuk mematangkan iman kita kepada
Allah s.w.t.. Ia masih tidak dapat menghubungkan hati kita dengan Allah s.w.t.,
kerana kita masih tidak memandang bahawa Allah s.w.t. sedang berinteraksi
dengan diri kita melalui cacian yang kita terima tersebut.
Ketahuilah,
perasaan sedih dan kecil hati yang lahir apabila kita dihina itu adalah kerana
di dalam hati kita masih mempunyai perasaan bahawa diri kita mempunyai
kemuliaan yang tersendiri, tidak berkaitan dengan Allah s.w.t.. Maka, apabila
kita dihina, kita merasakan seolah-olah kemuliaan kita itu direndah-rendahkan
bahkan kita sedih kerana kita sendiri tidak dapat mempertahankan kemuliaan yang
kita rasakan itu.
Sampai
setakat manakah kita mahu mempertahankan rasa mulia diri kita, sedangkan diri
kita amatlah bergantung kepada Allah s.w.t.. Apakah yang ada pada diri kita
yang kita bangga-banggakan sehingga kita tidak layak untuk menerima cacian
seseorang? Apakah rasa mulia kita itu lebih bernilai daripada kemuliaan yang
ada di sisi Allah s.w.t.?
Sesungguhnya
seseorang yang sedar bahawa dirinya tidak mempunyai apa-apa disisi Allah, pasti
tidak akan terkesan dengan cacian orang. Bahkan, mungkin sahaja orang tersebut
mengatakan bahawa perkataan orang yang mencaci itu boleh jadi ada kebenarannya
kerana kita tidak dapat melihat keaiban diri kita secara sempurna sebagaimana
yang dilihat oleh orang yang memusuhi dan membenci kita.
Seseorang
hamba Allah yang hakiki nescaya tidak akan pernah merasakan kesempurnaan
dirinya. Kerana merasa diri sempurna itu adalah sebahagian dari penyakit hati
yang amat halus. Maka, dengan cacian yang diterimanya itulah, dia akan sentiasa
menyedari bahawa hakikat dirinya yang sememangnya tidak sempurna kerana hanya
Allah s.w.t.-lah yang Maha Sempurna.
Orang yang
menyedari bahawa cacian dan penghinaan itu sebenarnya ditentukan oleh Allah
keatas dirinya pasti tidak akan sedih dan kecewa dengan cacian tersebut bahkan
menjadi asbab untuk dia sentiasa memperbaiki dirinya dan mendekatkan dirinya dengan
Allah s.w.t..
Terdapat
satu kisah akan seorang hamba Allah yang mana amat dimuliakan masyarakat
sekelilingnya bahkan dikenali sebagai wali Allah yang mana mustajab doanya. Masyarakat
tersebut apabila mempunyai sebarang masalah, pasti akan merujuk kepada hamba
Allah tersebut samada sakit, dalam kesusahan dan sebagainya. Akan tetapi, masyarakat
itu mulai terpesong dengan mula menganggap hamba Allah tersebut sebagai tuhan
dengan memuja-muja beliau. Pada asalnya beliau tidak perasan akan perubahan masyarakatnya,
akan tetapi setelah sekian waktu, beliau mendapati masyarakatnya telahpun parah
sehinggakan beliau merasa bersalah kerana tidak dapat membimbing masyarakatnya
untuk mengenali Allah s.w.t.. Setelah itu, beliau pun bertaubat diatas rasa
bersalah beliau dan ingin menghilangkan pengagungan masyarakat tersebut
terhadap beliau agar beliau tidak lagi menjadi sebab atas kesesatan
masyarakatnya.
Maka, pada
suatu malam, beliau pun keluar rumah dalam keadaan masyarakat tersebut telahpun
tidur dan beliau pun bertindak mencuri beberapa pakaian wanita dan beliau
mengulanginya selama beberapa malam. Sehingga pada suatu hari, masyarakat
tersebut kecoh dengan kisah pencuri pakaian wanita dalam kampung mereka dan
mereka tidak dapat mengenal pasti siapakah pelakunya. Setelah itu, hamba Allah
tersebut pun keluar rumah pada waktu siangnya, lalu mencuri pakaian wanita
sebagaimana yang dilakukan pada waktu malam, agar perbuatannya itu diketahui
oleh masyarakat. Ketika beliau melakukan perkara tersebut, terdapat beberapa
orang melihat perbuatannya itu lalu memberitahu seluruh masyarakatnya akan perbuatan
keji orang yang dipuja-puja masyarakat tersebut lalu mereka beramai-ramai
menuju ke rumah beliau untuk menghukum perbuatannya tersebut. Setelah mereka
sampai di hadapan rumahnya, mereka berteriak memanggil beliau dengan panggilan
yang hina bahkan bertindak memecah masuk rumah beliau dan menarik beliau keluar
dari rumah. Bukan hanya sekadar itu, beliau juga dipukul dengan begitu teruk,
rumahnya pula dibakar termasuklah segala harta benda yang dimilikinya, dan
setelah itu mereka pun bersurai. Setelah masyarakat tersebut meninggalkan
beliau dalam keadaan yang teruk, beliau pun terus mengangkat tangan bersyukur
kepada Allah s.w.t. kerana telah menghilangkan kemulian yang telah dia dapati
yang menjadi asbab kepada kesesatan masyarakatnya.
Lihatlah
bagaimana jujurnya hamba Allah tersebut, dengan segala kemuliaan yang
didapatinya, beliau lebih rela memilih agar dihina dan dicaci masyarakatnya
sendiri yang selama ini memuliakan beliau kerana beliau mengetahui bahawa redha
Allah s.w.t. lebih bernilai dari segalanya. Seseorang yang telah mengecapi
kemanisan iman, pasti sedikitpun tidak terkesan dengan cacian yang akan
diterimanya kerana mengetahui terdapat perkara yang lebih besar yang sepatutnya
menjadi tujuannya, iaitu redha Allah s.w.t..
Begitu juga
dengan Qudwah Hasanah umat Islam, pensyafaat kita semua di Akhirat kelak, Baginda
s.a.w., yang mana mempunyai contoh yang terbaik dalam menempuhi cacian yang
diterima dari masyarakat jahiliyyah yang tidak menyukai akan dakwah Baginda
s.a.w.. Sedangkan Baginda s.a.w. tidaklah mengajak mereka melainkan kepada
Allah s.w.t. melalui dakwah yang penuh berhikmah dan kasih sayang. Disebalik itu,
mereka membalas dakwah Baginda s.a.w. dengan cacian, penghinaan, memanggil
Baginda s.a.w. sebagai ‘orang gila’, membawa ajaran sesat, melontar najis,
bahkan sehingga mencederakan Baginda s.a.w. dengan tangan mereka dek kerana
terlalu membenci Baginda s.a.w..
Akan tetapi,
walau apa keadaan yang diterima Baginda s.a.w. kerana menyampaikan dakwah yang
murni, Baginda s.a.w. tidak sesekali putus asa dan sedih kerana Baginda s.a.w.
tahu semua itu adalah aturan Allah s.w.t. yang mempunyai hikmah yang cukup
besar sehinggalah Baginda s.a.w. dipuji oleh Allah s.w.t. dengan pujian akhlaq
yang agung.
Baginda
s.a.w. lebih teruk dihina berbanding kita semua, akan tetapi hanya kondisi jiwa
yang hampir dengan Allah s.w.t.-lah yang dapat menenangkan hati seseorang itu kerana
tahu bahawa cacian itu sebenarnya adalah ujian dari Allah untuk kita terus
merasakan diri kita tidak sempurna disisi Allah s.w.t..
KEMBALI
KEPADA-NYA
Saudaraku
sekalian, manusia yang gembira apabila dipuji seseorang, sebenarnya dia sedang
tertipu dengan pujian orang kepadanya. Sedangkan manusia yang kecewa apabila
dihina orang, sebenarnya dia sedang memperbodohkan dirinya. Pujian dan cacian
manusia itu adalah bersifat sementara, sedangkan kehidupan sebenar kita adalah
di alam sana yang mana kita akan menghadapinya setelah memasuki alam Barzakh.
Maka, kembalilah
kepada Allah s.w.t. dengan membuang sifat rasa diri sempurna dan mulia. Kembalilah
kepada Allah dengan membuang sifat keegoan kerana sifat itulah yang melahirkan
pelbagai sifat buruk yang lain. Betapa ruginya orang yang tahu bahawa dunia ini
sementara, tetapi tetap sahaja berkejaran dengannya sedangkan Allah s.w.t.
sentiasa membuka pintu untuk kita mendekatiNya. Betapa ruginya orang yang tahu
bahawa dirinya adalah milik Tuhannya, tetapi tetap sahaja mengaku dirinya
mempunyai sesuatu disisi Tuhannya.
Carilah pujian
dari Allah kerana Allah s.w.t. sebaik-baik Yang Memuji hambaNya. Dia-lah yang
memuliakan hambaNya dan Dia-lah yang menentukan hambaNya ke dalam lembah
kehinaan. DisisiNya sahajalah yang Haq, setiap sesuatu yang selainNya adalah
batil. Sesungguhnya kehidupan kita ini bukan untuk melayani orang lain, akan
tetapi hidup kita ini adalah untuk menjadi hamba Allah. Maka, tidak ada gunanya
kita memakan pujian dan menelan kepahitan cacian orang lain, sedangkan kita
semua akan dinilai sehalus-halusnya oleh Allah s.w.t. yang Maha Adil, yang akan
menilai diri kita dengan sebaik-baik penilaian.
Ingatlah,
bahawa kita tidak sesekali akan mendapat ketenangan dunia dengan pujian
manusia. Bahkan kita juga tidak akan sesekali mendapat kecelakaan dengan cacian
manusia. Bersihkanlah hati kita dari kotoran makhluk, kerana hatilah tempat
pandangan Allah s.w.t.. Orang yang bahagia sebenar-benarnya adalah orang yang
suci hatinya, bahkan sentiasa menjaga hatinya untuk bersama Allah walaupun
jasadnya bergaul dengan jutaan manusia. Allah s.w.t. berfirman;
يَوْمَ لَا
يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ ﴿٨٨﴾ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ ﴿٨٩﴾
Maksudnya:
"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak
tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali orang-orang yang
datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera”. Surah asy-Syu’ara,
88-89
Allahua’lam
bisSowab~
Tengku Ahmad Saufie
25 Oktober 2013
3.10 Pagi.