Si musafir yang mengembara mencari keredhaan Allah~

  • Facebook
  • Ahlan Wasahlan Buat Pengunjung Semua

    Adalah diri ini hamba Allah yang sedang bermusafir, tercari-cari akan keredhaanNya yang tidak terhingga nilainya. Moga musafir diri ini menemui jalan kebahagiaan bersama para kekasihNya~

  • Salam Ma'al Hijrah 1435H

    Alhamdulillah, 1 Muharram 1435H telah tiba. Sesungguhnya hijrah itu adalah kesusahan dan kepayahan, meninggalkan segala apa yang kita sayangi, agar mencapai tujuan yang murni iaitu ma'rifatUllah. Buat diri al-faqir serta para pengunjung semua, semoga tahun yang telah tiba ini akan menghijrahkan diri kita ke arah yang lebih baik dari tahun sebelumnya dalam kita mencari keredhaan Allah s.w.t. yang tidak ternilai.

  • Sheikhuna Sidi Yusuf ibn Muhyidden al-Bakhour al-Hasani

    Beliau merupakan seorang ulama' yang berasal dari Lebanon. Beliau merupakan khalifah kepada Sheikhna Sidi 'Abdul Qadir 'Isa al-Halabi Rahimahullah, pengarang kitab Haqaiq 'ani Tasawwuf yang cukup terkenal dalam dunia Tasawwuf. Kemudian, beliau mendapat amanah dari Sheikhna Sidi 'Abdul Qadir 'Isa rahimahullah untuk meneruskan Tariqah Syazuliyyah 'Alawiyyah Darqowiyyah. Beliau sentiasa bermusafir ke Mesir, Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk menyampaikan warisan Baginda s.a.w. dan tersebarlah tarbiah beliau kepada umat Islam.


Showing posts with label As~Sufiy. Show all posts

Alhamdulillahi wassolatu wassalam 'ala Rasulillah wa 'ala Aali wa man walah~

Amma ba'du..

Segala puji ke hadrat Allah s.w.t. yang telah mengurniakan segala ni'mat kepada hambaNya diatas kemurahan dan kemuliaanNya yang amat luas di dunia dan juga di Akhirat. Selawat dan salam keatas junjungan Baginda s.a.w. yang diutuskanNya sebagai pembawa rahmat, keberkatan serta kebenaran yang haqiqi kepada seluruh umat manusia sehingga hari Qiamat. Seterusnya, keatas para ahli bait Baginda s.a.w. yang menjadi penyeri serta pembimbing ummah, begitu juga keatas para sahabat Baginda s.a.w. yang berjuang di atas kebenaran mencari redha Allah s.w.t. dan kekasih mereka, Nabi Muhammad s.a.w..

Alhamdulillah, pada 7 Januari 2012 yang lepas, al-faqir telah berpeluang bersama-sama sahabat al-faqir, Ustaz sidi Anwar Mohammad, ke Kedah untuk menziarahi beberapa orang 'ulama yang penuh barakah. Bertolak dari Markaz Darul Hasani yang terletak Bangi pada jam 4.00 pagi, dengan rahmat Allah s.w.t., kami sampai di Kedah pada jam 9.00 pagi dan berehat sebentar di rumah keluarga Ustaz sidi Anwar Mohammad.

------------------------------------------
Walaupun keadaan masing-masing masih lagi kepenatan kerana berjalan jauh, kami keluar semula untuk memulakan ziarah kami pada jam 9.30 pagi setelah bersarapan di rumah. Destinasi pertama kami adalah, Pak Su Mid yang tinggal di Bukit Tembaga, seorang yang 'alim dalam ilmu alat(nahwu, sorof, balaghah dan sebagainya), dan juga sentiasa berhujah menggunakan al-Quran secara hikmah.

alfaqir bersama al-'Arif Billah Haji Abdul Hamid(lebih
dikenali dengan nama Pak Su Mid Bukit Tembaga)

Kebiasaannya pada setiap waktu, ramai tetamu yang akan menziarahi beliau. Akan tetapi, dengan rahmat Allah s.w.t., apabila kami sampai di rumah beliau sekitar jam 10.00 pagi, keadaan di rumah beliau lengang tanpa tetamu, dan pintu rumahnya telah pun siap terbuka. Kami amat bergembira di atas kemurahan Allah s.w.t. untuk menziarahi beliau, dan setelah itu kami meluangkan masa sehingga Zohor bersama beliau. Banyak permata yang beliau berikan kepada kami, termasuklah petikan daripada syarah kitab-kitab, makalah nasihat yang beliau tuliskan, dan juga beberapa amalan yang penuh keberkatan termasuklah wazifah zaruqiyyah.

Setelah masuk waktu zohor, kami pun bergerak meninggalkan beliau yang kebetulan pada waktu itu, beberapa orang mulai muncul untuk bertemu dengan Pak Su Mid.

------------------------------------------
Destinasi kedua pula, dari rumah Pak Su Mid, kami bergerak ke Kuala Nerang yang terletak lebih kurang satu jam daripada Bukit Tembaga. Walaupun masih terasa penat, kami tetap memperkuatkan diri kerana mahu memanfaatkan masa yang dikurniakan Allah s.w.t. sepanjang kami berada di negeri yang penuh barakah ini. Lebih kurang jam 2.30 petang, setelah menjamu selera di warung tepi jalan, kami pun sampai di Kuala Nerang dan terus menuju ke rumah Pak Teh Mad.

alfaqir bersama Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Muhammad Nor

Alhamdulillah, ketika itu beliau hanya berehat di rumah dan tiada tetamu yang datang menziarahi beliau, menjadikan kami dapat memanfaatkan masa keemasan kami bersama beliau. Demi tidak mahu memanjangkan masa, kerana tidak mahu mengganggu beliau berehat, kami mengambil peluang untuk berta'arruf serba sedikit. Setelah itu, kami membacakan kitab Soheh Bukhari dan juga Syamail Muhammadiyyah kepada beliau dan beliau memberikan ijazah kepada kami kedua-dua kitan tersebut, dan juga ijazah 'ammah mutlaqan kepada kami. Sebelum kami pulang, beliau mengijazahkan lagi kepada kami ijazah talqin, dan doa memelihara mata. Akhirnya, jam pun telah menunjukkan 3.45 petang. Setelah kami menyusun langkah untuk pulang, barulah pada waktu itu datang beberapa orang tetamu yang menggantikan kami untuk menziarahi Pak Teh Mat.

------------------------------------------
Alhamdulillah, kami masih diberikan tenaga oleh Allah s.w.t. untuk menyempurnakan ziarah kami ini. Kami pun bergerak menuju ke Alor Setar, untuk menyempurnakan ziarah ketiga pada hari tersebut, dengan menziarahi Tuan Guru Haji 'Abdul Hamid bin Haji 'Abdul Rahman al-Jaarumi, seorang bekas imam dan pernah mengaji dengan pelbagai 'ulama di Makkah antaranya Sheikh Hassan Masyat dan pelbagai lagi. Seperti kedua-dua ziarah sebelum itu, kami berpeluang untuk meluangkan masa keemasan bersama Tuan Guru Haji 'Abdul Hamid bin Haji 'Abdul Rahman kerana ketika itu tiada orang yang datang menziarahi beliau dan beliau juga tidak sibuk. 

Kami pun mengambil kesempatan tersebut untuk membacakan kitab Soheh Bukhari dan Syamail Muhammadiyyah di hadapan beliau dan mendapatkan ijazah daripada beliau. Setelah itu, beliau juga mengijazahkan kami ijazah 'ammah mutlaqan kepada kami berdua yang bersambung kepada guru-guru beliau yang penuh barakah. Apabila masuk waktu 'Asar, kami pun beransur dari situ dan menuju ke Gurun pula untuk ziarah yang terakhir, iaitu menziarahi Sheikh Hassan Bangkok.

------------------------------------------
Dari Alor Setar, kami bergerak ke Gurun dan tiba di Gurun sekitar jam 6.00 petang. Kami singgah di Masjid Gurun untuk solat dan berehat sementara di sana sebelum menyusun langkah untuk menyempurnakan ziarah yang terakhir untuk hari tersebut. Setelah berehat, kami pun bergerak menuju ke rumah Sheikh Hassan Bangkok, seorang 'ulama yang berasal dari Siam kemudiannya belajar di sebuah pondok di Kedah selama 20 tahun lebih dan pernah menjadi qadhi di Bangkok. Beliau juga bertariqat Syazuliyyah, yang telah beliau ambil di Bangkok daripada gurunya yang berketurunan 'arab, iaitu Sheikh Khalid al-Baaqi asy-Syazuliy rahimahUllahu ta'ala.

afaqir bersama Sheikh Hassan Bangkok, sudah berumur 138 tahun,
berasal dari Bangkok, dan bertariqat Syazuliyyah.

Alangkah terkejutnya kami apabila beliau memberitahu kami bahawa umur beliau telah mencapai 138 tahun, kerana kami melihat beliau masih lagi segar dan sihat. Tetapi itulah ni'mat yang Allah s.w.t. berikan kepada hambaNya yang terpilih, sebagaimana sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud, "Sebaik-baik manusia ialah berumur panjang dan mempunyai banyak 'amalan". Kami hanya berada di rumah beliau sekejap sahaja memandankan hari sudah suntuk, dan sebelum pulang kami memohon kepada beliau untuk mendoakan kami. Dan tidak lupa juga, kami turut dihidangkan segelas milo panas yang menyegarkan dan juga corn in cup buatan anak beliau untuk santapan ringan kami sebelum pulang.

------------------------------------------
Ziarah kami pada 7hb Januari pun berakhir dengan setiap seorang 'exausted' akibat tidak cukup rehat. Walaupun hanya dapat menziarahi keempat-empat permata umat Islam dengan masa yang suntuk, ianya cukup bermakna dan insyaAllah alfaqir akan kembali untuk meluangkan masa yang bermakna bersama mereka lagi. Kami akhirnya sampai di rumah untuk berehat pada jam 9.00 malam dan perlu menge'charge' kembali tenaga untuk melengkapkan ziarah yang penuh keberkatan ini pada esok hari.

------------------------------------------
Alhamdulillah, pada keesokan harinya iaitu 8hb Januari 2012, kami mempunyai 2 destinasi lagi untuk dituju, iaitu Tuan Guru Haji Salleh Sik, dan juga Tuan Guru Sheikh Toyyib al-Makki.

Perjalanan kami pada keesokan hari bermula jam 8.00 pagi. Kami bercadang untuk menziarahi Tuan Guru Haji Salleh pula yang tinggal di Sik dan mempunyai pondok yang cukup mahsyur di Kedah bahkan di Malaysia. Kami ingin sekali untuk sampai di pondok beliau itu pada awal waktu kerana pada pagi itu merupakan kuliah umum beliau. Akan tetapi, telah ditakdirkan Allah s.w.t., kami mendapat telefon daripada sahabat pondok tersebut yang akan membawa kami bertemu beliau, bahawa kuliah beliau habis awal daripada kebiasaan.

Setelah sampai di Pondok Sik pada sekitar jam 9.30 pagi, kami disambut oleh sahabat tersebut dan terus menuju ke rumah Sheikh Salleh Sik, dengan ketentuan Allah pada masa itu beliau sedang duduk membelek kitab di meja yang terletak di ruang tetamu rumahnya dan tiada tetamu datang menziarahi beliau. Hati alfaqir amat bergembira dapat bertemu dengan 'ulama yang sentiasa disebut-sebut oleh mereka yang mengenalinya. Apatah lagi, Sheikhna Sidi Yusuf al-Bakhour al-Hasani juga telah beberapa kali dijemput untuk menyampaikan tausiyah di pondok beliau pada beberapa tahun lepas. Hal ini menjadikan hati alfaqir bertambah gembira.

Sheikh Salleh Sik, merupakan salah seorang murid kepada
Sheikh Yassin al-Fadani rahimahullah. Seorang yang 'alim dalam perbahasan
ilmu Islam dan disegani oleh pelbagai 'ulama dari dalam serta luar negara.


Kami dihidangkan teh dan kuih muih oleh murid beliau, dan sambil menghirup air teh yang menyenangkan itu, kami mengambil peluang untuk membacakan kitab soheh Bukhari dan kitab Syamail Muhammadiyyah di hadapan beliau dan beliau memberikan ijazah kepada kami berdua. Setelah itu, kami juga diijazahkan dengan ijazah 'ammah mutlaqan yang mana dikatakan oleh sahabat-sahabat kami sebelum ini, beliau seorang yang sulit dan syadid dalam memberikan ijazah 'ammah mutlaqan, ijazah tersebut menjadikan kami cukup bergembira sekali. Alhamdulillah, semuanya atas rahmat Allah s.w.t. yang Maha Lembut keatas hambaNya.

Kami juga meminta nasihat serta doa daripada beliau, dan akhirnya pertemuan kami bersama beliau berakhir apabila terdapat beberapa tetamu yang hadir yang perlu beliau layani.

------------------------------------------
Jam menunjukkan pukul 10.45 pagi. Dari Pondok Sik, bersama dua orang sahabat dari pondok tersebut, kami bergerak pula ke destinasi terakhir, iaitu Baling, yang terletak kira-kira setengah jam daripada pondok, untuk menziarahi Sheikh Toyyib al-Makki yang menetap di Makkah dan sentiasa musafir ke Malaysia setiap tahun.

Sheikh Hassan Toyyib al-Makki, seorang 'ulama yang zuhud lagi  tawadho'.
Beliau berumur 90 tahun dan masih segar serta kuat ingatan.

Sheikh Toyyib al-Makki merupakan antara orang Melayu yang duduk paling lama di Makkah, bahkan beliau juga telah diberikan kerakyatan sebagai penduduk Makkah. Antara guru beliau, termasuk Sheikh Hassan Masyat, Sheikh Yasin al-Fadani, dan ramai lagi masyayikh yang beliau mengambil istifadah bahkan beliau antara pengiring jenazah para masyayikh ketika kebanyakkan penuntut Melayu sudah pulang ke Tanah Melayu.

Apabila kami sampai di rumah beliau yang terletak jauh di dalam kebun getah, kami terpegun melihat beliau sedang membersihkan halaman rumah beliau seorang diri. Apabila beliau melihat kami datang, beliau pun berdiri dengan wajah yang ceria dan menjemput kami masuk ke rumah beliau.

Keadaan di situ amat tenang, kami menjamu beliau dengan roti canai yang dibungkus dari kedai di tepi jalan, kerana beliau hanya memakan makanan yang berunsur gandum, dan tidak makan nasi. Setelah sesi ta'aruf bersama beliau sambil menghirup secawan teh, kami meminta izin daripada beliau untuk diijazahkan Hadith Musalsal Bi Awwaliyyah dan juga membacakan kitab Soheh Bukhari kepadanya untuk mendapatkan ijazah. 

Beliau merupakan orang yang dhobit. Maka setelah kami membacakan hadith musalsal tersebut, beliau menghuraikannya dengan panjang lebar untuk kefahaman kami dari sudut ilmiyyah dan juga zauqiyyah. Setelah itu, kami membacakan pula kitab Soheh Bukhari pada hadith pertama dan kedua, dan beliau mengsyarahkan hadith kedua itu hampir satu jam. Kata beliau, "Kita ambil ijazah, bukan hanya untuk ijazah. Tetapi perlu juga kefahaman yang difahami melalui ijazah yang kita ambil itu. Jangan kita menyandarkan sesuatu kepada sheikh, tetapi kefahaman yang dibawa bersalahan dengan apa yang dibawa oleh sheikh itu".

Nasihat beliau itu amatlah bernas bagi kami semua sebagai panduan. Hal itu juga menunjukkan beliau mengambil berat tentang ilmu dan kefahaman, tidak hanya pada menyampaikan ijazah. Antara nasihat beliau lagi, termasuklah di dalam hal politik yang berlaku di dalam negara kita ini. Beliau berkata kepada kami bahawa pentingnya umat Islam baik dari UMNO ataupun PAS bersatu, dengan wajah yang serius, beliau berkata, "Kalau dua-dua parti ini tidak bersatu, nanti lihatlah kedua-duanya akan binasa. Tapi, semua ini adalah sebab permainan musuh Islam yang nak lihat umat Islam berpecah". Beliau juga menyatakan kekecewaan beliau, "Sepatutnya ijtima' baru-baru ni(Ijtima' 'Ulama Turath), dijadikan tempat untuk menyatukan antara dua parti itu, bukan ijtima' itu hanya untuk PAS". Banyak lagi keluhan dan pendapat yang beliau lontarkan sepanjang perbualan kami.

Setelah kami berbual panjang dengan beliau, dan waktu pun menunjukkan hampir 3.00 petang, kami pun meminta ijazah 'ammah mutalaqan daripada beliau dengan sanad yang bersambung kepada syuyukh beliau yang penuh barakah agar kami juga dapat merasai cebisan barakah yang di salurkan melalui sanad mereka itu.

Kami pun menyusun langkah keluar, dan beliau tetap sahaja menggagahkan diri beliau untuk menemani kami sehingga ke kenderaan kami. Begitulah adab seorang 'ulama yang tawadhu' yang meraikan tetamu walau siapa sahaja tetamu yang datang bertandang.

Akhirnya pada jam 3.15 petang, kami pun bertolak meninggalkan Sheikh Toyyib al-Makki. Pun begitu rasa masa ini sekejap sahaja berjalan kerana seronok dapat bersama dengan Sheikh  Toyyib dan mendengar kisah dan nasihat daripada beliau.

------------------------------------------
Setelah mengantar sahabat kami dari Pondok Sik dan selesai berehat untuk memulihkan tenaga, kami pun bergerak menuju tempat riadhah untuk menghilangkan rasa keletihan dan menyegarkan badan. Selepas itu, kami pun pulang ke rumah untuk berehat, dan kami bertolak pulang ke Markaz Darul Hasani pada jam 7.00 pagi pada keesokan harinya.


Semoga Ziarah kali ini mendatangkan keberkatan kepada alfaqir
dan sahabat alfaqir di dalam mencari keredhaan Allah s.w.t. di dunia
dan di Akhirat. Ameen~


Sekian..
alfaqir ila Rabbihi al-Latif,
Tengku Ahmad Saufie.







بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على سيدنا رسول الله وعلى آله ومن واله

Pada sekitar tahun 610 Hijrah di Iskandariyah, iaitu, sezaman dengan al-Imam al-‘Arif bIllah al-Qutub Sayyidi asy-Sheikh Abu al-‘Abbas al-Mursiy qaddasAllahu sirrahu, terdapat seorang penggali kubur yang telah lama bekerja dalam bidang itu. Akan tetapi, gaji yang didapati dari pekerjaannya itu tidak pernah mencukupi untuk perbelanjaan sehariannya memandangkan dia hanya mendapat upah hanya ketika terdapatnya kematian. Adalah satu kebiasaan bagi sifat seseorang manusia, apabila sudah terdesak, maka seseorang itu akan bertindak di luar batasan termasuklah batasan yang telah ditetapkan oleh Agama di atas dasar “survival hidup”.

Dek kerana keterdesakannya itu dia akhirnya memikirkan satu cara yang mudah untuk mendapatkan wang tambahan bagi menampung kehidupannya itu. Maka, pada setiap malam, dia akan ke kawasan perkuburan dan menggali semula perkuburan disitu satu per satu dan mengambil kain kafan yang tertanam untuk dibasuh sebelum dijual di pasar pada siang hari. Akhirnya, kehidupannya bertambah senang dan aktivitinya tersebut berjalan selama bertahun tahun.

Setelah sekian lama penggali kubur itu menjalankan kegiatannya itu, Allah s.w.t. membuka hatinya untuk menerima hidayah, lalu dia pun bertaubat kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar taubat. Setelah itu, dia tergerak untuk mencari guru untuk memimpin dirinya yang sudah insaf kepada kehidupan yang penuh bermakna yang mempunyai hubungan yang jujur kepada Allah s.w.t. dan Baginda s.a.w..

Oleh kerana di Iskandariyah terkenal dengan majlis tarbiyah dan juga ta’lim milik Sayyidi Sheikh asy-Syuyukh al-Imam Abu al-‘Abbas al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu), dia pun mengambil peluang itu untuk menghadiri majlis tersebut dan menunggu masa yang sesuai untuk bermuzakarah dengan asy-Sheikh Abu al-‘Abbas al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu).

           Setelah selesai majlis tersebut, dia terus datang bertemu dengan al-Imam Abu al-‘Abbas al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu) untuk meminta nasihat dan panduan untuknya yang baru sahaja bertaubat kepada Allah s.w.t.. Maka dia pun memperkenalkan dirinya, “Wahai imam, sesungguhnya aku dahulunya seorang penggali kubur. Oleh kerana kesempitan wang untuk menyara kehidupan, maka aku telah melakukan perkara yang keji dengan menggali semula kubur-kubur yang telah aku tanamkan jenazah di dalamnya untuk diambil kain kafan dan dijual pada siang hari”.

Mendengar cerita dan luahan penggali kubur tersebut, al-Imam Abu al-‘Abbas al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu) tersenyum lalu berkata;
Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan hidayah kepadamu. Maka, ceritakanlah kepadaku apa yang kamu lihat apabila kamu menggali semula kubur-kubur tersebut”.

Jawab penggali kubur yang kehairanan dengan soalan al-Imam Abu al-‘Abbas al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu), seolah-olah al-Imam mengetahui sesuatu sebagaimana yang diketahuinya;
Aku telah bertanggungjawab menguruskan dan mengkuburkan lebih daripada satu ribu jenazah. Tetapi, ada satu perkara yang paling menghairankanku ketika aku menggali semula kubur-kubur tersebut, pada siang hari, aku mengkuburkan mereka dengan wajah mereka menghadap kiblat. Akan tetapi, pada waktu malamnya setelah aku menggali semula kubur tersebut, aku melihat wajah mereka berpaling daripada kiblat melainkan sedikit sahaja daripada mereka”.


Mendengar penerangan daripada penggali kubur tersebut, al-Imam Abu al-‘Abbas al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu) bertanya lagi, “Wahai penggali kubur, adakah engkau tahu kenapakah mereka jadi sedemikian rupa?”.

Berkata penggali kubur itu, “Khabarkanlah kepadaku wahai Imam, kenapakah mereka menjadi sedemikian rupa?”. Jawab al-Imam Abu al-‘Abbas al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu), “Ketahuilah, bahawa mereka menjadi sedemikian itu kerana mereka banyak meragui akan rezeki yang telah Allah s.w.t. tetapkan kepada mereka semua”. Mendengar penerangan daripada al-Imam, wajah penggali kubur itu pucat dan air matanya menitis jatuh ke bumi sambil memohon keampunan Allah.


Sabda Baginda s.a.w.;

إِنَّ أَحَدَكُمْ یُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ یَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ یَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ یَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ یُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ وَیُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ؛ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap seorang daripada kalian dihimpunkan penciptaannya pada perut ibunya empat puluh hari sebagai air mani, kemudian menjadi segumpal darah pada jumlah hari yang sama, kemudian menjadi seketul daging pada jumlah hari yang sama. Setelah itu, Allah s.w.t. mengutuskan kepadanya seorang malaikat yang kemudiannya meniupkan pada segumpal daging itu roh, dan menetapkan empat perkara iaitu;
     1)      Ditetapkan rezekinya.
     2)      Ajalnya.
     3)      Amalannya.
     4)      Dan kesudahannya sebagai seorang celaka atau bahagia.”




Wahai Allah, ampunilah dosa kami atas segala ketidak ketahuan kami dan kekurangan adab kami, dan kelemahan daripada diri kami yang hina ini. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Mengetahui, yang memiliki segala kemuliaan dan kesempurnaan~





Alhamdulillah, setelah kita semua membaca kisah tentang Imam Hatim al-'Ashom qaddasAllahu sirrahu yang amat menakjubkan dan penuh keindahan, walaupun pada asalnya beliau dan keluarganya merupakan dari golongan fakir miskin. Tetapi, apakah nasib keluarga Imam Hatim al-'Ashom yang ditinggalkannya kerana rindu untuk menziarahi Baitullah al-Haram sedangkan keluarganya tidak mempunyai sebarang harta untuk menyara diri mereka ketika ketiadaan Imam Hatim al-'Ashom. Tetapi, itulah sifat keluarga yang memahami jiwa seorang sufi yang amat halus, yang mana apabila datang seruan Ilahi, mereka terus menyahutnya tanpa menghiraukan kesusahan yang akan ditanggung. Mengetahui kerinduan Imam Hatim al-'Ashom terhadap Makkah dan Madinah, walaupun kehidupan mereka penuh kesempitan, mereka tetap teguh dalam percaya kepada ketentuan Allah s.w.t..

Apabila Imam Hatim al-'Ashom meninggalkan mereka, terpaksalah isteri beliau menjadi penjaga rumah, pencari nafkah, dan mendidik anaknya yang kecil itu. Kesusahan yang dialami oleh keluarga Imam Hatim al-'Ashom semakin berganda kerana selama ini mereka bergantung kepada beliau yang bertanggungjawab mencari nafkah. Tetapi, isteri beliau tetap pasrah dan menerima ketentuan Allah s.w.t., dan bersabar dalam ujian yang telah Allah s.w.t. tetapkan untuk menguji keimanan mereka.

Sehari demi sehari, kehidupan mereka yang kesunyian di dalam rumah yang usang itu serta jauh daripada orang ramai menjadikan mereka semakin biasa dan tenang. Sebagaimana nasib Imam Hatim al-'Ashom yang berubah 180 darjah, keluarganya juga bakal mengalami nasib yang sama kerana rahmat Allah s.w.t. yang telah Allah s.w.t. kurniakan kepada mereka.

Pada suatu hari, seorang pembesar bersama pengikutnya telah berburu di sekitar kawasan yang berdekatan dengan rumah keluarga Imam Hatim al-'Ashom. Akan tetapi, setelah lama berburu, dan berjaya mendapatkan hasil yang lumayan, akhirnya pembesar tersebut terasa sangat haus sehingga memaksa para pengikutnya mencari punca air di merata-rata tempat tetapi tidak juga didapati.

Setelah pembesar tadi berjalan dalam keadaan yang amat dahaga, akhirnya mereka terlihat sebuah rumah usang di tengah panas terik, dan terlihat kelibat seorang wanita bersama anak perempuannya yang kecil. Pembesar tadi pun bertanya kepada pengikutnya, “Adakah kalian tahu rumah itu milik siapa?”. Para pengikutnya menjawab, “Ya, itu adalah rumah seorang lelaki yang soleh yang dikenali dengan Hatim al-'Ashom”. Maka, pembesar tadi bersama para pengikutnya datang ke rumah itu dan memberikan salam, “Assalamu’alaikum, aku ada pembesar di negeri ini. Izinkan aku masuk?”. Maka, isteri Imam Hatim al-'Ashom yang sedang menguruskan anaknya itu pun menjawab, “Wa’alaikumussalam, apakah tujuan tuan hamba datang ke rumah hamba?”. Pembesar tadi pn menjawab, “Aku amat kehausan setelah berburu, bolehkan engkau memberikan kepadaku sedikit air untuk menghilangkan kehausanku ini?”.

Setelah itu, isteri Imam Hatim al-'Ashom menjemput pembesar bersama-sama pengikutnya itu untuk masuk ke rumahnya yang usang dan menghidangkan segelas air kepada pembesar tersebut sambil berkata, “Maafkan kami wahai tuan hamba, ini sahaja yang dapat kami hidangkan untuk tuan hamba. Bahkan air ini juga sebenarnya telah terbiar 15 hari”. Dek kerana kehausan yang tersangat, pembesar tadi terpaksa juga meminum air yang dihidangkan oleh isteri Imam Hatim al-'Ashom itu.

Setelah pembesar tersebut selesai minum, dan kehausannya telah hilang, beliau pun berkata, “Demi Allah! Tidak pernah aku minum air yang selazat ini sepanjang hidupku”. Beliau berkata dengan nada yang kuat dan gembira, lalu kerana kegembiraannya itu, beliau membuka tali pinggangnya yang berisi beberapa kantung emas yang banyak dan memberikan kepada isteri Imam Hatim al-'Ashom sambil disaksikan oleh anak perempuannya itu. Kemudian, pembesar tersebut pun berkata kepada para pengikutnya, “Wahai pengikutku, sekiranya kalian mencintaiku, maka buatlah seperti yang aku perbuatkan”. Maka, kesemua pengikutnya tersebut terus memperlakukan sebagaimana yang dilakukan oleh ketua mereka itu, dengan mencabut tali pinggang mereka yang tergantung beberapa kantung emas, bahkan turut memberi hasil pemburuan mereka kepada penghuni rumah yang barakah tersebut.

Setelah pembesar dan pengikutnya itu meninggalkan rumah itu, isteri Imam Hatim al-'Ashom tersenyum lebar dan bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memberikan kepadanya rezeki yang tidak disangka-sangkakan. Tetapi, apabila dia ingin berkongsi kegembiraannya dengan anak perempuannya itu, dia terkejut apabila anak perempuannya itu sedang menangis. Dengan penuh kehairanan dan terkejut, dia terus bertanya kepada anak perempuannya itu, “Wahai anakku, kenapakah engkau menagis disaat kita diberikan rezeki ini? Aku hairan dengan kamu, apabila kehidupan kita susah kamu bergembira, sekarang apabila diberi ni’mat, kamu menangis. Kenapa wahai anakku, engkau ini amat menghairankanku”.


Mendengar keluhan ibunya tersebut, walaupun berusia hanya sembilan tahun, beliau menjawab dengan satu jawapan yang mengandungi ketauhidan yang amat mendalam lagi halus, bahkan jawapan ini hampir membuatkan ibunya itu hilang akal kerana tidak pernah telintas di fikiran ibunya yang jauh lebih tua dan ‘makan garam’, “Wahai ibu, cuba bayangkan dengan sekali pandangan daripada manusia, kehidupan kita bertukar daripada miskin kepada mewah. Cuba ibu bayangkan, bagaimanakah pula dengan pandangan Allah s.w.t. terhadap hambaNya?”.

Begitulah kisah sekeluarga yang tenggelam dalam ma’rifat Allah s.w.t.. Hati mereka begitu lembut, dan amat sentitif dalam kehidupan mereka yang sentiasa bermusyahadahkan Allah s.w.t.. Sememangnya, jiwa seorang sufi yang tenggelam di dalam cinta bersama Allah s.w.t. akan dapat memahami maksud sebenar disebalik setiap kejadian yang berlaku, dan itulah CINTA. Semoga Allah s.w.t. menggolongkan kita semua dalam golongan yang mendapat pandangan rahmat dan redha daripadaNya, dan supaya kita bersama-sama dengan para kekasih yang berantai sehingga kepada Baginda s.a.w. di dunia dan di Akhirat kelak. Ameen~


Allahua’lam bisSowab~

Pada Mukhayyam kali ini, Sheikhna Sidi Yusuf al-Hasani telah meriwayatkan kami satu kisah berkenaan sebuah keluarga yang mempunyai hubungan yang amat mendalam dengan Allah s.w.t.. Kisah ini amat dikenali dalam kalangan golongan sufi, kerana mempunyai makna yang amat indah dalam hubungan seseorang bersama Allah s.w.t.. Keluarga yang dimaksudkan tersebut adalah, keluarga Imam al-‘arif billah Hatim al-'Ashom qaddasaLlahu sirrahu.



Adapun Imam Hatim al-'Ashom merupakan seorang ulama’ ‘arif bIllah yang terkenal akan tetapi mempunyai kehidupan yang penuh kefakiran dan kesusahan, bersama-sama dengan isteri dan anaknya menempuh kehidupan seperti golongan berkeluarga  yang lain.

Pada suatu hari, Imam Hatim al-'Ashom melihat di kampungnya tersebut terdapatnya beberapa orang yang sedang bersiap untuk berangkat untuk menunaikan haji di Makkah. Melihat kepada suasana tersebut, hati beliau menjadi rindu untuk turut pergi untuk menziarahi Makkah, akan tetapi kemiskinan yang dialami beliau menjadikan kerinduan beliau hanya terpendam di dalam hati, tidak dapat ditunaikan. Akan tetapi, akhirnya kerinduan di hati beliau untuk beribadat di masjid yang paling afdhal di atas muka bumi ini, BaitUllah al-Haram, tidak dapat ditahan lagi, lalu beliau pun menyatakan hasrat beliau kepada isteri dan anaknya untuk menunaikan haji juga.

Mendengar sahaja luahan suaminya tersebut, isteri kepada Imam Hatim al-'Ashom pun berkata, “Bagaimana kamu ingin tunaikan haji, sedangkan makan minum kami pun kamu susah untuk sediakan lagi”. Imam Hatim al-'Ashom tersentak mendengar ucapan isterinya tersebut, dan hanya diam kerana beliau tahu itu sememangnya tanggungjawab beliau. Akan tetapi, anak beliau yang kecil itu lantas membalas ucapan ibunya tersebut, “Wahai ibu, apakah selama ini ayah yang memberikan dan menjamin kita rezeki? Sedangkan rezeki itu ditentukan oleh Allah s.w.t.! Biarkan ayah pergi menunaikan keinginannya, sedangkan kita mempunyai Allah untuk menjaga kita berdua.”

Si ibu pun terkejut mendengar kalam anaknya yang kecil itu akan haqiqat ketauhidan yang seolah-olah dia tidak tahu. Maka, isteri kepada Imam Hatim al-'Ashom tersebut pun membenarkan suaminya pergi meninggalkan mereka untuk menunaikan haji.

Imam Hatim al-'Ashom telah pun meninggalkan keluarganya dalam keadaan tidak berharta, bahkan beliau sendiri tidak mempunyai sebarang harta, makanan serta kenderaan untuk menjadi bekalan untuk bermusafir. Akhirnya beliau pun sambil berjalan menunju ke Makkah, tercari-cari kabilah-kabilah yang turut melalui di jalan yang dilaluinya itu untuk mendapatkan pekerjaan sambil bermusafir. Ketika menempuh perjalanan, akhirnya beliau pun bertemu dengan satu kabilah yang kaya-raya, yang turut dalam perjalanan menuju ke Makkah, dan memohon agar dikurniakan pekerjaan kepadanya. Permohonan beliau diterima oleh kabilah tersebut, dan beliau ditugaskan untuk memberikan makanan kepada kuda-kuda yang dibawa oleh kabilah tersebut, dan upahnya, beliau diberi makan serta boleh turut serta kabilah dalam perjalanan ke Makkah.


Rutin beliau sebagai pemberi makan kuda-kuda kabilah itu berjalan hari demi hari. Pada suatu hari, pemimpin kabilah tersebut jatuh sakit dan kabilah tersebut tidak dapat mencari seseorang yang boleh merawat ketua itu kerana penyakit yang amat parah. Akhirnya, mereka mencadangkan Imam Hatim al-'Ashom agar cuba merawat ketua mereka itu kerana mereka telah melihat beliau merupakan seorang yang soleh lagi jujur.

Maka, Imam Hatim al-'Ashom pun cuba merawat ketua mereka itu dengan membaca beberapa potong ayat al-Quran serta zikir-zikir dan doa-doa, agar Allah s.w.t. memberikan kesembuhan kepada ketua mereka tersebut. Akhirnya, dengan rahmat Allah s.w.t., ketua kabilah tersebut sembuh dari sakitnya itu melalui Imam Hatim al-'Ashom. Bertitik daripada peristiwa ini, kehidupan Imam Hatim al-'Ashom pun berubah 180 darjah. Ketua kabilah tersebut yang amat berhutang budi dengan Imam Hatim al-'Ashom, telah mengurniakan pelbagai keistimewaan walaupun beliau merupakan orang luar di dalam kabilah itu. Akan tetapi beliau berkata, “Wahai tuan, aku ini hanyalah menumpang kepada kalian, dan tugasku hanyalah sebagai pemberi makanan kuda tuan”. Ketua kabilah tersebut menjawab, “Tidak mengapa, aku ingin membalas budi kamu yang telah merawatku”. Beliau diberi pakaian yang mahal, makanan yang enak, tempat tinggal yang setaraf dengan ketua kabilah itu, seolah-olah beliau merupakan sebahagian dan ketua bagi kabilah itu.



Begitulah kisah seorang wali Allah yang ma’ruf dan dikenali sebagai Imam Hatim al-'Ashom. Bagi seseorang wali Allah, apabila datang sahaja lambaian seruan Allah s.w.t. di dalam hati mereka yang suci untuk lakukan suatu ibadat, tetap mereka akan tunaikan walau akan menghadapi 1001 kesusahan kerana bagi mereka, diri mereka itu adalah hamba yang hina dan hanya mentaati seruan pemilik diri mereka iaitu Allah s.w.t.. Ketahuilah, di setiap kesusahan itu mempunyai kesenangan. Dan jiwa mereka tidak pernah merasa letih apabila menghadapi kesusahan kerana mereka telah pun menyerahkan jiwa dan diri mereka kepada Allah s.w.t., maka, akhirnya mereka juga yang diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. melalui keikhlasan sifat ubudiyyah mereka itu sebagaimana firman Allah s.w.t.;

ﮚ  ﮛ    ﮜ  ﮝ  ﮞ    ﮟ  ﮠ  ﮡ   ﮢ   ﮣ  ﮤ   ﮥ  ﮧ  ﮨ  ﮩ  ﮪ  ﮫ  ﮬ  ﮮ    ﮯ   ﮰ  ﮱ  ﯔ  ﯕ  ﯖ  ﯗ  ﯘ  ﯙ  ﯚ 

Maksudnya: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.[1]



Insyaallah, kisah isteri dan anak Imam Hatim al-'Ashom akan bersambung akan datang.





[1] Surah at-Thollaq, 2-3.

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين وأفضل الصلاة وأتم التسليم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

سيدي ابن عطاء الله السكندري رضي الله عنه



Sejarah beliau:

Beliau(semoga Allah menyucikan rohnya) bernama Taj ad-Deen Abu al-Fadhl, Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Abdul Kareem ibn ‘Abdul ar-Rahman ibn ‘Abdullah ibn Ahmad ibn ‘Isa ibn al-Husain ibn ‘Atoillah  al-Juzaami. Beliau disandarkan kepada al-Maaliki sebagai mazhab beliau, al-Iskandari kepada perkampungan beliau, al-Qarafi dimana beliau pernah ziarah dan berkhalwah, al-Sufiy yang haqiqah, dan asy-Syaziliy kepada tariqah beliau. Beliau amat dikagumi pada zaman beliau, permata pada zamannya, amat dikagumi dengan penguasaan beliau terhadap ilmu Tafsir, Hadith, Fiqh, Tasawwuf, Nahu, Usul dan sebagainya. Beliau juga dijoloki sebagai Qutub kepada para ‘arifin, penyuluh orang yang waasil serta pembimbing orang yang saalik, semoga Allah meredhai beliau dan beliau meredhaiNya.

Beliau amat terkenal sebagai seorang lelaki yang soleh dan juga ‘alim, sekiranya beliau menyampaikan pengajian akan dihadiri oleh ramai manusia dan setiap kalam beliau akan memberi kesan kepada hati para pendengar. Beliau juga diakui sebagai seorang yang mempunyai kefahaman yang sempurna serta zauq akan setiap kalam para ahli Haqaiq, ahli Sufiy dan atsar-atsar Salaf(semoga Allah menyucikan roh mereka), seorang yang pandai mengibaratkan hal yang berkaitan rohani dengan ibarat yang amat tajam lagi memberi kesan kepada hati, mempunyai kelebihan-kelebihan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. serta kesemua manusia mengambil manfaat daripada setiap isyaratnya. Beliau merupakan murid kepada as-Sheikh al-Imam Sidi Yaaqut al-‘Arasy(semoga Allah menyucikan rohnya), yang mana sebelum itu beliau merupakan murid kepada as-Sheikh Abi al-‘Abbas al-Mursiy (semoga Allah menyucikan rohnya), dan gurunya tersebut telahpun menyaksikan akan kelebihannya.



Perjalanan beliau di dalam Tariq ahlIllah

Adalah beliau(semoga Allah menyucikan rohnya) pada awalnya merupakan seorang yang mengingkari golongan Tasawwuf sehinggakan beliau pernah berkata, “Barangsiapa yang berkata bahawa disana(golongan sufi) adalah mengetahui selain apa yang diketahui oleh kami, maka sesungguhnya dia telah membohongi Allah s.w.t.”. Akan tetapi setelah memasuki perjalanan sebagai seorang saalik di tangan ahli Sufiyyah dan mengetahui kedudukan mereka, beliau pun berkata, “Adalah aku mentertawakan diriku kerana menyebut kalam ini(sebelum bersuhbah dengan golongan Sufiy)”.

Beliau(semoga Allah meredhainya) berkata di dalam kitabnya -لطائف المنن-;
جرت بيني وبين أحد أصحاب سيدي أبو العباس المرسي رضي الله عنه قبل صحبتي له وقلت لذلك الرجل: ليس إلا أهل العلم الظاهر وهؤلاء القوم يدّعون أموراً عظيمة وظاهر الشرع يأباها، قال رحمه الله وسبب اجتماعي به أن قلت في نفسي بعد أن جرت تلك الخصومة: دعني أذهب أنظر إلى هذا الرجل فصاحب الحق له أمارات. قال فأتيته فوجدته يتكلم في الأنفاس التي أمر الشارع بها فأذهب الله ما كان عندي
“Aku telah melalui di hadapan salah seorang daripada ashab Sidi Abu al-‘Abbas al-Mursiy(semoga Allah menyucikan rohnya) sebelum aku bersuhbah dengan beliau, dan aku berkata kepada lelaki itu, “Tidaklah(kebenaran itu) melainkan ahli ilmu zahir, dan mereka itu(golongan sufiy) adalah kaum yang mendakwa perkara-perkara yang agung tetapi zahir syara’ menolak mereka”. Dan beliau kata lagi, “Adalah sebab aku datang berhimpun kepadanya apabila aku berkata kepada diriku setelah berlalunya pertikaian tersebut, “Biarkan aku pergi dan melihat lelaki itu””. Ketika itu Allah s.w.t. mendatangkan kepadanya akan tanda-tanda(kebenaran). Beliau berkata, “Maka, aku pun datang kepadanya, dan aku mendapati beliau menyampaikan pengajian yang berkaitan dengan jiwa serta nafsu yang mana sememangnya diperintahkan oleh Syara’ tentangnya, maka hilanglah semua pertikaianku yang aku pernah pertikaikan”.

Setelah itu, beliau pun menjadi salah seorang daripada ashab Sidi Abi al-‘Abbas(semoga Allah menyucikan rohnya) dan bersahabat dengannya selama dua belas tahun sehingga terbitlah cahaya nurani di dalam hatinya, yang menjadikannya jiwanya sebagai jiwa orang-orang yang muqarrabin.

Guru beliau, al-‘Arif bIllah Sidi Abu al-‘Abbas al-Mursiy(semoga Allah menyucikan rohnya) pernah berkata kepadanya;
الزم, فوالله لئن لزمت لتكونن مفتياً في المذهبين - يريد مذهب أهل الشريعة ومذهب أهل الحقيقة – ثم قال والله لا يموت هذا الشاب حتى يكون داعياً إلى الله وموصلاً إلى الله والله ليكونن لك شأن عظيم والله ليكونن لك شأن عظيم والله ليكونن لك كذا وكذا فكان كما أخبر
Berpegang teguhlah kamu, demi Allah sekiranya kamu berpegang teguh, nescaya kamu akan menjadi mufti bagi dua mazhab, -iaitu mazhab ahli asy-Syari’ah(zahir), dan mazhab ahli Haqiqah(batin)-”. Kemudian beliau berkata lagi, “Demi Allah, tidak akan mati lelaki ini sehingga menjadi seorang pendakwah di jalan Allah yang wusul kepada Allah. Demi Allah, Allah akan mengurniakan kamu kedudukan yang agung, Demi Allah, Allah akan mengurniakan kamu kedudukan yang agung, Demi Allah, Allah akan mengurniakan kamu itu dan itu(merujuk banyaknya doa guru beliau kepadanya)”. Maka, beliau pun menjadi sebagaimana yang telah didoakan oleh gurunya itu, sebagaimana yang dikenali hingga zaman sekarang.



Karamah beliau

Diantara karamah beliau(semoga Allah menyucikan rohnya), pada suatu hari, seorang lelaki daripada anak murid beliau menunaikan haji. Akan tetapi, dia melihat gurunya tersebut sedang menunaikan tawaf, setelah itu di belakang maqam Ibrahim, ketika di Sa’ie, dan juga di ‘Arafah. Setelah dia pulang daripad haji, dia pun bertanya kepada sahabatnya tentang gurunya(semoga Allah menyucikan rohnya), “Adakah asy-Sheikh keluar daripada negeri ini untuk menunaikan haji?”. Maka jawab mereka, “Tidak!”. Maka guru mereka tersebut pun memberi salam dan masuk ke tempat mereka, lalu beliau pun bertanya kepada anak muridnya itu, “Siapakah yang kamu lihat ketika menunaikan haji, dan ketika musafir, daripada lelaki-lelaki yang ada disini?”. Maka anak muridnya berkata, “Aku melihat akan seorang lelaki, wahai guruku. Aku melihat kamu”. Beliau pun tersenyum.

Diantara karamahnya lagi, asy-Sheikh al-Kamaal ibn al-Himaam(semoga Allah meredhainya), seorang faqih serta muhaddith, telah menziarahi maqamnya, dan kemudian membaca disisi maqamnya itu surah Hud sehingga sampai kepada firmanNya, “فمنهم شقي وسعيد -Maka dari golongan mereka, ada yang celaka dan ada yang bahagia-”, sheikh tersebut mendengar beliau menjawab dari maqamnya dengan suara yang kuat dengan jawapan, “Wahai Kamaal! Tiada dari golongan kami yang celaka”. Setelah itu, sheikh tersebut pun mewasiatkan agar dirinya juga dimaqamkan berdekatan dengan maqam beliau(semoga Allah menyucikan rohnya).



Karya-Karya beliau

Beliau memiliki karya-karya ilmiyah yang banyak. Karyanya yang paling dikenali oleh segenap umat Islam, yang mana amat digemari oleh golongan Sufiyyah sebagai santapan rohani mereka, dan juga digemari oleh pihak yang memusuhi golongan Sufiyyah, iaitu kitabnya yang dikenali sebagai al-Hikam al-‘Atoiyyah, yang mana amat digemari oleh kebanyakkan ‘ulama untuk mentafsir serta mensyarahkan hikam-hikam tersebut yang mengandungi ‘ibarat yang amat mendalam dan makna yang amat baik serta luas, dan hikam tersebut bertujuan untuk mencerahkan lagi kefahaman perjalanan golongan ‘arifin serta muwahhideen, serta menjelaskan manhaj-manhaj golongan saalikeen. Kerana kehebatan kitab tersebut, mereka mengatakan;
لو كان لنا معاشر المسلمين أن نصلي بغير القرآن لصلينا بحكم ابن عطاء الله
 “Sekiranya dibenarkan kepada kita semua bahawa boleh membaca di dalam solat selain dari al-Quran, maka nescaya kami akan membaca hikam Sidi Ibn ‘Atoillah(di dalam solat kami)”.

Diantara karya beliau(semoga Allah menyucikan rohnya) lagi;
1)      التوفيق في آداب الطريق
2)      شرح بها قصيدة الغوث أبو مدين (ما لذة العيش إلا صحبة الفقرا)
3)      أصول مقدمات الوصول
4)      تاج العروس الحاوي لتهذيب النفوس
5)      التنوير في إسقاط التدبير
6)      القصد المجرد في معرفة الاسم المفرد
7)      الطريق الجادة في نيل السعادة



Pujian ‘Ulama terhadap beliau

Telah berkata as-Sheikh al-Imam Sidi Zarruq (semoga Allah menyucikan rohnya) tentang beliau;
كان جامعاً لأنواع العلوم من تفسير وحديث وفقه ونحو وأصول وغير ذلك كان رحمه الله متكلماً على طريق أهل التصوف واعظا انتفع به خلق كثير وسلكوا طريقه
Adalah beliau merupakan seorang yang menguasai pelbagai cabang ilmu seperti tafsir, hadith, fiqh, nahu, usul, dan sebagainya. Dan beliau juga (semoga Allah merahmatinya) berbicara tentang perjalanan ahli Tasawwuf dengan teguran yang dimanfaatkan oleh setiap manusia dan juga mereka yang saalik di dalam tariqah”.

Telah berkata as-Sheikh Ibn Hajar di dalam -الدرر الكامنة-;
صحب الشيخ أبا العباس المرسي، صاحب الشاذلي، وصنف مناقبه ومناقب شيخه، وكان المتكلم على لسان الصوفية في زمانه
Beliau telah bersahabat dengan as-Sheikh Sidi Aba al-‘Abbas al-Mursiy, murid kepada Imam asy-Syaziliy, telah menyusun manaqib beliau serta manaqib sheikhnya. Dan adalah beliau bercakap di atas lisan golongan Sufiy pada zamannya”.

Telah berkata asy-Sheikh az-Zahabiy;
كانت له جلالة عظيمة، ومشاركة في الفضائل، وكان يتكلم - بالجامع الأزهر فوق كرسي - بكلام يروّح النفوس
“Adalah beliau mempunyai sifat yang tegas dan agung, berkongsi setiap kelebihan, dan adalah beliau juga menyampaikan pengajian di Jami’ al-Azhar di atas kerusi(tanda kemuliaan beliau yang dimuliakan) dengan kalam-kalam yang menghidupkan jiwa”.

Telah berkata asy-Sheikh Ibn al-Ahdal;
الشيخ العارف بالله، شيخ الطريقين، كان فقيهاً عالماً ينكر على الصوفية، فصحب شيخ الشيوخ المرسي، وفُتح عليه على يديه، وله عدة تصانيف منها الحكم وكله مشتملة على أسرار ومعارف، وحكم ولطائف، نثراً ونظماً. ومن طالع كتبه عرف فضله.
Asy-Sheikh al-‘Arif bIllah, guru kepada segala tariqat, merupakan seorang yang faqih dan ‘alim yang pada awalnya mengingkari golongan Sufiyyah, kemudian bersuhbah dengan guru kepada para guru iaitu al-Mursiy(semoga Allah menyucikan rohnya), yang kemudiannya membukakan futuh kepadanya melalui tarbiyahnya, dan beliau mempunyai sejumlah karya antaranya al-Hikam yang mana kesemua isinya bersentuh tentang asrar serta ma’arif, serta hikam-hikam dan juga lathoif, yang terdiri daripada susunan kata-kata biasa mahupun berbentuk sajak, yang mana merupakan kitab yang paling mahsyur serta diketahui kelebihannya”.



Kewafatan beliau

Beliau wafat ketika usianya baru pertengahan, di Madrasah al-Mansuriyyah yang terletak di Qaherah, Mesir, pada tahun 709 Hijriyah. Beliau dimaqamkan di perkuburan al-Muqatthom di tepi bukit dimana terletaknya zawiyah yang beliau sentiasa beribadat di sana. Maqamnya sentiasa diziarahi umat Islam baik dari penduduk Mesir, mahupun umat Islam dari seluruh pelusuk dunia untuk bertawassul dengannya.



Allahua’lam bis Sowab~

Diterjemahkan oleh al-Faqir ilAllahi al-Latif,
Tengku Ahmad Saufie.