بسم
الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على سيدنا رسول الله وعلى آله
ومن واله
Pada sekitar tahun 610 Hijrah di Iskandariyah, iaitu, sezaman dengan al-Imam
al-‘Arif bIllah al-Qutub Sayyidi asy-Sheikh Abu al-‘Abbas al-Mursiy
qaddasAllahu sirrahu, terdapat seorang penggali kubur yang telah lama bekerja
dalam bidang itu. Akan tetapi, gaji yang didapati dari pekerjaannya itu tidak
pernah mencukupi untuk perbelanjaan sehariannya memandangkan dia hanya mendapat
upah hanya ketika terdapatnya kematian. Adalah satu kebiasaan bagi sifat seseorang
manusia, apabila sudah terdesak, maka seseorang itu akan bertindak di luar
batasan termasuklah batasan yang telah ditetapkan oleh Agama di atas dasar “survival
hidup”.
Dek kerana keterdesakannya itu dia akhirnya memikirkan satu cara yang
mudah untuk mendapatkan wang tambahan bagi menampung kehidupannya itu. Maka,
pada setiap malam, dia akan ke kawasan perkuburan dan menggali semula
perkuburan disitu satu per satu dan mengambil kain kafan yang tertanam untuk
dibasuh sebelum dijual di pasar pada siang hari. Akhirnya, kehidupannya
bertambah senang dan aktivitinya tersebut berjalan selama bertahun tahun.
Setelah sekian lama penggali kubur itu menjalankan kegiatannya itu, Allah
s.w.t. membuka hatinya untuk menerima hidayah, lalu dia pun bertaubat kepada
Allah s.w.t. dengan sebenar-benar taubat. Setelah itu, dia tergerak untuk
mencari guru untuk memimpin dirinya yang sudah insaf kepada kehidupan yang
penuh bermakna yang mempunyai hubungan yang jujur kepada Allah s.w.t. dan
Baginda s.a.w..
Oleh kerana di Iskandariyah terkenal dengan majlis tarbiyah dan juga ta’lim
milik Sayyidi Sheikh asy-Syuyukh al-Imam Abu al-‘Abbas al-Mursiy(qaddasAllahu
sirrahu), dia pun mengambil peluang itu untuk menghadiri majlis tersebut dan
menunggu masa yang sesuai untuk bermuzakarah dengan asy-Sheikh Abu al-‘Abbas
al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu).
Setelah selesai majlis tersebut,
dia terus datang bertemu dengan al-Imam Abu al-‘Abbas al-Mursiy(qaddasAllahu
sirrahu) untuk meminta nasihat dan panduan untuknya yang baru sahaja bertaubat
kepada Allah s.w.t.. Maka dia pun memperkenalkan dirinya, “Wahai imam,
sesungguhnya aku dahulunya seorang penggali kubur. Oleh kerana kesempitan wang
untuk menyara kehidupan, maka aku telah melakukan perkara yang keji dengan
menggali semula kubur-kubur yang telah aku tanamkan jenazah di dalamnya untuk diambil
kain kafan dan dijual pada siang hari”.
Mendengar cerita dan luahan penggali kubur tersebut, al-Imam Abu al-‘Abbas
al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu) tersenyum lalu berkata;
“Segala
puji bagi Allah yang telah mengurniakan hidayah kepadamu. Maka, ceritakanlah
kepadaku apa yang kamu lihat apabila kamu menggali semula kubur-kubur tersebut”.
Jawab penggali kubur yang kehairanan dengan soalan al-Imam Abu al-‘Abbas
al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu), seolah-olah al-Imam mengetahui sesuatu
sebagaimana yang diketahuinya;
“Aku
telah bertanggungjawab menguruskan dan mengkuburkan lebih daripada satu ribu
jenazah. Tetapi, ada satu perkara yang paling menghairankanku ketika aku
menggali semula kubur-kubur tersebut, pada siang hari, aku mengkuburkan mereka
dengan wajah mereka menghadap kiblat. Akan tetapi, pada waktu malamnya setelah
aku menggali semula kubur tersebut, aku melihat wajah mereka berpaling daripada
kiblat melainkan sedikit sahaja daripada mereka”.
Mendengar penerangan daripada penggali kubur tersebut, al-Imam Abu al-‘Abbas
al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu) bertanya lagi, “Wahai penggali kubur, adakah
engkau tahu kenapakah mereka jadi sedemikian rupa?”.
Berkata penggali kubur itu, “Khabarkanlah kepadaku wahai Imam,
kenapakah mereka menjadi sedemikian rupa?”. Jawab al-Imam Abu al-‘Abbas
al-Mursiy(qaddasAllahu sirrahu), “Ketahuilah, bahawa mereka menjadi
sedemikian itu kerana mereka banyak meragui akan rezeki yang telah Allah s.w.t.
tetapkan kepada mereka semua”. Mendengar penerangan daripada al-Imam, wajah
penggali kubur itu pucat dan air matanya menitis jatuh ke bumi sambil memohon
keampunan Allah.
Sabda
Baginda s.a.w.;
إِنَّ أَحَدَكُمْ یُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ یَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ یَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ یَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ یُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ وَیُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ؛ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya
setiap seorang daripada kalian dihimpunkan penciptaannya pada perut ibunya
empat puluh hari sebagai air mani, kemudian menjadi segumpal darah pada jumlah
hari yang sama, kemudian menjadi seketul daging pada jumlah hari yang sama. Setelah
itu, Allah s.w.t. mengutuskan kepadanya seorang malaikat yang kemudiannya
meniupkan pada segumpal daging itu roh, dan menetapkan empat perkara iaitu;
1)
Ditetapkan rezekinya.
2)
Ajalnya.
3)
Amalannya.
4)
Dan kesudahannya sebagai
seorang celaka atau bahagia.”
Wahai
Allah, ampunilah dosa kami atas segala ketidak ketahuan kami dan kekurangan
adab kami, dan kelemahan daripada diri kami yang hina ini. Sesungguhnya hanya
Engkau yang Maha Mengetahui, yang memiliki segala kemuliaan dan kesempurnaan~
Post a Comment