Alhamdulillah,
setelah kita semua membaca kisah tentang Imam Hatim al-'Ashom qaddasAllahu sirrahu
yang amat menakjubkan dan penuh keindahan, walaupun pada asalnya beliau dan
keluarganya merupakan dari golongan fakir miskin. Tetapi, apakah nasib keluarga
Imam Hatim al-'Ashom yang ditinggalkannya kerana rindu untuk menziarahi Baitullah
al-Haram sedangkan keluarganya tidak mempunyai sebarang harta untuk menyara
diri mereka ketika ketiadaan Imam Hatim al-'Ashom. Tetapi, itulah sifat keluarga
yang memahami jiwa seorang sufi yang amat halus, yang mana apabila datang
seruan Ilahi, mereka terus menyahutnya tanpa menghiraukan kesusahan yang akan
ditanggung. Mengetahui kerinduan Imam Hatim al-'Ashom terhadap Makkah dan Madinah,
walaupun kehidupan mereka penuh kesempitan, mereka tetap teguh dalam percaya
kepada ketentuan Allah s.w.t..
Apabila Imam
Hatim al-'Ashom meninggalkan mereka, terpaksalah isteri beliau menjadi penjaga
rumah, pencari nafkah, dan mendidik anaknya yang kecil itu. Kesusahan yang
dialami oleh keluarga Imam Hatim al-'Ashom semakin berganda kerana selama ini
mereka bergantung kepada beliau yang bertanggungjawab mencari nafkah. Tetapi,
isteri beliau tetap pasrah dan menerima ketentuan Allah s.w.t., dan bersabar
dalam ujian yang telah Allah s.w.t. tetapkan untuk menguji keimanan mereka.
Sehari demi
sehari, kehidupan mereka yang kesunyian di dalam rumah yang usang itu serta
jauh daripada orang ramai menjadikan mereka semakin biasa dan tenang. Sebagaimana
nasib Imam Hatim al-'Ashom yang berubah 180 darjah, keluarganya juga bakal
mengalami nasib yang sama kerana rahmat Allah s.w.t. yang telah Allah s.w.t.
kurniakan kepada mereka.
Pada suatu
hari, seorang pembesar bersama pengikutnya telah berburu di sekitar kawasan
yang berdekatan dengan rumah keluarga Imam Hatim al-'Ashom. Akan tetapi, setelah
lama berburu, dan berjaya mendapatkan hasil yang lumayan, akhirnya pembesar
tersebut terasa sangat haus sehingga memaksa para pengikutnya mencari punca air
di merata-rata tempat tetapi tidak juga didapati.
Setelah pembesar
tadi berjalan dalam keadaan yang amat dahaga, akhirnya mereka terlihat sebuah
rumah usang di tengah panas terik, dan terlihat kelibat seorang wanita bersama
anak perempuannya yang kecil. Pembesar tadi pun bertanya kepada pengikutnya, “Adakah
kalian tahu rumah itu milik siapa?”. Para pengikutnya menjawab, “Ya, itu adalah
rumah seorang lelaki yang soleh yang dikenali dengan Hatim al-'Ashom”. Maka,
pembesar tadi bersama para pengikutnya datang ke rumah itu dan memberikan
salam, “Assalamu’alaikum, aku ada pembesar di negeri ini. Izinkan aku masuk?”. Maka,
isteri Imam Hatim al-'Ashom yang sedang menguruskan anaknya itu pun menjawab, “Wa’alaikumussalam,
apakah tujuan tuan hamba datang ke rumah hamba?”. Pembesar tadi pn menjawab, “Aku
amat kehausan setelah berburu, bolehkan engkau memberikan kepadaku sedikit air
untuk menghilangkan kehausanku ini?”.
Setelah itu,
isteri Imam Hatim al-'Ashom menjemput pembesar bersama-sama pengikutnya itu untuk
masuk ke rumahnya yang usang dan menghidangkan segelas air kepada pembesar
tersebut sambil berkata, “Maafkan kami wahai tuan hamba, ini sahaja yang dapat
kami hidangkan untuk tuan hamba. Bahkan air ini juga sebenarnya telah terbiar 15
hari”. Dek kerana kehausan yang tersangat, pembesar tadi terpaksa juga meminum
air yang dihidangkan oleh isteri Imam Hatim al-'Ashom itu.
Setelah pembesar
tersebut selesai minum, dan kehausannya telah hilang, beliau pun berkata, “Demi
Allah! Tidak pernah aku minum air yang selazat ini sepanjang hidupku”. Beliau berkata
dengan nada yang kuat dan gembira, lalu kerana kegembiraannya itu, beliau
membuka tali pinggangnya yang berisi beberapa kantung emas yang banyak dan
memberikan kepada isteri Imam Hatim al-'Ashom sambil disaksikan oleh anak
perempuannya itu. Kemudian, pembesar tersebut pun berkata kepada para
pengikutnya, “Wahai pengikutku, sekiranya kalian mencintaiku, maka buatlah
seperti yang aku perbuatkan”. Maka, kesemua pengikutnya tersebut terus
memperlakukan sebagaimana yang dilakukan oleh ketua mereka itu, dengan mencabut
tali pinggang mereka yang tergantung beberapa kantung emas, bahkan turut
memberi hasil pemburuan mereka kepada penghuni rumah yang barakah tersebut.
Setelah pembesar
dan pengikutnya itu meninggalkan rumah itu, isteri Imam Hatim al-'Ashom tersenyum
lebar dan bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memberikan kepadanya rezeki yang
tidak disangka-sangkakan. Tetapi, apabila dia ingin berkongsi kegembiraannya
dengan anak perempuannya itu, dia terkejut apabila anak perempuannya itu sedang
menangis. Dengan penuh kehairanan dan terkejut, dia terus bertanya kepada anak
perempuannya itu, “Wahai anakku, kenapakah engkau menagis disaat kita diberikan
rezeki ini? Aku hairan dengan kamu, apabila kehidupan kita susah kamu
bergembira, sekarang apabila diberi ni’mat, kamu menangis. Kenapa wahai anakku,
engkau ini amat menghairankanku”.
Mendengar keluhan
ibunya tersebut, walaupun berusia hanya sembilan tahun, beliau menjawab dengan
satu jawapan yang mengandungi ketauhidan yang amat mendalam lagi halus, bahkan
jawapan ini hampir membuatkan ibunya itu hilang akal kerana tidak pernah
telintas di fikiran ibunya yang jauh lebih tua dan ‘makan garam’, “Wahai ibu,
cuba bayangkan dengan sekali pandangan daripada manusia, kehidupan kita
bertukar daripada miskin kepada mewah. Cuba ibu bayangkan, bagaimanakah pula
dengan pandangan Allah s.w.t. terhadap hambaNya?”.
Begitulah kisah
sekeluarga yang tenggelam dalam ma’rifat Allah s.w.t.. Hati mereka begitu
lembut, dan amat sentitif dalam kehidupan mereka yang sentiasa bermusyahadahkan
Allah s.w.t.. Sememangnya, jiwa seorang sufi yang tenggelam di dalam cinta
bersama Allah s.w.t. akan dapat memahami maksud sebenar disebalik setiap
kejadian yang berlaku, dan itulah CINTA. Semoga Allah s.w.t. menggolongkan kita
semua dalam golongan yang mendapat pandangan rahmat dan redha daripadaNya, dan
supaya kita bersama-sama dengan para kekasih yang berantai sehingga kepada
Baginda s.a.w. di dunia dan di Akhirat kelak. Ameen~
Allahua’lam
bisSowab~
Post a Comment