BismiLlahi
Wassolatu Wassalam 'ala RasulIllah wa 'ala Aalihi wa Man Waalah..
Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah dengan pujian yang layak bagiNya, Yang Maha Suci dari
segala kekurangan, yang telah menciptakan pahala dan dosa sebagai kemurahan dan
ke'adilanNya. Selawat dan Salam keatas junjungan besar Baginda s.a.w., yang
diutuskan untuk memimpin manusia dengan jalan kasih sayang, yang telah
diutuskan Allah sebagai rahmat kepada sekalian alam, memimpin manusia ke jalan
yang lurus dan menjauhkan manusia dari jalan yang dimurkaiNya.
Apabila kita
menyentuh tentang anai-anai, pasti kita akan terbayang tentang serangga yang biasanya
mendiami dalam kayu atau tanah. Anai-anai menurut kamus dewan merujuk kepada “Serangga
seperti semut, putih warnanya, membuat sarang dalam tanah atau kayu (makanan
utamanya kayu), dan tergolong dalam order Isoptera”[1].
Ia tergolong
dalam golongan serangga perosak, yang mana kebiasaannya akan mendatangkan
kerosakan pada kediaman, dokumen, dan apa sahaja yang boleh dirosakkannya. Apabila
ia melakukan kerosakan, tidaklah kita mengetahuinya melainkan setelah kerosakan
itu telah parah. Walaupun begitu, di habitat semula jadi serangga ini, ia
memainkan peranan penting sebagai pengurai kepada kayu-kayu dan daun-daun di
dalam hutan.
Begitulah keindahan
ciptaan Allah s.w.t., yang mana menciptakan segala sesuatu tanpa sia-sia. Firman
Allah s.w.t.;
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا
وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Orang-orang
yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa
mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit
dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan
benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami
dari azab neraka”.[2]
Dosa
Setiap
manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa, melainkan para anbiya yang dipelihara(ma’sum)
Allah s.w.t. sejak kecil. Itulah yang menjadi pegangan kita sebagai golongan
Ahlu Sunnah wal-Jama’ah di dalam ‘aqidah. Seseorang yang menjaga dirinya
daripada melakukan dosa besar, terkadang tidak terlepas dari melakukan dosa kecil.
Apatah lagi, dosa kecil itu boleh menimpa kita secara sedar atau tidak sedar,
sengaja ataupun tidak sengaja. Melainkan orang yang dijaga(mahfuz) oleh Allah
s.w.t. seperti golongan kekasihNya yang terdiri dari auliyaNya.
Dosa itu
bukanlah tanda ketidak-sempurnaan seseorang disisi Allah. Boleh jadi, dengan
sebab dosa yang ditimpakan keatas seseorang hamba, semakin mendekatkan dirinya
kepada Allah s.w.t.. Dan boleh jadi orang yang sentiasa melakukan keta’atan,
akan tetapi dia merasakan dirinya mulia dan sombong kepada hamba Allah yang
lain, maka menjadi asbab kepada mendapat kemurkaan Allah, dan jauh dari
rahmatNya.
Tidakkah
kita membaca kisah-kisah orang soleh terdahulu? Betapa ramai dari mereka yang
merupakan golongan yang sentiasa melakukan dosa, akan tetapi dibuka pintu oleh Allah
s.w.t., lalu bertaubat dari kelakuan mereka sebelum itu dan menjadi golongan
yang dimuliakan Allah.
Bahkan
Baginda s.a.w. sendiri, yang terpelihara daripada dosa sentiasa beristirgfar
kepada Allah s.w.t. setiap pagi dan petang. Maka, apakah yang menghalang kita
daripada beristirgfar kepadaNya, sedangkan pintu keampunanNya sentiasa terbuka
untuk kita.
Maka,
janganlah dibiarkan sekecil dosa yang disedari mahupun tidak disedari
menyelubungi kita, kalau tidak, suatu masa nanti ia akan membinasakan diri
kita.
Anai-Anai
Dan Dosa
Pasti kita
mengetahui, anai-anai apabila menyerang suatu tempat, contohnya rumah,
kebiasaannya pemilik rumah tersebut tidak menyedari kehadiran serangga perosak
tersebut melainkan kerosakan yang disebabkan oleh serangga itu sudah ditahap
yang teruk. Anai-anai yang memang suka memakan kayu, akan merosakkan kayu
tersebut dari dalam secara senyap dan hanya disedari kerosakannya setelah ianya
rapuh. Apabila kita sedari akan hal ini, maka kita sudah tidak dapat
menyelamatkan barang yang telah dirosakkan oleh anai-anai itu.
Bayangkan
para pembaca yang budiman sekalian, walaupun saiz anai-anai itu kecil, akan
tetapi kesan kemusnahan yang dilakukan amatlah dasyat sehingga dapat merobohkan
rumah yang besar, dan pokok kayu yang berdiri teguh.
Begitulah perumpaan
terhadap dosa walaupun sekecil dosa yang menimpa kita secara sedar ataupun
tidak. Kita tidak terpelihara daripada melakukan dosa besar, apatah lagi dosa
kecil. Apabila hati kita tidak memerhatikan ketidak-sempurnaan diri, maka kita
tidak akan dapat melihat ke’aiban serta kelemahan diri kita.
Anai-anai
yang kecil boleh merobohkan rumah, begitulah dosa-dosa yang kecil juga boleh
membinasakan diri seseorang mukmin. Apatah lagi apabila kita hanya memandang
dosa kecil itu kecil, seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan terhadap diri
kita. Sedangkan dosa yang kecil, apabila dibiarkan, maka ia boleh menggelapkan
hati. Hati yang gelap tidak akan membawa kepada keta’atan, sebaliknya menyenderungkan
hati kita untuk menyukai perkara yang dibenci oleh Allah s.w.t.. Setelah itu, kita
semakin cenderung melakukan perkara yang lebih teruk dan sukar untuk
meninggalkan dosa-dosa besar, melainkan dengan rahmat Allah s.w.t..
Lazimilah
Istirgfar
Lihatlah
kehidupan kita, sudah banyak mana dosa yang kita lakukan secara sedar ataupun
tidak. Sedangkan kalau bukan kerana rahmat Allah s.w.t., nescaya dengan segala
dosa itu, kita akan hidup dalam keadaan yang amat menyeksakan. Lihatlah sebagaimana
yang diperkatakan seorang penyair yang terkenal, merupakan ulama’ yang hampir
dengan Allah s.w.t., memperihalkan dalam munajatnya berkenaan dengan bala dan
segala kesusahan yang menimpa berpunca dari dosa yang telah dilakukan kita
iaitu al-Imam al-‘Arif Billah Sidi ‘Umar Ibn Muhammad al-Bakri al-Yaafi qaddasAllahu
sirrahu;
جَهْدُ البَلَا حَلَّ بِنَا****ضَاقَ الفَلَا مِنْ
كَرْبِنَا
وَكُلُّ ذَا مِن ذَنْبِنَا****فَهُوَ الَّذِي طَمَسَ الفُؤَاد
وَكُلُّ ذَا مِن ذَنْبِنَا****فَهُوَ الَّذِي طَمَسَ الفُؤَاد
Maksudnya:
Bala yang berat layak bagi kami,
Telah sempit segala tempat kerana penderitaan kami,
Dan semua ini adalah dari dosa-dosa kami,
Yang ia membutakan hati kami.[3]
Oleh kerana
bahayanya dosa yang kecil, terlebih lagi dosa tersebut boleh menimpa tanpa kita
sedari, para kekasih Allah amat risau akan perihal diri mereka di sisi Allah
s.w.t.. Hati mereka begitu sentitif, dan takut apakah ketentuan Allah s.w.t.
terhadap diri mereka, maka mereka sentiasa melazimkan lidah mereka untuk
sentiasa beristirgfar pada setiap waktu sebagai tanda mengharap rahmat Allah
s.w.t..
Begitulah
contoh yang ditunjukkan oleh seorang auliya Allah yang masyhur, iaitu al-Imam
al-Qutb fi zamanihi, as-Sayyid Ahmad Ibn Idris qaddasAllahu sirrahu, yang
meluahkan satu munajat yang amat indah maknanya, menzahirkan kehambaan diri dan
mendekatkan ubudiyyah kepada Allah. munajat tersebut dikenali sebagai “al-Istirgfar
al-Kabir” yang sentiasa diamalkan oleh para kekasih Allah yang sentiasa dekat
denganNya;
أستغفر الله العظيم, الذي لا إله إلا هو الحي
القيوم, غفار الذنوب ذا الجلال و الإكرام , و أتوب إليه من جميع المعاصي كلها و
الذنوب و الآثام, و من كل ذنب أذنبته عمداً و خطأ, ظاهراً و باطناً , قولاً و
فعلاً , في جميع حركاتي و سكناتي و خطراتي و أنفاسي كلها, دائماً أبداً سرمداً ,
من الذنب الذي أعلم ومن الذنب الذي لا أعلم , عدد ما أحاط به العلم و أحصاه
الكتاب, و خطه القلم , وعدد ما أوجدته القدرة و خصصته الإرادة , و مداد كلمات
الله, و كما ينبغي لجلال وجه ربنا و جماله و كماله, و كما يحب ربنا و يرضى
Maksudnya: “Aku
memohon keampunan kepada Allah Yang Maha Agung; Yang tiada Tuhan yang berhak
disembah melainkan Dia Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri dengan sendirinya;
Maha Pengampun segala dosa; Yang Memiliki keagungan dan kemulian. Aku bertaubat
kepadaNya dari segala perbuatan maksiat, dosa dan kesalahan, dari segala dosa yang
telah aku lakukan sama ada dengan sengaja atau pun tidak, yang zahir mahupun
yang batin, pada perkataan mahupun perbuatan, dalam setiap pergerakan dan
diamku, yang terlintas di benak hatiku ataupun yang wujud di dalam hembusan
nafasku; semuanya untuk selama-lamanya. Tidak kira sama ada dosa-dosa yang aku
ketahui atau tidak aku ketahui, sebanyak mana yang dicakupi (diketahui) oleh
Ilmu Allah; yang dihitung oleh buku amalan dan yang dicatat oleh pena. Sebanyak
mana yang diwujudkan oleh Kekuasaan Allah, yang dituntut oleh kehendakNya dan
sebanyak tinta kalimah-kalimah Allah sepertimana yang selayaknya bagi kebesaran
Zat Tuhan kami, keelokanNya, kesempurnaanNya dan seperti mana yang dikasihi
oleh Tuhan kami dan yang diredhai-Nya”.
Wahai
pembaca budiman, sesungguhnya dosa itu penghalang untuk merasai kemanisan dekat
dengan Allah, akan tetapi istirgfar itu adalah pembuka pintu kemanisan.
Lazimilah istirgfar, kerana ia menjernihkan hati, lalu membuahkan akhlaq mahmudah(yang
terpuji) sebagaimana akhlaq Baginda s.a.w.. Bahkan dengan istirgfar, akan terbuka
pintu keredhaan Allah, kesenangan dan segala kebaikan dunia dan akhirat,
sebagaimana firman Allah s.w.t.;
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ
غَفَّارًا. يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا. وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ
وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا.
Maksudnya: “Sehingga
aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya
adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan
hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu
dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi
kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang
mengalir di dalamnya)”.[4]
Baginda
s.a.w. dididik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi hambaNya yang tawadhu’, yang
sentiasa memandang kepada rahmat Tuhannya, walaupun 1001 keistimewaan yang
diberikan Allah s.w.t. kepada Baginda s.a.w.. Oleh demikian itu, Allah s.w.t.
memerintahkan Baginda s.a.w. untuk bertasbih dan beristirgfar kepadaNya sebagaimana
firman Allah s.w.t.;
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ. وَرَأَيْتَ
النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا. فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ
وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ
كَانَ تَوَّابًا.
Maksudnya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan
(semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); Dan engkau
melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; Maka ucapkanlah tasbih
dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat
menerima taubat”.[5]
Sebaik-baik
manusia yang menjadi hamba Allah s.w.t. ialah mereka yang mana senantiasa
mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t. dengan memperbanyakkan istirgfar dan
taubat, kerana mengetahui kelemahan diri sebagai manusia yang sering melakukan
dosa dan kesilapan. Sebagaimana yang disabdakan Baginda s.a.w.;
التَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ
Maksudnya: “Orang
yang bertaubat daripada dosa, bagaikan orang yang tiada dosa(terhapus dosanya)”.[6]
Bahkan di
dalam satu hadith, Baginda s.a.w. pernah bersabda dalam hadith;
لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ أَحَدِكُمْ
مِنْ أَحَدِكُمْ بِضَالَّتِهِ إِذَا وَجَدَهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya
Allah amat bergembira dengan taubat salah seorang daripada kalian, lebih
daripada kalian apabila terjumpa harta yang hilang”.[7]
Pandanglah kepada
rahmat Allah s.w.t., kerana Allah tidak pernah sesekali meninggalkan serta
membiarkan kita. Ketahuilah bahawa walaupun sebesar mana dosa yang pernah kita
lakukan, keampunan Allah itu tidak bersyarat. Sekiranya dosa kita sebesar
gunung, nescaya keampunan Allah itu seluas langit. Allah s.w.t. berfirman;
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ
أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ
جَمِيعًا ۚإِنَّهُ هُوَ
الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Katakanlah
(wahai kekasihKu): "Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas
terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah
kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala
dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.[8]
Beristirgfarlah
sebanyak-banyaknya tanpa mengenal siapa diri kita di sisiNya. Sebaik manapun
kita, tidak menyebabkan diri kita terhalang dari melakukan dosa walaupun
sekecil-kecil dosa. Moga-moga dengan istirgfar itu akan menyebabkan kita
mendapat redha Allah s.w.t. yang tidak ternilai harganya, melebihi nilai dunia
yang tidak sesekali kekal buat selamanya.
Rabu, 4 Desember 2013,
2 Safar 1435 Hijriyyah,
11.50PM
[1] Kamus Dewan Edisi Keempat.
[2] Surah Aali Imran, ayat
ke-191.
[3] Do’a Wa Istighatsah
Linuzuli al-Ghaits,
[4] Surah Nuh, ayat 10-12.
[5] Surah an-Nasr, ayat 1-3.
[6] Hadith diriwayatkan oleh
al-Imam Ibn Maajah di dalam kitab beliau, Sunan Ibn Maajah, no. 4248 dari
Sayidina ‘Abdullah ibn Mas’ud radhiyAllahu ‘anhu.
[7] Hadith diriwayatkan oleh
al-Imam Muslim di dalam Sohehnya, no. 4934 dari Sayidina Abi Hurairah
radhiyAllahu ‘anhu.
[8] Surah az-Zumar, ayat
ke-53.
Post a Comment