Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi
sentiasa Mengasihi para hambaNya dengan menurunkan segala macam ni’mat kepada
seluruh makhlukNya. Selawat dan salam kepada junjungan besar pembawa rahmat
kepada seluruh alam, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. yang amat mengasihani umatnya
sehingga hari Akhirat, dan juga kepada para ahlul bait Baginda s.a.w. yang
mulia, serta para sahabat Baginda s.a.w. yang kebanyakkan mereka terdiri
daripada golongan remaja yang menyerahkan jiwa dan raga mereka untuk berbakti
kepada Agama Allah.
Era
globalisasi sekarang amat memerlukan kepada teknologi, dan merupakan satu
gelombang budaya terkini yang dihidapi oleh majoriti manusia dalam setiap
negara. Segala pergerakan, pekerjaan, hatta dalam pengajian, hampir semuanya
telah menggunakan teknologi untuk memudahkan suatu urusan mereka. Inilah
gelombang terbaru yang di alami oleh manusia abad ini, selepas gelombang
pertama dan kedua iaitu pertanian dan perindustrian seperti yang telah dialami
dunia beberapa abad yang lalu.
Terdapat
banyak cabang dalam bidang teknologi yang semakin berkembang tanpa sekatan,
tetapi teknologi maklumat adalah teknologi yang paling mendapat sambutan dari
setiap lapisan masyarakat seluruh dunia. Dengan berkembangnya teknologi
maklumat, manusia semakin mudah untuk berhubung walaupun berjauhan. Mereka juga
mudah mengembangkan perniagaan mereka ke serata pelusuk dunia, dan juga dapat
mengenali pelbagai kenalan baru hanya dengan duduk menghadap suatu alat yang
terhasil daripada sains dan teknologi iaitu, komputer dan internet.
Islam,
sebagai sebuah Agama yang amat sesuai dengan sepanjang zaman juga memberikan
perhatian kepada gelombang teknologi yang berkembang dengan pesat ini. Agama
kita tidak menghalang sebarang kemajuan, bahkan menggalakkan kemajuan yang
sedia ada ini dimajukan lagi dengan syarat tidak melanggari segala batas yang
telah ditetapkan syara’. Bagi Agama yang syumul ini, teknologi juga adalah
sebahagian dari ni’mat yang Allah s.w.t. telah kurniakan kepada umat manusia
dengan memberi ilham kepada akal. Sesungguhnya ni’mat Allah itu amatlah luas,
yang mana dengan ni’mat kurniaan Allah inilah yang memudahkan urusan kehidupan
seharian manusia.
Firman Allah s.w.t.:
وَمَا بِكُم مِّن
نِّعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ
Maksudnya: “Dan
apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah..”
Surah
an-Nahl, 53.
وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah
(yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu
persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah an-Nahl, 18.
Golongan
remaja, adalah golongan yang paling banyak memanfaatkan teknologi, khususnya
dalam penggunaan komputer, telefon mudah alih, internet, dan sebagainya. Dengan
kemunculan teknologi sedemikian ini yang diibaratkan seperti cendawan yang
tumbuh selepas hujan, bilangan remaja yang menggunakan teknologi ini semakin
bertambah dari semasa ke semasa. Bagi remaja, teknologi seperti ini telah
menjadi satu keperluan bagi mereka, kerana mempermudahkan untuk berhubung,
memudahkan pembelajaran mereka, serta meluaskan pemikiran mereka dengan
terdedah kepada pelbagai maklumat dan info yang terdapat di luar dari tempat
mereka.
Mereka
tidak lagi perlu untuk membawa buku-buku yang berat setiap kali ke sekolah atau
tempat pengajian, bahkan dengan hanya hujung jari, segala ilmu mereka boleh
dapati dengan adanya internet. Bahkan dengan kemudahan teknologi, mereka boleh
berkenalan dengan teman-teman baru di internet dengan melayari pelbagai
kemudahan sosial seperti Facebook, Yahoo Messenger, Myspace, Twitter, dan
sebagainya tanpa sebarang penghalang.
Begitu
juga dalam bidang lain, teknologi banyak mempermudahkan bidang lain seperti
bidang perubatan. Perubatan zaman moden telah jauh berubah, tidak seperti
dahulu. Para doktor tidak lagi perlu risau untuk melakukan pembedahan yang
berisiko, disamping dapat meminimumkan luka yang di alami pesakit. Dalam bidang
automotif, dan yang berupa pengilangan, dengan adanya teknologi menjadikan
hasil produk lebih efisien. Tenaga kerja manusia juga boleh dijimatkan, dan
digantikan dengan mesin yang menghasilkan produk dengan cara cepat serta
efektif.
Akan
tetapi, apabila manusia telah lupa bahawa setiap ni’mat itu datangnya dari Allah,
maka manusia mula menyalah-gunakan setiap ni’mat yang dikurniakan kerana tidak
bersyukur.
Firman Allah s.w.t.:
وَآتَاكُم مِّن كُلِّ
مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ الْإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ
Maksudnya: “Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari
tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah
nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang
ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak
menghargai nikmatTuhannya.” Surah Ibrahim, 34.
Insyaallah,
pada edisi yang akan datang, kita akan menyentuh kesan akibat manusia mulai
melupakan perasaan bersyukur kepada Allah, yang membawa kepada kekufuran ni’mat
dan timbulnya penyalah gunaan teknologi.
Allahua’lam bis sowab~
al-Faqir ilAllah al-Latif,
-Tengku Ahmad Saufie
*Artikel ini disiarkan di www.VIC.my
Post a Comment