Sheikhna Sidi Yusuf al-Hasani pernah meriwayatkan
satu kisah yang mengisahkan satu hubungan cinta yang amat mendalam seorang
hamba terhadap Tuhannya, iaitu seorang hamba yang amat memahami keadaannya
dihadapan Tuhannya. Namanya tidak dikenali, dan beliau juga merupakan seorang
hamba yang telah dibeli oleh tuannya di suatu negeri.
Seperti kebiasaan, negeri
tersebut akan mengalami musim kemarau pada tiap-tiap tahun. Akan tetapi, pada
tahun itu, musim kemarau yang berlaku amatlah teruk sehinggakan penduduk di negeri
itu melakukan solat Istisqaq(meminta hujan) hampir setiap hari.
Melihat tiada
perubahan, dan penduduk negeri semakin menjalani kehidupan mereka dalam
kesukaran, mereka akhirnya menjemput Imam al-Haramain, iaitu Imam 'Abdullah ibn
Mubarak, seorang 'ulama yang cukup terkenal dalam bidang hadith serta fiqh,
yang juga merupakan guru kepada Imam al-Ghazali, pengarang kitab Ihya
'Ulumuddin yang terkenal.
Kebiasaannya,
apabila Imam 'Abdullah ibn Mubarak melakukan solat Istisqaq di tempat-tempat
lain, dengan rahmat Allah, Allah akan menurunkan hujan pada tempat yang
ditunaikan solat tersebut. Akan tetapi, apabila beliau dan jemaahnya selesai
melakukan solat Istisqaq di negeri tersebut, kelihatan bahawa tiada tanda-tanda
hujan akan turun sebaliknya kemarau tetap sahaja membakar kulit-kulit mereka.
Kehairanan dengan
kejadian sebegitu, Imam 'Abdullah ibn Mubarak tidak dapat melelapkan matanya
sebaliknya mengambil keputusan untuk melihat keadaan penduduk negeri tersebut
pada waktu malam. Setelah beliau berjalan-jalan di sekitar kawasan itu, beliau
terdengar suara seorang lelaki sedang bermunajat kepada Allah s.w.t. di
tengah-tengah padang. Melihat keadaan itu, beliau cuba mendekati lelaki
tersebut, dan beliau mendengar doa lelaki tersebut yang berkata, "Wahai
Tuhanku, dengan cintaMu yang mendalam terhadap diriku, aku meminta agar Engkau
merunkan hujan kepada negeri ini".
Setelah sahaja
lelaki tersebut selesai berdoa dan beredar dari padang itu, dengan rahmat
Allah, hujan terus turun selebat-lebatnya dan perkara ini menjadikan Imam
'Abdullah ibn Mubarak ingin mengenali lelaki tersebut. Pada keesokan hari, Imam
'Abdullah ibn Mubarak mencari siapakah gerangan lelaki tersebut, dan bertanya
kepada setiap rumah di negeri tersebut. Akhirnya, beliau berjaya mendapat tahu
bahawa lelaki tersebut merupakan seorang hamba kepada fulan yang amat kaya raya
di negeri tersebut.
Beliau dengan penuh
semangat, pergi ke rumah si fulan yang amat kaya lalu bertanya, "Wahai
tuan, bolehkah aku bertemu dengan hamba milikmu yang keadaannya sekian dan
sekian?". Si Fulan tersebut menjawab, "Lelaki pemalas itu? Aku tidak
pernah bertemu dengan hamba yang amat pemalas sepertinya. Aku telah menghantarnya
ke pasar untuk dijual".Mendengar penjelasan fulan tersebut, beliau
bergegas ke pasar untuk mencari dimanakah tempat hamba tersebut dijual. Setelah
sekian lama mencari dimanakah hamba tersebut dijual, akhirnya selang beberapa
hari beliau berjaya mendapat hamba tersebut yang sedang sedang dilelong. Lalu,
beliau pun bertanya kepada si pelelong hamba, "Aku ingin membeli hamba
tersebut, berapakah harganya?". Mendengar pertanyaan Imam 'Abdullah ibn
Mubarak, pelelong hamba tersebut ketawa lalu berkata, "Engkau mahu membeli
hamba ini yang amat terkenal dengan sifat malas? Aku telah menjualnya untuk
sekian waktu yang lama, sampai sekarang tiada orang yang ingin membelinya. Aku
rela untuk berikan kepada kamu percuma sahaja, menyimpannya bagiku hanya menjadi
beban sahaja". Akan tetapi, Imam 'Abdullah ibn Mubarak serius ingin
membeli hamba tersebut, lalu bertanya, "Bagitahu kepadaku, berapa yang
engkau mahu jual hamba tersebut? Aku mempunyai wang untuk membayar hamba
itu". Melihat keseriusan beliau, lalu pelelong hamba tersebut menjualnya
sebanyak 20 dinar sahaja, akan tetapi, Imam 'Abdullah ibn Mubarak membayar
sebanyak dua kali ganda harganya iaitu dengan 40 dinar, dan membawa pulang
hamba tersebut ke rumahnya.
Setelah sampai di
rumah Imam 'Abdullah ibn Mubarak, hamba yang baru dibelinya tadi terus disuruh
membersihkan diri dan diberi pakaian yang baru untuknya. Selain itu, beliau
juga melayan hamba tersebut sebagai tetamunya dengan penuh istimewa, sedangkan
dia hanya seorang hamba.
Akhirnya, 1001 satu
persoalan bermain di fikiran hamba itu, setelah 3 hari dilayan sebagai seorang
tetamu kerana kehadiran dia di rumah Imam 'Abdullah ibn Mubarak adalah sebagai
seorang hamba. Lalu dia pun bertanya kepada tuan barunya itu, "Wahai tuan,
aku dibeli olehmu untuk berkhidmat kepada tuan. Tetapi, kenapa setelah tiga
hari aku berada disini, engkau tidak mengarahkan aku satu suruhan pun sebagai
seorang tuan, sebaliknya menyediakan aku keselesaan sedangkan aku hamba".
Mendengar pertanyaan
hamba itu, Imam 'Abdullah ibn Mubarak pun menjelaskan, "Aku sebenarnya
tidak ingin menjadikanmu hamba. Sebaliknya aku hanya ingin bertanya kepadamu
satu soalan. Sesungguhnya aku berada di padang ketika engkau berdoa kepada
Allah, "Wahai Tuhanku, dengan cintaMu yang mendalam terhadap diriku, aku
meminta agar Engkau merunkan hujan kepada negeri ini". Dan aku hairan,
bagaimana engkau boleh berdoa sedemikian sedangkan engkau tidak mengetahui
bagaimana cinta Allah kepadamu".
Hamba tersebut pun
berkata, "Wahai tuan, engkau adalah Imam 'Abdullah ibn Mubarak yang
terkenal seluruh Haramain dan sekitarnya. Bagaimana aku ingin menjelaskan
kepadamu sedangkan engkau imam kami, mustahil engkau tidak mengerti hal
ini". Beliau pun tetap menyuruh hambanya itu menjawab persoalannya, lalu
hamba tersebut menjelaskan, "Wahai tuan, kita ini adalah haadith(yang
baharu) dan juga makhluqnya. Bagaimana kita boleh mengatakan cinta kita
kepadaNya, sedangkan cinta kita itu adalah sebahagian daripada yang baharu,
sedangkan cintaNya pula adalah qaadim(yang kekal sedia ada). Adalah tidak
beradab apabila kita mendahulukan cinta kita kepadaNya, sedangkan cintaNya
terhadap kita adalah terlebih awal sebelum kita diciptakan".
Mendengar penjelasan
hambanya tersebut sambil menitiskan air mata, beliau berkata, "Wahai
hambaku, sekarang aku bebaskan kamu daripada menjadi hamba". Lalu, hamba
tersebut meminta izin daripada Imam 'Abdullah ibn Mubarak untuk solat dua
rakaat di dalam biliknya. Imam 'Abdullah ibn Mubarak pula tidak berganjak dari
tempatnya, dan terdengar suara hambanya tadi berdua dalam sujud yang kedua,
"Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah membukakan rahsia antaraMu dan
aku terhadap tuanku ini. Maka, aku memohon kepadaMu wahai Tuhanku, Engkau
cabutkanlah nyawaku dan agar rahsiaku tetap tersimpan denganMu". Apabila
Imam 'Abdullah ibn Mubarak masuk ke dalam bilik hamba tersebut, beliau
mendapati bahawa lelaki tersebut telahpun wafat dalam keadaan sujudnya tadi dan
beliau memaqamkan lelaki tersebut sebagai seorang yang amat mulia.
Allahua'lam bis
sowab~
subhanallah..t.kasih atas prkongsian yg hebat ini.. :0