Firman Allah s.w.t.:
وَآتَاكُم مِّن كُلِّ
مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ الْإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ
Maksudnya: “Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari
tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah
nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang
ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak
menghargai nikmatTuhannya.” Surah Ibrahim, 34.
Alhamdulillah,
pada edisi sebelumnya kita telah menerangkan serba sedikit akan kelebihan teknologi
yang telah mendapat tempat di hati manusia, lebih-lebih lagi kepada para remaja
yang menjadi tulang belakang sesebuah negara. Sekarang kita akan menyentuh tentang
keburukan teknologi, apabila manusia mulai tidak bersyukur dengan ni’mat Allah,
yang membawa kepada kemurkaan Allah
serta timbulnya penyakit penyalah gunaan teknologi.
Para
remaja adalah golongan yang paling banyak mendapat manfaat dengan terhasilnya
barangan berteknologi, akan tetapi mereka juga boleh terdedah kepada perkara
yang sia-sia serta ditegah oleh Allah s.w.t. Dengan adanya teknologi, mereka
mula bersikap membazir untuk mendapatkan suatu peralatan yang canggih mengikut
perkembangan semasa. Mereka tidak lagi memikirkan kerugian apabila
berlumba-lumba untuk memiliki suatu yang lebih canggih hanya sekadar untuk
bermegah-megah di hadapan sahabat mereka, sedangkan mereka hanya merugikan diri
mereka sendiri.
Bayangkan sekiranya wang yang dibelanjakan
setiap kali untuk memiliki gadjet yang baru, digunakan untuk pengajian dan
membeli sesuatu yang lebih bermanfaat seperti buku pelajaran. Dengan wang itu
juga, dia boleh mendidik dirinya supaya bersifat murah hati dengan membantu
saudaranya yang kesusahan.
Dengan penggunaan teknologi juga, para
remaja terdedah kepada masalah sosial yang besar. Mereka bebas mengenali antara
satu sama lain yang berlainan jantina, walaupun tidak perlu untuk bersua muka.
Dengan kecanggihan teknologi, mereka boleh berinteraksi dengan kenalan mereka
dengan menggunakan “webcam” dan boleh melihat kenalannya seperti melihat di
hadapan. Mereka juga boleh menghabiskan berjam-jam di hadapan komputer dan
telefon mudah alih untuk berchatting dan bermesej dengan sepuas-puasnya. Dengan
menyalah gunakan kelebihan teknologi, mereka akan batas-batas pergaulan
lebih-lebih lagi terhadap berlawanan jantina. Dengan berchatting, masa mereka
terbuang begitu sahaja, sedangkan pepatah arab sentiasa menyebut, الوقت كالسيف اذا لم تقطعه قطعك,
bermaksud, “Waktu itu seperti pedang,
sekiranya kamu tidak memotongnya, ia akan memotongmu”.
Berchatting dan bermesej, selain dari
pembaziran waktu, akan membawa kepada percakapan yang sia-sia, bahkan boleh
melanggari batas syara’. Seseorang akan berchatting dengan temannya, samada
lelaki atau perempuan, dengan percakapan yang tidak bermanfaat untuk diri
mereka, yang lebih dikenali sebagai “sembang-sembang”. Banyak bersembang
merupakan salah satu penyakit yang wujud dalam hati yang berasal daripada nafsu,
sedangkan nafsu amat menyukai seseorang itu melakukan perkara yang sia-sia dan
dilarang kerana firman Allah,
Firman Allah:
إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ
Maksudnya: “…sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan…” Surah Yusuf, 53.
Baginda s.a.w. juga telah berpesan bahawa
amat penting menjaga diri daripada banyak bercakap, sabda Rasulullah s.a.w.
yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Hurairah r.a:
من
كان يؤمن بالله واليوم الآخر ، فليقل خيرا أو ليصمت ، ومن كان يؤمن بالله واليوم
الآخر ، فليكرم جاره ، ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر ، فليكرم ضيفه
Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman
kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah bercakap yang baik-baik ataupun
diam. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka
hendaklah memuliakan jirannya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan
hari Akhirat, maka hendaklah memuliakan tetamunya”. Riwayat Imam Bukhari
dan Muslim.
Selain dari masalah-masalah di atas, para
remaja yang menggilai teknologi ini akan terdedah kepada maklumat dan jaringan
sosial tanpa had dan kawalan. Mereka mula mengenali serta terdedah dengan perkara
yang berkaitan dengan syahwat, dengan membuka pelbagai website yang meracuni
pemikiran remaja Islam. Akhirnya fikiran remaja tersebut menjadi lemah dengan
kuatnya syahwat serta nafsu, yang membawa kepada keruntuhan akhlak dan moral di
antara remaja lelaki dan perempuan seperti yang telah berlaku sekarang.
Sedangkan ketika proses remajalah perlu dikawal tindak-tanduk serta pergaulan
mereka. Ketika ini mereka mula ditumbuhi syahwat dan tertarik dengan jantina
yang berlawanan dengannya. Sekiranya mereka tidak dipimpin dengan kekuatan
Agama, maka iman mereka akan rapuh dan mudah tergelincir ke kancah maksiat yang
dimurkai Allah. Firman Allah s.w.t.:
وَلَا تَقْرَبُوا
الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya, “Dan janganlah kamu menghampiri zina,
sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang
jahat (yang membawa kerosakan).” Surah
al-Isra, 32.
Baginda
s.a.w. juga telah memberikan satu petua yang amat mujarrab dalam menangani
masalah pergaulan di antara lelaki dan perempuan, dengan sabdanya s.a.w.:
إِذَا لَمْ تَسْتَحِيْ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Maksudnya,
“Sekiranya kamu tiada(rasa) malu, maka lakukanlah apa yang kamu ingini”.
Riwayat Imam Tirmidzi.
Menurut satu kajian yang dijalankan oleh kumpulan
Kaizer Impreza terhadap remaja di UKM, mereka mendapat maklum balas bahawa
hampir kesemua penuntut di UKM yang menjalani kajian ini sangat bersetuju
bahawa penggunaan internet membawa kepada keruntuhan akhlak dan sahsiah diri
remaja. Walaupun wujudnya satu kesedaran yang baik ini, akan tetapi golongan
remaja inilah yang turut terbabit dalam masalah ini.
Untuk mengatasi masalah yang meracuni
umat Islam ini, lebih-lebih lagi terhadap remaja yang menjadi tonggak kemajuan
ummah, perlulah masing-masing memainkan peranan yang penting dalam mengubah
setiap kemungkaran yang berlaku. Rasulullah s.a.w. bersabda;
من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فإن
لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان
Maksudnya, “Barangsiapa di antara kamu
melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan(kekuasaan)mu. Sekiranya tidak
mampu, maka ubahlah dengan lisan(teguran dan nasihat)mu. Sekiranya tidak mampu,
maka ubahlah dengan hati(mendoakan sambil dalam hati tidak menyukai perkara
maksiat itu)mu. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman”. Riwayat Imam
Muslim.
Begitulah cara Baginda s.a.w. yang
menggalakkan semua pihak, baik dari yang mempunyai kuasa, ataupun yang tidak
mampu berbuat apa-apa melainkan pengubahan dengan hati, untuk bersama-sama
membantu dalam mengajak manusia meninggalkan keburukan dan memperelokkan diri
masing-masing. Sikap inilah yang menggambarkan persaudaraan dalam Islam, di
mana Baginda s.a.w. menggambarkan persaudaraan dengan bersabda, “Orang
Muslim itu bersaudara kepada Muslim yang lain”.
Mereka yang mempunyai kekuasaan dalam
melaksana hukum, perlulah mengawal kemasukan bahan maklumat yang merbahaya dengan
menyekat website-website yang boleh merosakkan jiwa raga serta jati diri umat
Islam. Selain itu, ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam menanam
wajah keIslaman dalam jiwa anak-anak mereka. Rasulullah s.a.w. turut bersabda;
كل
مولود يولد على الفطرة فأ بواه يهودانه أو ينصرانه أويمجسانه
Maksudnya: “Setiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan
fitrah (suci), maka kedua orang tuanyalah yang membuatkannya Nasrani, Yahudi
atau Majusi”. Riwayat Imam al-Bukhari
Ibu bapa juga boleh memantau anak-anak
mereka dalam penggunaan internet agar tidak leka dan terperangkap di dalam
jerangkap sosial dalam internet. Dengan penanaman imej Islam dalam jiwa
anak-anak mereka sejak kecil, maka akan timbul satu benteng keimanan yang teguh
agar para remaja dapat menolak budaya yang merosakkan imej Islam sebagai
Agamanya.
Maka, sekiranya didikan agama kembali
ditekankan kepada para remaja, nescaya masalah penyalah-gunaan teknologi dapat
dikekang kerana setiap remaja yang telah ditanam keIslaman yang sempurna, serta
akhlaq yang mahmudah, akan menjadikan para remaja malu kepada Allah pada setiap
masa dan hilangnya perasaan berani melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Mereka
sentiasa menghargai ni’mat pemberian Allah dan inilah remaja yang dipuji Allah
dan Baginda s.a.w., yang akan membangunkan struktur masyarakat yang benar-benar
beriman kepada Allah, sepertimana yang telah kita dapati dalam sejarah
ketamadunan Islam.
Firman Allah s.w.t.:
فَكُلُوا مِمَّا
رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ إِن كُنتُمْ
إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Maksudnya: “Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari
apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi
baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.” Surah an-Nahl, 114.
Sesungguhnya Islam tidak pernah menentang
arus perkembangan teknologi. Akan tetapi, perlulah kita menyedari dari manakah
datangnya segala perkembangan kalau tidak dengan keinginan Allah, dan Allah
hanya menuntut kita menggunakan segala ni’mat yang dikurniakan sebagai platform
untuk menunaikan ibadat kepadaNya. Maka, marilah sama-sama kita menyedari
hakikat ini.
Allahua’lam bis sowab~
Tengku Ahmad Saufie
*Artikel ini disiarkan di www.VIC.my
Post a Comment